Genghis Khan Dan Kehancuran Kota Merv

0
1659
views

Kota Baghdad dimusnahkan Hulagu Khan namun bangkit kembali, begitu juga Samarkhand dan Bukhara yang dijarah Genghis Khan sebelumnya.

Namun tidak Merv! Kota ini gagal bangun kembali dan akhirnya ditinggalkan, gersang dimamah waktu, walaupun beberapa percubaan untuk menghidupkannya dilakukan selepas dimusnahkan secara total oleh Tolui atas arahan Genghis Khan.

Tidak banyak diceritakan orang tentang Merv dan kemusnahannya sedangkan ianya adalah kota terpenting kerajaan Islam di Asia Tengah.

Merv Lama (Old Merv) yang asal atau nama lainnya Mary terletak di Selatan Turkmenistan. Manakala Merv yang baru terletak lebih kurang 30km dari tapak asal.

Jika anda ada membaca kisah perjalanan Marco Polo ke China pasti anda tahu akan perhentian beliau di Mary ini.

Benarkah Mary atau Merv ini kota yang hebat? Jika benar, kenapa jarang sekali kita mendengar namanya?

Merv bukanlah sebuah bandar kecil di pinggiran keagungan kerajaan Islam tetapi Merv amat terkenal di zamannya sebagai ‘Berlian di Asia Tengah’ yang punyai masjid dan rumah yang besar dan indah. Kota ini seluas 100km persegi. Air yang dingin dari Sungai Murgab disalurkan melalui saliran air yang sistematik ke seluruh pelusuk kota ini.

10 buah perpustakaannya mengandungi 150,000 naskhah pelbagai jurusan. Ianya koleksi yang terbesar di Asia Tengah! Omar Khayyam pernah bekerja di balai cerapnya di sini.

Abu Muslim mengisytiharkan kekuasaan Abbasiyah di Merv dan masih merupakan pusat pentadbiran Empayar Abbasiyah yang penting selepas Baghdad. Tiada lagi bandar yang lebih penting dari Merv di Wilayah Khorasan ini. Di zaman pemerintahan Seljuk sekitar 1150 Masihi, Merv di anggap sebagai bandar yang terbesar di dunia!

Itulah Merv di zaman kegemilangannya.

Pada Januari 1221, 800 tentera Mongol telah tiba di luar kota Merv namun mereka telah diserang dan 60 orang tentera Mongol ini ditangkap, dimalukan di tengah kota dan akhirnya dibunuh. Ianya dilakukan atas arahan seorang komander Merv yang bernama Mujir Al Mulk.

Mendengar perkhabaran ini, Genghis Khan menjadi begitu marah dan mengarahkan serangan besar-besaran dilakukan dengan diketuai oleh Tolui. Satu persatu perkampungan dan kota kecil di sekitar Merv tumbang dan akhirnya Kota Merv dipenuhi oleh pelarian dari kawasan persekitaran.

Merv hanya mempunyai sekitar 7,000 orang tentera sahaja dan apabila tentera Mongol yang besar tiba di luar kota Merv, penduduknya sudah mengetahui akan nasib yang bakal menimpa mereka, malah ada yang sudah mengenakan pakaian berkabung kematian!

Perlu diingatkan, tentera Mongol bukanlah hanya terdiri daripada nomad-nomad penggila darah yang berpedang dan berlembing. Tentera ini juga disertai oleh tentera yang berpengalaman dalam peperangan taktikal pengepungan kota di China. Malah ada sejarawan yang berpendapat Genghis Khan sudah mempunyai pakar-pakar adunan belerang dan bahan letupan dalam angkatannya.

Selama enam hari tentera Mongol mengepung kota ini dan akhirnya Mujir Al Mulk menyatakan keinginan untuk menyerah. Genghis Khan meminta agar 200 orang terkaya dan paling berpengaruh di Merv dihantar kepadanya untuk disoal siasat. Kemudian tentera Mongol memasuki kota ini dengan megah.

Maka bermulalah episod pembantaian yang menggerunkan!

Selama 4 hari tentera Mongol menggeledah setiap rumah dan mengosongkannya. Kesemua penduduk Merv dihalau ke luar kota, di kawasan yang lapang. Kemudian kota ini dibakar malah kandang kuda pun tidak dibiarkan.

Kesemua buku di 10 perpustakaan hebat ini dibakar. Hanya 400 penduduknya yang berguna untuk Mongol dibiarkan hidup manakala kesemua lelaki, wanita, baik yang tua mahupun bayi dibunuh secara sistematik.

Juvaini mengatakan setiap askar Mongol diperuntukkan seramai 300 hingga 400 orang untuk dikorbankan. Setelah tentera Mongol meninggalkan kota ini, jumlah mayat-mayat ini dihitung selama 13 hari dan ianya berjumlah seramai 1,300,000 orang.

Jumlah ini mungkin agak keterlaluan tapi tidak tersangkal bahawa jutaan yang mati di dalam kempen penjarahan Orang Mongol ini.

Bayangkan jumlah korban jiwa di Merv ditambah dengan jutaan lagi yang maut dibunuh di Nishapur dan Urgench yang jarang juga dibicarakan. Bagaimana pula dengan korban Kota Baghdad di bawah kuasa Hulagu Khan selepas kematian Genghis Khan. Bayangkan juga jutaan yang mati di Samarkhand, Bukhara dan juga bandar-bandar kecil di Herat, Otrar dan lain-lain.

Angka korban dikatakan hingga 3,000,000 orang namun tiada siapa yang pasti tahu jumlahnya yang sebenar.

Kota Merv cuba dihidupkan selepas pemergian tentera Mongol namun diserang beberapa kali. Shigi, seorang pahlawan Mongol beserta dengan angkatan tenteranya dikatakan pernah membunuh sehingga 100,000 orang penduduk Merv dan kemudian datang lagi untuk membunuh puluhan ribu lagi.

Kini Merv hanyalah tinggalan sejarah yang dimamah usia. Masih ada beberapa tinggalan sejarah untuk anda lawati di Merv seperti Makam Sultan Sanjar, Great Kyz Kala dan lain. Di Turkmenistan juga terdapat tinggalan sejarah hebat di Ashgabat dan di Urgench.

Begitulah kisahnya Genghis Khan dan kehancuran mutlak Kota Merv.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here