Apa itu Jaundice Dan Kenapa Ada Orang Menjemur Bayi?

1
936
views

Pernah sekali pengajar saya memberitahu saya bahawa terdapat 1 kes dimana bayi yang mengalami jaundice dijemur di perkarangan rumah oleh ibunya. Tujuannya adalah untuk menurunkan kuning seperti kata orang-orang tua zaman dahulu.

Sadisnya, datuk kepada bayi itu telah secara tidak sengaja telah terlanggar cucunya itu kerana disangka ikan masin. Kebetulan keluarga itu memang menjalankan bisnes menjual dan mengeringkan ikan masin.

Apa itu Jaundice?

Jaundice adalah keadaan dimana kelihatan warna kuning yang ketara pada kulit dan mata bayi yang baru lahir. Jaundice biasa berlaku, terutama pada bayi yang baru lahir sebelum usia kandungan 38 minggu (Bayi premature).

Walaupun jaundice di kalangan bayi adalah perkara biasa yang akan terjadi kepada bayi yang baru lahir, tetapi seringkali masyarakat lebih tegar menggunakan petua yang kita sendiri tidak tahu kesahihan serta keberkesanannya seperti beri bayi minum air serbuk mutiara, beri bayi minum air anggur hitam dan sebagainya.

Terkadang petua orang tua-tua adalah berguna pada zaman mereka sebagai contoh menjemur anak di bawah matahari. Matahari di zaman dahulu tidak seperti di zaman sekarang dimana sinaran UV mampu merosakkan kulit.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya bilamana anak saya telah mengalami prolonged jaundice. Anak saya mengalami jaundice selama kurang lebih sebulan (30 hari). Bacaan darahnya naik turun. Kuningnya pernah sekali terlihat hingga ke bahagian atas abdomen. Saya juga pernah menolak admission anak saya ke hospital kerana jaundice sedangkan bacaan sudah sampai 260 lebih.

Kebetulan semasa kejadian itu, masuk pula 1 unit ambulance dengan membawa seorang bayi berumur 8 bulan dengan perut kembung dan warna kulit tersangat kuning seperti diselaput kunyit. Sebagai staff kesihatan, sedikit sebanyak kita faham apa dibincangkan oleh doktor dan yang lain-lain. Pesakit itu mengalami severe jaundice kerana tiada pemahaman daripada keluarga berkaitan jaundice selain keengganan keluarga membawa anak ke klinik bagi memeriksa tahap jaundice anak mereka. Selain itu congenital billiary atresia juga penyumbang kepada perkara tersebut.

Sejurus melihat keadaan pesakit itu, automatik saya bertukar fikiran saya kerana khuatir perkara demikian boleh terjadi kepada anak sendiri. Hinggakan pakar kanak-kanak berkata kepada kami suami isteri “Nyaris saya ‘starlight’ dahi kamu suami isteri kalau betul-betul refuse admission!”

Jaundice dibahagikan kepada 3 kategori iaitu;

1) Jaundice Fisiologi

2) Jaundice Patologikal

3) Jaundice yang berpanjangan (Prolonged Jaundice)

Tanda-tanda Jaundice biasanya jelas kelihatan antara hari kedua dan keempat setelah lahir, biasanya berupa mata dan kulit yang menguning.  Kebiasaannya kita akan melihat Jaundice pertama kali adalah di wajah bayi. Jika keadaan berterusan, kita mungkin melihat warna kuning di matanya, dada, perut, lengan dan kaki.

Ibu-ibu boleh membuat penelitian awal sendiri terlebih dahulu di rumah selepas kelahiran. Mudah sahaja, letakkan bayi di bawah cahaya terang yang mencukupi:

~ Bayi berkulit cerah: Tekan di bahagian hidung atau dahi. Lepaskan secara perlahan-lahan. Apabila kesan tekanan jari anda menghasilkan warna pucat kekuningan, ianya menjadi tanda bayi anda memiliki masalah Jaundice.

~ Bayi berkulit gelap: Lihat pada mata putih atau gusi bayi. Apabila wujud kekuning-kuningan pada anak mata putih, ianya juga menjadi tanda bayi anda memiliki masalah Jaundice.

Apakah penyebab Jaundice?

Salah satu penyebab utama berlakunya jaundice disebabkan adanya bilirubin berlebihan (hiperbilirubinemia) di dalam sel darah bayi. Bilirubin merupakan sejenis bahan kimia yang membantu semasa penguraian sel darah merah berlaku. Biasanya, hati menapis bilirubin dari pembuluh darah dan melepaskannya ke saluran usus.

Ketika dalam kandungan ibu, hati ibu yang akan membuang bilirubin ini. Selepas kelahiran, bayi akan membuang bilirubin tersebut melalui hati mereka sendiri. Namun demikian, disebabkan hati bayi masih belum mampu sepenuhnya untuk melawan bilirubin ini, maka terjadilah Jaundice ini.

Bahkan, apabila bayi baru dilahirkan, sel darah mereka akan bertambah untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan, kadangkala ginjal bayi yang masih belum kuat juga masih belum mampu untuk melawan biliribun secara berlebihan.

Kebiasaannya, apabila kandungan bilirubin mula meningkat dan Jaundice mula menyerang, ia akan bergerak bermula dari kepala, turun ke tengkuk, turun ke dada dan dalam keadaan yang kronik, ia akan mula bergerak sehingga ke jari kaki. Jaundice dalam keadaan bayi yang normal disebut jaundice fisiologi, dan biasanya muncul pada hari kedua atau ketiga kelahiran.

Penyebab lain jaundice adalah :

✅ Perdarahan dalaman (hemorrhage)

✅ Infeksi pada salur darah (sepsis).

✅ Infeksi disebabkan virus atau bakteria.

✅ Jangkitan semasa dalam kandungan (TORCHES).

✅ Masalah jangkitan pada salur kencing.

✅ Ketidaksesuaian antara darah ibu dan darah bayi (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).

✅ Kelainan sel darah merah bayi.

✅ Trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forsep atau vakum.

✅ Masalah dengan enzim darah merah (G6PD)- Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu.( Bagaimanapun tidak lebih dari 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir).

✅ Masalah hati dan hempedu seperti biliary atresia / dubin johnson / neonatal hepatitis.

✅ Hormon tiroid yang rendah (hypothyrodism).

✅ Jaundice di sebabkan oleh susu ibu (setelah semua penyebab di atas telah di kenalpasti negatif)

Faktor risiko utama untuk penyakit jaundice adalah :

✔Kelahiran premature
Bayi premature mungkin tidak dapat memproses bilirubin secepat bayi normal. Kurang mengambil susu dan pergerakan yang sedikit pada usus menyebabkan Hal ini di bilirubin kurang dieliminasi (dikelurkan) dalam najis bayi.

✔Jenis darah
Jika jenis darah ibu berbeza dari bayi, bayi mungkin telah menerima antibodi dari anda melalui plasenta yang menyebabkan sel darah memecah lebih cepat.

✔Faktor penyusuan
Bayi yang mengalami kesulitan semasa menyusu atau tidak mendapat nutrisi yang cukup dari penyusuan akan menyebabkan dehidrasi dan rendah penyerapan kalori dan ini akan menyumbang kepada berlakunya penyakit Jaundice.

Komplikasi Akibat Jaundice

Penyakit kuning yang parah, jika tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi serius. Antaranya;

✔Acute Bilirubin Encephalopathy

Bilirubin adalah racun bagi sel-sel otak. Jika bayi memiliki penyakit kuning yang parah, ada risiko bilirubin akan meresap ke otak (Acute Bilirubin Encephalopathy). Rawatan yang tepat dapat mencegah risiko kernicterus (jangkitan pada otak)

Tanda-tanda berikut mungkin menunjukkan Acute Bilirubin Encephalopathy dalam bayi dengan Jaundice;

– Lesu, sakit atau susah untuk bangun
– Menangis dengan keras
– Susah makan
– Demam
– Muntah

Apakah itu Kernicterus?

Kernicterus adalah sindrom yang terjadi jika Acute Bilirubin Encephalopathy menyebabkan kerosakan terus pada otak. Kernicterus dapat mengakibatkan:

– Gerakan yang tidak terkawal (athetoid cerebral palsy)
– Gangguan pendengaran
– Gangguan intelektual

Meskipun jarang terjadi komplikasi, rawatan yang lewat mampu menyebabkan kerosakan otak.

Di hospital-hospital kerajaan, kaedah rawatan untuk menurunkan kadar bilirubin dalam darah bayi dilakukan melalui;

1) Terapi Cahaya (fototerapi)

Bayi Anda akan diletakkan di bawah pencahayaan khusus yang memancarkan cahaya biru. Semasa dalam rawatan ini, bayi hanya akan dipakaikan pampers serta dipakaikan penutup pada mata. Terapi cahaya diberi secara terus ke kulit bagi tujuan memecahkan bilirubin supaya ia dapat dirembeskan sama ada melalui peluh, najis ataupun urin.

2) Blood Exchanged Transfusion (Pertukaran darah)

Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi mengelakkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.
Antara langkah pencegahan jaundice dari berlalu adalah dengan memastikan proses penyusuan bayi berjalan dengan lancar. Beri susu kepada bayi 2-3 jam sekali termasuk waktu malam. Jika memberikan susu formula, seeloknya berikan bayi susu sekitar 1-2 auns 2-3 jam sekali. Elakkan dari membiarkan bayi tidur sahaja kerana apabila bayi tidur, proses penyusuan akan terganggu.

Bayi anda mungkin sihat apabila;

💢 Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.

💢Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.

💢Bayi anda sihat dan aktif.

Jangan ambil ringan apabila;

❗Air kencing bayi berwarna kuning pekat seperti warna air teh O

❗Bayi demam, sawan dan badannya kejang.

❗Najis bayi berwarna putih bukannya kuning seperti bayi lain. Ini bermakna saluran hempedu bayi tersekat.

Bawalah bayi ke klinik atau hospital berdekatan supaya ujian darah dapat dilakukan dan pengesanan serta perawatan awal boleh diambil. Doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan serta lain-lain bukan saja-saja mahu mencucuk bayi anda dan mengambil darah mereka. Segala tindakan yang diambil adalah untuk membantu proses perawatan yang berkesan.

Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
Jururawat Terlatih
Artikel ini pernah disiarkan di Medical Mythbusters Malaysia.

Comments

comments

1 COMMENT

  1. Alhamdulillah anak ke2 & ke 3 tak kena sbb jemur di sinaran matahari. bukan macam jemur ikan masin ye. bodoh benar kiranya ada yg jemur macam ikan masin. kita ni yg dukung bayi bawah matahari pagi mulai terbit matahari hingga jam 8:30/9:00 am.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here