Nabi-Nabi Berbangsa Arab Sahajakah?

1
8667
views

Pernah timbul persoalan di kepala, adakah semua nabi dan rasul hanya diutus dalam kalangan bangsa Arab sahaja, dan adakah mereka hanya diutus sekitar kawasan Timur Tengah?

– Dalam kalangan 25 orang nabi yang wajib kita ketahui, hanya 4 orang sahaja yang disahkan berbangsa Arab dan diutuskan kepada kalangan bangsa Arab. Mereka ialah Nabi Hud (Yaman), Nabi Soleh (al-Hijr), Nabi Syu’aib (Madyan), dan nabi kita Muhammad SAW. Pengecualian kepada Nabi Muhammad, baginda diutuskan kepada semua umat manusia akhir zaman.

– Hanya 4 orang rasul sahaja dari kalangan 25 orang para nabi yang wajib diketahui berbangsa Arab, nabi yang lain kebanyakannya berbangsa Bani Israel (Yahudi) bermula dari Nabi Ya’akub dan cucu cicitnya yang dikurniakan pangkat kenabian sehingga Nabi Isa.

– Jadi mengapa segala kisah dan dialog para nabi yang tercatat dalam al-Qur’an semuanya dalam Bahasa Arab? Ini kerana Allah SWT telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa wahyu dan kitab panduan yang terakhir kepada umat Nabi Muhammad. Oleh itu segala kisah dan dialog para nabi dan rasul yang tercatat dalam al-Qur’an telah pun Allah SWT terjemahkan dalam bahasa Arab.

– Sekurang-kurangnya 4 buah kitab telah diwahyukan kepada 4 orang rasul dalam bahasa kaum masing-masing. Kitab Taurat kepada Nabi Musa dalam bahasa Ibrani, Kitab Zabur kepada Nabi Daud dalam bahasa Siryani, Kitab Injil kepada Nabi Isa dalam Bahasa Ibrani, dan Kitab al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab.

– Selain kitab, ada juga para nabi yang dikurniakan suhuf. Mereka yang dikurniakan Kitab dan suhuf ada yang membawa syariat baharu dan ada yang hanya meneruskan syariat sebelumnya. Walau bagaimanapun, semua nabi dan rasul menyebarkan akidah yang sama: “Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT.”

– Dalam hadith Rasulullah menyebut terdapat 124,000 orang nabi telah diutuskan kepada setiap kaum manusia daripada Nabi Adam sehinggalah baginda, penutup sekalian para nabi dan rasul. 313 orang dalam kalangan mereka berpangkat rasul. 25 orang rasul tercatat nama dan kisah mereka di dalam al-Qur’an dan wajib diketahui oleh setiap muslim. 5 orang daripada mereka berstatus rasul Ulul Azmi.

– 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui : Adam, Idris, Nuh, Hud, Soleh, Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Ya’akub, Yusuf, Ayub, Syu’aib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa’, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad SAW.

– Antara individu yang diceritakan dalam al-Qur’an kisahnya tetapi tidak diketahui kedudukan mereka sama ada orang soleh, wali, nabi atau rasul adalah seperti Uzair, Khidir (tidak disebut namanya), Luqman, Zulkarnain, Tolut, Yusha’ (tidak disebut namanya) dan Imran (Ayah Maryam, ibu kepada Nabi Isa).

– Antara individu yang disebut dalam hadith dan sumber Israiliyyat sebagai nabi seperti Syith, Daniel, Samuel dan Irmiya.

– Ada juga kisah rasul yang ada tercatat dalam al-Qur’an tetapi tidak tercatat nama mereka dan tidak tergolong dalam kalangan 25 orang para nabi yang wajib diketahui iaitu kisah tiga orang rasul yang menyebarkan dakwah dalam satu-satu masa di sebuah negeri/kampung sebagaimana dalam Surah Yaasin ayat 13-27.

– Allah SWT menegaskan bahawa setiap kaum manusia telah diutuskan nabi dan rasul dikalangan mereka.

– “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.” (S. Ibrahim,4).

– “Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.” (S. al-Faatir,24).

– “Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.” (S. Yunus, 47).

– “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” (S. al-Nahl, 36).

– “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”. (S. al-Anbiya’, 25).

– “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.” (S. al-Nisa’, 164).

Pendapat peribadi mengapa kebanyakan para Nabi dan rasul diutuskan di kawasan Timur Tengah:
-Timur Tengah merupakan ketamadunan manusia yg terawal seperti Mesopotamia dan Mesir Purba. Ini membuktikan bahawa pengutusan para Nabi dan rasul berpusat pada tempat terawal kewujudan manusia di muka bumi sebelum umat manusia tersebar di serata benua.
– Timur Tengah seperti Mesir, Iraq, Lubnan dan Jordan bukanlah pada asalnya negara-negara bangsa Arab dan penduduk asalnya tidak bertutur dalam bahasa Arab kecuali Semenanjung Tanah Arab. Kebanyakan kawasan di Timur Tengah “diarabkan” selepas pembukaan tentera Islam pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dan kerajaan-kerajaan Muslim selepasnya. Oleh itu para nabi dan rasul yang diutuskan di kawasan tersebut bukanlah berbangsa Arab dan tidak bertutur dalam bahasa Arab kecuali 4 orang rasul tersebut. Ini membuktikan bahawa Islam bukanlah hanya diturunkan kepada bangsa Arab sahaja tetapi kepada setiap bangsa manusia.
– Timur Tengah merupakan pusat dunia dari segi geografi dan laluan awal perdagangan antarabangsa manusia.

-Walau bagaimanapun tidak boleh dinafikan bahawa sebelum pengutusan Rasulullah SAW, kemungkinan ada para Nabi dan rasul yang diutuskan di Eropah, Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Afrika. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, 164 dan Surah an-Naml ayat 36.

Comments

comments

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here