‘Han’ Dalam Seni Korea

1
5999
views

Apa yang membuat drama Korea Selatan (K-Drama) begitu menagihkan bagi sesetengah orang?

Ada drama tempatan yang cuba meniru unsur-unsur K-Drama seperti watak lelakinya kaya raya (ala-ala chaebol), watak perempuannya ala-ala Cinderella, dan ada watak ibu hero yang ala-ala mak tiri Snow White. Namun ia tidak memberi kesan seperti K-Drama.

Ini kerana K-Drama membawa jiwa atau etos orang Korea yang tiada di bangsa-bangsa lain.Etos ini bernama ‘Han’ (Hangul: 한, Hanja: 恨).

Dalam kajian psikologi ada konsep ‘racial memory’ atau ‘collective unconscious’, maksudnya setiap bangsa mempunyai ‘trait’ psikologi yang diwariskan dari generasi ke generasi. Han adalah trait psikologi masyarakat Korea.

Perkataan Han ni sukar diterjemahkan. Ia melambangkan perasaan yang bercampur aduk antara rasa dendam atau ‘won-han’ (Hangul: 원한, Hanja: 寃恨), rasa duka atau ‘jeong-han’ (Hangul: 정한, Hanja: 情恨) dan rasa kesal atau ‘hoe-han’ (Hangul: 회한, Hanja: 悔恨).

Tiada perkataan Bahasa Inggeris yang dapat menggambarkan ‘Han’ secara tepat, tak kira ‘regret’, ‘resentment’, ‘grief’, ‘sorrow’, ‘woundedness’ atau ‘unavenged injustice’.

‘Han’ merupakan perasaan kesal atas hakikat hidup yang penuh dengan ketidakadilan dan tragedi. Perasaan Han ini lahir daripada pengalaman sejarah bangsa Korea.

Sebagai sebuah negara kecil yang tersepit antara China dan Jepun, orang Korea (dari zaman Gojoseon hingga Tiga Kerajaan hingga Goryeo hingga Joseon) pernah diserang sebanyak 400 kali, sedangkan mereka tak pernah jadi ‘aggressor’.

Dan takdir masih tidak menyebelahi bangsa Korea dalam sejarah moden. Bila sudah moden, dijajah Jepun (1910). Bila sudah merdeka, dipisahkan pula melalui Perang Korea (1950-1953). Bila sudah maju, dihancur pula oleh krisis kewangan (1997).

Pengalaman sejarah menyebabkan orang Korea menaruh dendam terhadap takdir. Namun, mereka sedar mereka tidak mampu melawan takdir, maka mereka pun pendam saja perasaan dendam dan layan perasaan kesal.

Seni menjadi jalan keluar bagi bangsa Korea. Mereka mengguna muzik dan lakonan untuk meluahkan perasaan Han. Proses ini dinamakan sebagai ‘hae-han’ (Hangul: 해한, Hanja: 解恨) atau ‘Han-puri’ (한풀이) yang membawa maksud meleraikan Han.

Ada persamaan dengan katarsis (catharsis) dalam budaya Yunani purba di mana teater tragedi menjadi ejen penyucian hati dari perasaan tragis.

Disebabkan Han, orang Korea tersangat sensitif dan sentimental. Mereka boleh mengaitkan segala kesialan dalam hidup sebagai permainan takdir. Maka tidak hairan, seni moden seperti K-Drama turut diwarnai oleh Han.

Dalam K-Drama, kehidupan manusia digambarkan sebagai tragedi. Hero dan heroine yang saling bercinta tak dapat bersama kerana takdir: mereka ditakdirkan rupa-rupanya mereka adik-beradik, mereka ditakdirkan menghadapi kanser, mereka ditakdirkan mengalami kemalangan, mereka ditakdirkan kehilangan memori.

Ini semua unsur-unsur yang terdapat dalam drama dan filem Korea yang tersohor dari Endless Love (2000), Winter Sonata (2002), Stairway to Heaven (2003), I’m Sorry, I Love You (2004), Tree of Heaven (2006), Secret Garden (2010), Heartstrings (2011), The Moon Embracing the Sun (2012) hingga ke Kill Me Heal Me (2015).

Cerita yang sentimental dan tragis jadi ‘trademark’ K-Drama. Dan hanya lakonan orang Korea yang nampak ‘natural’.

Kita boleh kata orang Korea ini ‘fake’, tapi air mata mereka adalah paling ‘authentic’. Kesedihan itu datang dari hati dan perasaan Han. Para penonton turut terkesan dan menangis sama-sama. Sama-sama menyelami katarsis.

Tapi Han tidak menjadikan orang Korea pesimis. Sebaliknya Han membakar semangat mereka untuk terus ‘fighting’ dalam hidup. Ye lah, kalau hidup ni akan berakhir dengan tragis, kenapa tidak berusaha untuk mengecapi kebahagiaan? Maka orang Korea pun berusaha bersungguh-sungguh dalam semua bidang, melakukan yang terbaik untuk melawan takdir, walaupun mereka tahu ia hanyalah sia-sia.

Itu sebabnya dalam K-Drama, walaupun pasangan hero dan heroine tahu cinta mereka tak akan ada kesudahan, mereka tetap cuba untuk melawan sehingga mereka dikalahkan oleh takdir.

Perasaan Han juga membawa kepada perasaan ‘Jeong’ (Hangul: 정, Hanja: 情) atau ‘bonding’ sesama orang Korea. Jeong wujud di kalangan orang yang berkongsi Han yang sama. Semakin diuji oleh takdir, semakin kukuh hubungan pasangan.

Di waktu-waktu genting seperti Krisis Kewangan 1997, perasaan Han dan Jeong ini menyatupadukan orang Korea untuk sama-sama menyelamatkan negara mereka.

Kita tak akan mampu memahami orang Korea sehingga memahami Han. Itu sebabnya pembuat dasar luar di US hairan kenapa sebahagian besar orang Korea Selatan masih berbaik sangka dengan Korea Utara sedangkan mereka pernah bunuh-membunuh dalam Perang Korea?

Kerana orang Korea sama-sama melihat diri mereka sebagai mangsa takdir. Mereka berkongsi Han. Han memupuk Jeong antara mereka.

Kalau nak tahu, evangelis Kristian mengkaji konsep Han secara mendalam dan mereka ‘tackle’ psikologi orang Korea dalam dakwah mereka. Mereka menonjolkan ajaran Kristian sebagai penawar kepada Han. Itu menyebabkan Kristian berkembang dengan pesat di Korea Selatan.

Sedangkan agama kita adalah penawar terbaik bagi Han. Tapi itu lah, siapa nak ambil tahu pasal benda-benda macam ni kan?

Bacaan lanjut:

Euny Hong, The Birth of Korean Cool (2014)
Keumsil Kim Yoon and Burce Williams, Two Lenses of the Korean Ethos: Key Cultural Concepts and Their Appearances in Cinema (2015)
Choi Sang-jin, The Psychology of the Korean People (2000)

 

Comments

comments

1 COMMENT

  1. Penyampaian ini mengingatkan saya pada kecenderungan ‘kia’ dalam masyarakat cina. Mungkin ada persamaan tapi mungkin berbeza kerana budaya, nilai setempat dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here