Kerajaan Jeumpa – Antara Kerajaan Islam Terawal Alam Melayu

0
1418
views
Sumber: http://mtp6014-syauqiridha.blogspot.my/2013/05/masa-kerajaan-hindu.html

Kerajaan Jeumpa merupakan antara kerajaan – kerajaan Islam yang terawal di Alam Melayu yang didirikan antara abad yang ke-7 dan ke-8 Masihi. Sebelum itu, pada asalnya Kerajaan Jeumpa merupakan kerajaan Hindu yang telah wujud berabad-abad lamanya dan kerajaan tersebut diperintah oleh pemimpin yang menggunakan gelaran “Meurah”. Menurut ‘Ikhtisar Radja Jeumpa’ yang dituliskan oleh Ibrahim Abduh dimana beliau mendapat sumber tersebut daripada ‘Hikayat Radja Jeumpa’ , wilayah kekuasaan kerajaan Jeumpa meliputi di kawasan sekitar perbukitan dari Sungai Peudada di barat sehingga Pante Kreung Peusangan di timur.

Pusat pemerintahan kerajaan Jeumpa terletak di Desa Blang Seupeueng dan istana raja Jeumpa pula terletak di utara Desa Blang Seupeueng yang sekarang dikenali sebagai Cot Cibrek Pintoe Ubeuet atau Kabupaten Biruen, Aceh. Pada ketika zaman pemerintahan Kerajaan Jeumpa, Desa Blang Seupeung merupakan kota pelabuhan yang maju dan padat dengan penduduk. Kerajaan Jeumpa juga sudah mempunyai hubungan perdagangan dengan Cina, Arab, India dan Parsi.

Kedatangan agama Islam di kerajaan Jeumpa bermula apabila seorang pemuda tampan dari India belakang (kemungkinan Parsi) yang bernama Abdullah yang memasuki ke kota pemerintahan kerajaan Jeumpa iaitu Desa Blang Seupeueng melalui Kuala Jeumpa dengan tujuan untuk berdagang. Abdullah telah memutuskan untuk tinggal di negeri Jeumpa dan menyebarkan agama Islam di kalangan penduduk negeri Jeumpa. Ramai penduduk negeri Jeumpa tertarik untuk memeluk agama Islam disebabkan sifat yang lemah lembut dan keperibadian yang mulia ada pada Abdullah. Beliau juga berkahwin dengan puteri raja Jeumpa yang bernama Ratna Kumala. Selepas kemangkatan raja Jeumpa, Abdullah telah ditabalkan sebagai Raja Jeumpa. Beliau juga menamakan kerajaan ini dengan nama Juempa atau “Champia” sempena tempat kelahiran beliau yang bermaksud “harum”. Beliau juga menjadikan Bireuen sebagai pusat pemerintahan kerajaan Jeumpa. Bireuen bermaksud “kemenangan”.

Kerajaan Islam Jeumpa yang didirikan pada 777 Masihi dan diperintah oleh Raja Jeumpa Islam yang pertama iaitu Abdullah juga dikenali sebagai Pangeran Syahriansyah Salman atau Pangeran Salman Al Farisi berdasarkan ‘Silasilah Keturunan Sultan – Sultan Melayu’ yang diterbitkan oleh Kesultanan Melayu Brunei dan Kesultanan Sulu – Mindanao. Beliau juga mempunyai beberapa anak seperti Syahri Nawi dan Puteri Makhdum Tansyuri (bonda kepada Sultan Perlak yang pertama).

Syekh Hamzah Fansuri yang merupakan ulama sufi yang terkenal ketika zaman Kesultanan Acheh Darussalam mengatakan bahawa negeri kelahiran beliau terkenal dengan kapur barus iaitu Bumi Shahrnawi yang merupakan generasi yang pertama yang mengasaskan kerajaan – kerajaan Islam di Acheh yang dimulai Kerajaan Islam Jeumpa.

Pangeran Salman Al Farisi telah menghantar putera – putera beliau ke wilayah – wilayah disekitarnya bagi mengembangkan pengaruh kerajaan Jeumpa. Pangeran Salman Al Farisi menghantar Syahri Poli di wilayah barat yang berhampiran dengan bandar Fansur seterusnya berdirinya Kerajaan Poli. Manakala, di sebelah timur pula, Syahri Nawi diangkat sebagai “Meurah” di sebuah kota baru iaitu Perlak. Disitulah, berdirinya Kesultanan Perlak yang diasaskan oleh Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Azis Syah, Sultan Perlak yang pertama yang merupakan keturunan Imam Jafaar As Sadiq daripada sebelah bapa iaitu Ali Bin Muhammad Bin Imam Jafaar As Sadiq dan Pangeran Salman Al Farisi daripada sebelah ibu iaitu Puteri Makhdum Tansyuri, adik kandung kepada Syahri Nawi. Menurut Hilmy Bakar Almascaty, kewujudan kerajaan Islam Jeumpa telah menafikan bahawa Kesultanan Perlak bukan kerajaan Islam yang pertama di Nusantara seperti yang dinyatakan oleh A. Hasymi.

Menurut Sir Stamford Raffles, beliau mengatakan kerajaan Champa yang terkenal di Nusantara sebenarnya bukanlah terletak di negara Kemboja sekarang tetapi kerajaan Champa terletak di wilayah Acheh berdasarkan buku yang ditulis oleh beliau, ‘History of Java’. Menurut beliau lagi bahawa kebanyakan ahli sejarah terkeliru disebabkan sebut loghat orang Jawa menyebut “Champa” bagi perkataan Jeumpa. Bagi membuktikan dakwaan beliau, Puteri Champa yang beragama Islam telah berkahwin dengan Prabu Brawijaya V dan hasil perkahwinan tersebut telah melahirkan seorang putera iaitu Raden Patah, pengasas Kesultanan Demak di tanah Jawa. Dakwaan beliau berdasarkan penemuan dalam buku “Babad Tanah Jawi”. Begitu juga raja Champa terakhir, agama Chế Bồng Nga atau Raja Merah juga masih menjadi perdebatan antara ahli sejarah sama ada beliau beragama Islam atau Buddha. Jadi menurut teori Stamford Raffles, Champa bukanlah berada di Vietnam dan Kemboja tetapi di wilayah Bireuen, Acheh. Menurut Drs. Moeflih Hasbullah dan MA., Suparman, M.Ag juga menyatakan ibu kepada Raden Patah merupakan puteri Jeumpa yang menganut agama Islam.

Kebangkitan Kesultanan Perlak di Sumatera Utara telah menggantikan peranan Kerajaan Islam Jeumpa sebagai pusat perdagangan yang baru. Kerajaan Islam Jeumpa juga kekal berdaulat ketika zaman pemerintahan Kesultanan Perlak dan hanya berperanan sebagai pusat pengajian agama Islam di Nusantara. Para Wali Songo atau Wali Sembilan dikatakan menuntut ilmu agama Islam dari negeri Jeumpa. Ini berdasarkan hubungan kekeluargaan antara Maulana Abdul Malik dan Raja Jeumpa. Walaubagaimanapun, ia masih dalam perdebatan oleh ahli sejarah kerana masih kekurangan sumber untuk membuktikannya.

Menurut Hikayat Raja Jeumpa yang mengaitkan negeri Aceh dan Champa yang mengatakan negeri Jeumpa yang diperintah oleh Raja Abdullah dan Ratunya, Ratna Keumala. Sang Ratu melahirkan Siti Geulima dan ketika itu juga, Raja Jeumpa meninggal dunia dan Raja Jeumpa yang baharu (tidak menyebut siapa nama raja tersebut) terus ditabalkan. Beberapa tahun kemudian, Raja Buang dari Kerajaan Darul Aman telah meminang dan menikahi Siti Geulima dan Raja Buang telah menjadi ditabalkan sebagai Raja Jeumpa. Kerajaan Darul Aman telah dipimpin oleh Menteri beliau. Antara yang bahagian paling menarik dalam Hikayat Raja Jeumpa adalah berlakunya peperangan antara Raja Cina dan Raja Jeumpa dimana Raja Jeumpa (Raja Kera, bukan Raja Buang) telah berjaya mengusir Raja Cina dengan bantuan Po Ni atau Ni Musip Tapa (wanita suci). Persamaan antara Hikayat Raja Jeumpa dan Sejarah Melayu adalah di dalam Sejarah Melayu mengatakan para penguasa Cham melawan Raja Kuchi kerana tidak diizinkan berkahwin dengan puteri Cham dan di dalam Hikayat Raja Jeumpa mengatakan perang dengan Raja Cina dimulai dengan penguasa Jeumpa tidak diizinkan berkahwin dengan puteri Raja Jeumpa.

Akhir sekali, penulisan artikel mengenai kerajaan Jeumpa bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pembaca betapa pentingnya ilmu sejarah perlu dikaji semula kerana masih banyak sejarah Islam di Alam Melayu yang tersembunyi dan hilang ditelan arus zaman. Oleh itu, pentingnya untuk kita mengkaji semula sejarah demi terpeliharanya sejarah bangsa Melayu yang pernah mendaulatkan agama Islam di Nusantara.

Rujukan:

1. Hilmy Bakar Almascaty, Kerajaan Jeumpa Aceh Khilafah Islam Pertama Di Alam Melayu, Sebuah Kajian Sosio-Antropologis-Ekonomis, https://www.scribd.com/document/12075778/KHILAFAH-ISLAMIYAH-PERTAMA-DI-ALAM-MELAYU

2. Sulistiono, Budi. “ISLAM DAN TAMADDUN MELAYU: MENATAP MASA DEPAN.” Sosial Budaya 11.1 (2015): 104-114.

3. ISLAM, J. S. D. K., HUMANIORA, F. A. D., & DJATI, S. G. KERAJAAN-KERAJAAN ISLAM DAN PERAN PARA ULAMA DI NUSANTARA.

4. Tun Suzana Tun Haji Othman (2011) Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah S.A.W & Ulama Umarak di Alam Melayu

5. ISLAM, J. S. D. K., HUMANIORA, F. A. D., & DJATI, S. G. KERAJAAN-KERAJAAN DAN PELABUHAN BESAR DI NUSANTARA.

6. bin Abdul Hamid, M. E. BUDAYA NUSANTAR’s Blog. https://awea.wordpress.com/2011/06/21/sejarah-champa-dan-asia-tenggara-warisan-dan-arah-riset-yang-baru/

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here