Kesultanan Perlak: Antara Kerajaan Islam Terawal Di Nusantara

0
1055
views

Kesultanan Perlak diasaskan pada tahun 840 dan berakhir pada tahun 1292. Kesultanan Perlak diasaskan oleh Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah tepat pada 1 Muharram 840 Masihi. Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz merupakan putera kepada Ali Bin Muhammad Bin Imam Jafaar As Sadiq berketurunan Rasulullah s.a.w dan Puteri Makhdum Tansyuri, puteri Raja Jeumpa, Pangeran Salman Al Farisi dan adik kandung kepada Syahri Nawi, Meurah atau Raja Negeri Perlak yang berketurunan Parsi.

Kedatangan agama Islam ke negeri Perlak bermula apabila 100 rombongan pendakwah Islam yang dipimpin oleh Nakhoda Khalifah dan salah seorang ahli rombong pendakwah tersebut ialah Ali Bin Muhammad Bin Imam Jafaar As Sadiq. Rombongan pendakwah Islam yang dipimpin oleh Nakhoda Khalifah telah dihantar oleh Dinasti Fatimiyyah di Mesir untuk menyebarkan agama Islam di negeri Perlak. Ali Bin Muhammad Bin Imam Jafaar As Sadiq telah berkahwin dengan Puteri Makhdum Tansyuri, adik perempuan kepada Meurah Perlak, Syahir Nawi dan hasil perkahwinan mereka telah melahirkan Sultan Alaiddin Sayyid Maulaan Abdul Aziz yang merupakan pengasas Kesultanan Perlak. Kesultanan Perlak juga menjadikan mazhab Syiah sebagai mazhab rasmi Kesultanan Perlak.

Menurut Wan Hussein Azmi dalam buku beliau, Islam di Aceh mengatakan kedatangan mereka ada kaitan Revolusi Syiah di Parsi yang terjadi pada tahun 744 – 747. Revolusi Syiah ini pimpin oleh Abdullah Bin Muawiyah keturunan Sahabat Nabi s.a.w, Sayiddina Jafaar As Sadiq r.a. Abdullah Bin Muawiyah juga berjaya mendirikan kerajaan di Madian dan menakluki beberapa bandar besar yang lain seperti Ray, Isfahan dan Qamis. Namun begitu, Amir Bin Dabbarah, Gabenor Bani Abbasiyyah berjaya mengalahkan Abdullah Bin Muawiyah serta pengikutnya dan akhirnya melarikan diri ke Timur Jauh seperti Sumatera, Tanah Melayu dan China.

Selain itu, Marco Polo singgah ke negeri Perlak sebelum pulang ke Eropah mengatakan negeri Perlak merupakan negeri Islam dikelilingi lima negeri kafir yang lain seperti Lambri. Kerajaan Lambri merupakan sebuah negeri kafir dimana penduduknya menyembah berhala dan mengirim upti ke negeri China yang dibawah pemerintahan Dinasti Yuan.

Kesultanan Perlak memain peranan penting dalam penyebaran agama Islam di seluruh Nusantara dan menghantar beberapa pendakwah Islam ke Tanah Jawa dan kebanyakan mereka adalah keturunan Ahlul Bait. Selain itu, Perlak juga mempunyai Majlis Fatwa yang dipimpin oleh Mufti bagi membincangkan dan menangani masalah – masalah dalam hukum – hakam agama.

Selain itu juga, Kesultanan Perlak juga membangunkan beberapa madrasah dan zawiyah yang bertujuan untuk melahirkan pendakwah – pendakwah Islam. Ketika zaman pemerintahan Sultan Perlak kedua, Sultan Sayyid Maulana Abbas Syah (888 – 913) telah membuka sebuah pusat Pendidikan Islam yang dinamakan “Dayah Bukit Ce Breek”. Pada tahun 912, seorang kerabat diraja Perlak yang bernama Tengku Muhammad Amin telah membuka sebuah Pusat Perguruan Tinggi Agama Islam yang pertama di Nusantara iaitu “Zawiyah Manyang Cot Kala”.

Pada zaman pemerintahan Sultan Perlak yang ketiga, Sultan Alaiddin Syed Maulana Abbas Shah, fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah mula disebarkan ke negeri Perlak. Setelah beliau wafat pada tahun 913, berlakunya konflik perpecahan diantara kaum Sunni dan Syiah sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara Perlak. Perang saudara Perlak dimenangi oleh kaum Syiah yang dipimpin oleh Sultan Alaiddin Syed Maulana Ali Mughat Syah.  Walaubagaimanapun, kaum Sunni berjaya merampas kekuasaan negeri Perlak daripada tangan kaum Syiah selepas kemangkatan Sultan Alaiddin Syed Maulana Ali Mughat Syah.

Pergolakan antara kaum Sunni dan Syiah menyebabkan Kesultanan Perlak berpecah kepada dua iaitu Perlak Pesisir dipimpin oleh kaum Syiah (Sultan Alaiddin Syed Maulana Syah) dan Perlak Pendalaman dipimpin oleh kaum Sunni (Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat).Walaubagaimanapun, Kesultanan Perlak disatukan kembali oleh Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat selepas berjaya merampas kembali Perlak Pesisir daripada kekuasaan Empayar Sriwijaya.

Kesultanan Perlak berakhir apabila Sultan Perlak ke 18, Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat mangkat dan Sultan Muhammad Az Zahir, putera Sultan Malikussaleh dan Sultan Samudera Pasai kedua menyatukan negeri Perlak ke dalam Kesultanan Samudera Pasai pada tahun 1292. Menurut Sulalatus Salatin, saat penyatuan Kesultanan Perlak ke dalam Kesultanan Samudera Pasai, kebanyakan para penduduk Perlak melarikan diri lalu ke negeri Samudera.

Rujukan:

  1. Kesultanan Perlak, http://melayuonline.com/ind/history/dig/371/kesultanan-perlak
  2. Hilmy Bakar Almascaty, Kerajaan Jeumpa Aceh Khilafah Islam Pertama Di Alam Melayu, Sebuah Kajian Sosio-Antropologis-Ekonomis, https://www.scribd.com/document/12075778/KHILAFAH-ISLAMIYAH-PERTAMA-DI-ALAM-MELAYU
  3. Hilmy Bakar Almascaty, Kerajaan Islam Pasai-Aceh Dan Peranannya Dalam Menaklukkan Kerajaan Jawa-Hindu Majapahit (Kajian Terhadap Peran Walisongo Dalam Islamisasi Jawa) https://www.scribd.com/document/12075241/KETIKA-PASAI-MENAKLUKKAN-MAJAPAHIT
  4. Yakin, A. U. (2016). Islamisasi dan Syariatisasi Samudera-Pasai Abad ke-14 Masehi. ISLAMICA: Jurnal Studi Keislaman, 9(2), 269-294.
  5. Tun Suzana Tun Othman (2011), Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah SAW & Ulama Umarak di Alam Melayu.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here