Kesultanan Samudera Pasai: Kerajaan Islam Agung Alam Melayu

0
1871
views

Kesultanan Samudera Pasai atau dikenali sebagai Samudera Darussalam diasaskan pada tahun 1297 Masihi oleh seorang ketua kampung Samudera (asal – usul negeri Samudera adalah sebuah kampung) yang bernama Meurah Silu atau dikenali sebagai Sultan Al Malikus Saleh yang merupakan Sultan Samudera Pasai yang pertama.

Dikatakan Syarif Mekah telah mendengar khabar bahawa terdapat penempatan masyarakat Islam di Pulau Sumatera lalu mengutuskan Syeikh Ismail untuk menyebar agama Islam di Pulau Sumatera. Dalam perjalanan ke Pulau Sumatera, Syeikh Ismail telah singgah di Malabar dan bertemu dengan seorang ahli sufi yang juga merupakan seorang bekas raja yang meninggalkan takhta demi mendalami ilmu tasawuf yang bernama Faqir Muhammad. Faqir Muhammad dikatakan berketurunan Sayyidina Abu Bakar As -Siddiq. Tujuan perjalanan Syeikh Ismail ke negeri Samudera Pasai kerana teringat pesanan Nabi Muhammad s.a.w kepada para Sahabat r.a. di dalam hadis Nabi s.a.w menurut Hikayat Raja Pasai yang berbunyi: “Bahawa ada sepeninggalku wafat itu, ada sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya; apabila ada didengar khabar negeri itu, maka kamu suruh sebuah kapal membawa perkakas alat kerajaan dan kamu bawai orang dalam negeri itu masuk agama Islam serta mengucap dua kalimah syahadat. Syahadan lagi akan dijadikan Allah S.W.T dalam negeri itu terbanyak daripada segala wali Allah jadi dalam negeri itu. Adapun pertama ada seorang fakir di negeri Mengirinya, iaitulah kamu bawa serta kamu ke negeri Samudera itu”.

Gambar menunjukkan lokasi Kerajaan Samudera Pasai

Setelah Syeikh Ismail tiba ke destinasi sebenar iaitu negeri Samudera, Syeikh Ismail telah berjumpa Meurah Silu dan meminta beliau untuk mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian disuruh pula Meurah Silu membaca Al Qur’an. Syeikh Ismail mendapati Meurah Silu telah mampu mengucap dua kalimah syahadah dan membaca Al Qur’an dengan lancar. Setelah itu, Syeikh Ismail menghimpunkan segala penduduk termasuklah para pembesar, hulubalang dan rakyat jelata dan mengajar mereka untuk mengucap dua kalimah syahadah. Penduduk Samudera Pasai dengan rela hati untuk memeluk agama Islam. Pengislaman di Alam Melayu dengan cara berhemah dan hikmah sekali gus telah menafikan dakwaan ahli – ahli orientalis Barat yang mendakwa penyebaran agama Islam melalui mata pedang. Syeikh Ismail juga menganugerahkan alat – alat kebesaran kerajaan Mekah dan menamakan Meurah Silu dengan gelaran Sultan Malikus Saleh sempena nama Sultan Mesir, Sultan Malikus Saleh Nadjamuddi Al Ayyubi. Sultan Malikus Saleh juga berkahwin dengan puteri Sultan Perlak dan hasil perkahwinan mereka telah melahirkan seorang putera yang bernama Sultan Malikus Az Zahir I.

Pada zaman pemerintahan Sultan Malikus Az Zahir I, beliau berjaya menyatukan Kesultanan Perlak kedalam Kesultanan Samudera Pasai. Beliau juga dikatakan anak saudara kepada Sultan Perlak yang terakhir, Sultan Makhdum Alaiddim Malik Abdul Aziz Syah Djohan Berdaulat yang berasal daripada Dinasti Djohan Berdaulat melalui sebelah ibunya.

Ketika era pemerintahan Sultan Malikus Az Zahir II yang memerintah dari tahun 1326 Masihi hingga 1348 Masihi, Kesultanan Samudera Pasai berada di zaman kegemilangannya. Ibnu Batutah pernah singgah ke negeri Samudera Pasai dalam perjalanan ke China dan mendapati Sultan Samudera Pasai amatlah berpegang teguh kepada agama dan bermazhab Syafi’e. Selain itu, Sultan juga mendampingi para ulama dalam membicarakan masalah – masalah agama. Ketika hendak menunaikan solat Jumaat, Sultan amat gemar sekali berjalan kaki ke masjid. Sultan juga menghantar para pendakwah Islam ke negeri – negeri Melayu dan sanggup membiayai untuk tujuan berdakwah.

Ibnu Batutah juga bertemu dengan dua orang ulama besar bermazhab Syafi’e yang berbangsa Parsi. Seorang dikatakan datang dari Syiraz, Iran dan seorang lagi dikatakan datang dari Isfahan, Iran. Kedua – dua mereka juga dilantik sebagai kadi bagi Kesultanan Samudera Pasai.

Kesultanan Samudera Pasai juga pernah menjadi pusat Khalifiyah Islamiyyah di Dunia Timur selepas jatuhnya kota Baghdad akibat serangan Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan pada tahun 1258 Masihi. Negeri Samudera Pasai menjadi tarikan para cendikiawan dan intelektual dari seluruh penjuru Islam sehingga Samudera Pasai menjadi kota ilmuwan Islam dan pusat penyebaran Islam. Sultan Samudera Pasai juga telah menghantar puterinya untuk berkahwin dengan Sultan Melaka yang pertama, Parameswara bertujuan untuk berdakwah kepada agama Islam. Selain itu, kerajaan Samudera Pasai menghantar Syeikh Said untuk mengislamkan Raja Patani. Ini membuktikan betapa besarnya jaya Kesultanan Samudera Pasai dalam menyebarkan agama Islam ke seluruh rantau Alam Melayu.

Rombongan Sayyid Jamaluddin Al Kubro (moyang para ulama Melayu Islam) dan Maulana Malik Ibrahim (salah satu para Wali Songo) pernah mengadakan rombongan ke negeri Samudera Darussalam telah mendapat sambutan dan penghormatan oleh Sultan Samudera Pasai dan para pembesar Melayu Samudera Pasai. Ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin, Maulana Ishaq iaitu ayahanda kepada Sunan Giri, salah seorang para Wali Songo pernah menjadi Mufti dan penasihat agama kepada Sultan. Ini membuktikan Kesultanan Samudera Pasai merupakan pusat pendidikan Islam di rantau Alam Melayu dan berjaya melahirkan tokoh – tokoh ulama besar dalam sejarah Melayu.

Setelah mangkatnya Sultan Al Malikuz Zahir II yang bijaksana, takhta kerajaan Samudera Pasai diganti oleh puteranya yang bernama Sultan Zainal Abidin. Ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin, kerajaan Samudera Pasai mula menunjukkan kemerosotan. Dikatakan Siam berjaya menculik Sultan Zainal Abidin yang ketika itu masih muda untuk menjadi tawanan di istana Siam dan terpaksalah kerajaan Samudera Pasai membayar upeti dalam bentuk “bunga emas” kepada Siam bagi menebuskan kembali Sultan Zainal Abidin.

Apabila Hayam Wuruk mengganti bondanya, Thribuwana Wijayatunggadewi sebagai Raja Majapahit yang keempat pada tahun 1350, Empayar Majapahit telah menyerang Kesultanan Samudera Pasai dan terpaksa tunduk dibawah naungan Empayar Majapahit. Faktor – faktor mendorong perluasan Empayar Majapahit termasuklah Kesultanan Samudera Pasai disebabkan Sumpah Palapa yang terkenal oleh Mahapatih Gajah Mada yang akan menyatukan seluruh kepulauan Melayu dan juga cemburu akan kejayaan dan kemajuan Samudera Pasai. Selain itu, terjadinya faktor serangan Majapahit ke atas Samudera Pasai disebabkan Sultan Ahmad Malik Az Zahir II jatuh cinta dengan puteri Majapahit, Raden Galuh Germencang yang sepatutnya menjadi calon menantunya. Oleh itu, Sultan Ahmad Malik Az Zahir II telah memerintah puteranya, Tun Abdul Jalil dibunuh. Sebelum itu, Raden Galuh Germencang juga telah jatuh cinta Tun Abdul Jalil disebabkan tertarik dengan kekacakan wajah Tun Abdul Jalil melalui potret yang ditunjukkan kepada beliau. Apabila tiba ke Samudera Pasai, Raden Galuh Germencang telah kecewa setelah mendapati Tun Abdul Jalil dibunuh lalu membunuh diri dengan terjun ke dalam laut dimana jenazah Tun Abdul Jalil juga telah dibuang ke dalam laut. Hal ini telah mendatangkan kemurkaan kepada Raja Majapahit lalu memerintah Mahapatih Gajah Mada untuk menyerang negeri Samudera Pasai.

Serangan Majapahit ke atas Samudera Pasai memaksa Sultan Ahmad Malik Az Zahir II terpaksa melarikan diri. Dikatakan selepas kemenangan Majapahit ke atas Pasai, Majapahit menjarah melalui negeri – negeri yang dilalui oleh mereka seperti Jambi, Palembang dan Pagaruyung dalam perjalanan pulang ke Tanah Jawa. Kisah ini diceritakan dalam Hikayat Raja Pasai.

Walaubagaimanapun, tentera Majapahit terpaksa berundur dari Pasai disebabkan asakan serangan mujahidin – mujahidin Samudera Pasai dan ditambah lagi dengan kekecohan yang berlaku di Keraton Majapahit. Selepas itu, Kesultanan Samudera Pasai diperintah oleh Sultanah yang bernama Sultanah Nashriyyah. Sultanah Nashriyyah dikatakan seorang Muslimah yang warak dan berbudi perkerti. Namun begitu, zaman pemerintahan Sultanah Nashriyyah berlakunya konflik antara ulama syariat yang dipimpin oleh suaminya, Malik Mustafa dan ulama sufi aliran wahdatul wujud iaitu Wazir Besar Pasai, Raja Bakoy. Raja Bakoy dikatakan kalah dalam perang saudara Pasai.

Zaman kegemilangan Kesultanan Samudera Pasai kini hanyalah tinggal kenangan dan kebangkitan Empayar Melayu Melaka yang mengambil alih pusat perdagangan di Nusantara. Walaubagaimanapun, Samudera Pasai masih lagi menjadi tempat untuk menuntut ilmu agama dimana Sultan Melaka dikatakan pernah menghantar para pembesar Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah – masalah agama.

Pada tahun 1511 Masihi, ia merupakan tahun yang gelap bagi seluruh umat di Dunia Melayu Islam dimana serangan Portugis ke atas Melaka juga telah memberi kesan kepada Kesultanan Samudera Pasai. Pada tahun 1521 Masihi, Portugis telah menyerang negeri Samudera Pasai dan berakhirnya sebuah kesultanan yang pernah menjadi pusat ilmuwan dan intelektual kepada golongan ulama dan cendikiawan Islam. Walaubagaimanapun, kebangkitan sebuah kerajaan baharu iaitu Kesultanan Aceh Darussalam yang diasaskan oleh Sultan Ali Mughayat Syah berjaya menghalau Portugis dari tanah Pasai dan negeri Samudera Pasai menjadi sebahagian daripada Kesultanan Aceh.

 

Rujukan:

1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016

2. Hikayat Raja Pasai (2016) terbitan Dewan Bahasa dan Pusaka

3. Tun Suzana Tun Haji Othman (2011), Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w & Ulama Umarak di Alam Melayu, Cresent News (K.L) Sdn Bhd.

4. Ahmad Jelani Halimi (2008), Sejarah dan tamadun bangsa Melayu, Utusan Publications, 2008 – Civilization, Malay – 412 pages

5. Hilmy Bakar Almascaty, Kerajaan Islam Pasai-Aceh Dan Peranannya Dalam Menaklukkan Kerajaan Jawa-Hindu Majapahit (Kajian Terhadap Peran Walisongo Dalam Islamisasi Jawa) https://www.scribd.com/document/12075241/KETIKA-PASAI-MENAKLUKKAN-MAJAPAHIT

6. Kesultanan Samudera Pasai, Melayu Online, http://melayuonline.com/ind/history/dig/63/kesultanan-samudera-pasai

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here