Harimau Mati Meninggalkan Belang…

0
1919
views

Sosok yang dikenali sebagai Ismail Rantai ini bukan satu nama asing bagi veteran pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang meminati pasukan keselamatan. Meski arwah sudah tiada, namanya masih kekal meniti di bibir rakan-rakannya. Ternyata kerinduan mereka terhadap beliau masih belum padam. Manakan tidak. Beliau adalah antara lapis awal yang membentuk pasukan VAT69 Komando, dan merupakan antara insan yang menjayakan pasukan tersebut sehingga menjadi lagenda.

Di kalangan rakyat Malaysia, mungkin ramai yang tidak hairan, malah tidak tahu, tentang insan ini serta rakan-rakan beliau serta pasukan mereka. Malah di kalangan pasukan rakan sekalipun, ada yang mencebik. Namun, di peringkat antarabangsa, di kalangan pasukan-pasukan luar, nama mereka cukup harum – malah sinonim sebagai pakar peperangan gerila antara terbaik dari tanah watan ini. Bersama-sama rakan-rakannya, Allahyarham Ismail Rantai menetapkan standard yang cukup tinggi bagi pasukan mereka.

Semangat beliau memang tidak ternafi, malah tidak tertiru sehingga sekarang. Ada saja cerita tentang arwah yang dikisahkan rakan-rakannya, dan mendengarkan cerita-cerita tersebut, ternyata, musuh mempunyai sebab yang cukup kuat untuk merasa gerun jika bertembung dengan kumpulan pejuang berani mati ini. Tidak ada sebab yang lebih utuh buat mereka mengorbankan masa remaja mereka, melainkan demi tanah air tercinta.

Ditinggalkan keluarga, insan tersayang..malah anak-anak yang membesar, demi sebuah perjuangan jauh di belantara kita yang berdurikan musuh tidak kenal erti kemanusiaan. Apa sangatlah setakat gaji mereka sekitar RM150.00, bersama elaun hutan RM5.00 sehari. Tidak ada istilah mewah dalam penghidupan mereka, dan keluarga mereka menanggung tekanan yang maha tinggi. Masakan tidak. Ditinggalkan suami..ditinggalkan ayah, berbulan-bulan lamanya..melangsungkan penghidupan sendirian. Ada yang tak dapat memahami dan mula memberontak. Yalah..suami orang..ayah orang lain..ada saja dengan mereka. Kenapa suami aku..ayah aku tak ada? Apa dibuat lama-lama dalam hutan tu? Menikah dengan bunian ke?

Namun, bagi sosok-sosok lagenda ini, mereka mengamalkan prinsip orang dulu-dulu – menanam pokok durian yang takkan sempat mereka nikmati, demi untuk anak cucu. Begitu jugalah dengan sosok-sosok ini – mereka mengejar keamanan bukan demi diri mereka..tetapi demi anak cucu mereka. Dan alhamdulillah..ramai yang sempat melihat anak cucu mereka berlarian gembira di bumi bertuah ini.

Kalau nak diceritakan tentang arwah ayahanda Ismail Rantai ini, ternyata semangat beliau memang tidak dapat dinafikan. Seperti yang diceritakan oleh seorang veteran VAT68 Komando, Encik Mustafa Hj Zainal. Menurut beliau, ada sekali, mereka sedang bermain bola di padang kem PPH Ulu Kinta itu.

Sedang mereka rancak meneruskan permainan, kelihatan arwah Ismail Rantai sedang menaiki motor ( motor Honda lama jenis handle lurus tu) menuruni bukit. Ketika beliau sedang mengambil selekoh, motor tersebut tiba-tiba tumbang dan mengelongsor di atas pasir-pasir halus yang berterabur di sepanjang jalan. Apa yang berlaku menyebabkan kesemua mereka terkesima.

Aduh…bisik masing-masing. Kemudian, kelihatan arwah bangun. Beliau ketika itu sedang memakai singlet PT ( Latihan Jasmani) berwarna kuning tidak berlengan. Kelihatan separuh lengannya putih akibat geseran di atas pasir tersebut. Kemudian, keputihan itu dirona merah darah yang mula meresap keluar. Kalau anda pernah luka, pasti anda tahu bagaimana pedihnya bila luka tersebut menampakkan isi putih semata, dan kemudian perlahan-lahan darah merah mula keluar. Aduh..peritnya janganlah diceritakan. Kalau kita, mungkin terlentang menadah langit menahan sakit.

Namun, lain pula dengan arwah. Dengan muka tidak puas hati, arwah Ismail Rantai telah membangunkan motorsikalnya. Dipusingnya motor tersebut ke arah beliau datang. Motor itu dihidupkan semula dan dipecut meaiki bukit itu semula. Dalam keadaan semua yang sedang bermain bola itu masih terkebil-kebil, beliau kelihatan menuruni semula bukit itu pada kelajuan penuh.

Selekoh yang tadinya “memakan”nya ditala semula. Dengan penuh yakin, beliau mengambil semula selekoh itu, dan kali itu, ternyata beliau berjaya mengawal motorsikal tersebut. Melihat kehebatan beliau, anak-anak buahnya hanya mampu bertepuk tangan dan bersorak. Selepas itu, barulah arwah menuju ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Kata rakan-rakan arwah, kalaulah tak kerana beliau lepas pusingan kali itu, pasti akan diulanginya berkali-kali sampai beliau berjaya.

Namun, di sebalik wajah beliau yang garang, serta semangatnya yang kental, ternyata beliau punya taman di hati. Ketika beliau menjadi SI ( pangkat tertinggi kategori bukan pegawai), anak-anak buahnya cukup senang. Setiap kali nappy break ( rehat pagi), mereka tidak perlu berhabis di kantin. Sebaliknya, mereka dijemput makan di rumah beliau, sementelah isteri arwah memang suka memasak. Sayangnya beliau kepada keluarga dan anak-anak buahnya tidak dapat dinafikan – meski segarang-garang beliau.

Dan semangat itulah yang beliau bawa sepanjang hayatnya..semangat yang mungkin sukar ditiru oleh sesiapa daripada mana-mana pasukan sekalipun. Semangat orang lama, kata orang. Bukan berniat mahu membezakan sesiapa, tetapi di situ terkandung pengajaran yang boleh diambil oleh perwira-perwira zama kini. Senjata sahaja..gaji sahaja..bukan sebab yang cukup kukuh untuk membuatkan kita tekad meneruskan perjuangan. Semangat itu adalah satu legasi yang harus disambung dan tidak dibenarkan putus.

Jangan diambil pengajaran daripada mereka-mereka yang kini berada di kedudukan tinggi, tapi memperolehinya melalui cara yang tidak betul – bergantung kepada bodekan semata, sedangkan semasa bertugas, sibuk dengan pelbagai alasan..sakit pingganglah, sakit kakilah. Ya, bila tiba saat kini, insan sebegitu mungkin mendapat kedudukan. Namun sampai bila mereka mampu menipu sejarah? Apa terjamin keselamatan anak-anak buah yang mengikut mereka? Apa terjaga kebajikan mereka?

Jangan ditidakkan semangat orang lama sebegini. Ya..zaman mereka sudah berlalu. Sama juga seperti kita. Zaman kita juga akan berlalu. Akan sampai masa di mana kita juga akan kehilangan segala kekuatan dan kemampuan. Namun, yang akan terus menjadi warisan yang akan berdenyut di setiap pembuluh darah pewaris kita, adalah semangat dan perjuangan kita. Kita mungkin punya mata yang berbeza..tapi dalam keadaan tertentu, biarlah kita menilai daripada pandangan yang sama.

Hanya ini tanah tumpah darah yang kita miliki..takkan ada yang lain bagi keturunan kita. Dan pada masa yang sama, berterima kasihlah kepada mereka-mereka yang telah mengorbankan zaman mereka untuk kita. Ingatlah bahawa tanggungjawab kita juga untuk meninggalkan legasi yang sama kepada anak-cucu kita. Kita takkan hidup selamanya. Harimau mati meninggalkan belang..insan mati meninggalkan jasa. Maka, jasa apakah yang bakal kita tinggalkan?

Al-fatihah kepada ayahanda Ismail Rantai..serta semua pejuang-pejuang bangsa yang telah kembali. Semoga mereka terus diberikan rahmat di sana..=WRA=

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here