Gereja Berpegang Pada Sains Aristotle Pada Zaman Pertengahan

0
504
views

Sejajar dengan perkembangan aktiviti penterjemahan, karya Aristotle (384SM – 322SM) merupakan karya terjemahan yang memberikan impak signifikan pada Gereja. Ia telah mula diajarkan di sekolah-sekolah Kristian sejak zaman Charlemagne lagi. Antara karyanya yang luas disebarkan ialah dua topik dalam Organon, iaitu Categories dan On Interpretation.

Bermula pada abad ke-12, karya-karya Aristotle yang lainnya mula diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Contohnya, dalam Organon terdapat empat lagi topik yang belum diterjemah lalu ditermah ke dalam bahasa Latin oleh James dari Venice. Organon yang diperkenalkan pada Eropah telah menjadi rujukan dalam perkembangan ilmu logik di sana pada ketika itu. Pada tahun berikutnya, lebih banyak karya Aristotle diterjemah seperti Nicomachean Ethics, On the Heavens, Politics, Poetics, Metaphysics, Meteorologica dan banyak lagi. Penterjemah yang memainkan peranan penting dalam aktiviti ini adalah Wiliam Moerbeke (1215M – 1286M)

Syarahan Ibn Rushd (1126M – 1198M) pada karya Aristotle sangat berpengaruh. Syarahannya sangat cenderung pada hubungan antara falsafah Aristotle dan ketuhanan. Syarahan ini memberikan pendedahan kepada komuniti Kristian tentang hubungan antara teologi mereka dan Aristotelianism. Walaupun doktrin Aristotle dikatakan sebagai ‘kebenaran yang paling tinggi’, masih terdapat beberapa perkara heresy yang bertentangan dengan teologi Kristian. Menurut St. Bonaventure (1221M – 1274M), seorang ahli teologi dan falsafah, terdapat tiga heresy utama yang terdapat pada doktrin tersebut, iaitu dunia ini abadi seperti yang disebutkan dalam Meteorologica, satu intelek untuk seluruh umat manusia, dan kemustahilan manusia untuk mencapai kehidupan abadi. Tambahan lagi, dinyatakan oleh Aristotle bahawa, kita dapat mengenali Tuhan dan dunia hanya dengan rasional akal semata-mata, di mana ia sangat bertentangan dengan Kristian yang menggunakan wahyu untuk mengenali Tuhan.

Walaupun begitu halnya, pengajaran doktrin Aristotelianism sangat aktif dan meluas di Paris, meskipun mendapat tentangan hebat daripada ahli teologi golongan konservatif. Aristotelianism sangat sukar untuk dibuang dan disisihkan kerana ia telah berintegrasi dalam kurikulum dan silibus pengajian Kristian selama ratusan tahun. Akhirnya, pada tahun 1231M, Paus Gregory membenarkan karya Aristotle digunakan di Universiti Paris, tetapi kandungannya hanya dihadkan pada topik-topik tertentu. Malahan, sebelum sesuatu karya tersebut diletakkan di dalam kurikum, seharuslah ia disemak dan ditapis terlebih dahulu.

Syarat yang ketat dalam pengajian karya Aristotle ini memberikan kesempatan pada Universiti Toulouse untuk menarik orang awam mempelajari doktrin tersebut dengan lebih bebas di sana. Pada tahun 1255M, sokongan kuat yang diterima oleh golongan liberal di Paris telah membawa pada tiada karya Aristotle yang dikecualikan daripada kurikulum pendidikan di Paris. Terdapat tokoh-tokoh tertentu yang cuba untuk menyatukan falsafah tersebut dengan teologi Kristian, seperti Siger Brabrant (1240M – 1284M), walaupun sebenarnya beliau lebih cenderung pada pemikiran falsafah. Untuk mengelakkan dirinya dikenakan hukuman oleh Gereja, Siger seolah-olah mengaburkan pendiriannya dengan cuba untuk tidak menyatakan kebenaran sebenar berkenan konflik falsafah dan teologi.

Siger seterusnya dianggap telah meletakkan dua kebenaran, iaitu kebenaran pada falsafah dan kebenaran pada teologi walaupun banyak pendapat yang dikeluarkannya selalu mempunyai kontradiksi antara dua pemikiran tersebut. Gereja pula tidak mahu kenyataan yang kabur dalam hal ini dan menganggap Siger dan pengikutnya tidak jujur dan menyembunyikan sesuatu.

Dengan kebangkitan aliran falsafah Aristotle yang pesat, Gereja mengambil tindakan yang serius dalam hal ini. Etienne Tempier (?M – 1279M) diarahkan untuk melakukan kritikan ke atas falsafah tersebut lalu menyenaraikan 219 bentuk heresy. Paus John XXI menggunakan senarai tersebut sebagai piawaian untuk menghukum komuniti Kristian yang berpegang pada mana-mana bentuk heresy tersebut.

Namun, akhirnya, falsafah Aristotle tetap diserap ke dalam teologi Gereja Katolik melalui bawaan Thomas Aquinas yang mampu menyatukan falsafah dan teologi dengan baik seperti yang telah dijelaskan pada tajuk sebelum ini. Pada tahun 1325M, arahan hukuman mengamalkan 219 heresy tersebut dibubarkan dan membiarkan ia menjadi suatu bentuk perbincangan skolastik.

 

Comments

comments

Previous articleF-team Dan Ops Chien Meh, Sarawak 1990
Next articleSeni Adalah Cerminan Tamadun
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here