Raja-Raja Melayu Agung Segenting Kra

0
3873
views

Tuan-tuan dan puan, setakat ini, yang kita ketahui bahawa tamadun Melayu yang kita sama-sama sayangi ini sudah mencecah sekurang-kurangnya 600 SM. Angka ini djangka akan bertambah dan bertambah, menunjukkan kepada kita bahawa bangsa kita bukan bangsa picisan dalam helaian sejarah. Antara kehebatan yang ingin saya paparkan di sini ialah kisah tentang 3 raja agung yang pernah memerintah Segenting Kra dahulu, atau lebih molek kita panggilnya sebagai kerajaan Melayu Purba bernama Sri Dharmaraja.

Kerajaan agung yang dijangka berdiri seawal abad pertama masihi ini mempunyai banyak raja-raja hebat yang memerintahnya, namun cukuplah untuk setakat ini, kami perkenalkan kepada anda 3 nama yang pastinya akan membuatkan darah Melayu kalian menggelegak penuh bangga mengenangkan kehebatan mereka. Ayuh, bersama saya menelusuri pengembaraan yang penuh asyik ini.

1. Raja Sujita (1001 – 1006 Masihi) 

Raja Sujita ialah salah seorang penakluk agung dalam sejarah Melayu. Baginda dikatakan berketurunan pemerintah Srivijaya yang namanya cukup masyur dalam prasasti-prasasti asia tenggara, tetapi seolah-olah dibisukan namanya dalam helaian sejarah Melayu terutama di Malaysia. Tiada siapa di kalangan kita anak Melayu yang pernah mendengar nama Sujita kerana kita sudah selalu dimomokkan bahawa orang Melayu hanya mempunyai satu kerajaan agung sahaja di dunia, iaitu Kesultanan Melayu Melaka padahal kita sudah membina tamadun seawal 600 SM, 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa A.S dan 1100 tahun sebelum kelahiran junjungan besar kita Rasulullah S.A.W.

Ini ialah kisah bagaimana seorang raja Melayu menundukkan tiga kerajaan agung di Asia Tenggara sekaligus! Mari kita mulakan dengan sejarah awal Raja Sujitha. Rekod-rekod sejarah menceritakan kepada kita bahawa baginda pernah bertugas di dalam empayar Angkor sebagai panglima tentera Angkor sendiri seawal 962 Masihi sendiri ketika era pemerintahan Raja Rajendravarman lagi. Daripada ini, kita sendiri tahu bahawa Sujita ini bukanlah orang asing. Lagipun rekod sejarah seperti Batu Bersurat Prasat Khana yang berusia 1001 Masihi pula memberitahu kita bahawa saudara perempuan kepada Sujita ialah isteri kepada raja Jayavarman V yang pernah memerintah Angkor.

Diceritakan kepada kita dalam helaian sejarah bahawa ketika tahun 1001 Masihi, seorang raja Angkor bernama Jayavarman V telah mangkat dan ini telah mewujudkan kekosongan dalam takhta Angkor yang telah membawa kepada serangan sebuah kerajaan Mon bernama Haripunjaya yang terletak di utara Thailand ke atas kerajaan Lavo, sebuah lagi kerajaan bangsa Mon yang menjadi “vassal” (naungan) kepada Empayar Angkor dan berindak sebagai pos kawalan tentera Angkor di sebelah barat.

Di saat dua kerajaan ini sedang bersengketa antara satu sama lain, maka seorang raja Melayu bernama Sujita telah mengambil kesempatan untuk menyerang dua kerajaan yang bertelagah ini. Ianya tercatat dalam sebuah kitab lama sejarah Chiang Mai yang bernama Jinakalamali yang dikarang sekitar abad ke 16:

“Seorang raja Haripunjaya bernama Atrasataka telah menyerang Lavo, di mana Ucchittachakravatti bersemaym. Pada ketika dua kerajaan ini sedang bersedia untuk bertempur, seorang raja Sri Dhammanagara bernama Sujita telah tiba di Lavo dengan angkatan perang dan armada yang besar. Dek kerana serangan mengejut Sujita ini, dua kerajaan ini melarikan diri ke Haripunjaya.”

Haripunjaya dan Lavo kedua-duanya ialah buah kerajaan bangsa Mon yang muncul selepas kejatuhan Dvaravati sebuah kerajaan legenda Mon yang menjadi mangsa penaklukan Angkor. Apa yang menarik tentang catatan di dalam Jinkalamali ini memberitahu kita bahawa betapa besarnya martabat raja-raja Melayu ketika itu. Dua kerajaan Mon tengah bergaduh, lalu seorang raja Melayu masuk campur. Kehadiran raja Melayu itu membuatkan dua kerajaan asing itu bertempiaran lari tak cukup tanah!

Tapi nanti dulu, di sebalik kejayaan Sujita ini menawan kerajaan Lavo, sebenarnya baginda juga secara tak langsung menakluk Empayar Angkor yang luas. Ini memberitahu kita bahawa empayar orang Khmer dua kali telah ditakluk oleh orang Melayu. Pertama ketika Chenla teruk dibantai oleh Raja Dharanindra daripada Dinasti Sailendra dari Jawa Timur ketika itu. Kali kedua pula ialah di tangan Sujita sendiri. Apabila Lavo yang menjadi pusat kawalan Angkor jatuh ke tangan raja Sujita, ianya sekaligus memberi kita info bahawa seluruh Angkor jatuh ke tangan Sujita. Maka sejarah pun bercerita bahawa Jayaviravarman ialah nama yang dipilih Sujita yang bermaksud vira yang berjaya, penguasa Ligor dan Angkor.

2. Suryavarman I (1006 – 1050 Masihi) 

Selepas Chenla dilanggar oleh Dinasti Melayu Sailendra, bangsa Khmer hidup di dalam kegelapan sebelum seorang raja bernama Javayarman II yang dikatakan dibesarkan di dalam istana Sailendra telah memberontak dari Sailendra dan mendirikan Kerajaan Angkor, yang selepas ini akan dikenang sebagai salah satu daripada kerajaan agung dalam Asia Tenggara, bahkan Asia kerana kejayaan-kejayaan hebat yang dicapai oleh kerajaan purba ini seperti pembinaan Kota Angkor yang lengkap dengan sistem perbandaran yang teratur yang membawa kepada jumlah populasi 1 Juta manusia, bandar pertama di Asia yang mencapai tahap seperti itu ketika zamannya selepas kejatuhan Baghdad di tangan bangsa Monggol. Selain itu, Angkor juga terkenal dengan pembinaan Angkor Wat yang didabikkan sebagai salah satu daripada 7 Keajaiban Dunia Purba.

Tetapi tahukah kalian bahawa di sebalik semua keagungan itu, ianya hanya dimualakan pada sekitar tahun 1006 hingga 1050 Masihi di bawah pemerintahan seorang raja Melayu bernama Suryavarman yang merupakan anak kepada raja Sujita dan berdarah Khmer di sebelah ibunya yang baru sahaja saya sebutkan namanya dalam senarai no 1?

Tak-tak… bukan saya yang menyebut tentang ini sebaliknya salah seorang sejarawan Inggeris bernama Dr Quaritch Wales yang menganggap bahawa Suryavarman I ialah “Pemula Zaman Teragung Angkor”. Bahkan Suryavmarman I selalu mendapat jolokan “Penakluk Teragung Asia Tenggara.” Lihatlah betapa seorang raja Melayu menjadi seorang raja yang dijolok sebagai penakluk terhebat Asia Tenggara.

Untuk mendapt jolokan itu bukannya mudah. Suryavarman I dengan bantuan ayaghnya Raja Sujita yang ketika itu memerintah Sri Dharmaraja harus menakluk wilayah-wilayah seperti kerajaan Mon, Tanah Dataran Korat, Segenting Kra sehingga sampai jauh ke Chiengsen di utara Thailand hari ini. Kemuncak penaklukan Suryavarman I adalah seluas seperti di dalam gambar yang saya kongsikan dengan kalian dalam pautan ini ;

Luaskan empayar yang berjaya dicapai oleh Suryavarman I? Tak hairanlah kalau baginda mendapat gelaran penakluk terhebat Asia Tenggara. Tapi nanti dulu. Survavarman I bukan sahaja seorang penakluk yang hebat. Baginda lebih daripada itu. Baginda ialah seorang pemerintah yang sangat mempunyai toleransi agama yang penting.

Sebagai seorang raja Melayu yang asal-usulnya daripada Sri Dharmaraja, anutan baginda pada ketika itu ialah agama Buddha Mahayana. Orang Melayu kebanyakannya merupakan pengganut agama Buddha berbanding Hindu. Tetapi walaupun sedemikian, Suryavamarn I tidak mempunyai masalah dengan orang-orang Khmer yang diperintahnya yang kebanyakannya mengganut agama Devaraja, sejenis agama Hindu yang segala ajarannya sudah bercampur sudah bercampur dengan ajaran agama asal orang Khmer sendiri.

Bahkan jasa paling besar Suryavarman I ialah dengan membangunkan bahagian barat Tasik Ton Le Sap yang merupakan tasik terbesar di Asia Tenggara. Baginda telah membangunkan yayasan-yayasan keagamaan dan memberikan tanah kepada yayasan agama ini untuk membangunkan mmonasteri dan kuil-kuil sebagai tempat belajar agama dan sembahan. Apabila monasrteri ini dibangunkan, secara tak langsung kawasan disekitarnya akan membangun. Kampung-kampung akan wujud. Maka apabila kampung-kampung wujud, maka sistem saliran terbaik harus dibangunkan untuk mengairi tanaman di sekitar kampung.

Kemuncaknya, Suryavarman I telah membangunkan sebuah tasik buatan sendiri yang seluas 7.8 X 2.1 KM. Tasik ini dipanggil sebagai West Baray. Tasik buatan sendiri ini mengandungi 123 juta liter air. Tasik ini telah berfungsi sebagai pengairan kepada tanaman, pengakutan bahkan dibina penuh dengan falsafah Hindu-Buddha yang menjadi anutan Empayar Angkor yang diperintahnya.

Tetapi selain daripada West Baray, Suryavarman I turut membina binaan yang penuh mengagumkan dunia yang kini menjadi rebutan antara Kemboja sehingga meletusnya konflik perang antara dua negara ini iaitu Preah Vihear!

Saya petik kata-kata daripada L.P Briggs yang sangat menyanjung ketokohan Suryavarman I:

“Pada keseluruhannya, dalam kemahirannya sebagai seorang pahlawan, pengatur dan pemerintah, sikap toleransinya, tabiatnya mengumpulkan penasihat-penasihat yang berilmu dan luas pandangan, sikapnya menggalakkan kesenian dan seni binanya, langkahnya memajukan kepentingan awam, maka tidak syak lagi baginda salah seorang daripada Maharaja Angkor yang teragung.”

3. Chandrabanu Dharmaraja (1230 – 1263 Masihi) 

Kalau ditanyakan kepada saya, siapakah raja-raja Melayu dalam sejarah yang saya kira berjiwa singa dan seorang berani, pastinya nama Chandrabanu Sri Dharmaraja ialah orangnya. Baginda pernah menyerang Sri Lanka pada tahun 1247 Masihi untuk mencari relik Buddha yang bernama Pra Shing yang dianggap mempunyai mukjizatnya tersendiri daripada kerajaan Sri Lanka. Ini dicatatkan dalam riwayat sejarah Sri Lanka, Hatthavanagallaviharavamsa sendiri yang menyebut:

“Seekor singa yang tidak terkalahkan di atas gajah yang gagah, yang di mana sang singa ini adalah raja untuk banyak negara lain, yang telah mempamerkan kepada dunia khidmatnya yang tidak terbalas pada dunia dan agama, yang mempunyai kekuatan angkata tentera yang hebat, yang mempunyai tekad untuk menawan kerajaan asing Lanka (Sri Lanka atau Ceylon), yang datang daripada sebuah kerajaan bernama Tambalinga dan ditemani oleh raja-raja daerah.”

Baginda cuba menakluk seluruh pulau tersebut namun dihalang oleh tentera kerajaan Sri Lanka sendiri yang diketuai oleh Putera Virabahu,anak saudara kepada raja Parakramabahu II.

Dalam pertempuran antara tentera Chandrabhanu dan tentera Dambedeniya (Sri Lanka), tentera Dambedeniya berjaya mengatasi serangan panah beracun dari askar Javaka dan berjaya menghapuskan ancaman Chandrabhanu dan tentera panah beracunnya dari mara ke Dambedeniya.

Dalam catatan Sri Lanka, tentera Melayu dari Tambralingga tersebut dikenali sebagai Javakas atau Malalas. Javakas dan Malalaas adalah gelaran dan panggilan orang Sri Lanka kepada orang Melayu. Sebaik sahaja berjaya memiliki utara Sri Lanka, Candrabhanu telah membina kembali dan memperiabiki kuil-kuil Buddha yang rosak di Sri Lanka.

Namun sayangnya tidak lama kemudian, kerajaan utara Candrabhanu telah diserang pula musuh dari Selatan India iaitu kerajaan Pandya dan Candrabhanu sendiri memimpin tentera untuk membantu anaknya yang menjadi gabenor di Sri Lanka. Namun sayangnya, angkatan tentera Candrabhanu ditewaskan dan Candrabhanu sendiri terkorban dalam pertempuran dengan tentera Pandya.

GAMBAR MEMAPARKAN KEPADA KITA GAMBARAN PALING DEKAT KEPADA PEMAKAIAN RAJA-RAJA ANGKOR KETIKA ITU.

Rujukan:

1. Raja Mohd Affandi (1974). Tokoh-Tokoh Melayu Agung Dalam Sejarah. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

2. Cik Srikandi (2015). Emas Para Dapunta Dan Maharaja. Terfaktab Fine

3. Michel Jacq-Hergoualc’h (2001). The Malay Peninsula: Crossroads of the Maritime Silk-Road (100 Bc-1300 Ad). Brill.

4. Lem Chuck Moth (2014). Sri Dharmaraja Laman Web Meru Heriitage (http://www.meruheritage.com/Sridhamaraja.html)

5. Lem Chuck Moth (2015). Srivijayan Connection. Laman Web Meru Heritage (http://www.meruheritage.com/SriVijaya.html))

-HE-

Comments

comments

Previous articleMembetulkan Mitos Tentang ECRL
Next articleBad Genius: Bila Meniru Dalam Peperiksaan Di-romanticize-kan Dalam Filem
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here