Al-Quds, Siapa Yang Lebih Berhak Ke Atasnya?

0
1502
views

Bila berbicara soal hak terhadap sesebuah Negara, tidak boleh lari daripada perbincangan sejarah yang terdapat di tempat tersebut. Dengan memahami sejarah tersebut, kita akan dapat mengenalpasti siapa yang paling layak memiliki kawasan tersebut. Apa yang pasti, perebutan Kota Al-Quds (Jurusalem) berlaku di antara tiga agama samawi; iaitu islam, nasrani (Kristian) dan yahudi. Namun, melihat pada situasi hari ini, kita akan dapati perbalahan dan peperangan yang berlaku lebih tertumpu kepada penganut agama islam dan agama yahudi walaupun penganut agama Kristian juga tidak kurang ramainya di sana.

Nabi Ibrahim, Siti Sarah dan Luth

Soal sejarah di tanah Palestin, Judae dan Israil ini tidak lengkap kalau kita tidak mulakan dengan Sejarah bapa segala bangsa ini. Nabi Ibrahim a.s. dikatakan induk kepada banyak bangsa utama di dunia ini melalui isteri-isteri baginda iaitu Siti Sarah (Sarah), Siti Hajar (Hagar) dan Siti Qanturah (Ketura). Nabi Ibrahim merupakan anak jati Gebeil atau kita kenali sebagai Babilon Kuno dan isteri pertamanya iaitu Sarah juga berasal daripada Kota Babilon. Bersama-sama mereka ialah anak saudara Nabi Ibrahim a.s. yang bertaqwa iaitu Nabi Luth (Lot) a.s. Hanya mereka bertiga sahaja yang beriman. Selepas pelbagai peristiwa mengajak umatnya di Kota Babilon tidak berjaya, di samping baginda pernah dicampakkan ke dalam lautan api yang tidak bertepian, yang sangat ganas membakar dengan lidah-lidah api yang setinggi gunung oleh penguasa kejam yang menganggap dirinya sebagai tuhan iaitu Raja Namrud atau Nimrod atau Osiris.

Namun, dengan kuasa Allah swt Yang Maha Agung, api tidak sedikitpun membakar Nabi Ibrahim malahan memberikan suhu yang sangat nyaman bagi baginda Nabi Ibrahim a.s.
Walau pelbagai mukjizat diperlihatkan, umat baginda di Babilon tidak juga mahu beriman, termasuklah bapanya sendiri. Lantas Nabi Ibrahim a.s dan isteri baginda Sarah keluar dari kota Babilon ke tempat lain bagi menjayakan misi dakwah baginda. Sejarah awal terjadinya bangsa yahudi itu sendiri membuktikan bahawa yahudi ini tidaklah berasal daripada tanah Palestin, tetapi berasal daripada Kota Babilon, dengan Kaum asalnya iaitu Kaum Kan’an. Maka, tuntutan tanah Al-quds kepada Bangsa Yahudi tidak tepat sama sekali. Baginda Nabi Ibrahim dan Sarah berdakwah pula di Daerah Nablus, dalam Negeri Syam (Palestin hari ini). Namun, terjadinya bencana kebuluran dan kos sara hidup yang terlalu tinggi di Nablus memaksa baginda dan isteri berhijrah pula ke Mesir.

Di Mesir, isteri baginda iaitu Sarah yang cantik itu diingini oleh Firaun yang terdapat di sana ketika itu. Namun, setelah memperlihatkan keajaiban dan bukti kerasulan Nabi Ibrahim a.s., Firaun tersebut terasa malu dan menghadiahkan Hagar, seorang Puteri Raja (Ada pendapat mengatakan hamba atau gundik) untuk Nabi Ibrahim a.s. Melihatkan dirinya yang tidak dikurniakan anak, Sarah mengahwinkan Ibrahim dengan Hagar, dan akhirnya Hagar berjaya melahirkan anak yang dinamakan sebagai Ishmael. Atas perintah Allah Azza Wa Jalla, Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan Nabi Ishmael a.s. yang masih kecil bersama Hagar di Mekah, sebuah kawasan tandus yang sangat kering ditengah-tengah gurun Hijaz. Baik kita tinggalkan dahulu kisah Nabi Ishmael dan Hagar ini di Jazirah Arab.
14 Tahun kemudian, di atas izin Allah, maka Sarah pula melahirkan anak lelaki pada usia masing-masing menjangkau usia 100 tahun. Anak tersebut yang diberi nama Ishak, yang menjadi penerus zuriat mereka akan melahirkan kaum yang paling banyak disebut dalam Al-quran.

Ishak, Yaakub dan Bani Israel.

Nabi Ishak a.s (Isaac), anak kepada Nabi Ibrahim a.s. berkahwin dengan Rifqo binti Batwail dan melahirkan anak kembar iaitu ‘Aishu dan Yaakub. Daripada Yaakub, lahirlah 12 orang anak yang mewujudkan 12 bangsa yahudi. Nama Israel ini didapati daripada nama Nabi Yaakub a.s. yang bermaksud, orang yang berjalan malam. Nabi Yaakub a.s. memang suka berjalan malam dan membuat persiapan untuk dakwahnya pada siang hari. 12 orang anak baginda ialah Ruwaibil, Syam’un, Luwa, Yahudza, Isakhar, Zailun, Yusuf, Bunyamin, Dan, Naftli, Had dan Asyir. Anak yang paling disayangi oleh Nabi Yaakub ialah Yusuf. Perkara ini sangat dicemburui oleh abang-abangnya yang lain. Akhirnya Yusuf dibuang ke dalam sumur oleh abang-abangnya dan Yusuf ditemui oleh para musafir, lantas dijadikan barang dagangan. Yusuf kemudiannya dibeli oleh Penguasa Mesir dan isterinya, Siti Zulaikha dengan harga 20 dirham. Di Mesir, selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, akhirnya Nabi Yusuf a.s. berupaya memperolehi kejayaan di Mesir dan mengajak ayahnya serta adik-beradik 12 orang ke Mesir. Maka permulaan tumbuhnya masyarakat Bani Israil atau beragama Yahudi ialah bermula di Mesir. Tidak ada kaitan lagi dengan Palestin kerana mereka telah berhijrah ke sana.

Penduduk Asal Palestin

Jika Bani Israil sudah berhijrah ke Mesir, siapa pula penduduk asal Palestin? Kaum-kaum yang terdapat di Palestina pada masa tersebut ialah al Haitsaniyin, al Fazariyin dan al Kan’aniyin iaitu bangsa-bangsa Pheonician yang menjadi pewaris Negeri Syam sampailah ke hari ini. Merekalah pewaris bangsa Arab Palestin yang lebih dekat rumpunnya dengan Orang-orang di Lubnan dan Iraq daripada orang yahudi sendiri. Nah, sekarang siapakah pemilik asal tanah Palestin jika disusuri sejarah sejauh dan sezaman dengan Nabi Ibrahim ataupun sejauh Nabi Hud lagi? Atau yang paling hampir ialah Kaum Nabi Luth yang berhampiran dengan Laut Mati? Bangsa asal yang mendiami kawasan tersebut ialah bangsa yang bergabung antara Tamadun Mesir dan Tamadun Babilon yang melahirkan pelbagai keturunan Arab hari ini.

Bani Israil, Nabi Musa dan Pharaoh (Firaun)

Jika kita mahu menyusuri sejarah Tanah Palestin, kita mesti mengkaji sejarah penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi dari Mesir ke Tanah Palestin bersama-sama dengan Nabi Musa a.s., Nabi dan Rasul Ulul Azmi yang dikurniakan Kitab Taurat untuk pedoman kepada Kaum Bani Israil yang degil dan cepat ingkar daripada tali-tali Allah.

Daripada keturunan Yaakub tadi, lahirlah Bani Israil yang menduduki Mesir sebanyak 12 etnik kaum yahudi, dengan yahuda mempunyai paling ramai keturunan. Ketika Mesir muncul sebagai tamadun hebat, dan Pharaoh yang sebangsa dengan bangsa Arab hari ini membunuh kanak-kanak lelaki bani Israil kerana terdapat ramalan yang lelaki bani israil akan melawannya dan menjatuhkannya dari takhta kebesaran. Dalam kekejaman kuku besi Pharaoh yang menganggap dirinya tuhan, ditakdirkan Allah membesarnya Nabi Musa a.s. di dalam istana Pharaoh yang akan mengakhiri kekejaman Pharaoh itu sendiri. Pada zaman tersebut, bangsa Mesir (yang akhirnya menjadi bangsa Arab Mesir dan Levant) di bawah Pharaoh menjadikan Bani Israil sebagai hamba dan barang dagangan, diletakkan tempatnya yang terendah dalam masyarakat di Mesir, walhal Datuk mereka (Nabi Yusuf a.s.) merupakan penguasa Mesir yang hebat. Bani Israil ditindas dan dibunuh dengan kejamnya oleh Pharaoh. Akhirnya, Nabi Musa a.s. dan sepupunya Nabi Harun a.s. beserta Kakak Nabi Musa a.s. yang bernama Miriam (ini bukan ibu kepada Nabi Isa a.s.) berjuang membebaskan kaum Bani Israil daripada kekejaman Pharaoh yang mengaku dirinya Tuhan. Setelah beberapa siri dakwah dan beberapa siri kesesatan Bani Israil (Kisah Samiri dan lembu emas menguak dsbnya), yang beriman dengan agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. sahaja yang terselamat dengan menyeberangi Laut Merah, menuju ke Tanah Palestin. Orang Yahudi sentiasa ingat peristiwa hijrah ini menjadikan tanah suci Baitul Maqdis adalah tanah yang dijanjikan kepada mereka, padahal disebabkan mereka ingkar, maka Allah membuang mereka daripada negeri-negeri tersebut dan hiduplah mereka dalam kesesatan selama 40 tahun.

Cuba bayangkan, ketika dalam perjalanan di tanah yang tandus di Tanah Palestin yang panas, mereka memohon Nabi Musa a.s. berdoa kepada Allah agar dikurniakan makanan dan minuman yang lazat-lazat daripada langit. Lihat sikap orang yahudi ini, sentiasa mahu yang berlebihan sahaja. Kemudian, Allah memperkenankan doa Nabi Musa a.s. dengan menurunkan makanan dari langit. Kemudian, Nabi Musa a.s. mendapati terdapat kaum yang gagah perkasa di Baitul Maqdis, lantas baginda a.s. mengarahkan kaumnya memerangi kaum tersebut yang merupakan bangsa-bangsa Hittie, Media dan Assyria yang bertapak lama di baitulmaqdis, seterusnya membebaskan Baitul maqdis daripada noda kaum-kaum yang menyembah api (majusi) dan mengamalkan ajaran pagan (menyembah banyak Tuhan). Namun, kaum Nabi Musa a.s. (keturunan yahudi hari ini) sangat pengecut dan tidak mahu keluar ke jalan Allah, boleh dikatakan hampir semua mereka (kecuali Nabi Harun dan beberapa pengikut yang alim) tidak mahu berperang dan berpaling arah daripada Baitul Maqdis. Akhirnya, Allah swt menyesatkan mereka selama 40 tahun, tidak bernegeri dan hidup dalam buangan di mana-mana dalam kekuasaan Bangsa Arab Mesir dan Palestin.

Pada masa hidup dalam buangan selama 40 tahun itu, Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. diwafatkan oleh Allah. Kaum Bani Israil semakin berpecah selepas kewafatan Musa bin Imran ini. Namun, perancangan Allah memang sangat hebat. Setelah kewafatan Nabi Musa a.s., barulah bangsa Yahudi ini bersatu dan wujudlah kerajaan-kerajaan bani Israil seterusnya. Sebelum Nabi Musa a.s., bangsa Yahudi hanyalah bertaraf hamba di Mesir dan Babilon. Namun, kepimpinan Yusa’ bin Nuun akhirnya berjaya menakluk Baitul Maqdis daripada kaum pagan dan mewujudkan kerajaan-kerajaan hebat bangsa Yahudi, yang juga ditadbir oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul.

Pendudukan Yahudi di Palestin, Kepimpinan Hakim, Zaman Raja-raja dan Perpecahan.

Setelah orang-orang Bani Israil menduduki Palestin, mereka mengalami tiga masa secara berturut-turut :

1. Masa Kehakiman; dimana kebanyakan keturunan mereka mengadili segala sesuatu perkara yang menjadi perselisihan di antara satu sama lain kepada satu orang hakim. Masa ini berlangsung selama lebih kurang 400 tahun.

2. Masa Menjadi Raja; sebagaimana firman Allah swt didalam surat Al-Baqarah ayat 246 – 252. Allah menjadikan Thalut sebagai raja, kemudian Daud as dan Sulaiman as.

3. Masa Perpecahan; iaitu pada masa setelah kewafatan Nabi Sulaiman as, maka terjadilah perselisihan antara Rahbi’an bin Sulaiman dengan Yarbi’an bin Nabat. Kemudian Rahbi’an dan keturunan Yahudza serta Bunyamin mendirikan negara yang bernama Negara Yahuda (Judae) yang ditempatkan untuk kaum Yahudza dari keturunan Daud dan Sulaiman. Ibu kota negara ini di Baitul Maqdis. Sebaliknya, Yarbi’an bin Nabath dengan 10 keturunan yang lainnya mendirikan Negara Israil, utara Palestin ke Syria dan Lubnan (pada zaman moden) dengan ibu kotanya adalah Nablus. Merekalah orang-orang yang kemudian dinamakan dengan Samaria yang dinamakan sempena Gunung Syamir yang terdapat di situ. Keturunan Bani Israil pasca Raja Sulaiman a.s. tidak berhak pun ke atas tanah Baitul Maqdis (kecuali keturunan Yahudi Ortodoks dan Bunyamin yang hidup secara aman dan damai selama beribu-ribu tahun di bawah penguasaan islam bermula zaman Umar Al-Khattab menjadi khalifah). Walhal, Zionis hari ini tidak ada kaitan pun dengan Yahudi ortodoks, kerana mereka adalah jelmaan Yahudi daripada 10 keturunan yang lain, Kaum Khazar dan Ashkenazi.

Fasa Kejatuhan Kerajaan berkembar Yahudi, Judae dan Israel

Pada tahun 722 SM, negara Israel jatuh ke tangan orang-orang Assyria Baru dibawah kepimpinan raja mereka yang bernama Sargon II, seterusnya berlakulah pengusiran orang-orang Bani Israil dari bumi Israil (10 keturunan yg lain) ke Halah dan Habor di Kota Media (Turki sekarang). Mereka diharamkan kembali ke Tanah Palestin kerana keingkaran mereka terhadap Allah swt. selepas diingatkan oleh Nabi Oded (sumber Israiliat). Negara Yahuda (Judae) pula jatuh ke tangan orang-orang Mesir dibawah kepimpinan Pharaoh Necho II pada tahun 603 SM, seterusnya menjadikan Yahuda sebahagian daripada tanah taklukan Mesir.

Pada tahun 589 SM, Nebuchadnezzar II iaitu Raja Babylon berjaya menakluk Palestin dan mengusir keluar orang-orang Mesir, seterusnya menghancurkan negara Yahuda (Judae) dan memenjarakan orang-orang Yahudi serta membawanya ke Babylon, yang kemudian dikenali sebagai ‘Tawanan Babilon’. Maka berakhirlah riwayat kerajaan-kerajaan berkembar Judae-Israil di tanah suci, kerana keingkaran mereka dan kerosakan yang dilakukan di tanah suci agama samawi tersebut. Raja Babilon tersebut juga memusnahkan Kuil orang Yahudi yang telah terpesong jauh daripada ajaran Allah swt yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.

Kejatuhan Babilon, Kembalinya Yahudi ke Tanah Suci

Pada tahun 538 SM, Raja Parsi Yang Agong, iaitu Raja Cyrus The Great berjaya menakluk Babylon dan melenyapkan kerajaan Babylon, yang digabungkan menjadi Empayar Parsi, seterusnya baginda membebaskan para tawanan Yahudi dan sebahagian daripada mereka kembali semula ke Palestin. Selama lebih kurang 400 Tahun mereka hidup di Palestin di Bawah Kekuasaan Parsi dan Pertembungan dengan Kuasa Greek (Macedonia). Mereka kembali menjadi ingkar kepada Allah swt, sehingga sanggup membunuh Utusan Allah iaitu Nabi Yahya a.s. dan Nabi Zakaria a.s. anak beranak, selepas berjaya membentuk Kerajaan sendiri di bawah Dinasti Hasmonean dan Herod The Great (lebih kurang 150 tahun). Raja Herod atau Hordus digambarkan sebagai seorang raja yang zalim, sebagai pembunuh kaum dan keluarganya sendiri. Dipercayai, zaman Hordus inilah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dibunuh, membawa kepada bala Allah kepada Bani Israil sekali lagi. Akhirnya, Hordus mati dalam keadaan yang mengerikan. Perpecahan berlaku dalam kerajaan Hordus dan Wilayah-wilayah dalam Dinasti Hordus direbut oleh anak-anak pewaris Hordus tadi menyebabkan kerajaan Yahudi yang telah disatukan dan merdeka (separa merdeka sebab dapat pemerintahan sendiri daripada Antiochus III dan pemerintah Rom kemudiannya) daripada kekuasaan Seleuccid berpecah-belah dan kembali menjadi jajahan Kerajaan Rom.

Campurtangan Kerajaan Rom dan Berakhirlah penguasaan Yahudi di Tanah Suci.

Pada Tahun 70 M, Pemerintah Kerajaan Rom yang terkenal iaitu Titus The Great menakluki Jerusalem, seterusnya memusnahkan tempat ibadat agama Yahudi di Baitul Maqdis sehingga yang tinggal hanya Tembok Ratapan sahaja dan membunuh Yahudi-yahudi yang terdapat di Jerusalem. Titus telah menyebabkan dominasi Yahudi di tanah suci berakhir, yang mana orang-orang yahudi bertebaran ke Armenia, Iraq, Iran, Nabatean (Arab Utara), Hijaz, Mesir, Itali, Sepanyol dan Greek.

Situasi ini menggambarkan bahawa Kerajaan Yahudi yang berhubung dengan Kerajaan Daud a.s., Hasmonean dan Hordus telahpun terputus sama sekali. Yahudi sama sekali tidak akan berperang sewenang-wenang melainkan mereka sangat kuat. Ini juga membuktikan, selain yahudi, sejak zaman berzaman yang lalu, yang mana tanah asal Palestin sudahpun ada penempatan Philistine (Palestin kuno) sejak daripada kerajaan Nabi Sulaiman lagi dan mereka (Arab Palestin) lebih layak menduduki tanah tersebut kerana mereka tidak lari seperti orang-orang yahudi, malahan agresi Titus The Great yang terkenal kejamnya itu juga tidak menggentarkan orang Palestin untuk lari dari kediaman mereka. Walaupun dijajah oleh Kerajaan Rom, namun orang Palestin tetap bertapak di situ (Terutamanya di Gaza dan pantai Negara Palestin).

Orang-orang yahudi yang diusir keluar dari tanah suci bertebaran di merata tempat sehinggalah ke hari ini. Sebagaimana firman Allah swt:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبْعَثَنَّ عَلَيْهِمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَن يَسُومُهُمْ سُوءَ الْعَذَابِ إِنَّ رَبَّكَ لَسَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
وَقَطَّعْنَاهُمْ فِي الأَرْضِ أُمَمًا مِّنْهُمُ الصَّالِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَلِكَ وَبَلَوْنَاهُمْ بِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Tafsirannya : “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu memberitahukan, bahwa Sesungguhnya Dia akan mengirim kepada mereka (orang-orang Yahudi) sampai hari kiamat orang-orang yang akan menimpakan kepada mereka azab yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu Amat cepat siksa-Nya, dan Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kami bagi-bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang saleh dan di antaranya ada yang tidak demikian. dan Kami coba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” (QS. Al A’raf : 167 – 168)

Pada saat Palestin dibawah kekuasan Rom inilah, Allah swt mengutus Nabi Isa as sebagai Rasul kepada Bani Israil, sebagaimana firman Allah swt “Seorang rasul kepada Bani Israil” yang mengajak mereka untuk memperbaiki berbagai-bagai kerosakan. Seruan ini disambut oleh sebahagian orang-orang Yahudi. Dan orang-orang Yahudi terpecah menjadi dua, sepertimana yang diberitakan oleh Allah swt ;

فَآَمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ

Terjemahannya : “lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir.” (QS. Ash Shaff : 14)

Golongan yang pertama daripada Bani Israil kemudiannya bertukar menjadi orang-orang Nasrani sedangkan yang kedua iaitu yang tidak beriman kekal sebagai Yahudi.

Tukang-tukang Tilik (Necromancer) dan ulama Yahudi mendatangi Pemerintah Rom agar menangkap dan membunuh Nabi Isa as yang kemudian permintaan ini disambut oleh raja, namun Allah swt mengangkat Isa dan menggantikannya dengan orang yang mirip dengannya yang kemudian disalib, firman Allah swt :

إِذْ قَالَ اللّهُ يَا عِيسَى إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ

Terjemahannya : “(ingatlah), ketika Allah berfirman: “Hai Isa, Sesungguhnya aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku.” (QS. Al Imran : 55)

Dan ayat yang seterusnya ialah:

Terjemahannya: “dan karena Ucapan mereka: “Sesungguhnya Kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah”, Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa.” (QS. An Nisaa : 157)

Sebab itu, orang Nasrani sebenarnya memusuhi orang yahudi kerana mereka (orang yahudi) telah berusaha membunuh Nabi Isa a.s. sebagai rasul mereka.

Siapa yang berhak ke atas Baitul Maqdis?

Selepas Kerajaan Rom membuat onar di Baitul Maqdis dan menyebarkan ajaran Paganisme di sana, datanglah tentera islam di bawah pimpinan Saidini Umar Al-Khattab membebaskan Kota Jerusalem daripada kemungkaran dan menjenamakannya semula sebagai Al-Quds. Orang-orang islam lebih berhak ke atas kota suci kerana mereka berjaya merebut kembali Kota Suci agama-agama samawi itu daripada tangan Rom, dan bukan Orang Yahudi, serta bukan direbut dari tangan Yahudi.

Seterusnya, pemerintahan islam dan Khalifah-khalifah islam yang seterusnya menjaga Baitul Maqdis dengan baik, menjadikan Baitul Maqdis aman daripada sebarang peperangan dan semua agama hidup dalam harmoni, walaupun berkongsi tempat suci yang sama, tanpa berlaku pengusiran Yahudi lagi. Lebih kurang 12 abad atau 1200 tahun lamanya tanah suci menjadi aman sebelum berlakunya campurtangan Balfour (1917) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu( (1947) yang menyebabkan Kota Suci sekali lagi berdarah kembali. Saya rasa sejarah 1917-kini tidak perlu dinukilkan lagi kerana sudah banyak liputannya di internet mahupun di media cetak.

Walaupun tanah suci pernah berdarah dengan peristiwa perang salib, namun ketokohan Salahuddin Al-Ayyubi berjaya mengembalikan Kota Palestin ke tangan ummat islam dan semua manusia di sana hidup dalam aman dan damai kembali, kerana semasa penaklukan askar-askar salib dari Eropah (1099-1187), ummat islam dibunuh dan diusir daripada Jerusalem. Perkara ini tidak berlaku apabila Salahuddin Al-Ayyubi mengembalikan Kota tersebut kepada Islam.

Selain itu, Orang Yahudi tidak mengimani Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul, tetapi orang islam mengimani mereka sebagai Nabi dan Rasul. Dan juga, terdapat penempatan Arab yang konsisten dan tidak diusir keluar daripada tanah Levant tersebut seperti wilayah Philistine, Nabateans dan lain-lain lagi.

Justeru, kami ingin berpesan kepada seluruh warga dunia, terutamanya ummat islam di Malaysia, Wilayah Palestin yang dijajah oleh Zionis hari ini sememangnya tempat asal mereka, dan juga semestinya milik orang islam. Tidak kiralah mereka itu orang Arab atau Ajam (bukan Arab), selagi mereka islam mereka itu wajib mempertahankan Kota suci Al-Quds daripada kekejaman dan penindasan Yahudi Zionis, yang menganggap mereka sahajalah bangsa terbaik di dunia, yang lain semuanya Goyyim. Gaza city pula sememangnya wilayah mereka (dalam Negeri Kuno Philistines) sendiri yang hari ini semakin terjajah dan terkepung dari semua arah. Justeru itu, kami berharap agar kita sama-sama boleh betulkan kefahaman kita terhadap tanah yang terjajah itu dan bukan mengharap mereka lari dari tanah air mereka itu. Lagipun, celah mana mereka mahu melarikan diri daripada penjara hidup terbesar di dunia? Mesir sudah tutup 100% pintu sempadan Gaza. Keliling Gaza didirikan tembok pemisah yang tinggi dan kebal. Yang ada hanyalah Lautan Mediterranean yang dikawal oleh Tentera-tentera Zioniz juga, menjadikan keadaan mereka hari ini ialah: Perlu melawan untuk kemerdekaan.

Gaza city bukanlah besar mana, panjangnya hanya 40km dan lebarnya hanya 5km menjadikan keluasan Gaza hanyalah lebih kurang 200km2 , lebih kecil dari Negeri terkecil di Malaysia (795km2). Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita menyokong saudara sesama islam kita berjuang mempertahankan tanah air mereka dan bukan menghalau mereka keluar daripada tanah mereka. Moga saudara-mara seislam dengan kita di sana tabah menghadapi dugaan dan fitnah-fitnah ini.

Rujukan:

1. http://www.eramuslim.com/ustad…/asal-usukl-bangsa-yahudi.htm

2. http://www.mountlebanon.org/histphoenicians.html

3. http://hafizamri.com/asal-usul-kaum-yahudi/

4. http://rainz-al-mujahid.blogspot.com/…/03/sejarah-al-quds.h…

5. http://www.iluvislam.com/…/14-sejarah-palestin-a-israel.html

6. http://en.wikipedia.org/wiki/Assyrian_captivity_of_Israel

7. http://www.scaruffi.com/

8. http://www.roman-empire.net/emperors/titus-index.html

9.http://www.biblehistory.com/…/…/map_palestine_territory.html

10. Asia Civilizations: Ancient to 1800 AD (ebook), Lim Sk, Asiapac Books Pte Ltd,

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here