Bilamana Rumahku Menjadi Medan Tempur Ypres

0
1252
views
Gambar 1: Tentera german melepaskan gas klorin daripada katrij gas pada pertempuran Ypres.

Minggu kedua raya tahun 2011, jam 9 malam waktu tempatan. Suasana di rumah saya kabut tatkala saya berlari membuka semua pintu, tingkap dan memasang semua kipas yang ada dalam rumah saya pada tahap kelajuan tertinggi. Saya sudah terbuka sebuah kotak pandora secara tidak sengaja di dalam rumah saya. Apa yang lagi malang, ketika itu suasana masih meriah dengan sambutan perayaan aidilfitri.

Gambar 2: Kepulan gas klorin yang dilepaskan ketika pertempuran kedua Ypres. Gambar hak milik US Department of Defense.

Peperangan Ypres terkenal dengan penggunaan senjata gas kimia oleh pihak german terhadap musuh mereka di medan tempur barat (Western front) pada 22 April 1915. Gas yang mereka gunakan merupakan gas klorin. Setiap tong gas klorin yang mereka gunakan adalah seberat 41 kg. Gas klorin sangat beracun kepada manusia, sebanyak 1.5 gram per meter kubik sudah cukup untuk membunuh. Dalam peperangan Ypres (pertempuran Rabung Gravenstafel), pihak german menggunakan 171 tan gas klorin sebagai senjata kimia. Mangsa yang terkena gas klorin dalam pertempuran tersebut dikatakan berbuih mulutnya, matanya terbeliak dan jatuh merintih kesakitan sebelum kaku sejuk setelah roh keluar meninggalkan jasad yang kosong.

Klorin merupakan unsur kimia dalam kumpulan halogen. Gas ini berwarna hijau dan berkebolehan untuk melunturkan warna, selain cirinya yang menghakis. Dengan nombor atom 17, unsur klorin merupakan unsur kedua dari atas kolum kumpulan halogen.
Adalah sesuatu yang wajib ada pada seorang ahli kimia ialah kemahiran untuk membersihkan sesuatu tanpa menyentuhnya. Hal ini kerana kekotoran di dalam kelalang kelalang yang digunakan untuk reaksi kimia kebanyakannya tidak dapat disentuh, digosok ataupun disental melainkan anda mempunyai alat berus yang spesifik kepada kelalang tersebut. Kebiasaannya, ahli kimia akan menggunakan teknik lain untuk mencucinya seperti rawatan kimia, rawatan haba, merendam dan lain lain.

Gambar 3: Kelalang yang digunakan oleh fakulti arkitektur universiti Princeton untuk menggalakkan perolakan. Bagaimana kita hendak mencuci dinding dalaman kelalang ini? Gambar hak milik bengkel pembuatan kelalang kaca universiti Princeton.

Al kisah pada waktu itu saya telah menjalankan satu penyulingan organik, sejujurnya saya sudah tidak ingat secara terperinci bahawa bahan apa yang saya sulingkan ketika itu. Tetapi, hasilnya saya secara tidak sengaja telah menguraikan bahan organik tersebut sehingga kelalang suling saya dipenuhi bahan organik berminyak bersama ketulan ketulan bahan terkarbon. Dengan erti kata lain, kelalang saya penuh dengan bahan hitam berminyak.

Saya mengambil keputusan untuk mencuci dengan merendamkannya di dalam larutan sabun suam dengan harapan untuk menanggalkan kotoran pada dinding kelalang suling itu. Tetapi setelah mengulanginya beberapa kali sepanjang 4 hari, saya telah mengambil keputusan untuk mencuba cara yang lain.

Cara seterusnya ialah saya mengambil keputusan untuk mengoksidakan apa apa bahan organik yang masih tinggal pada dinding kelalang tersebut. Jadi, saya merendamkannya di dalam larutan kalium permanganat berasid, KMnO4 suam. Dengan hari raya aidilfitri yang kian menjelang, saya merendamkannya selama hampir seminggu lebih.
Tiba pada hari kejadian, saya menyambung kerja untuk membersihkan kelalang suling saya. Setelah rawatan kalium permanganat berasid tidak berkesan sepenuhnya, saya mengambil keputusan untuk merawat dengan larutan 5% natrium hipoklorit, atau nama samarannya Clorox. Ketika itu saya mencucinya di dalam bilik air di rumah saya.

Kelalang ini merupakan kelalang yang sama saya cuba bersihkan pada malam kejadian

Sedang saya menggoyangkan kelalang tersebut untuk mencampurkan larutan dengan kekotoran, saya terfikir idea untuk menguatkan lagi kuasa mencuci larutan tersebut. Dan ini merupakan idea saya yang sangat bodoh. Tak, terlampau bodoh jika saya diizinkan berkata tentangnya.

Saya membuat keputusan untuk merendahkan pH larutan tersebut untuk membuatkannya lebih berasid. Dan saya menggunakan asid hidroklorik untuk tujuan itu. Saya mendapat bekalan asid hidroklorik gred teknikal dengan menggunakan asid pencuci lantai daripada kedai hardware tempatan. Ini adalah salah satu sumber untuk saya mendapatkan bahan itu untuk tujuan selain kajian analitikal yang memerlukan bahan berketulenan tinggi.
Dalam kelalang suling bersaiz 1 liter itu telah terisi dengan 500ml larutan Clorox. Jadi saya (dengan bodohnya) mencampurkan 500ml asid hidroklorik. Pada saat kedua saya mencampurkannya, minda saya teringat akan persamaan kimia dibawah:

NaClO(aq) + 2 HCl(aq) → Cl2(g) + H2O(L) + NaCl(aq)

Dengan serta merta minda saya mengatakan:

“Oh f**k! I mess up!”

Bagaikan tamparan daripada dewa Eurus, bau gas klorin menusuk hidung dan segala rongga yang ada di kepala saya. Rasanya seperti saraf hidung digosok dengan menggunakan kertas pasir. Menghirup oksigen ketika itu bagaikan satu perkara yang mustahil. Saya lemas. Dengan segera saya mencurahkan campuran itu ke dalam tandas dan menarik tombol penyiram tandas (menyiram bahan kimia ke saluran air domestik tanpa rawatan merupakan teknik yang sangat tidak professional, saya akui). Dan kemudian saya pasangkan hos air ke dalam tandas itu.

Kemudian bagaikan tentera Perancis di medan tempur Rabung Gravenstafel, saya berlari ke dapur untuk mendapatkan natrium bikarbonat, NaHCO3 sebuah bahan penaik lazim digunakan dalam pembuatan kek. Dengan pantas saya melarutkannya di dalam air dan meminumnya. Saya berbuat demikian kerana mahu menghilangkan rasa pedih dalam kerongkong saya akibat pembentukan asid hidroklorik dan asid hipoklorik yang terbentuk hasil tindak balas gas klorin dengan lembapan dalam salur pernafasan saya:

Cl2 + H2O ↔ HCl + HClO

Dengan perlahan saya telan larutan tersebut agar tidak tersedak dan larutan tersebut dapat bertindak balas sepenuhnya dengan asid asid yang terbentuk pada salur pernafasan saya. Saya akui ini bukan rawatan sebenar tetapi ini langkah awal saya untuk mengelakkan kecederaan lebih teruk:

NaHCO3(aq) + HCl(aq) → NaCl(aq) + H2O + CO2(gas)

NaHCO3(aq) + HClO(aq) → NaClO(aq) + H2O + CO2(gas)

Saya sendawa berkali kali akibat pelepasan gas karbon dioksida hasil tindak balas peneutralan antara natrium bikarbonat dengan asid asid tersebut, malah mungkin juga daripada tindak balas larutan natrium bikarbonat dengan asid gastrik perut.

Pada ketika ini bau gas klorin telah pun memenuhi segenap ruang rumah saya. Mak saya ketika itu, datang dan bertanya “Apa yang ko buat malam malam ni?”. Dengan pandangan yang penuh rasa bersalah, saya segera berlari untuk membuka semua pintu, tingkap dan memasang segala kipas yang ada dalam rumah saya ketika itu. Saya halakan setiap kipas ke arah yang membantu ventilasi rumah dengan tujuan mengeluarkan segala gas gas klorin yang ada.

Saya menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi pada keluarga saya dan mereka semua keluar daripada rumah ketika itu. Memburukkan lagi keadaan, dalam 40 minit selepas itu, jiran saya sekeluarga bertandang ke rumah untuk menziarah kami sempena sambutan aidilfitri. “Aduh” kata lubuk hatiku. Sudah berperang menerima tetamu pula.

Keluarga saya, terutamanya mak saya menjemput mereka masuk untuk melayani mereka. Mujur bau gas klorin sudah berkurangan, namun masih ada.

Perbualan yang saya masih ingat dituturkan jiran saya, “Rajinnya malam malam basuh bilik air ke?”. Mak saya hanya tergelak mendengar pertanyaan tersebut. Rasa bersalah menebal di dalam hati.

Secara keseluruhannya, ia mengambil masa 2 jam untuk menghilangkan bau klorin secara menyeluruh.

Selesai sahaja jiran saya pulang ke rumah, saya dimarahi mak saya atas tindakan saya yang cuai. Ayah saya lagi la hahaha bagaikan panglima german marahnya.

Saya di marahi dan diperingatkan supaya berhati hati dalam melakukan ujikaji.

Dan juga dimarahi kerana mencarut “Oh f**k!” secara terang terangan. Ternyata rupanya bukan minda saya sahaja yang bertuturan kata ketika kejadian tersebut.

Rujukan:

1. Edmonds, J. E.; Wynne, G. C. (1995) [1927]. Military Operations France and Belgium, 1915: Winter 1915: Battle of Neuve Chapelle: Battles of Ypres. History of the Great War Based on Official Documents by Direction of the Historical Section of the Committee of Imperial Defence. I (Imperial War Museum and Battery Press ed.). London: Macmillan.

2. White, CW. Martin, JG. (2010). Chlorine gas inhalation: human clinical evidence of toxicity and experience in animal models. Proc Am Thorac Soc. 7(4):257-63. ❀

3. Odabasi, Mustafa (1 March 2008). “Halogenated Volatile Organic Compounds from the Use of Chlorine-Bleach- Containing Household Products”. Environmental Science & Technology. 42 (5): 1445–1451.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here