Iktibar Daripada Filem ‘Spider-Man: Homecoming’

0
3510
views

Sejak ditayangkan pada 6 Julai lepas, ahli terbaru Marvel Cinematic Universe (MCU), Spider-Man melalui filemnya, ‘Spider-Man: Homecoming‘ mendapat sambutan hangat di pawagam. Bukan itu saja, para pengkritik turut memberi pujian kepada para pelakon terutamanya kepada pemegang watak Peter Parker, Tom Holland serta kepada mood filem yang ringan dan babak-babak yang mendebarkan. Dan jangan terkejut jika ada peminat menyifatkan Spider-Man yang versi Holland jauh lebih baik daripada Spider-Man versi Andrew Garfield dan Tobey Maguire. Tapi apa iktibar kita boleh belajar daripada Homecoming?

1. Kalau nakkan sesuatu, usaha dan persediaan kena ada.

Dalam filem Homecoming, kita semua tahu keinginan Parker untuk menjadi seorang Avenger seperti mana mentornya, Tony Stark/Iron Man dan idolanya, Steve Rogers/Captain America. Tetapi walaupun mendapat sut yang bagus, Stark merasakan Parker belum bersedia untuk menjadi Avenger. Atas sebab itu, Spider-Man melakukan banyak perkara di luar dugaan semata-mata hendak membuktikan beliau layak mendapat gelaran Avenger. Namun angkara obsesi tak bertempat ini, tumpuan beliau pada pelajaran, keluarga dan kawan-kawan terjejas sehingga menyebabkan Stark merampas sut tersebut daripada Parker dengan niat menyedarkan kembali beliau. Selepas peristiwa itu, Parker kembali fokus kepada semua perkara di atas sehingga membawa kepada kejayaan menahan Adrian Toomes/Vulture dan ditawarkan menjadi seorang Avenger kerana mengikut pandangan Stark, Parker sudah bersedia.

Figure 1: Peter Parker (Spider-Man) mahu menjadi Avenger sepertimana heronya, Iron Man. Sumber: http://nerdist.com/first-look-at-spider-man-homecoming-vulture-plus-eight-new-suicide-squad-clips/

Nak berjaya dalam sesuatu perkara bukan mudah. Tiada jalan singkat untuk kita berjaya. Kalau nakkan sesuatu, kita kena berusaha dan menyediakan diri kita dalam keadaan terbaik bagi meningkatkan peluang kejayaan kita. Bila kita tunjuk komitmen sedemikian, orang tahu bahawa kita benar-benar serius untuk berjaya dan ada keinginan mengubah hidup kita ke arah lebih baik. Tengok sajalah pelakon-pelakon yang dapat berpeluang jadi hero atau heroin sesebuah filem aksi, banyak perkara mereka kena korbankan untuk jadi terkenal. Hugh Jackman yang memainkan watak Logan/Wolverine dalam siri filem X-Men terpaksa mengamalkan diet makanan ketat untuk mendapatkan susuk tubuh sasa dan tegap untuk watak tersebut. Chris Pratt yang kita kenali sebagai Star Lord/Peter Quill di dalam filem ‘Guardians of the Galaxy’ dulu dikenali sebagai seorang yang gemuk dan terpaksa menurunkan berat badan bagi mendapatkan susuk tubuh ideal bagi watak tersebut. Kepayahan yang dilalui mereka berdua ini berbaloi kerana tak lama selepas filem-filem mereka ditayangkan, mereka menjadi nama-nama besar di persada Hollywood.

2. Tamak haloba tidak membawa manusia ke mana-mana.

Dalam filem Homecoming, motif sebenar jenayah Toomes ialah untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya dan membalas dendam kepada Jabatan Kawalan Kerosakan (Department of Damage Control) yang merampas peluang perniagaannya selepas melihat potensi senjata Chitauri yang bersepah selepas berlakunya Pertempuran New York (The Avengers), Toomes melihat inilah peluang untuk dia jadi kaya-raya. Namun keghairahan Toomes dalam mengejar kekayaan menyebabkan banyak nyawa terancam termasuk keluarganya sendiri dan kebebasannya hilang selepas dikalahkan Spider-Man dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk pengadilan.

Figure 2: Toomes melakukan apa sahaja termasuk jalan haram semata-mata nak jadi kaya. Sumber: http://elitedaily.com/entertainment/film/new-spider-man-homecoming-trailer/1840659/

Tamak bukanlah satu perkara asing dalam kehidupan di mana ia satu tema kejahatan yang berulang kali muncul sepanjang hidup kita. Jika tamak dalam soal baik seperti mengejar pahala itu tidak menjadi masalah, bahkan digalakkan lagi oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis. Tetapi tamak sebegini yang menyebabkan manusia jadi buta hati kerana padanya, harta atau kuasa jadi fokus utama tanpa memikirkan kesan pada diri sendiri atau orang lain. Bila itu jadi fokus utama, manusia tidak lagi memikirkan betul atau salah tindakannya kerana padanya, bila kuasa atau harta berada dalam tangan, ia berbaloi dengan tindakan yang diambil, sekaligus mengiyakan kata-kata Eartha Kitt, “Tamak itu bersifat pemusnah. Ia memusnahkan segala-galanya.” Dan bila mana tamak menguasai diri, manusia tidak akan puas dengannya dan akan berusaha memiliki yang lain untuk memuaskan ketamakannya itu. Maka atas sebab itulah, ramai cendekiawan mengecam sifat tamak sebegini. Bagi Seneca, bila tamak bertakhta di hati, semua dirasakan tidak mencukupi.

3. Keluarga harus jadi keutamaan.

Tema kekeluargaan amat menonjol dalam Homecoming walaupun kedua-dua hero dan antagonis saling bermusuhan. Tengok sajalah gelagat lucu Parker yang berusaha menyembunyikan identiti Spider-Man daripada pengetahuan ibu saudara beliau, May Parker termasuk adegan terakhir di mana mak ciknya masuk bilik tatkala beliau menyarung sut Spider-Man yang dipulangkan Stark. Sementara Toomes tetap berusaha menjaga keluarganya walaupun berhadapan tekanan daripada pihak berkuasa dan Spider-Man yang memburunya.

Dalam kesibukan kita bekerja atau belajar, jangan lupa untuk meluangkan masa terluang bersama keluarga. Ini kerana merekalah yang sentiasa menyokong kita tanpa mengira senang atau susah. Merekalah yang tidak jemu-jemu mendorong kita menjadi lebih baik dalam semua aspek kehidupan. Jangan kerana terlalu mengejar keseronokan di luar, mereka dilupakan terus. Bahkan, mereka sebenarnya ladang pahala yang harus dijaga penuh rapi. Terlalu banyak hadis Nabi s.a.w yang mengingatkan kita berlaku baik kepada keluarga. Antaranya, baginda bersabda berdasarkan riwayat Abu Mas’ud al-Badri, “Orang yang beri nafkah kepada keluarganya ialah satu perbuatan kebajikan.” Dalam satu riwayat Aishah r.a, baginda bersabda, “Orang yang bagus imannya ialah orang yang berakhlak baik dan berlaku baik kepada keluarganya.”

4. Kita semua mentor kepada orang lain.

Tiada siapa akan percaya tetapi hakikatnya, Tony Stark sebenarnya berperanan sebagai mentor kepada Peter Parker. Walaupun peranan tersebut langsung tidak disukai beliau dan adakalanya diserahkan kepada pembantu dan pemandunya, Harold ‘Happy’ Hogan, beliau tetap memberi input dan pengajaran baik kepada Parker dalam perjalanan menjadi hero yang hebat di mata masyarakat. Jika dilihat daripada pengalaman beliau, dari peristiwa penahanan beliau di Afghanistan (Iron Man) sehinggalah perbalahan yang membawa kepada perpecahan Avengers (Captain America: Civil War), ia sememangnya merupakan satu pengalaman yang membuka mata Parker kepada dunia sebenar.

Satu pesanan menarik Stark kepada Parker dalam satu babak ialah, “If you’re nothing without that suit, then you should never have it.” Walaupun kritikan Stark agak keras, ianya ada asas juga. Stark juga tidak mahu Parker mengulangi kesilapan lamanya iaitu sombong dan terlalu bergantung kepada satu perkara. Dan tindakan Parker yang tidak mementingkan diri selepas itu termasuk menolak tawaran menjadi Avenger mendorong Stark melamar Pepper Potts pada akhir filem tersebut.

Figure 3: Walaupun Stark enggan bertindak sebagai mentor pada awalnya, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada keperibadian Spider-Man. Sumber: http://screenrant.com/spider-man-homecoming-preview-international/

Kita semua ada tanggungjawab sebagai mentor atau contoh teladan dalam kehidupan kita. Walaupun ada menganggap peranan sebegini hanya layak diisi oleh orang-orang tertentu saja, hakikatnya jadi mentor tidaklah sesukar seperti mana yang disangkakan. Ya, bukan senang untuk menunjukkan teladan yang baik dan memberi nasihat berguna kepada orang lain terutama kanak-kanak tetapi bila kita berbuat demikian, kita sebenarnya menegur diri sendiri dan meningkatkan lagi diri kita ke arah lebih baik. Dan bila kita buat perkara sebegini, ia sebenarnya menjadi saham pahala kita yang berterusan walaupun selepas kita tiada di dunia ini. Mungkin apa yang kita lakukan itu nampak remeh tetapi ia sebenarnya mampu mengubah pandangan hidup manusia dan nampak besar pada pandangan-Nya.

Sumber:

1. Idris, Amin. (2017). Harian Metro. Gen-Y. Psiko-Y. Anda Sedia?

2. Sunnah.com. The hadith of Prophet Muhammad s.a.w at your fingertips. sunnah.com.

3. Gleiberman, Owen. (2017). Variety. Film Review: Spider-Man: Homecoming. http://variety.com/2017/film/reviews/spider-man-homecoming-review-tom-holland-1202481638/

Comments

comments

Previous articleStrategi Soft Power: Meningkatkan Kuasa Dan Pengaruh Sesebuah Negara
Next articleJanissary, Tentera Elit Empayar Turki Uthmaniyyah
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here