Sejarah Amalan Hantaran Dalam Setiap Tamadun Di Dunia

0
1036
views

Saya memerhati bagaimana keluarnya dakwaan bahawa orang Melayu telah meniru adat Hindu dalam bab wang hantaran yang sememangnya sinonim sebagai salah satu daripada adat istiadat perkahwinan orang Melayu itu sendiri. Tetapi seperti mana yang anda tahu, page ini ialah sebuah page ilmiah dan kami tidak akan sensenang itu berpegang pada setiap kata yang dilontarkan oleh orang di luar sana. Ya, dalam erti kata lain, kami ialah sebuah page yang agak skeptikal terutama dalam soal ini.

Jadi di sini kami ingin bersuara bagi mempertahankan sejarah Melayu. Benarkah bahawa amalan wang penghantaran ini memang berasal daripada ajaran hindu.. atau ianya sememangnya budaya universal yang wujud dalam setiap tamadun dunia seperti soal wang hantaran?

Ya, budaya wang hantaran ini wujud dalam setiap budaya dan tamadun dan itulah yang sedang dibawa oleh kami dalam perbincangan kali ini. Kami akan menyenaraikan budaya wang hantaran dalam setiap tamadun yang pernah wujud di dunia untuk tatapan anda, dengan harapan tiada lagi dakwaan bodoh yang berlegar-legar di sekitar internet yang bagi saya sangatlah tidak berasas.

1. Babylon

Kod Hammurabi, antara undang-undang tertua yang wujud di atas muka bumi ini mengatakan kepada kita bahawa amalan wang hantaran ini sudah wujud di zaman Babylon Purba di Tamadun Mesopotamia yang kita tahu berdiri di bumi Iraq hari ini.

Seperti mana kita di Malaysia hari ini, di Babylon juga memberatkan pembayaran mas kahwin dan juga wang hantaran dalam masa yang sama. Dalam masyarakat purba Babylon dahulu, apabila berlaku sebuah kes penceraian, maka kita akan melihat bagaimana si suami harus memulangkan semula wang hantaran dan mas kahwin. Tetapi ini harus berlaku sekiranya penceraian itu terjadi tanpa bersebab. Namun sekiranya faktor-faktor penceraian itu dibenarkan oleh Kod Hammurabi, maka pemulangan semula mas kahwin dan wang hantaran amatlah jarang berlaku.

Dalam masyarakat Babylon, hak untuk menguruskan wang hantaran dan mas kahwin ini terletak di bahu suami dan ianya termaktub sebagai aset keluarga. Sekiranya si suami mati, hak itu diwarisi kepada keluarganya. Sebagai contoh, mungkin diwarisi kepada ayah atau abang sulungnya.

2. Yunani

Dalam tamadun purba Yunani, sejarah juga menceritakan kita bahawa amalan wang hantaran dan juga mas kahwin ini wujud. Amalan wang hantaran ini dapat dijejak di Tamadun Yunani sekurang-kurangnya 500 SM. Dalam tradisi masyarakat Yunani, si suami yang mempunyai hak ke atas pemilikan wang hantaran dalam perkahwinan.

3. Empayar Rom

Dalam Empayar Rom, tradisi wang hantaran ini merupakan sebuah kebiasaan. Beza wang hantaran dalam masyarakat Rom ialah ianya sejenis harta yang diberikan kepada pegantin atau bapa pengantin.

Terdapat dua buah wang hantaran yang dikenali ketika zaman Rom iaitu dos profectitia dan juga dos adventitia. Dos profectitia ialah wang hantaran yang diberikan kepada bapa atau bapa pengantin manakala selain daripada termaktub dalam dos profectitia ialah dalam kategori dos adventitia.

Terdapat juga sebuah kategori wang hantaran yang unik yang dipanggil sebagai Dos Receptitia yang bermaksud sejenis hantaran yang diberikan oleh pihak lain selain daripada bapa atau bapa pengantin tetapi dengan syarat wang hantaran itu harus dipulangkan semula apabila si pengantin perempuan menemui ajal.

Senang cerita, wang hantaran dalam masyarakat Rom ialah sejenis harta yang diberikan oleh keluarga pengantin atau pihak lain kepada pengantin untuk membantu mereka mendirikan rumah tangga yang stabil.

4. India

Di India, sistem kasta kelihatan mempengaruhi bagaimana wang hantaran dan mas kahwin berfungsi di sana. Biasanya, soal yang melibatkan wang hantaran dan juga mas kahwin di India melibatkan kasta tertinggi sahaja seperti Brahmin manakala kasta-kasta rendah diharamkan sama sekali melibatkan pengunaan wang hantaran dan mas kahwin dalam perkahwinan mereka.

Namun ada sejarawan berbeza pendapat mengatakan bahawa wang hantaran sebenarnya tidak wujud dalam sejarah India. Sejarawan ini mengatakan bahawa wang hantaran hanyA diberikan pada perkahwinan yang menyalahi undang-undang Vedic yang wujud di India ketika itu. Antaranya mereka memetik catatan yang berkaitan dengan perkahwinan di zaman purba India yang mengatakan bahawa penduduk India Purba tidak mementingkan wang hantaran dalam perkahwinan mereka.

Mereka mencadangkan bahawa amalan wang hantaran ini hanya muncul di India ketika pengaruh Islam dan Eropah mula memasuki India pada sekitar abad ke-11 Masihi hingga abad ke-16 Masihi.

5. China

Di China, amalan wang hantaran dipanggil sebagai Jiàzhuāng (嫁妝) dalam lidah masyarakat lokal China. Ianya dijejak seawal zaman purba China sehinggalah ke hari ini. Biasanya bentuk hantaran di China dalam bentuk tanah, barang kemas, duit sehinggakan kepada koleksi pakaian dan barang kegunaan rumah.

Dalam kepercayaan China, semua harta-harta dalam sebuah keluarga dimiliki oleh keluarga kecuali harta-harta yang dijadikan sebagai hantaran dalam perkahwinan. Kalau tanah dijadikan sebagai hantaran dalam perkahwinan, maka tanahlah yang diwarisi kepada pengantin perempuan. Bahkan dicatatkan bahawa harta-harta wang hantaran ini turut diwarisi kepada anak perempuan dan ianya kan diwarisi kepada anak perempuannya yang lain.

Hal ini kerana pada zaman tersebut, perempuan tidak mempunyai hak yang sama rata seperti orang lelaki untuk memiliki harta. Maka antara satu-satunya cara kaum wanita memiliki harta ialah melalui wang hantaran.

6. Eropah

Sekejap… Eropah turut mempunyai adat hantaran dalam perkahwinan? Ya tuan-tuan dan puan-puan. Bahkan terkadang ianya lebih dasyat dari beberapa bahagian di Asia Tuan.. Sebab itu jugalah di Eropah kita mendapati bahawa antara hukuman perogol atau penculik ialah mereka harus menyediakan duit untuk hantaran anak gadis yang mereka culik dan rogol. Dalam cerita rakyat dan karya seni mereka ada menggambarkan tentang amalan penghantaran di Eropah.

I. England

Di England, kegagalan untuk menyediakan hantaran mampu membawa kepada pembatalan sebuah perkahwinan. Seorang sasterawan terkenal Inggeris bernama William Shakespeare pernah merakamkan hal ini dalam karyanya King Lea di mana digambarkan bahawa apabila Raja Lear tidak mahu membayar hantaran kepada Cordelia, maka perkahwinan mereka dibatalkan serta-merta.

II. Perancis

Cerita tradisi Cinderella ialah berasal daripada Perancis seringkali ditafsirkan oleh pakar cerita rakyat sebagai perlambangan kepada persaingan antara ibu tiri dan juga anak tirinya dalam menyediakan hantaran untuk berkahwin dengan anak raja.

Bahkan dalam sebuah Opera La Caenerontola dengan jelas mengkritik budaya penghantaran di sana apabila amalan ini diangkat atas nama keperluan dalam setiap perkahwinan.

Bahkan amalan penghantaran di Eropah turut menarik gereja-gereja di Eropah untuk menyediakan tabung bagi membantu kaum wanita yang miskin yang tidak mampu menyediakan wang hantaran untuk perkahwinan.

Bahkan terdapat sebuah buku di Russia yang memberi panduan dan nasihat menyediakan harta dan wang bagi hantaran perkahwinan. Buku tersebut bernama Domostroy dan dipercayai berasal sekitar abad ke-15 Masihi.

Bahkan di England, tradisi yang sama dilihat di China turut dilihat pada zaman Victoria England di mana hantaran ini turut dilihat sebagai harta yang diwarisi dari pengantin perempuan kepada anak perempuannya. Harta itu hanya akan dipulang kepada keluarganya semula sekiranya pasangan tersebut mati tanpa mempunyai waris.

7. Benua Amerika

a.) Pribumi Amerika

Laporan etnografi yang dibuat menyatakan bahawa sekurang-kurangnya terdapat lebih kurang 6 peratus penduduk asli benua utara Amerika yang mengamalkan adat hantaran dalam perkahwinan mereka.

Amalan menukar hantaran yang wujud dalam masyarakat Melayu hari ini turut dapat dilihat pada penduduk asli Amewrika. Sebagai contoh, sekiranya pengantin lelaki menghadiahkan seekor kuda kepada pengantin perempuan, maka pengantin perempuan perlu membalas hantaran yang dibuat oleh pengantin lelaki. Biasanya pertukaran hadiah didasarkan atas hadiah yang sama kualiti dan harga.

b.) Mexico

Di Mexico, amalan hantaran ini dibawa oleh penjajah Sepanyol ke atas masyarakat pribumi Mexico. Perbezaan ketara di Mexico ialah undang-undang Sepanyol memberi hak kepada pengantin untuk menentukan jumlah hantaran mereka. Tetapi seperti kebanyakan di benua Eropah, kaum perempuan tetap mempunyai hak ke atas wang hantaran yang diberikan ketika perkahwinan.

c.) Amerika Syarikat

Terdapat sebuah legenda di Amerika yang melibatkan tradisi hantaran ini. Dicatatkan bahawa John Hull seorang pelombong timah di Boston, Amerika telah menetapkan hantaran untuk perkahwinan anak perempuannya. Dikatakan bahawa hantaran untuk anak perempuannya berupa siling perak yang dikumpulkan untuk sama berat dengan anak perempuannya.

Amalan hantaran dibawa oleh Inggeris ke bumi Amerika dan seperti di kebanyakan negara Eropah, kaum perempuan akan memiliki hantaran tersebut dan berhak mewarisi kepada anak perempuannya.

8. Tamadun Melayu

Puteri Gunung Ledang ialah contoh dalam sejarah Melayu di mana hantaran yang diminta untuk melangsungkan perkahwinan sangat tidak masuk akal. Dalam sejarah, hantaran yang tidak masuk akal ialah tanda orang Melayu menolak peminangan. Bahkan kerana tinggi seni dan budaya orang Melayu, menolak peminangan pun boleh digambarkan dengan begitu cantik oleh Puteri Gunung Ledang.

Itulah hakikatnya dalam sejarah Melayu apabila hantaran biasanya tinggi-tinggi. Untuk menolak peminangan. Tetapi orang Melayu moden hari ini sudah tidak kenal adat dan budaya mereka sehinggakan menjadikan pula hantaran tinggi dalam perkahwinan sebagai keperluan. Ini memberi fitnah kepada adat dan budaya asal orang Melayu.

[Kesimpulan]

Dalam membuat dakwaan tertentu kononnya bahawa sebuah adat dan budaya datang dari bangsa tertentu, sebuah kajian harus dibuat dengan teliti. Seperti mana dakwaan si buta sejarah di internet ini bahawa kononnya amalan hantaran itu hak milik eklusif agama Hindu sahaja sudahpun berjaya dipatahkan oleh saya.

Kata putus dari pembentangan hujah saya di atas ialah bahawa sesungguhnya amalan hantaran ini wujud dalam pelbagai bangsa yang pernah berdiri di atas muka bumi ini.

Ianya adalah sejenis budaya universal yang sama seperti budaya persandingan. Budaya universal yang dimiliki oleh pelbagai bangsa di dunia.

-HE-

Comments

comments

Previous articleAmalan Buka Pintu Rezeki
Next articlePidato Charlie Chaplin Yang Terhebat
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here