Janissary, Tentera Elit Empayar Turki Uthmaniyyah

1
3368
views

Kor Janissary merupakan unit tentera elit yang terdiri daripada golongan hamba bertujuan untuk melindungi Sultan Turki Uthmaniyyah dan keluarganya. Kor Janissary dibentuk oleh Sultan Murad Khan I pada tahun 1363 Masihi. Berbeza dengan golongan hamba yang lain, golongan hamba yang menyertai Kor Janissary dibayar dengan gaji bulanan dan ketaatan mereka hanyalah kepada Sultan secara mutlak. Kor Janissary merupakan antara askar yang paling terkuat dan digeruni oleh pihak Eropah ketika zaman kebangkitan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Pada permulaannya, tentera Turki Uthmaniyyah hanyalah terdiri daripada ghazi – ghazi Islam, pengembara, askar sipahi dan penduduk tempatan Greek yang dipimpin oleh Kose Mikhal yang membantu Sultan Orhan I untuk menakluki Bursa. Walau bagaimanapun, Sultan Orhan I mendapati jumlah penyertaan ke dalam pasukan tentera Turki Uthmaniyyah semakin bertambah lalu baginda menitahkan saudara beliau, Alauddin Pasha yang merupakan Wazir Besar Turki Uthmaniyyah yang pertama, untuk membentuk pasukan tentera yang lebih tersusun dan teratur yang dinamakan “Sipahi”. Unit Sipahi telah diamanahkan kepada komander yang berbangsa Greek yang bernama Evernos Bey yang berasal dari Karasi. Selain itu, Sultan Orhan membentuk juga satu pasukan kavalari ringan yang dipimpin oleh Suleyman Pasha, anak sulung Sultan Orhan.

Selepas kemangkatan Sultan Orhan I pada tahun 1362, takhta Empayar Turki Uthmaniyyah diwarisi kepada Sultan Murad I. Ketika zaman pemerintahan Sultan Murad I, wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah telah merangkumi sehingga ke wilayah Balkan di Eropah Timur. Apabila tentera Turki Uthmaniyyah berjaya menakluki sesuatu kawasan, tawanan – tawanan perang yang tidak mampu bayar wang tebusan akan menjadi hamba abdi Sultan. Apabila seseorang menjadi hamba abdi Sultan, maka saudara mara mereka akan dikecualikan untuk membayar cukai menurut undang – undang lama Empayar Turki Uthmaniyyah. Hal ini akan menyebabkan hilangnya salah satu cukai pendapatan kepada Empayar Turki Uthmaniyyah. Bagi mengatasi masalah tersebut, Sultan Murad I telah menubuhkan sebuah kor tentera yang dinamakan Kor Janissary atau dalam bahasa Turki bermaksud “Tentera Baharu”.

Gambar menunjukkan kanak-kanak (bewarna merah) yang diambil untuk dijadikan sebagai askar Janissary

Tujuan penubuhan Kor Janissary adalah membentuk sebuah tentera yang terdiri daripada golongan hamba abdi yang mempunyai bakat dalam bidang ketenteraan. Selain itu, Sultan Murad I juga telah memperkenalkan sistem “Dervshirme” iaitu sistem cukai dimana keluarga – keluarga Kristian terutamanya dari wilayah Balkan hendaklah menyerah anak lelaki mereka yang berusia antara 8 tahun sehingga 10 tahun dan mereka akan dilatihkan untuk menjadi askar Janissary. Mereka juga kena melalui beberapa peperiksaan untuk mengesan bakat yang terpendam dan menguji tahap kercedasan mereka. Selain itu, mereka juga akan diletakkan dibawah sekolah khas tentera dan diajar beberapa bidang ilmu seperti sains, undang – undang, politik, ekonomi, sastera, ilmu peperangan dan ilmu -ilmu agama seperti feqah dan hadis. Mereka juga dikehendaki memakai baju uniform yang berwarna merah bagi memastikan mereka senang untuk dikesan jika melarikan diri.

Tarikat Sufi juga memain peranan dalam Kor Janissary dimana Tarikat Bektashi telah menjadi tarikat rasmi Kor Janissary. Tarikat Bektashi merupakan tarikat sufi yang berasaskan ajaran – ajaran sufi yang dibawa oleh Haji Bektash Veli dari wilayah Anatolia.
Kor Janissary telah mempunyai struktur organisasi yang tersusun dan teratur. Struktur organisasi telah membahagikan Janissary kepada dua bahagian iaitu Batalion Jemaah (Cemaat Ortalari) dan Kompeni Jeneral (Ağa Bölükleri). Batalion Jemaah (Cemaat Ortalari) mempunyai 101 batalion termasuklah 35 Kompeni Sekban (Askar upahan yang terdiri daripada golongan petani) dan salah satu daripada 35 Kompeni Sekban adalah askar kavaleri yang merupakan battalion yang ke 65. Manakala, Kompeni Jeneral (Ağa Bölükleri) mempunyai 61 kompeni askar Janisarry.

Kor Janissary telah melakar beberapa kejayaan dalam siri peperangan dengan cemerlang serta menyumbang kepada perluasan wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah. Antaranya adalah, Pertempuran Kosovo (1389), Penaklukan Kota Konstantinopel (1453), Peperangan Empayar Turki Uthmaniyyah dan Safawiyyah dan beberapa lagi kempen peperangan. Namun begitu, Kor Janissary juga pernah mengalami kekalahan dalam beberapa siri peperangan seperti Pertempuran Ankara pada tahun 1402 dimana Sultan Bayazid Khan I telah dikalahkan oleh Timurlink dan kesan daripada peperangan tersebut Empayar Turki Uthmaniyyah hampir berpecah – belah dan berlakunya siri perebutan takhta antara putera – putera Sultan Bayazid Khan I. Walaubagaimanapun, Sultan Muhammad Celebi I telah berjaya menaiki takhta selepas berjaya menewaskan saudara – saudara beliau sendiri. Period tersebut digelar “Ottoman Interregnum” atau “kekosongan takhta” dalam Bahasa Melayu.

Gambaran Pertempuran Kosovo

Namun begitu, setelah menyedari kepentingan Kor Janissary kepada Empayar Turki Uthmaniyyah, mereka mula cuba memberontak dan menuntut permintaan yang ada kalanya tidak dapat dipenuhi oleh Sultan itu sendiri. Sebagai contohnya, jamuan makanan yang disediakan oleh Sultan kepada askar – askar Janissary, jika ditolak, maka Janissary tidak bersetuju dengan keputusan Sultan. Disebabkan adat istiadat jamuan makanan tersebut telah menunjukkan kepentingan Kor Janissary kepada Sultan dan Empayar Turki Uthmaniyyah. Apabila Sultan tidak dapat menunaikan permintaan mereka, maka mereka akan memberontak dan menggulingkan Sultan jika perlu. Antara sultan – sultan yang pernah digulingkan oleh Janissary adalah Sultan Osman II yang memerintah pada tahun 1618 hingga 1622 dimana beliau yang umurnya agak muda telah dibunuh oleh askar – askar Janissaries disebabkan keputusan beliau untuk menutup kedai kopi yang dipercayai terdapat satu konspirasi untuk menggulingkan beliau daripada takhta Sultan Turki Uthmaniyyah.

Pemberontakan Kor Janissaries dalam Insiden Auspicious pada tahun 1826 telah menyebabkan organisasi tentera yang pernah berjasa kepada Empayar Turki Uthmaniyyah diharamkan ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud II. Sultan Mahmud II telah memerintah Syeikh Al Islam untuk mengeluarkan fatwa yang membawa penubuhan organisasi askar Empayar Turki Uthmaniyyah yang baharu iaitu Asakir-i Mansure-i Muhammediye yang bermaksud (Kejayaan askar umat Nabi Muhammad s.a.w). Kesemua askar – askar Janissary yang terlibat dalam pemberontakan tersebut dibunuh dan dihukum buang negeri.

Akhir sekali, Kor Janissaries merupakan lambang kejayaan dan kekuatan Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah menguasai dunia pada satu ketik dahulu. Begitu juga sumbangan Kor Janissaries kepada dunia adalah penciptaan kumpulan pancaragam tentera yang bertujuan untuk menakutkan pihak musuh dan menaikkan semangat moral tentera. Kekalahan pasukan Janissary dalam peperangan dengan Austria telah meninggalkan alat muzik dan Austria mula implementasi alat muzik ke dalam pasukan tentera. Begitu juga, lagu “Mehter Marşları”yang menjadi inspirasi kepada lagu “Kemegahan Negaraku”

Rujukan:

1. Goodwin, G. (2013). The Janissaries (Vol. 4). Saqi.

2. Ménage, V. (1966). Some Notes on the “devshirme”. Bulletin of the School of Oriental and African Studies, University of London, 29(1), 64-78. Retrieved from http://www.jstor.org/stable/611094

3. “Devshirme System [Gravure],” in Children and Youth in History, Item #464, https://chnm.gmu.edu/cyh/items/show/464 (accessed July 31, 2017).

4. Organization of the Janissary Corps, October 16, 2015, https://thejanissaryarchives.wordpress.com/2015/10/16/organization-of-the-janissary-corps/

5. John V. A. Fine, John Van Antwerp Fine (1994), The Late Medieval Balkans: A Critical Survey from the Late Twelfth Century to the Ottoman Conquest, University of Michigan Press, 1994 – History – 683 pages

6. H T Norris, Professor of Arabic and Islamic Studies School of Oriental and African Studies H T Norris (2007), Popular Sufism in Eastern Europe: Sufi Brotherhoods and the Dialogue with Christianity and ‘Heterodoxy’, Routledge, 24 Jan 2007 – History – 192 pages

7. Kafadar, C. (2007). Janissaries and other riffraff of Ottoman Istanbul: rebels without a cause?. Int. J. Turkish Studies Vol, 13(1&2).

Comments

comments

1 COMMENT

  1. Sebenarnya ‘Mehter Marşları’ tuu nama military band lama yang cipta lagu2 utk bagi semangat pd tentera2 Turki. Jadi lagu dia sebenarnya bertajuk ‘Ceddin deden’, pencipta dia adalah ‘Mehter Marşları’.’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here