Sultan Agung Dari Mataram, Pemerintah Mataram Yang Digeruni Oleh Belanda

0
1206
views

Sultan Agung merupakan Sultan Mataram yang ketiga dan pemerintahan beliau bermula dari tahun 1613 hingga 1645. Sultan Agung atau dikenali sebagai Panembahan Agung Senopati Ing Alogo Ngabdur Rahman. Nama sebenar beliau adalah Raden Mas Ransang. Selepas kemangkatan Mas Jolang atau Panembahan Hanyakrawati pada tahun 1613, saudaranya Raden Mas Martopuro dilantik sebagai Panembahan Mataram yang baharu. Namun begitu, Raden Mas Martopuro tidak lama berada di singgahsana lalu turun takhta dan Raden Mas Ransang dilantik sebagai Panembahan Mataram yang baharu kerana Raden Mas Martopuro dikatakan menghidap penyakit lupa ingatan dan Sultan Agung dilihat lebih layak menjadi Raja Mataram kerana beliau mempunyai bakat – bakat kepimpinan yang luar biasa ditambah lagi dengan kecerdasan akal dan fikiran. Satu lagi, gelaran Sultan Agung hanyalah diberikan selepas kemangkatan beliau oleh ahli sejarah kerana tiada lagi pemerintah Mataram sehebat selepas kemangkatan Sultan Agung.

Pada permulaan pemerintahan Sultan Agung baginda hanya menggunakan gelaran “Sunan” iaitu gelaran yang pernah digunakan oleh para Wali Songo dahulu. Namun begitu, baginda mula menggunakan gelaran “Sultan” pada tahun 1641 apabila Sultan Agung mengirim utusan kerajaan Mataram ke Mekah untuk menghadap Syarif Mekah bagi mengiktirafkan kedudukan beliau sebagai Khalifatullah di Tanah Jawa dan dianugerahkan gelaran Sultan kepada Sultan Agung. Tujuan lain baginda adalah supaya diakui setaraf dengan Sultan Acheh yang umumnya diakui sebagai Khalifatullah Dunia Islam di Nusantara. Kesultanan Mataram ketika zaman pemerintahan Sultan Agung merupakan salah satu kerajaan Islam di Alam Melayu paling terkuat selepas Kesultanan Acheh Darussalam, Empayar Johor – Riau dan Empayar Brunei.

Cita – cita Sultan Agung adalah menyatukan seluruh Tanah Jawa dibawah kepimpinan Kesultanan Mataram. Ini kerana Sultan Agung berpandangan bahawa jika Tanah Jawa berpecah – belah dari segi kuasa politik, maka dengan mudahnya Belanda akan menakluki Tanah Jawa. Jadi, baginda berpendapat bupati – bupati Majapahit yang berpecah selepas keruntuhan Majapahit dan Demak termasuk Kesultanan Banten harus disatukan demi menghalangan ancaman Belanda. Selain itu, Sultan Agung juga mempunyai panglima – panglima yang hebat dan tangkas ditambah lagi kepakaran Sultan Agung dalam merancang tipu helah dalam peperangan.

Wilayah Kekuasaan Kesultanan Mataram Di Bawah Pemerintahan Sultan Agung

Pada tahun 1614, Sultan Agung memimpin bala tenteranya untuk menakluki Surabaya yang dipimpin oleh Bupati Surabaya dan pengikutnya, Sunan Giri sebagai pemimpin agama kerana Sultan Agung menganggap Bupati Surabaya penghalang untuk menumpaskan musuh yang paling terbesar Mataram iaitu Belanda. Sultan Agung berjaya menakluki wilayah yang menjadi benteng pertahanan Surabaya iaitu Malang di Jawa Timur bagi memudahkan penaklukan Surabaya. Pada tahun 1615, Sultan Agung berjaya menakluki bandar Wirosobo, bandar yang paling strategik untuk pertahanan Tanah Jawa. Faktor kejayaan tersebut adalah disebabkan Sultan Agung sendiri memimpin peperangan tersebut.

Pintu masuk ke Perkuburan Diraja Imogiri

Pada tahun 1616, Sultan Agung berjaya menewaskan gabungan tentera bersekutu yang terdiri daripada Lasem, Tuban, Jipang, Wirosobo, Pasuruan, Arisbaya (Madura) dan Sumenep yang dibawah pimpinan Bupati Surabaya. Faktor kemenangan Sultan Agung adalah disebabkan berlakunya konflik tentera antara Tuban dan Surabaya dan kekurangan bekalan makanan juga antara punca kekalahan pasukan gabungan tentera tersebut.

Pada tahun 1620, pasukan Sultan Agung mengepung kota Surabaya dan bagi memastikan bekalan makanan ke kota Surabaya disekat, semua hasil tananam habis dibakar dan juga menyekat bekalan air bagi memastikan kota Surabaya tunduk dibawah penguasaan Mataram. Akhirnya pada tahun 1625, kota Surabaya jatuh ke tangan Sultan Agung. Pada masa yang sama, bala tentera Sultan Agung juga berjaya menakluki Pulau Madura.

Dengan jatuhnya Surabaya dibawah penguasaan Kesultanan Mataram, seluruh Jawa Timur berjaya disatukan oleh Sultan Agung bagi memastikan cita – cita beliau untuk melawan Belanda tercapai. Namun begitu, Kesultanan Banten di Jawa Barat sahaja masih lagi belum tunduk dibawah penguasaan Kesultanan Mataram. Tujuan utama baginda adalah memastikan Tanah Jawa betul stabil dan kuat dibawah panji – panji Kesultanan Mataram. Walaupun sebelum ini Kesultanan Banten dibawah Pangeran Ranamenggala pernah menentang Belanda, namun setelah wafatnya Pangeran Ranamenggala pada tahun 1624 ditambah lagi Jakarta dibawah taklukan Belanda dengan menukar namanya ke Batavia, Kesultanan Banten tidak lagi segagah dan digeruni oleh Belanda. Oleh itu, Sultan Agung ingin menundukkan Banten dibawah Kesultanan Mataram.

Oleh itu, Belanda berasa terancam dan memanggil semula Jan Pieterzoon Coen yang dahulunya Gabenor Jeneral Belanda kerana beliau mempunyai pengalaman untuk menghapuskan pemberontakan orang Banten dibawah Pangeran Ranamenggala. Daripada mula lagi hubungan Belanda dan Sultan Agung amat dingin. Semasa majlis pertabalan Sultan Agung dahulu, utusan Belanda datang untuk mengucap tahniah diatas pertabalan sebagai Sultan Mataram. Namun, Sultan Agung telah menghalau utusan Belanda tersebut kerana beliau amat benci dengan kekejaman Belanda terhadap orang Jawa ditambah lagi Belanda sering memeras ugut penduduk tempatan dengan memaksa beras kepada mereka. Ini menyebabkan pihak Belanda bertambah sakit hati diatas perbuatan Sultan Agung.

Serangan bala tentera Kesultanan Mataram ke atas Jakarta telah dijangka oleh pihak Belanda. Sultan Agung mengirim bala tentera Mataram berjumlah 80,000 orang dibawah Panglima Baurekso untuk menyerang Belanda di Jakarta. Serangan balas bertubi – tubi daripada tentera Belanda tidaklah mematah semangat tentera Mataram. Selepas dua bulan berperang dengan tentera Belanda dibawah pimpinan Gabenor Jeneral Jan Pieterzoon Coen, datangnya bantuan tentera dari Mataram untuk membantu pasukan Panglima Baurekso. Namun begitu, Panglima Baurekso akhirnya mati syahid dalam peperangan menentang Belanda. Walaubagaimanapun, serangan pertama tentera Mataram bejumlah 80,000 yang dipimpin oleh Panglima Baurekso ke atas Jakarta gagal disebabkan kurangnya persediaan dan senjata meriam Belanda. Ini bukan bermakna tentera Kesultanan Mataram tidak mempunyai kecanggihan senjata meriam tetapi sukar mengangkut meriam dari Mataram untuk dibawa berperang menurut buku karangan Hamka, Sejarah Umat Islam. Faktor – faktor kekalahan tentera Mataram adalah bekalan makanan tidak mencukupi untuk 80,000 tentera.

Serangan kedua yang dipimpin oleh Sultan Agung sendiri dan ternyata serangan Sultan Agung ke atas Belanda gagal. Ini kerana salah seorang tentera Mataram dalam tahanan dikatakan membuka rahsia strategi peperangan kerajaan Mataram dimana Mataram akan membina gudang – gudang beras di tempat yang dilalui oleh tentera Mataram. Akhirnya, pihak Belanda membakar gudang – gudang beras yang menjadi bahan bekalan makanan untuk tentera Mataram. Walaubagaimanapun, Gabenor Jeneral Jan Pieterzoon Coen berjaya dibunuh oleh perajurit Mataram dengan tikaman keris.

Selepas serangan Sultan Agung ke atas Belanda, dikatakan kekuasaan Mataram mulai menurun. Walaubagaimanapun, Sultan Agung tidak berputus asa kerana baginda memerintah Adipati Kartabumi Bupati Galoh untuk membuka kawasan sawah padi sebanyak mungkin bagi memastikan persediaan bekalan makanan mencukupi bagi serangan yang seterusnya ke atas Belanda.

Sebelum sempat untuk mencapai cita – citanya, Sultan Agung akhirnya mangkat pada tahun 1645. Beliau berpesan kepada ahli keluarganya agar pembinaan makamnya nanti tidaklah semegah selayaknya makam raja – raja lain dan sederhana kerana beliau berpendapat baginda hanyalah hamba Allah yang lemah yang pasti dihisab di Padang Masyar kelak. Semoga kisah Sultan Agung nanti akan menjadi inspirasi pejuang – pejuang agama dan bangsa dalam mengejar cita – cita, kita pantang menyerah kepada nasib dan berputus asa. Semoga roh Sultan Agung sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Al – Fatihah.

Rujukan:

1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016 terbitan PTS

2. Theodore Gauthier Th. Pigeaud (2013), Islamic States in Java 1500–1700: Eight Dutch Books and Articles by Dr H.J. de Graaf, Springer Science & Business Media, 1 Dec 2013

3. M.C. Ricklefs (2008) A History of Modern Indonesia Since C.1200, algrave Macmillan, 11 Sep 2008

4. Muzaffar Husain Syed, Syed Saud Akhtar, B D Usmani (2011), Concise History of Islam, Vij Books India Pvt Ltd, 14 Sep 2011

5. Purwadi, Kazunori Toyoda (2005), Babad Tanah Jawi, Gelombang Pasang, 2005 – Java (Indonesia)

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here