Ulang Tahun ke-50 ASEAN: Kenapa ASEAN Begitu Penting?

0
661
views
Gambar Milik National Archives of Singapore

Mungkin ada yang tak tahu hari ini hari yang penuh makna.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Tanggal 8 Ogos 1967, menteri-menteri luar dari 5 negara iaitu Malaysia (Tun Abdul Razak), Filipina (Narsisco Ramos), Indonesia (Adam Malik), Singapura (S. Rajaratnam) dan Thailand (Thanat Khoman) telah menandatangani Deklarasi Bangkok yang mendirikan ASEAN. Keanggotaan ASEAN diperluaskan lagi dengan kemasukan Brunei (1984), Vietnam (1995), Laos, Myanmar (1997) dan Kemboja (1999).

Dan mungkin ramai juga yang akan bertanya: “So, apa pentingnya ASEAN? So what?”

Tanpa ASEAN, tak mungkin kita hidup aman damai seperti sekarang. Tak mungkin kita boleh terbang naik AirAsia ke Pekanbaru ke Hanoi ke Siem Reap. Tak mungkin kita boleh pergi borong kain di Bandung, ambil angin di Marina Bay, atau cari pulut mangga di Bangkok.

Tanpa ASEAN kita tak mungkin menikmati kebebasan bergerak dan rasa selamat dari ancaman negara-negara jiran.

Cuba lihat pada Timur Tengah. Tiada satu saat pun negara-negara Syria, Iraq, Iran, Saudi, Turki, Lubnan dan Yaman dapat hidup secara aman damai. Perang dan konflik adalah lumrah kehidupan. Konflik dalam sebuah negara memberi tempias kepada negara yang lain.

Eropah hanya jadi aman selepas dua perang dunia yang mengorbankan ratusan jutaan manusia. Sebelum adanya Kesatuan Eropah (EU), adalah lumrah bagi Perancis untuk berperang dengan Jerman, Romania berperang dengan Bulgaria, dan Austria berperang dengan Itali.

Kita hampir jadi seperti mereka. Asia Tenggara 50 tahun yang lalu mempunyai risiko perang yang tinggi. Waktu itu konsep negara bangsa masih baru bagi penghuni Asia Tenggara, ada banyak masalah wilayah dan sempadan, dirumitkan pula oleh semangat nasionalisme. Akhirnya berlaku konflik serantau seperti Konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia (tahun 1962-1966).

Pelbagai usaha untuk mengatasi masalah nasionalisme dan mewujudkan “regionalism” telah dilakukan, antaranya seperti ASA (Association of Southeast Asia) dan MAPHILINDO (gabungan Malaysia, Filipina, Indonesia). Namun tiada yang berjaya sehingga tertubuhnya ASEAN.

Punca kejayaan ASEAN ialah prinsip “ASEAN Way” yang menekankan “consultation” dan “consensus”, diilhamkan oleh norma musyawarah dan muafakat yang telah lama dipraktikkan dalam tamadun Nusantara. Dengan itu Asia Tenggara bertransformasi jadi sebuah “security community” yang menolak kekerasan serta mengutamakan kerjasama dan diplomasi.

Dengan adanya ASEAN, tidak lagi berlaku konflik besar-besaran seperti Konfrontasi. Jadi, kita jangan “take for granted” lima dekad keamanan yang kita nikmati. Ia merupakan hasil usaha negarawan dan diplomat negara-negara serantau di peringkat ASEAN.

Hari ini cabaran terbesar kepada keselamatan Asia Tenggara bukan datang dari dalam, tetapi dari luar. US dan China cuba menjadikan ASEAN sebahagian daripada pertaruhan kuasa (great game) mereka. Silap langkah, ASEAN akan jadi medan perang proksi kuasa-kuasa besar.

Adakah ASEAN mampu meraih 50 tahun lagi keamanan? Ia bergantung kepada samada generasi pelapis kepimpinan kita memiliki kebijaksanaan dan kemahiran diplomasi, dan samada kita bersiap siaga untuk mempertahankan keamanan.

Cadangan buku:

Kishore Mahbubani & Jeffrey Sng, The ASEAN Miracle: A Catalyst for Peace (NUS Press, 2017)

Kredit gambar:
National Archives of Singapore

#ASEAN50
#ASEANWay
#1Vision1Identity1Community

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here