Ahmad Mahmood Tidak Pernah Tikam P. Ramlee

0
6990
views
P. Ramlee (kiri) bersama Ahmad Mahmood di dalam filem Hang Tuah (1956). Sumber gambar: Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

“Saya mengakui ada perkara yang saya tidak bersetuju dengan P. Ramlee. Saya mengkritik beliau secara terang-terangan, tetapi saya tidak pernah menafikan sumbangan beliau di dalam industri perfileman. Saya tidak mahu bersikap baling batu sembunyi tangan seperti segelintir ‘manusia’ yang mengaku sahabat sesudah P. Ramlee meninggal dunia.”

Di dalam sejarah perfileman Melayu, ramai yang tidak mengetahui tentang hubungan antara seniman Ahmad Mahmood dengan P. Ramlee yang agak dingin. Sekitar tahun 1980-an, Ahmad Mahmood pernah menolak undangan untuk menjadi panel dalam sebuah program Senandung Seniman Agung. Hal ini berikutan Ahmad Mahmood tidak mahu menjadi manusia hipokrit dalam memberi kenyataan tentang P. Ramlee.

Ada pihak yang meminta Ahmad Mahmood memberikan komen tentang bakat P. Ramlee. Ahmad Mahmood akan berkata, “Bagi saya, P. Ramlee itu hanya manusia biasa saja. Tidak ada yang ‘special’ tentang dirinya seperti anggapan sesetengah pihak yang tidak tahu tentang P. Ramlee. Orang-orang yang tidak tahu akan menganggap P. Ramlee itu sebagai seorang yang agung terutama sekali dalam bidang muzik. Padahal nama P. Ramlee naik dan hidup adalah bersandarkan bakat dan kebolehan orang lain juga”.

Jika merujuk kenyataan Ahmad Mahmood di atas, terbukti bahawa beliau sangat jujur dan ikhlas dalam memberi kenyataan ataupun pandangan beliau terhadap P. Ramlee. Beliau menolak undangan itu kerana enggan membohongi anak cucunya apabila bercakap tentang P. Ramlee.

Kita boleh lihat bahawa beliau bercakap benar, tidak seperti segelintir ‘manusia’ yang mengangkat dan mengaku sahabat kepada P. Ramlee setelah beliau meninggal dunia walhal ‘manusia’ itulah yang menikam P. Ramlee ketika beliau masih hidup.

Berbalik kepada hubungan Ahmad Mahmood dengan P. Ramlee tadi, P. Ramlee tahu akan perihal Ahmad Mahmood tidak berapa menyukai dirinya. Akan tetapi, P. Ramlee masih mengambil Ahmad Mahmood berlakon di dalam filem-filem arahannya seperti Seniman Bujang Lapok (1961), Ibu Mertua Ku (1962) dan Nasib Si Labu Labi (1963).

Walau bagaimanapun, Ahmad Mahmood tidak pernah menafikan sumbangan P. Ramlee terhadap masyarakat. Beliau berkata, “Mana mungkin saya melupakan dan tidak mengakui jasa P. Ramlee kerana beliau pernah berlakon dengan saya di dalam beberapa buah filem. Bakatnya yang menyeluruh belum dapat ditandingi oleh artis-artis lain sekarang”.

Semasa P. Ramlee hendak berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau sempat bertemu dengan Ahmad Mahmood untuk mengucapkan selamat tinggal serta bersalaman dan berpelukan dengannya. P. Ramlee sempat berkata, “Mad, kau adalah kawan baik aku kerana kejujuranmu kepadaku”.

Apa yang yang boleh dirumuskan melalui peristiwa itu adalah P. Ramlee bukanlah seorang yang suka berdendam. P. Ramlee boleh melihat keikhlasan serta kejujuran yang ada pada Ahmad Mahmood terhadap beliau. Tidak seperti segelintir manusia yang hanya pandai menokok tambah cerita untuk menjadikan cerita itu kelihatan hebat. Secara tidak langsung, ia dapat membuktikan bahawa kononnya mereka itu adalah sahabat baik kepada P. Ramlee.

Sumber:

1. Kelab FIlem & Muzik Melayu Klasik

2. Ahmad Mahmood: Bintang Di Langit Seni – Mohamad Saleeh Rahamad (FINAS, 2010)

3. P. Ramlee: Erti Yang Sakti – Ahmad Sarji (MPH Publishing, 2011)

4. P. Ramlee: The Bright Star – James Harding & Ahmad Sarji (MPH Publishing, 2011)

5. Dato’ Ahmad Fauzee Samad

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here