7P Adalah Rahsia Penyebaran Islam Di Nusantara. Apakah Ia?

0
1056
views

Bismillah. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas junjungan Rasululllah SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat ridwanullah ‘alaihim ajma’in. Salam kasih kita kepada sekalian tabien, tabi tabien, para ulama dari salaf dan khalaf, para ulama mutaqaddimun dan mutakhirun. Tidak dilupakan kecintaan kita kepada sekalian Auliya Allah, Para Ulama’ yang haq, para Sultan yang benar lagi berdaulat serta para pahlawan serta laksamana yang menjadi asbab penyebaran Islam di tanah air tercinta. Salam ingatan kepada sekalian Guru yang padanya kita mengambil manfaat dan bersandar sanad. Al fatihah.

Kita berehat sebentar ilmu perkerisan. Terima kasih atas sokongan pembaca pada artikel keris hamba yang sebelum ini. Pada tulisan kali ini, hamba suka untuk berkongsi tentang apakah formula atau rahsia gerakan Ulama’ dahulu hingga Islamnya wilayah Nusantara ini tanpa peperangan dan secara damai. Jika kekuatan Tuah kata P.Ramlee pada huruf Ta, maka Rahsia dakwah di kepulauan ini terletak pada 7P. Apakah ia 7P?.

[1] PERNIAGAAN – Dakwah melalui Jalan Perniagaan / Perdagangan.

Sejarah merakamkan kedatangan Islam ke negara ini didorong oleh kemasukan para pendakwah melalui aktiviti perdagangan yang berkembang pesat terutamanya pada zaman kegemilangan Kerajaan Melaka.

Islam disebarkan melalui akhlak dan tingkah laku para pedagang yang terpuji, mendekati pihak Istana dan pemerintah sekaligus melahirkan ulul amri dan rakyat yang patuh kepada syariat. Menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi.

Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi.

[2] PEMERINTAHAN – PERLUASAN KUASA – Dakwah melalui Jalan Pemerintahan.

Dua buah negara yang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui usaha penaklukan ialah Melaka (pada abad ke-15) dan Acheh (pada abad ke-16 dan 17). Di zaman keagungan Melaka, Melaka telah menakluki banyak daerah dari negeri di Semenanjung dan juga Sumatera seperti Pahang, Kedah, Siak, Rokan, dan lain-lain Iagi. Melalui penaklukan ini, Islam telah disebarkan ke negeri-negeri tersebut.Kebiasaannya, raja di sesebuah negeri yang ditawan tidak sukar diislamkan kerana secara sukarela mereka menerima Islam sebagai satu Iangkah untuk mendapatkan layanan yang baik dari pemerintah negeri yang menawannya. Pengislaman raja sesebuah negeri biasanya diikuti oleh rakyat.

Lantaran melihat betapa penting Umat Islam mempunyai Raja atau Sultan sebagai pengabsahan kedaulatan syariah Islam kerana apapun perbahasan dan keputusan para ulama’ akan suatu hukum tidak akan menjadi suatu yang ‘legal’ melainkan adanya titah Raja berdaulat. Justeru itu, para Ulama’ telah memanfaatkan keadaan sosial politik ketika itu yang berpaksikan kepada kedaulatan Raja secara belakang tabir dan masuk ke dalam Istana, mengislamkan Raja sehingga antara mereka menjadi penasihat berpengaruh kepada Raja itu sendiri. Peranan Tokku Paloh, Tok Pulau Manis, Syaikh Syamsuddin Al Sumatrani antara figur ulama’ yang berdamping dengan Sultan. Sebahagian ulama’ sendiri mengambil peranan menjadi Sultan atau Raja pemerintah apabila melihat adanya ruang dan kerajaan sedia ada tidak dapat berperanan. Beberapa contoh dapat kita lihat ialah;

i. Sunan Gunung Jati, (salah seorang Wali Songo) Kesultanan Cirebon. Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati pada tahun 1479 telah diangkat menjadi Sultan Kesultanan Cirebon menggantikan Pangeran Walangsungsang dengan bergelar Sultan Syarif Hidayatullah atau Ingkang Sinuhun Kangjeng Susuhunan Jati Purba Panetep Panatagama Awlya Allah Kutubid Jaman Khalifatur Rasul. Kesultanan ini menjadi kerajaan ternama di Jawa Barat pada abad ke15 dan 16M. Lokasinya di pantai Utara Pulau Jawa yang merupakan sempadan antara Jawa Tengah dan Jawa Barat membuatkan menjadi jambatan antara kebudayaan Jawa dan Sunda. Salah seorang putera Sunan Gunung Jati bernama Maulana Hasanuddin telah diangkat menjadi Raja di Banten dan bergelar Sultan Maulana Hasanuddin, Sultan Pertama Kesultanan Islam Banten. Sultan Hasanuddin Ibni Syarif Hidayatullah pula telah membina Masjid Agung Banten sebagai pusat pendidikan dan telah meluaskan wilayh dan menyebarkan Islam ke Lampung dan daerah-daerah sekitar Sumatera Selatan.

ii. Sayyid Abu Bakar. Seorang Sayyid dari Johor yang merupakan pendakwah Islam di Sulu. Beliau datang ke Brunei dan Sulu pada tahun 1450M dan menjalankan dakwah di Sulu hingga mengambil keputusan tinggal secara tetap. Kemudiannya, berkahwin dengan anak Rajah Baginda, pemerintah tempatan dan susuk yang sangat dihormati dan diangkat menjadi wakil Rajah Baginda. Setelah kemangkatan Rajah Baginda, Sayyid Abu Bakar ditabalkan menjadi Sultan pertama Sulu dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Sultan Shariful Hashim. Menjadi Sultan pertama Kesultanan Sulu bergelar Paduka Mahasari Maulana Sultan Shariful Hashim. Baginda berjaya menubuhkan Kesultanan yang kukuh di kepulauan Sulu hingga berpengaruh ke pulau-pulau Visaya, Luzon, Sulawesi, Palawan dan Borneo Utara termasuk Sabah.

iii. Raden Patah, murid dan menantu kepada Sunan Ampel. Sunan Ampel mendapat petunjuk supaya dibinanya pemerintahan untuk memayungi dakwah Islam di Jawa menggantikan kerajaan Majapahit yang sudah melemah. Lalu tertegak Kesultanan Demak, yang mana Sunan Ampel telah mencaturkan agar menantunya Raden Patah, Putera kepada Raja terakhir Majapahit Prabu Wijaya menjadi Sultan.

Kesultanan Demak merupakan kerajaan Islam pertama di tanah Jawa dan telah berperanan besar dalam proses Islamisasi Jawa ketika itu (menjadi pusat penyebaran Islam). Sunan Ampel telah berpesan kepada Raden Patah jangan sesekali menyerang kerajaan Majapahit kerana Raja Brawijaya tetap Ayahanda Raden Patah walau berbeza agama.

v. Syarif Muhammad Kebungsuan, Kesultanan Maguindanao. Baginda yang turut dari Johor merupakan saudara kandung Sayyid Abu Bakar atau Sultan Shariful Hashim – Sultan Sulu pertama. Kedatangan Syarif Muhammad Kebungsuan sekitar tahun 1515M di bahagian pantai barat Mindanao dalam usaha menyebarkan dakwah. Akhirnya Syarif Muhammad Kebungsuan mendapat pernyataan taat setia daripada ketua-ketua suku penduduk Mindanao yang memeluk Islam ditangannya. Dari keturunan Sultan Syarif Muhammad Kebungsuan, lahirlah generasi pemerintah ahlul bait Rasulullah di Mindanao.

Penulis (angahsunan) di Patikul, Kepulauan Sulu (ketika kembara disana)

vii. Sharif Ali. Diriwayatkan Sharif Ali dari keturunan Rasulullah saw melalui jalur Sayyidina Hasan RA. Beliau berasal dari Taif, Jazirah Arab datang ke Brunei pada sekitar tahun 1395M. Menurut catatan tarsilah Brunei, Sharif Ali sebenarnya pernah menjadi penguasa di Makkah. Baginda menyebarkan Islam di Brunei dan akhirnya Sultan Ahmad (Sultan Brunei kedua) berkenan mengahwinkan Puteri Ratna Kesuma (anak Baginda) dengan Sharif Ali. Selepas kemangkatan Sultan Ahmad yang tidak punyai waris lelaki, rakyat jelata telah mengangkat Sharif Ali sebagai Sultan Brunei ketiga dengan gelar Sultan Sharif Ali Barakat. Maka bermulalah keturunan Kesultanan Brunei dari Jalur keturunan Rasulullah (ahli bait) memerintah Brunei.

Zuriat keturunan Sultan Sharif Ali kemudian berkembang menurunkan Sultan Kesultanan Brunei, Sultan Kesultanan Sambas (di Kalimantan) dan sebahagian Sultan Kesultanan Sulu.

vi. Syarif Idrus Al Idrus – Kesultanan Kubu. Sayyid Idrus bin Sayyid Abdul Rahman Al Idrus dilahirkan di Hadramaut, Yaman bersama-sama rombongan dakwah berjumlah 45 orang telah singgah di Palembang, Semarang, Sukadana dan Mempawah. Akhirnya mendirikan perkampungan baru di daerah Suka Pinang sekitar tahun 1720 M. Kampung ini berkembang pesat sehingga didatangi penduduk Dayak yang ramai memeluk agama Islam, kemudian dipindahkan ke daerah Kubu.

Tuan Besar Syarif Idrus dan keturunannya memerintah kerajaan Kubu selama 186 tahun hingga tahun 1958M, kedaulatan Kerajaan Kubu dilupuskan oleh Republik Indonesia.

3. PERKAHWINAN –Dakwah Melalui Perkahwinan.

Ramai Ulama’ yang datang ke alam Melayu berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri. Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.

Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan siyasah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.

Para Ulama’ yang datang ke wilayah nusantara ini juga telah berkahwin ramai (lebih dari seorang) untuk meramaikan zuriat dan isteri-isteri mereka dari latar belakang, anak pembesar dan wilayah yang berbeza. Kemudian anak keturunan para ulama yang ramai ini menyambung perjuangan nenda mereka. Biar kita ambil contoh:

Sayyid Husein Jamadil Kubro

Sekitar pertengahan abad ke-14, Sayyid Husein Jamadil Kubro, keturunan Rasulullah saw dari jalur Sayyiduna Husein telah meninggalkan India untuk mengembangkan dakwah ke dunia Timur. Antara catatan perkahwinan beliau:

i. Sayyid Husein berkahwin dengan Puteri Linang Cahaya (adik perempuan Raja Bharubahsa, Sultan Kerajaan Langkasuka). Mendapat Sayyid Barakat Zainal Alam dan seorang Puteri bernama Aisyah.

ii. Sayyid Husein berkahwin dengan Puteri Ramawati (Puteri Raja Champa yakni Sultan Zainal Abidin). Perkahwinan ini melahirkan Sayyid Ibrahim Asmoro atau Sayyid IbrahimAs Samarqandi. Sayyid Ibrahim Asmoro pula mendapat anak bernama Raden Ahmad Rahmatullah (sunan Ampel). Perkahwinan Sunan Ampel melahirkan tiga Wali Songo iaitu Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang), Syarifuddin Hasyim (Sunan Drajat) dan seorang puteri yang kemudian berkahwin dengan Sunan Kalijaga.

iii. Sayyid Husein juga mempunyai seorang anak bernama Maulana Ishak. Maulana Ishak yang juga dihantar ke Jawa oleh ayahnya bersama saudaranya Sunan Ampel telah berkahwin dengan puteri Raja Blambangan Menak Sambuyu Dewi Sukardadu dan hasil perkahwinannya mendapat Raden Paku atau Sunan Giri. Sunan Giri telah membangunkan Keraton Giri sebagai gerakan yang menyediakan pendakwah dan penggerak yang menyatukan Kerajaan Pulau Madura, Bawean, Kangean, Ternate dan Maluku di bawah panji Islam.

iv. Sayyid Husein (ketika berusia 80 tahun) berkahwin dengan Puteri Selindung Cahaya iaitu puteri Sultan Baki Shah ibni Raja Bahrubasa. Dari perkahwinan ini mendapat Sayyid Ali Nurul Alam atau juga dikenali Patih Aria Gajah. Di Patani, Sayyid Ali Nurul Alam dimasyhurkan dengan nama Sultan Qunbul setelah diangkat menjadi Sultan di Patani Darusalam.

Sayyid Ali Nurul Alam pula melahirkan tiga orang putera yakni Wan Husein, Wan Abu Abdullah Umdatuddin atau Wan Bo Tri-Tri dan Wan Alimuddin.Beliau juga menjadi moyang bagi keturunan yang mewarisi Kerajaan Patani dan Kelantan.

Kalau terus menyambung berhubung keturunan Sayyid Husein Jamaluddin Kubro serta pengaruh besar anak zuriatnya terhadap dunia Islam di Timur, boleh jadi satu buku.

Jelas, tercatat dalam sejarah, Sayyid Husein Jamadil Kubro seorang Wali Allah, pendakwah dan induk kepada ramai alim ulama’, Sultan di Nusantara mangkat di daerah Wajok, Sulawesi Selatan.Tahun kedatangannya ke Sulawesi pada tahun 1452M dan wafat pada tahun berikutnya 1453M.Semoga Allah mengangkat darjatnya terhadap tokoh Islam yang besar ini.

Sunan Gunung Jati

Salah satu strategi dakwah yang dilakukan Syarif Hidayatullah atau lebih dikenali sebagai Sunan Gunung Jati dalam memperkukuhkan kedudukan sekaligus memperluaskan hubungan dengan tokoh-tokoh berpengaruh di Cirebon termasuklah pernikahan. Dalam Babad Tanah Sunda, ada menceritakan Syarif Hidayatullah pernah bernikah tidak kurang 6 wanita. Antara catatan perkahwinan Sunan Gunung Jati ialah seperti berikut:

Selesai pengajiannya, beliau diarahkan gurunya untuk membuka pesantren di Gunung Jati, Cirebon.Sehingga kini, Syarif Hidayatullah lebih masyhur dengan gelaran Sunan Gunung Jati.Tiba suatu saat yang ditentukan, Pangeran Cakrabuana menikahkan anaknya iaitu Nyai Pakungwati dengan Syarif Hidayatullah. Pada tahun 1479M, lantaran usianya sudah lanjut, Pangeran Cakrabuana menyerahkan kekuasaan negeri Caruban kepada Syarif Hidayatullah dengan menggelarkan beliau Susuhan atau maksudnya Tokoh yang dijunjung tinggi.

Syarif Hidayatullah kemudian melanjutkan perjalanannya ke Serang. Kedatangan beliau disambut baik oleh Adipati Banten. Syarif Hidayatullah kemudian dijodohkan dengan puteri Adipati Banten yang bernama Nyai Kawungten. Dari pernikahan ini, dia dikurnia dua anak, Nyai Ratu Winahon dan Pangeran Sabangkingking. Pangeran Sabangkingking kemudian dikenali sebagai Sultan Maulana Hasanudin, dan diangkat menjadi Sultan Banten yang pertama.

Ketika bertamu ke Negara China ketika zaman Dinasti Ming, Sunan Gunung Jati dijodohkan dengan seorang Puteri Maharaja China yang bernama Puteri Ong Tien. Puteri Ong Tien adalah puteri kepada Maharaja Hongzhi iaitu Maharaja China Era Dinasti Ming yang berkuasa antara tahun 1487-1505M.

[Tulis perihal salasilah Raja dan Ulama’ dahulu, memang mencabar dan boleh jemput rasa mengantuk dengan cepat. Nama yang sama tetapi individu berbeza dan serta rekod perkahwinan tak berdaftar antara ‘puzzle’ yang mesti dikaji dengan pelbagai sumber. Kita beruntung kerana orang dahulu terutama dari Raja, Ulama’ Keturunan Raja, Sayyid dan bangsawan, mereka mencatat dan mengkhazanahkan catatan salasilah nasab ke satu generasi ke satu generasi]

Tradisi perkahwinan sesama keluarga Ulama, kiyai di Jawa diteruskan hingga kini, hasilnya boleh dikatakan semua Kiyai di tanah Jawa khususnya mempunyai pertalian keluarga dan bertemu nasab di moyang mereka yakni Wali Songo. Faktor kekeluargaan ini boleh menjadi faktor besar dalam menyatukan para ulama’ dan kiyai walau mereka mempunyai perbezaan idea dan pendekatan.

Mutaakhir ini, sudah banyak gerakan ulama’ yang berteraskan kekeluargaan dan berfikir untuk kesatuan Ummah. Syukur !

4. PERSILATAN – Dakwah Melalui Persilatan.

Persilatan di alam melayu telah membawa pengaruh yang besar dalam membentuk jati diri tauhid, adab dan siyasah para penuntutnya. Salasilah perjalanan silat bersambung kepada para ulama’ dan dikatakan asal kalimat Silat itu adalah dari Silaturahim. Tujuan silat adalah menjaga silaturahim bukan menyombong diri apatahlagi bermusuhan sesama anak bangsa. Setiap jurus silat itu ada seni dan falsafah tauhid. Wasilah persilatan sangat senang menarik anak muda khususnya untuk belajar. Dalam pembelajaran, Guru akan mengajar ilmu agama, solat, akhlak dan tasauf (yang ditekankan jangan sombong).

Setiap silat ada gerak dan falsafahnya, namun terasnya adalah tauhid dan jati diri. Sebagai contoh, Teras Pendidikan Seni Silat Gayong (Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam).

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:

Ga – mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan al-marhum Dato’ Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.

Alif – mewakili angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Ya – mewakili yakin. Bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

Wau – mewakili waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

Nga – mewakili ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T dan azab seksaanNya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong dan kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam saat-saat genting.

Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Intaha.

Anak jati warisan bangsa melayu adalah pemilik Tauhid Makrifat, adab dan budi bahasa yang indah, bijaksana dalam melangkah, dan hebat dalam ilmu tempur persilatan. Gerak Silat atau Jurus yang tiada berdiri atas Tauhid Syuhudi maka ia tiada kekuatan Illahiah tetapi hanya kekuatan yang berasaskan zahiriah semata-mata seperti latihan fizikal, gerak langkah, tenaga dalam, khadam wirid dan lain-lain. Hamba ada menulis panjang hal ini di blog peribadi hamba.

“Silat Melayu indah tarinya
buahnya penuh keperkasaan
Batinnya silaturrahim dengan Tuhannya.
Zahirnya silaturrahim sesama insan.
Hidupkan kembali duhai anakku dengan warisan budaya bangsa ini demi pertahankan agama, negara dan maruah diri”

5. PERUBATAN – Dakwah Melalui Perubatan.

Sejarah mencatatkan bahawa Perubatan menjadi satu wasilah penting dalam penyebaran Islam di Nusantara. Biar kita ambil contoh kisah Maulana Malik Ibrahim. Pada waktu Maulana Malik Ibrahim sampai di Tanah Jawa, kerajaan Majapahit berada di ambang keruntuhan disebabkan perang saudara merebut takhta. Sehingga, keadaan pada masa itu dipenuhi dengan rusuhan, rompakan dan masalah sosial, kebuluran dan wabak penyakit.

Maulana Malik atau gelarnya Sunan Gresik membuka tempat rawatan dan menjadi tabib. Proses rawatan beliau menggunakan doa-doa yang diambil dari Al-Quran serta ramuan daun-daunan, dengan Izin Allah, ia telah menyembuhkan penyakit. Beliau pun seakan menjelma menjadi ”penolong” bagi masyarakat Jawa ketika itu. Apalagi, beliau tidak pernah minta dibayar.

Di tengah komuniti masyarakat Hindu di kawasan itu, beliau cepat dikenali, karena beliau tidak mengikut sekatan kasta yang menjadi lumrah dalam pegangan penganut Hindu. Beliau malah memperlakukan semua orang sama darjat. Maulana Malik Ibrahim menjelaskan bahawa dalam agama Islam, semua manusia sama darjat disisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah.

Dalam perubatan, para pesakit akan menyerahkan dirinya untuk diubati, disitu para ulama’ mengambil peluang menjaga tauhid, memberi amal zikir (dalam fasa penyembuhan) kepada pesakitnya.

6. PENDIDIKAN – ( Dakwah Melalui Pendidikan).

Sudah pasti, para ulama’ juga menggunakan wasilah pendidikan dalam penyebaran agama Islam. Jika kita pecahkan lagi, pergerakan pendidikan itu terbahagi kepada TIGA METODE:

i. Penulisan. Karya para ulama’ Nusantara, baik yang telah berupa cetakan atau masih dalam bentuk manuskrip atau tulisan tangan (makhthûthâth), jumlahnya sangat besar.Salah satu sumber dari Aceh menyebutkan, khusus karya ulama’ di Aceh sebelum terjadinya tsunami saja diperkirakan mencapai 10,000 naskah. Karya-karya ulama’-ulama’ lainnya tersebar luas di berbagai wilayah Indonesia seperti Banten, Jawa Tengah, Jawa Timur, Banjarmasin, Palembang, Makassar, Gowa, Bone, Lampung, Acheh, Tanah Melayu, Fathani, Champa dan seterusnya. Tokoh-tokoh ulama’ besar Nusantara yang memiliki karya-karya fenomenal yang menyebar di berbagai wilayah nusantara.

ii. Madrasah. Boleh dikatakan hampir semua ulama’ mendirikan madrasah, pondok atau pesantren untuk menyiapkan generasi menguasai disiplin ilmu Islam secara menyeluruh agar lahirnya ulama’ rabbani mentarbiyah Ummat.

iii. Penyucian jiwa (ilmu Tasauf). Ini sangat penting. Para ulama’ dahulu selain menyebarkan pendidikan fiqh dan llmu syariat yang lain, para ulama’ dahulu sangat mengambil perhatian proses sulukiah rohaniah para murid dan masyarkat yang menjadi dasar dalam sistem pendidkan di madrasah. Ulama’ turun dalam masyarakat mengajar zikir, membimbing sulukiah hingga hati-hati murid mencapai perubahan dan hal ehwal keasyikan Syuhudiah kepada Allah dan Mahabbah (cinta) kepada Rasul hingga lahir akhlak tasauf kepada diri mereka. Oleh kerana para pendakwah yang datang ke Nusantara dahulunya kebanyakan ulama’sufi, pendekatan mereka sangat hikmah dan berakhlak tinggi menjadi sebab orang tertarik kepada Islam.

7. PEMBUDAYAAN – Dakwah Melalui Kebudayaan &Kesenian.

Apabila berbicara kaedah dakwah melalui kesenian, pasti terus teringat nama Sunan Kalijaga. Sunan Kalijaga antara ulama’ yang menonjol dan terkehadapan dalam metodologi dakwah kesenian. Kisah Sunan Kalijaga memang tidak pernah padam di kalangan masyarakat pesisir utara Jawa Tengah hingga Cirebon. Terutama caranya berdakwah, yang dianggap berbeza dengan kaedah para wali yang lain.

Sunan Kalijaga telah mengusahakan dakwah dengan seni budaya yang mengakar dalam masyarakat Majapahit.Misalnya melalui wayang, gamelan, tembang, seni ukir dan batik yang sangat popular pada masa itu. Babad-babad ada mencatatkan Sunan Kalijaga sebagai penggubah beberapa tembang, di antaranya Dandanggula Semarangan paduan melodi Arab dan Jawa.

Tembang lainnya adalah Ilir-Ilir, meskipun ada yang menyebutnya sebagai karya Sunan Bonang.Liriknya mempunyai tafsir yang sarat dengan dakwah. Misalnya “tak ijo royo-royo dak sengguh penganten anyar”. Ungkapan ijo royo-royo bermakna hijau, lambang Islam. Sedangkan Islam, sebagai agama baru, dimisalkan pengantin anyar iaitu pengantin baru.

Peninggalan Sunan Kalijaga lainnya adalah gamelan, yang diberi nama Kanjeng Kyai Nagawilaga dan Kanjeng Kyai Guntur Madu. Gamelan itu kini disimpan di Keraton Jogjakarta dan Keraton Surakarta, seiring dengan berpindahnya kekuasan Islam ke Mataram. Pasangan gamelan itu kini dikenal sebagai gamelan Sekaten.

Karya Sunan Kalijaga yang juga menonjol adalah wayang kulit. Ahli sejarah mencatatkan bahawa wayang yang digemari masyarakat sebelum kehadiran Sunan Kalijaga adalah wayang beber. Wayang jenis ini di atas kertas yang bergambar kisah wayang.

Bukan sahaja Sunan Kalijaga, para Wali Songo lain juga semuanya ada mengarang karya lagu dan kesenian untuk mendekati masyarakat Jawa ketika itu yang kalah dengan seni. Media seni budaya yang tuurt diguna pakai dan diasaskan oleh wali songo iaitu melalui tembang-tembang antaranya ialah tembang mijil, sinom, asmaradhana, dhandanggula, mas kumambang, pangkur, megatruh, pucung, kinanthi, dan gambuh. Termasuk juga melalui pagelaran wayang yang ceritanya diadaptasi dan disesuaikan dengan nilai-nilai ajaran Islam antaranya : Jamus Kalimasada, Dewa Ruci, Arjuna Wiwaha dan lain-lain.

Penulis (angahsunan) ketika menjadi Moderator Pembentangan Kertas Kerja Manhaj Dakwah Wali Songo, Sebagai Pendekatan Dakwah Nusantara : Suatu Analisis, di Wacana Keharmonian Islam Di Nusantara 2017, Kota Kinabalu, Sabah.

Hari ini kita dapat melihat trend bacaan maulid, nasyid, qasidah dan selawatan dengan pelbagai gubahan dan lagu karangan ulama’ telah didendangkan di majlis keramaian. Tidak lagi terhad di bulan maulid. Ramai anak muda dan kanak-kanak menyertai dan mengambil bahagian. Lirik yang berunsurkan kisah dan kecintaan kepada Rasulullah saw telah menjadi asbab hidayah kepada hati yang dulunya keras. Buat para sahabat yang keras menentang atas alasan bidaah (walhal punca dari kefahaman sempit sendiri), lapangkan dada melihat hal ini adalah pendekatan dakwah.

11 KESIMPULAN

1.Kesemua wasilah dakwah itu berpaksikan tauhid makrifat, tasauf dan mahabbah Rasul. Ini dasar pergerakan para ulama sehingga lahir gerak kerja yang bukan membawa kepada diri atau kumpulan tapi dakwah yang mengajak kepada Allah dan Rasul semata. Benih tauhid makrifat ini juga membuahkan keikhlasan dalam gerak kerja dakwah para ulama.

2. Maka rahsia 7P di atas, ‘soul’nya terletak pada huruf Ta’ yakni Tasauf. Dakwah Islam yang disebarkan oleh para ulama’ adalah berpaksikan ajaran tasauf yang menekankan cinta kasih, persaudaraan dan kekeluargaan yang utuh. Hal ini sangat sesuai dengan keperluan masyarakat yang saat itu mengalami ketidaksatuan dan ‘chaos’ akibat perbalahan politik dan ekonomi.

3. Pendekatan para Ulama’ dahulunya juga menggunakan pelbagai method yang disesuai dengan tahap dan karakter budaya masyarakat. Tidak menggunakan ‘force’ (kekerasan) sehingga dakwahnya mencapai intipati makna dan tanpa paksaan.

4. Gerakan para ulama’ dahulu sebagai contoh Wali Songo berdakwah tidak secara individual, tetapi dalam organisasi, stratergi dan tersusun atas dasar musyawarah dan kerjasama yang baik.

5. Bukan itu sahaja, para ulama mengambil prinsip mengkeluargakan atau menjadikan individu penting bahkan musuh sekalipun sebagai keluarga mereka dengan perkahwinan. Hasilnya, wujud satu kekeluargaan Ulama’ yang besar di Nusantara yang mana bila dikaji salasilah mereka, akan bertemu pada nenek dan moyang mereka. Kekeluargaan menjadi faktor penyatu besar meskipun ada perbezaan pemikiran.

6. Faktor keperibadian Ulama’ atau Raja itu sendiri yang miliki akhlak terpuji sehingga mereka sangat dipercayai, ditaati dan diteladani.

7. Maka duhai sahabat, ayuh bertebaran ke seluruh dunia menanamkan dua benih kekuatan kebangkitan yakni tauhid makrifat (tauhid ihsan) dan mahabbah Rasul.

8. Tidak berdakwah kerana ada maksud untuk diri, ia adalah perjuangan yang kecil dan sia-sia, bergerak membina ummah tanpa ada kehendak diri, ia adalah semulia amal dan tinggi darjat di sisi Allah

9. Kepelbagaian watak manusia, adat budaya, suasana mendorong kepelbagaian metodologi dakwah. Dakwah itu tidak rigid, yang rigid itu kita.

10. Dakwah itu banyak cara, yang salahnya kita mengatakan cara kita sahaja yang paling betul dan paling menepati Rasulullah saw. Moga lapang dada kita melihat kepelbagaian ini. Ada sahabat yang dakwah guna cara politik, ada yang gunakan cara NgO, ada yang ‘sertai jemaah tabligh, tidak kurang yang menyertai gerakan dakwah sufiah, al kulli hal, jangan ada rasa merasa lebih baik, kelak kita akan terheret isu perbalahan mendakwa kumpulan mana yang lebih baik.

11. Dalam dakwah, musuh dikurangkan sahabat diramaikan dan jika boleh semua dikeluargakan.

Sebagai pentup, marilah sama-sama kita mendoakan agar para ulama, para Raja serta para pembesar termasuk pahlawan dan sekelian mereka yang menjadi asbab penyebaran Islam di Nusantara ini diangkat darjat mereka disisi Allah. Dikala generasi baru hari ini lantang pertikaikan ulama dahulu kala, diharap tulisan ini mengubati kejahilan mereka betapa berjasa dan genius para leluhur terdahulu dalam mencaturkan hingga Nusantara hari ini menjadi bumi yang teguh dengan Islam dan penuh damai. Al fatihah. Amin.

Sekian, angahsunan
sunan.angah@gmail.com

#angahsunan
#RahsiaDakwahUlama’
#JomDakwah

Rujukan ;

(1) Petikan dari kertas kerja Jejak-Jejak Dakwah & Tasauf Wali Songo oleh Sidi KH Dhiauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara, Kota Kinabalu, Sabah 2017.

(2) Sururul Ain Ututalum, Abdul Karim Hedjazi, The Rise and Fall of The Sulu Islamic Empire (1675-1919, 2002.

(3) Prof Sayyid Muhammad Naquib Al Attas, Historical Fats and Fictions, Unversiti Teknologi Malaysia, 2011.

(4) Haji Muzaffar Dato’ Haji Mohamad, (Tun) Suzana (Tun) Othman, Zuriat Rasulullah SAW dan Raja-Raja Melayu (Falsafah, Sejarah & Hikmah), Crescent News (KL) Sdn Bhd, 2013.

(5) I.Rofi’ie Ariniro, Panduan Wisata Religi Ziarah Wali Songo, penerbitan Saufa (2016)

(6) http://alumnigayonguia.tripod.com/artikel/etikagayong.htm

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here