Segera Tukar Nama Laut Kita Kepada Laut Malaysia Raya

0
1480
views

Ramai antara kita tidak sedar meskipun tahun ini genap 60 kita merdeka, namun laut milik kita masih ‘dijajah’ nama Laut China Selatan. Sebaliknya, tiga negara jiran kita telah pun ‘memerdekakan’ lautan mereka daripada ‘penjajahan’ nama Laut China Selatan ini iaitu Vietnam yang menggunakan nama Laut Vietnam Timur, Filipina (Laut Filipina Barat) dan terkini Indonesia yang memperkenalkan nama Laut Natuna Utara bagi menggantikan nama Laut China Selatan di Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) masing-masing.

Berdasarkan gabungan faktor geografi, sejarah, sosiologi, ekonomi, dan geopolitik, saya mencadangkan agar nama ‘Laut Malaysia Raya’ diangkat menggantikan nama ‘Laut China Selatan’ yang sudah sekian lama ‘menjajah’ perairan kita. Sebagaimana yang ditegaskan sarjana Alam Melayu dari Jerman, iaitu Profesor Emeritus Hans Dieter-Evers, dari perspektif geografi, Malaysia sememangnya ialah sebuah negara maritim dengan garis pantai sahaja sepanjang 4,675km, dengan 63% sempadan kita ialah sempadan maritim, mengunjur sejauh 480,000 km persegi pentas benua. Dari segi sejarah pula, Malaysia dibentuk oleh negeri-negeri maritim yang penting dalam sejarah seperti Melaka, Johor, dan Terengganu. Dari segi sosiologi pula masyarakat Melayu peribumi sejak dahulu lagi merupakan pelaut dan nelayan laut dalam, menjelajahi laut yang kini masih kita panggil sebagai Laut China Selatan, serta laut dan lautan Mediterranean berdekatan. Dari segi ekonomi pula, ekonomi maritim menyumbang bahagian yang penting kepada KDNK Malaysia manakala pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Selat Melaka dan di hujung selatan Johor telah maju menjadi bandar pelabuhan dunia yang utama.

Langkah penukaran nama lautan ini bukan sahaja mendatangkan manfaat besar dari segi geopolitik, bahkan juga manfaat ekonomi dan pengukuhan dalam proses pembinaan negara bangsa. Hal ini terbukti apabila penukaran nama Laut China Selatan di ketiga-tiga negara jiran kita ini memberikan isyarat yang cukup jelas akan wilayah Zon Ekonomi Eksklusif mereka agar tidak dicabar oleh China. Dalam masa yang sama, semangat patriotisme dan nasionalisme rakyat dapat diperkasakan.

Secara tersiratnya, langkah penukaran nama laut kita juga tidak boleh dipandang enteng dek munculnya pelbagai ancaman luaran. Antaranya ialah kes petikaian atau pencerobohan kapal milik China di wilayah Zon Ekonomi Ekslusif kita. Sebagai contoh, arus kebangkitan aset-aset ketenteraan China jelas terbukti dengan ekspedisi pertama seberang laut kapal induk pesawat udara China iaitu Liaoning yang mampu mengangkut pesawat pejuang dalam jumlah yang cukup besar.

Malah, tidak terhenti di situ, China bahkan kini giat membina dua kapal induk buatan tempatan mereka sendiri yang bakal memperkuatkan kehadiran tentera laut mereka (PLA-N) di seluruh pelosok dunia kelak. Penubuhan pangkalan tentera China yang pertama di luar negara iaitu di Djibouti baru-baru ini juga menunjukkan wujudnya komitmen angkatan tentera China di peringkat global yang akan meningkat secara berterusan. Hakikatnya, meskipun China masih dalam proses untuk meningkatkan taraf angkatan tentera laut mereka daripada status ‘Green Water-Navy’ menjadi ‘Blue Water-Navy’, namun mereka jelas tidak bertangguh lagi membina pelbagai pulau buatan dan kelengkapan ketenteraan mereka di kawasan laut yang menjadi pertikaian seperti mana yang dilaporkan secara berkala oleh Asia Maritime Transparency Initiative (MTI). Sebagaimana amaran Thucydides dahulu kala, “mereka yang kuat akan melakukan segala kekuasaannya, manakala mereka yang lemah hanya mampu menderitai kelemahannya”.

Dari perspektif dalaman pula, peristiwa yang terjadi pada 2016 perlu diambil iktibar. Apabila keputusan Mahkamah Timbang tara Tetap antarabangsa (PMC) yang menolak tuntutan Sembilan garis terpecah oleh China ke atas seluruh Laut China Selatan diumumkan, seorang warga kita telah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Laut China Selatan adalah milik China’. Peristiwa ini membuktikan masih wujud persepsi bahawa lautan kita adalah milik China, termasuklah dalam kalangan warganegara kita sendiri.

Kebetulan, tahun ini juga menandakan genap 50 tahun usia Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Maka dalam rangka memperkukuhkan integrasi Komuniti ASEAN yang giat direncanakan, langkah saling mengiktiraf nama lautan di wilayah EEZ milik anggota ASEAN boleh diambil. Maka, langkah memperkenalkan nama ‘Laut Malaysia Raya’ ini meletakkan laut kita sebaris dengan Laut Vietnam Timur, Laut Filipina Barat, dan Laut Natuna Utara yang bebas daripada ‘Laut China Selatan’.

Perlu ditegaskan bahawa cadangan penukaran nama ‘Laut China Selatan’ kepada ‘Laut Malaysia Raya’ atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘The Greater Malaysian Sea’ ini tidak bermakna kita mengambil langkah konfrontasi dengan Beijing. Sebaliknya, semangat saling menghormati kedaulatan dan rentas peradaban itulah yang diutamakan.

Ini laut kita. Ini Laut Malaysia Raya.

Saya mohon mencadang.

Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here