Iktibar Dari Hunting Hitler

0
5775
views

Sesiapa yang menontonnya di saluran History (Saluran Astro 555) akan punya pandangan berbeza berkenaan program ini. Ada yang menganggap ianya satu lagi ekspedisi yang membuang masa. Ada juga beranggapan, mengapa perlu dikorek cerita zaman silam kerana Hitler tidak lagi relevan dengan zaman sekarang. Ada yang lebih radikal, menggangap ia hanya satu program realiti televisyen yang langsung tidak membina minda langsung. Bagi saya dan peminat sejarah, ia sebenarnya membuka satu ruang ke masa silam agar kita tidak mengulanginya pada masa akan datang.

HUNTING HITLER, sebuah rancangan penyiasatan sejarah yang menyiasat teori apakah Hitler dapat lari dari Berlin pada 30 April 1945 dan bukan membunuh diri seperti yang dikatakan oleh sejarah. Nampak seperti satu lagi teori konspirasi tetapi hakikatnya teori ini disiasat oleh berpuluh-puluh agensi perisikan dan penyiasatan seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Jawatankuasa Keselamatan Negara Rusia (KGB). Malah teori ini sentiasa dilaung-laungkan oleh Josef Stalin selepas Perang Dunia Kedua di mana beliau menuduh negara-negara Barat sengaja melindungi Hitler walaupun pada ketika itu, ramai beranggapan ia hanyalah satu lagi propaganda Stalin yang terlalu takut kepada bayang-bayang sendiri.

Namun fakta Hitler membunuh diri dalam bunkernya tidak lagi kukuh selepas seorang saintis menguji sampel tempurung tengkorak yang didakwa pihak Rusia sebagai tempurung tengkorak Hitler. Tetapi selepas sampel DNA diambil dan diuji di makmal, saintis mendapati tempurung tengkorak tersebut milik seorang wanita, sekaligus menolak fakta yang dinyatakan kepada khalayak umum sejak berpuluh-puluh tahun. Ini mendorong kepada pasukan penyiasat diketuai bekas pegawai perisikan CIA, Bob Baer dan penyiasat bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Dr John Cencich untuk menyiasat teori Hitler sebenarnya melarikan diri dari Berlin.

Apa yang saya boleh lihat selepas menonton kedua-dua musim Hunting Hitler, saya melihat ia sebagai ingatan bahawa apa yang kita tahu berkenaan ilmu terutama sejarah hanya pada permukaan saja. Apabila kita belajar dan mengkaji sesuatu ilmu dengan teliti dan terbuka, ia akan membuatkan kita tidak bersikap skeptik dan mengajar kita lebih matang dalam mengejar kebenaran. Ini diakui sendiri oleh Bob Baer semasa beliau mula-mula menyertai siasatan ini, beliau sendiri bersikap skeptik dan menganggap teori ini tidak masuk akal. Tetapi selepas melihat bukti dan menyiasat fail-fail risikan yang telah dinyahsulitkan berkenaan Hitler dan Nazi, beliau bersikap lebih terbuka dan percaya ianya boleh dilakukan.

Kedua, bila mana kita melihat jaringan perhubungan, perlindungan dan kewangan Nazi untuk melindungi pemimpin mereka melalui siri tersebut, ia sebenarnya mengajar saya untuk bersikap teliti dan berpandangan jauh dalam merancang. Tanpa sebarang perancangan atau rancangan yang bersifat separuh masak, apa saja perkara yang kita lakukan akan gagal dan kita akan kecundang di pertengahan jalan. Perancangan yang baik boleh membantu kita mencapai matlamat yang kita telah tetapkan terlebih dahulu. Walaupun saya akui saya amat kagum dengan jaringan mereka ini, pada masa sama, saya juga merasa marah kerana melalui perancangan sebeginilah, mereka dapat lari daripada sistem keadilan untuk masa yang lama. Antara contoh jaringan ini ialah perlindungan daripada pemerintah tempatan seperti Francisco Franco (Sepanyol) dan Juan Peron (Argentina), sokongan sesetengah kelompok yang bersimpati dengan Nazi dalam kalangan komuniti Jerman dan infrastruktur seperti rumah perlindungan dan bunker di kawasan terpencil.

Ketiga, siri ini juga mengingatkan kita untuk bersikap tabayyun terutama dalam soal berita. Ini kerana dalam siri ini, 2 juta fail risikan berkaitan Hitler telah dinyahsulit untuk diteliti para penyiasat. Bukan mudah bagi para penyiasat ini mengkaji kesahihan info yang ada tetapi ia sekurang-kurangnya memastikan mereka berada di laluan yang tepat dan menyingkirkan sebarang maklumat yang bercanggah dengan siasatan sedia ada. Begitu juga dalam soal berita, walaupun ia tidaklah sesulit fail risikan seperti yang dilakukan mereka, hendaklah kita siasat dulu kesahihan sesebuah cerita sebelum menerima dan menyebarkannya. Penyebaran cerita yang bersifat sensasi atau tular tetapi kemudian didapati palsu bukan saja mencetuskan fitnah dalam masyarakat, malah menyukarkan pihak berkuasa mencari pelaku sekiranya ia mengandungi unsur jenayah.

Keempat dan terakhir, siri ini juga mengingatkan kepada kita untuk bertanya kepada arif sekiranya kita tidak tahu sesuatu. Tiada siapa dapat mempertikaikan kredibiliti pasukan penyiasat ini di mana mereka punya latar belakang yang mengagumkan. Selain Baer dan Cencich, mereka turut disertai oleh Tim Kennedy (U.S Army Rangers) dan Gerrard Williams (wartawan penyiasatan).

Namun, sekiranya ada situasi atau bantuan dari segi maklumat, mereka juga tidak malu bertanya kepada pakar-pakar luar seperti Sascha Keil (pakar terowong Jerman) dan James Holland (penulis dan sejarawan). Jika mereka yang punya kelayakan hebat ini boleh melakukannya, mengapa tidak kita? Kita menganggap diri kita mahir dalam semua perkara tetapi bila kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak arif, mahu tidak mahu, kita kena panggil juga orang yang pakar. Sekurang-kurangnya, permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan dan kita juga boleh belajar untuk elak situasi tersebut daripada berulang.

Akhirnya, saya nyatakan secara terus terang, melihat siri ini sebenarnya mendorong saya melihat dunia daripada persepsi yang berbeza. Apakah saya percaya Hitler melarikan diri dari Berlin pada 30 April 1941? Pada saya, saya lebih menjurus kepada percaya tetapi pada akhirnya, ia bergantung kepada persepsi masing-masing. Apapun perbezaan kita berkenaan nasib Hitler, apa yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua, kita seharusnya belajar dari apa yang berlaku dan berusaha untuk tidak mengulanginya. Namun dalam iklim politik dunia semasa ini, apakah ada jaminan pengajaran tersebut akan diambil kira? Hanya masa akan menentukan.

Comments

comments

Previous articleIni Semua Salah Yahudi!
Next articleKalau Ada Bencana Alam, Macam Mana Kita Nak Survive?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here