Al-Quran Mushaf Tawafuq: Mukjizat Untuk Mata dan Iman Anda

0
1347
views

Bismillahi al-Rahman al-Rahim,

Kita di Nusantara khususnya di Malaysia telah lama menggunakan mushaf Al-Quran Al-Karim berdasarkan format Rasm al-Ustmani seperti yang ada di masjid-masjid, surau-surau, rumah masing-masing sehingga dalam aplikasi telefon pintar juga. Penggunaan mushaf Al-Quran Al-Karim juga telah digunakan secara meluas di negara-negara lain. Kalau kita masih ingat, dahulu atuk nenek kita membaca Al-Quran menggunakan mushaf Al-Quran Al-Majid di mana tulisan dan huruf-hurufnya agak tebal dan sistem tanda baca tajwid pun berbeza dengan mushaf yang kita biasa lihat. Walaubagaimanapun, segelintir generasi pembaca mushaf Al-Quran Al-Majid mendapati bahawa sukar untuk membaca mushaf Rasm al-Ustmani dan begitu juga sebaliknya. Jadi apa pula Al-Quran Mushaf Tawafuq?

Sebelum kita berkenalan dengan Al-Quran Mushaf Tawafuq, mari kita telusuri sejarah penulisan Al-Quran Mushaf Tawafuq ini dahulu.

Sejarah Penulisan Mushaf Al-Quran Tawafuq

Masih ingat lagi artikel saya berkaitan Badiuzzaman Said Nursi? Sekiranya tidak pernah membacanya, mungkin boleh luangkan masa seketika untuk membacanya sama ada sebelum atau selepas membaca artikel ini.

Semasa Badiuzzaman Said Nursi menjadi tetamu kepada Datuk Bandar Van, al-Marhum Tahir Pasha di rumah tumpangannya, suatu berita yang dibaca beliau dalam akhbar telah menjadi titik perubahan dalam hidup beliau. Akhbar tersebut menceritakan bahawasanya sebuah ucapan Menteri Penjajahan England iaitu Gladston telah berucap sambil memegang Al-Quran, ‘’Selagi Al-Quran ini masih ada di tangan umat Islam, kita tidak akan mampu untuk menguasai mereka! Apa yang perlu kita lakukan ialah merampas Al-Quran ini daripada tangan mereka. Atau kita perlu menjauhkan umat Islam daripada Al-Quran’’.

Berita ini telah memberi kesan yang mendalam kepada diri beliau. Maka beliau bersumpah, ‘’Aku akan membuktikan dan memperlihatkan bahawa Al-Quran ialah mentari maknawi yang tidak akan padam dan tidak akan dapat dipadamkan’’. Maka dari sumpah Badiuzzaman Said Nursi ini, maka lahirlah dua hasil yang menakjubkan. Pertama ialah magnum opus beliau iaitu Risale-I Nur (Risalah An-Nur) dan keduanya ialah Mushaf Al-Quran Tawafuq.

Badiuzzaman Said Nursi telah memberikan sebanyak 3 juzuk daripada Al-Quran kepada 10 orang anak murid beliau untuk ditulis semula. Mereka semua berasal dari latar belakang yang berbeza-beza. Ada yang pakar Bahasa Arab, ada yang mahir seni kaligrafi dan pelbagai lagi. Badiuzzaman Said Nursi menyarankan mereka untuk menjadikan mushaf Al-Quran yang telah ditulis oleh Hafiz Osman (1642-1698M) sebagai rujukan format penulisan.

Mushaf yang ditulis oleh Hafiz Osman menggunakan format –

1. Pada setiap halaman dimulakan dengan ayat yang sempurna dan diakhiri dengan ayat yang sempurna. Tiada ayat yang terpisah pada satu halaman dan bersambung pada halaman seterusnya.

2. Satu halaman mengandungi 15 baris ayat.

Selain itu, Badiuzzaman Said Nursi juga berpesan kepada mereka supaya mengikhlaskan hati, tidak memasukkan kehendak dan kemahuan mereka serta tidak menggunakan kemahiran mereka dalam penulisan mushaf Al-Quran Tawafuq ini. Hairankan? Kenapa dilarang menggunakan kemahiran dan kepakaran yang ada sekiranya ia membantu dalam penulisan Al-Quran.

Mereka yang diberi amanah untuk menulis semula ialah;

1. Ahmad Husrev Altınbaşak – murid Badiuzzaman yang paling rapat.

2. Hafiz Ali

3. Hoca Khalid

4. Muallim Galip

5. Hoca Sabri

6. Hafiz Zuhdu

7. Ra’fat

8. Hafiz Mustafa

9. Tigli Hakki

10. Shamli Hafiz Tevfik

Setelah mereka selesai menulis 3 juzu’ Al-Quran yang telah ditugaskan, mereka membawanya kepada Badiuzzaman Said Nursi. Kemudian Badiuzzaman menerangkan natijah penulisan mereka setelah disemak kesemuanya. Akhirnya beliau mengatakan bahawa tawafuq (keselarian) telah terzahir pada penulisan Ahmad Husrev Altınbaşak (baca – Ahmad Husrau Altenbasyak)

Maka, bermula dari saat itu, Ahmad Husrev menulis kesemua isi Al-Quran sehingga lengkap pada kali yang pertama. Setelah itu, beliau menulis semula Al-Quran buat kali yang seterusnya sebanyak 8 kali yang memakan masa selama puluhan tahun sehingga keselarian yang terzahir itu tersusun dengan lebih rapi.

Ahmad Husrev Altınbaşak, murid kanan Badiuzzaman Said Nursi juga merupakan khalifah pertama dalam dakwah Risalah An-Nur setelah pemergian Said Nursi.

Jawapan kepada kenapa dilarang menggunakan kemahiran dan skil tersendiri dalam penulisan Al-Quran Mushaf Tawafuq adalah kerana Al-Quran itu Kalam Allah. Manusia tidak layak campur tangan pada sesuatu yang bersifat mukjizat. Mukjizat tidak akan lahir dan terzahir sekiranya ia datang dari manusia. Apa yang layak untuk campur tangan dalam kemukjizatan penulisan Al-Quran Mushaf Tawafuq ini hanyalah keikhlasan semata-mata kerana Allah. Maka siapa yang ikhlas, terzahirlah penulisan penuh mukjizat ini pada tangannya.

Ahmad Husrev hanyalah insan biasa, tiada kemahiran Bahasa Arab, tiada kemahiran seni khat dan apa yang beliau ada hanyalah tulisan yang kemas dan keikhlasan semata-mata kerana Allah. Oleh kerana itu beliau berbeza dengan penulis-penulis lain.

Sisi Kemukjizatan Keselarian Mushaf Al-Quran Tawafuq

Sesungguhnya, tawafuq keselarian itu telahpun ada dalam Al-Quran. Ia dizahirkan melalui penulisan Ahmad Husrev Altınbaşak supaya ianya menjadi dalil ketuhanan bagi mereka yang sudah tidak lagi percaya pada kewujudan tuhan di mana akal mereka ini telah berpindah ke mata mereka. Maka seterusnya akan diterangkan sebahagian daripada keselarian yang ada pada mushaf ini.

1. Keselarian Lafaz Jalalah – Allah

Kalimah Allah berulang sebanyak 2806, dan setiap kali pengulangan ini, ia selari di dalam mushaf ini. Samaada ia datang dengan kedudukan yang sama pada halaman yang sama atau yang sebelahnya ataupun kalimah Allah bertemu kedudukannya dengan kalimah Allah di halaman yang bertentangan. Kalimah Allah dan Rabb ditulis menggunakan dakwat berwarna merah bagi membezakannya dengan kalimah-kalimah lain.

2. Keselarian Perkataan Pada Makna atau Kata Dasar Perkataan

Sesungguhnya banyak kalimah yang pada asalnya merupakan kalimah yang sama atau membawa makna yang sama atau hampir sama. Ini merupakan keselarian yang sangat indah untuk difahami dan diterokai. Dan warna kalimah bagi keselarian ini ialah warna bunga ros iaitu merah jambu.

Sebagai contoh, keselarian yang terdapat pada halaman ke-3 mushaf pada kalimah قلوهُم pada baris ke-2 dan ke-6 adalah selari kerana ianya membawa makna yang sama.

Dan pada halaman ke-10 kalimahتتقون yang yang berada pada baris ke-5 selari dengan kalimah للمتقين yang berada pada baris ke-9 kerana asalnya dari kalimah yang sama.

Dan kembali kepada halaman ke-2 mushaf, pada kalimah بمؤمنين، امِنوا، امَنوا berada selari antara satu sama lain kerana ianya membawa makna yang sama yakni iman.

Dan contoh yang sama seperti itu juga pada halaman ke-14 bagi kalimah الكافرون،يكفُروا، يكفرون ، بكفرهم ianya mempunyai usul dan makna yang sama iaitu kufur.

3. Keselarian Huruf Alif Dalam Surah Al-Fatihah

Sesungguhnya 6 huruf alif dalam surah Al-Fatihah dalam Al-Quran yang merupakan kitab suci seolah-olah menunjukkan kepada 6 rukun iman.

4. Pendustaan Firaun كذبة الفرعون

Pada halaman 583 ayat ke-24, kalimah ربكم (rabbukum – tuhan kamu) tidak dikira sebagai لفظ الجلالة (Lafaz Pengagungan – Allah) dan kalimah ربكم tersebut tidak selari dengan kalimah ربكم yang lain pada halaman yang sama. Ini kerana kalimah ربكم itu terbit dari ucapan firaun – فقال أنا ربكم الأعلى (maka telah berkata Firaun: Aku tuhan kamu semua yang tinggi). Kalimah tersebut itu juga selari dengan kalimah فكذب (maka dia telah berdusta).

5. Kalimah Rabb dan Allah

Lafaz Pengagungan Allah yang tedapat pada halaman 83 dan 84 ialah selari secara bertentangan halaman.

Begitu juga pada halaman 464 dan pada baris yang ke-9 halaman tersebut, terdapat dua lafaz kalimah Allah dan jika dipandang sekali pandang ianya adalah yang pertama yang tidak selari dalam halaman yang sama. Tetapi jika diteliti kembali lafaz Allah yang pertama tawafuq secara berhadapan dengan lafaz Allah di halaman 463 baris ke-9 juga. Dan lafaz Allah yang kedua tawafuq secara bertentangan dengan lafaz Allah dihalaman 464.

Dua kalimah Allah pada halaman kiri baris ke-9.
Kalimah Allah pada halaman kanan baris ke-7 dari bawah selari dengan kalimah Allah pada halaman sebelumnya pada tempat yang sama.

6. Ashabul Kahfi

Kisah Ashabul Kahfi diceritakan bermula pada halaman 294 surah Al-Kahfi di mana para pemuda yang khuatir akan terjejas keimanan mereka lari ke gua dari kezaliman raja yang kufur. Mereka telah ditidurkan selama 300 tahun. Kemudian dibangkitkan semula seraya bertanya salah seorang dari mereka – قال قائل منهم كم لبثتم (salah seorang daripada mereka bertanya: “Berapa lama kamu tidur?”). Soalan itu selari dengan jawapannya pada baris ke-11 – قالوا ربكم أعلم بما لبثتم (sebahagian dari mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur”). Pada baris yang sama pada halaman bertentangan, jawapan kepada persoalan mereka telah dijawab dengan lebih tepat iaitu – ولبثوا في كهفهم ثلث مائة سنين وازدادوا تسعا (Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab) dan sembilan dengan kiraan kamu).

 

 

 

Pertanyaan pada halaman kanan baris ke-6 dari bawah dan jawapan di baris bawahnya. Halaman kiri baris ke-5 dari bawah merupakan jawapan terperinci.

Dan contoh lain pada Surah Al-Kahfi pada baris ke-7 halaman 296 pada kalimah كلبهم (anjing mereka). Terzahir keselariannya dengan kalimah قطمير (Qithmir) pada halaman 436, baris ke-7 pada halaman dan kedudukannya yang berlawanan dengan kalimah كلبهم. Qithmir ialah nama anjing pemuda-pemuda itu seperti yang terdapat dalam beberapa riwayat.

7. Ingatan nama Allah

Pada halaman 423 baris ketiga dari bawah terdapat ayat – يأيها الذين ءامنوا اذكروا الله ذكرا كثيرا (Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya). Apa yang ajaibnya ialah kalimah Allah yang terbanyak disebut berada pada halaman yang sama! Sebutlah MasyaaAllah!

Ayat suruhan untuk sentiasa mengingati Allah pada baris ke-3 dari bawah

Kalimah Allah pada halaman sebelumnya juga bertentangan dengan ذكرا كثيرا (dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya) menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai hamba Allah untuk sentiasa mengingati-Nya.

Perkataan zikran katsira.
Pada tempat yang sama dengan kalimah zikran katsira pada halaman sebelumnya, Allah.

8. Doa nabi yang diterima

Pada halaman 329, Nabi Ayyub dan Nabi Zakariyya mengalunkan doa mereka masing-masing. Satunya pada bahagian atas halaman dan satu lagi pada bahagian bawah halaman yang sama. Kedudukan kalimah-kalimah doa dan terjawabnya doa dizahirkan dengan keselarian antara satu sama lain.

Doa Nabi Ayyub – وأيوب إذ نادى ربه أنى مسنى الضر وأنت أرحم الرحمين (Dan sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesunggunhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”). فاستجبنا له (Maka Kami perkenankan doa permohonannya…).

Doa Nabi Zakariyya – وزكريا إذ نادى ربه رب لا تذرني فردا وأنت خير الورثين (Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakariyya, ketika itu ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”). فاستجبنا له (Maka kami perkenankan doanya…).

Maka, setelah mukjizat ini terzahir, Badiuzzaman Said Nursi mengatakan;

“Jika akal memahami, nescaya ia akan mengucapkan SubhanaAllah, jika hati mendalami nescaya ia akan mengucapkan BarakaAllah, dan jika mata melihat nescaya ia akan mengucapkan Maa Shaa Allah”. Semua kalimah SubhanaAllah, BarakaAllah dan Maa syaa Allah ini diucapkan untuk memuliakan Allah.

Untuk pengetahuan semua, Al-Quran Mushaf Tawafuq ini telahpun mendapat sijil perakuan dari KDN. Tapi saya tidak ada gambar sijil tersebut untuk ditunjukkan di sini. Mushaf ini masih lagi belum disebarkan secara besar-besaran di negara kita sebab adanya kekangan dari sudut pengurusan penerbitan dan pengedaran di negara kita ini.

Dan perkara yang terpenting dari segala perkara-perkara yang penting ialah bacalah dan amallah isi Al-Quran semampu mungkin. Kita nak bina tamadun kan?

Kalau ada peluang dan masih lagi bernafas, saya akan tulis pula berkaitan magnum opus Badiuzzaman Said Nursi yang menentang sekularisme iaitu Risale-I Nur (Risalah An-Nur), insyaaAllah.

Wallahua’lam.

Nota kaki: Penulis ingin meminta maaf jika resolusi gambar tidak begitu cerah.

Comments

comments