Meneroka Tema Musim Pertama Agents of Shield

0
575
views

Semua orang mengetahui tentang Marvel Cinematic Universe (MCU) dari filem Iron Man (2008), perintis kepada permulaan dunia fiksyen ini hinggalah filem terbaru yang ditayangkan di pasaran, Guardians of the Galaxy Vol. 2. Dan selain filem, Marvel melalui produksi televisyennya, Marvel Television turut menerbitkan drama-drama berkualiti seperti Agents of SHIELD (ABC) dan Daredevil (Netflix). Bagi peminat filem, SHIELD bukan saja penghubung tentang apa yang berlaku dalam filem tetapi juga turut mempengaruhi apa yang berlaku selepasnya.

Contohnya, pengenalan Avengers Initiative oleh bekas pengarah SHIELD, Nick Fury dalam Iron Man yang membawa kepada pembentukan Avengers. Tetapi dalam artikel pertama ini, mari kita teroka lebih lanjut tema dan persoalan berkenaan SHIELD dalam filem dan musim pertama Agents of SHIELD.

1. Jangan cuba mencabar kekuasaan Tuhan

Seperti mana kita semua tahu, ejen SHIELD kegemaran ramai, Phil Coulson mati ditikam Loki dalam filem The Avengers dan dihidupkan semula oleh Fury menggunakan Projek T.A.H.I.T.I. Walaupun niat Fury ikhlas iaitu memberi peluang kedua kepada ejen tersebut untuk terus berkhidmat dan menjalani kehidupan seperti biasa, harga yang dibayar terlalu mahal. Ada sebab mengapa Tuhan meletakkan batas-batas dalam kehidupan. Sekiranya batas tersebut dilanggar, ia bukan saja mencetuskan konflik moral tanpa kesudahan, malah ia akan mengundang lebih banyak permasalahan dari segi etika, perundangan, kesihatan dan sebagainya. Dan jika perlakuan tersebut dilihat memberi manfaat yang bersifat jangka panjang, manusia akan jadi tamak dan mahukan semuanya tanpa memikirkan kesan kepada diri dan orang lain. Dan siapa sangka, selain Fury, seorang lagi ejen bernama John Garrett mahukan projek tersebut untuk menyembuhkan beliau daripada penyakit yang dialaminya. Memang beliau sembuh tapi jadi gila pada akhirnya kerana dihantui simbol-simbol dalam kepala, sama seperti dialami Coulson dan pesakit-pesakit T.A.H.I.T.I lain.

Figure 1: Coulson menjadi mangsa TAHITI walaupun niat Fury baik pada asalnya: Sumber: http://comicbook.com/2017/04/07/agents-of-shield-what-if-season-one-tahiti-project/

2. Jangan pandang umur satu halangan

Satu perkara menarik yang dilakukan Coulson semasa merekrut ahli pasukannya ialah dengan mengambil beberapa orang muda sebagai pakar dalam bidang mereka. Mereka ialah Jemma Simmons (pakar biologi/doktor perubatan), Leopold Fitz (jurutera) dan Daisy ‘Skye’ Johnson (penggodam). Walaupun ramai yang skeptik dengan pemilihan mereka bertiga sebagai ahli pasukan terutama membabitkan soal umur, pengalaman dan rekod jenayah, itu tidak menghalang mereka menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai ejen lapangan SHIELD. Dan ini seharusnya menjadi inspirasi terutama kepada golongan muda di luar sana bahawa umur bukan halangan kepada mereka untuk berjaya.

Lihat saja orang-orang berjaya di luar sana seperti Bill Gates (Microsoft), Steve Jobs (Apple) dan Elon Musk (Tesla). Mereka mungkin jutawan pada ketika ini tetapi mereka juga seperti anda, cuma orang biasa semasa mengorak langkah membina empayar mereka. Umur hanyalah angka jika dibandingkan dengan usaha dan keazaman anda untuk mencapai sesuatu matlamat. Tanpa keazaman dan kesungguhan, makanya apa saja anda usahakan akan gagal dan siapa yang gunakan umur sebagai alasan sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri. Keberanian Coulson merekrut mereka berbaloi kerana mereka bertiga banyak membantu menyelesaikan krisis SHIELD untuk jangka masa panjang seperti konflik dengan HYDRA dan pemimpin pemberontak Inhumans, Hive.

Figure 2: Kehadiran ejen-ejen muda seperti Fitz. Simmons & Skye memberi nafas baru kepada SHIELD. Sumber: https://www.bustle.com/articles/40952-agents-of-shield-season-1-recap-will-debrief-you-just-in-time-for-a-more-promising

3. Pengaruh mentor mempengaruhi pembangunan sahsiah diri

Dalam musim pertama SHIELD, semua mengetahui hubungan rapat Coulson-Daisy sebagai mentor-protege dan perkara yang sama boleh dilihat antara Grant Ward-Garrett. Cuma bezanya di sini, haluan yang dibawa dua mentor ini berbeza di mana Coulson berjaya mendidik Daisy sebagai ejen lapangan SHIELD sementara Garrett menjadikan Ward sebagai ejen HYDRA yang digeruni. Mentor ini bagus kerana mereka boleh memberi nasihat dan panduan yang baik dalam kehidupan. Tetapi pilihlah mentor yang benar-benar membawa kita ke arah kebenaran, bukan ke arah kemusnahan. Ini kerana mentor sebegini hanya melihat protege mereka sebagai alat sahaja untuk mencapai matlamat mereka dan akan meninggalkan kita bila tujuan tersebut sudah dicapai. Dan apa yang dilakukan Garrett sangat mendalam kepada Ward sehinggakan dia sudah tidak mampu membezakan baik atau buruk semasa bersamanya kerana terlalu setia dengan mentor lamanya. Antara tindakan Ward yang mengejutkan pada musim tersebut ialah pembunuhan Victoria Hand (penyelia The Hub), Eric Koenig (penyelia Providence) dan cubaan bunuh ke atas Fitz dan Simmons.

Figure 3: Pengaruh jahat Garrett ke atas Ward menyebabkan Ward tidak tahu membezakan kawan atau lawan. Sumber: https://www.pinterest.com/pin/400398223094858001/

4. Organisasi lemah bila dipengaruhi elemen rasuah, penyelewengan dan pengkhianatan.

Satu lagi aspek menarik untuk musim pertama Agents of SHIELD ialah pendedahan kewujudan HYDRA dalam kalangan ejen dan pegawai SHIELD. Perkara ini disebut secara kerap dalam Captain America: The Winter Soldiers di mana konflik antara Fury dan Steve Rogers (Captain America) dengan ejen-ejen HYDRA diketuai oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Dunia, Alexander Pierce. Sementara musim pertama memfokuskan kepada konflik antara pasukan Coulson dan puak HYDRA yang diketuai Garrett.

Persamaan kedua-duanya ialah ejen-ejen ini dapat menyusup masuk secara rahsia disebabkan masalah rasuah, penyelewengan dan pengkhianatan. Dan elemen sebegini yang harus dibanteras dari akar umbi sebelum ia menjadi kanser yang memusnahkan mana-mana organisasi sama ada kerajaan, parti politik, entiti korporat dan sebagainya. Ini kerana elemen-elemen ini bukan saja melemahkan keupayaan sesebuah organisasi untuk bertindak malah ia sebenarnya boleh menyumbang kepada kejatuhan organisasi tersebut. Bukan itu saja, elemen-elemen sebegini menyebabkan kredibiliti sesebuah organisasi hilang begitu saja dan menyukarkan peluang mendapat kepercayaan ramai pihak dari masyarakat awam hingga agensi-agensi kerajaan. Walaupun berjaya mengalahkan puak HYDRA yang dipimpin Garrett, tetapi Coulson dan saki-baki ejen dan pegawai SHIELD yang masih ada terpaksa berhadapan dengan kritikan dan tekanan dari pihak luar seperti pihak Tentera US yang dipimpin Brigadier Jeneral (dahulu Kolonel) Glenn Talbot.

Figure 4: Kerana dendam kesumat, Garrett sedia berkhidmat dengan HYDRA sekiranya ia membantu memusnahkan SHIELD yang dianggap korup. Sumber: https://comicvine.gamespot.com/forums/battles-7/agents-of-shield-battle-john-garrett-vs-skyedaisy-1732729/

5. Pemimpin yang baik sentiasa bersedia untuk peralihan kuasa.

Pada akhir musim pertama, Fury membuat kejutan dengan membantu pasukan Coulson mengalahkan puak HYDRA pimpinan Garrett dan menyelamatkan Simmons dan Fitz dari lemas di lautan. Dan sebelum beliau menghilangkan diri, beliau mendedahkan sebab sebenar Coulson dihidupkan semula melalui T.A.H.I.T.I: untuk terus mengetuai SHIELD kerana sedar SHIELD masih diperlukan dalam menangani ancaman sama ada dari luar atau domestik walaupun sudah ada kumpulan adiwira seperti Avengers. Dan ini satu kualiti yang harus dimiliki seorang pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik, walau sehebat mana beliau di medan perang, dalam bilik lembaga pengarah atau di atas padang, sedar bukan selamanya beliau akan kekal sebagai orang yang berkuasa.

Selain itu, pemimpin yang baik sentiasa bersedia dengan menyediakan generasi pelapis yang bukan saja boleh memimpin tetapi juga memastikan perjalanan organisasi terus berjalan lancar selepas beliau pergi. Dan ini yang dilakukan oleh Fury kerana Fury mahukan orang yang beliau percaya dan ada bakat kepimpinan yang hebat untuk meneruskan kesinambungan SHIELD sebagai perisai kepada orang-orang yang tidak berdosa dan pedang untuk mencantas sebarang ancaman kepada dunia sama ada dari luar atau dalam. Dan orang tersebut ialah Coulson walaupun ada yang tidak bersetuju dengan pilihan Fury. Ini akan diulas dalam bahagian kedua.

Figure 5: Fury seorang pemimpin berkarisma. Tetapi dia juga sedar SHIELD perlukan seorang pemimpin untuk meneruskan aspirasi perjuangannya. Dan beliau sedar, Coulson orang paling sesuai mengisi jawatan tersebut.

Sebagai kesimpulan, musim pertama Agents of SHIELD memperlihatkan kekuatan agensi tersebut bukan saja semasa berada di puncak kegemilangannya tetapi juga semasa ia cuba bangkit semula setelah pendedahan HYDRA yang memusnahkan agensi dalam menjalankan peranan sebagai pedang dan perisai kemanusiaan dalam MCU. Bukan mudah bagi orang-orang seperti Coulson menjalankan peranan mereka sebagai ejen tetapi pada mata penonton, mereka juga sebenarnya adiwira seperti adiwira-adiwira lain seperti Iron Man, Hulk dan Captain Amerika.

Comments

comments

Previous articleFalsafah Dan Pendirian Seni Lakon Nordin Ahmad
Next articleKita Teruk Dijajah China Selepas 60 Tahun Merdeka?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here