Datuk Temenggung Abang Mersal Bin Datu Abang Ambil, Tokoh Pemimpin Melayu Perabangan di Sarawak

0
1058
views
Gambar sekadar hiasan

Datuk Temenggung Abang Mersal Bin Datu Abang Ambil merupakan antara tokoh – tokoh Melayu Sarawak terkenal dan hidup sezaman dengan Datuk Patinggi Abang Ali, Datuk Bandar Abang Rancah dan Datuk Bandar Abang Bolhassan. Datuk Temenggung Abang Mersal juga merupakan berasal daripada keturunan Datuk Merpati Jepang melalui keturunan Pateh Senggona iaitu Temenggung Melayu Sarawak yang pertama dan juga anak kedua kepada Datuk Merpati Jepang. Manakala daripada sebelah ibu Datuk Temenggung Abang Mersal pula iaitu Dayang Bagus Binti Pengarah Moh atau Datuk Moha’ yang merupakan anak kepada bangsawan Minagkabau dari negeri Pagaruyung dan berhijrah ke negeri Sarawak. Datuk Temenggung Abang Mersal juga mempunyai dua orang isteri iaitu Dayang Bunsu Binti Datu Temenggung Ladan dan Dayang Daun (Raduan).

Daripada isteri pertama beliau iaitu Dayang Bunsu Binti Datu Temenggung Ladan juga mempunyai tiga orang anak iaitu Abang Haji Mohamad, Datu Abang Pata dan Dayang Minda. Manakala daripada isteri kedua beliau iaitu Dayang Daun (Raduan) mempunyai lima orang anak iaitu Dayang Kalipah, Dayang Alam, Datuk Temenggung Matasan, Datin Hajah Dayang Mariam dan Dayang Halimah. Diantara anak – anak Datuk Temenggung Abang Mersal, Datu Abang Pata dan Datuk Temenggung Abang Matassan yang paling menonjol dan antara tokoh – tokoh pemimpin Melayu Perabangan di Sarawak.

Salasilah Datu Abang Pata merupakan simpanan oleh penulis dan penulis juga merupakan keturunan Datu Abang Pata bin Datuk Temenggung Abang Mersal.

Peranan Datuk Temenggung Abang Mersal di dalam struktur pemerintahan Datu di Sarawak adalah menjaga keamanan dan mentadbir golongan rakyat. Beliau juga merupakan panglima yang tertinggi di Sarawak dan wakil pemerintahan Brunei di wilayah Sarawak. Pusat pemerintahan Datuk Temenggung Abang Mersal berada di Pulau Talang – talang dan Lundu. Beliau juga dikatakan rapat dengan kerabat diraja Kesultanan Melayu Sambas. Ini berdasarkan surat Burns kepada Stamford Raffles mengatakan Pangeran Samewda yang merupakan kerabat diraja Sambas telah menyerang kapal British yang lalu dekat Pulau Satang yang tidak jauh daripada Pulau Talang – Talang. Ini menyebabkan British telah bertindak menyerang Sambas dan pihak British juga berpendapat Pangeran Samewda (Sambas) telah dibantu oleh penguasa di daerah tersebut tidak lain bukan Datuk Temenggung Abang Mersal. Stamford Raffles juga percaya kawasan disekitar pemerintahan Datuk Temenggung Abang Mersal iaitu Pulau Talang – talang dan Lundu juga tempat selalu menjadi ancaman para lanun terutamanya dari Sambas.

Ketika pemberontakan Datu Patinggi Abang Ali dan kaum Melayu Sarawak terhadap Pangeran Indera Mahkota Muhammad Salleh yang berlaku pada tahun 1830 – an. Datuk Patinggi Abang Ali dan orang Melayu Sarawak pada ketika itu tidak berpuas hati dengan Pangeran Indera Mahkota disebabkan kerana sistem cukai yang membebankan dan Pangeran Indera Mahkota dan Datu – datu di Sarawak juga kehilangan kuasa autonomi dan serta tugas memungut cukai yang menjadi sumber pendapatan mereka. Selain itu, Pangeran Indera Mahkota Muhammad Salleh juga bertindak dengan zalim dengan memaksa penduduk tempatan termasuk kaum Bidayuh untuk melombong antimoni.

Rajah Sarawak yang pertama, James Brooke

Gambar merupakan potret James Brooke

Mungkin sudah ditakdirkan, James Brooke telah tiba ke Sarawak dan Pangeran Muda Hashim telah menawarkan beliau menjadi Gabenor Sarawak jika berjaya menumpas Datuk Patinggi Abang Ali dan pengikut – pengikut beliau. Namun begitu, janji Pangeran Muda Hashim kepada James Brooke gagal ditunaikan dan ini menyebabkan James Brooke marah dan menyerang bandar Kuching. Pada ketika itu juga, Datuk Patinggi Abang Ali telah menghantar Datuk Temenggung Abang Mersal yang turut terlibat dalam pemberontak kepada James Brooke untuk menjadi Rajah Sarawak. Walaubagaimanapun ketika kekalahan Datu – datu Sarawak ditangan Brunei dengan bantuan Brooke, Datuk Temenggung Abang Mersal dan Datuk Patinggi Abang Abdul Ghaffur telah melarikan diri ke Sambas dengan memohon perlindungan Sultan Sambas. Apabila James Brooke berjaya dilantik sebagai Rajah Sarawak pada tahun 1841 barulah Datuk Temenggung Abang Mersal dan Datuk Patinggi Abang Abdul Ghaffur kembali ke Sarawak.

Pada tahun 1841, James Brooke telah dilantik sebagai Rajah Sarawak oleh Pangeran Muda Hashim sebagai wakil Sultan Brunei dan satu perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua – dua pihak dimana James Brooke berjanji untuk memelihara dan menghormati adat istiadat orang Melayu buat selama – lamanya di Sarawak dan negeri Sarawak merupakan jajahan Sultan Brunei, Pangeran Muda Hashim dan raja – raja Melayu.

James Brooke telah melantik Datuk Temenggung Abang Mersal di dalam barisan kabinet kerajaan Sarawak bersama – sama dengan Datuk Patinggi Abang Ali, Datuk Bandar Abang Ranca, Muhammad Lana, Datuk Patinggi Abang Abdul Ghafur dan Pangeran Matusin. Ini adalah sedikit sebanyak mengenai Datuk Temenggung Abang Mersal bin Datuk Abang Ambil yang merupakan sebahagian tokoh – tokoh pemimpin Melayu Perabangan di Sarawak

Sumber:

1. Sanib Said (2013), Melayu Sarawak: Sejarah Sarawak Yang Hilang, Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak.

2. J.H Walker (2005), Ideologies of Authority: State and Society in Nineteenth – Century Sarawak, University of New South Wales, ARSR 18.2(2005): 151-177
ISSN: 1744-9014.

3. Awang Asbol (2015), Persejarahan Brunei, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 20 May 2015 – Education – 152 pages

4. Arkib Negara Malaysia (2009), JAMES BROOKE DILANTIK SEBAGAI ‘RAJAH SARAWAK’, http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=4076

5. Jeniri Amir, Asal – usul Melayu Sarawak: Menjejaki Titik Tidak Pasti, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak.

6. Awang Azman Pawi, PhD (2014), Wajah Melayu Sarawak: Rampaian Ilmu Budaya, Kursi Nusantara, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak.

7. Salasilah Keluarga Dato Abang Pata oleh Abang Anuar Juani, Aliman Bin Majid, Haji Adeng Bin Mohsen, Haji Su’ut Jeri, Abang Julai Amin dan Abang Ali Sepawi.

8. Larsen, Ib. “The First Sultan of Sarawak and His Links to Brunei and the Sambas Dynasty, 1599-1826: A Little-known Pre-Brooke History.” Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 85.Part 2 (2012).

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here