Pertempuran Talas: Perang Antara Kekhalifahan Abbasiyah Dan Juga Dinasti Tang China

0
3468
views

Pertempuran Talas merupakan pertempuran yang amat penting dalam pengukuhan syiar Islam di Asia Tengah. Tidak keterlaluan aku katakan bahawa Islam yang wujud di Kyrgyztan, Tajikistan, Kazakhstan, Turkmenistan dan Uzbekistan pada hari ini adalah kerana kejayaan tentera Islam memenangi Pertempuran Talas ini lalu menghentikan perluasan kuasa Dinasti Tang ke Barat. Pemberontakan An Lushan di kemudian harinya yang menyebabkan kesemua askar Dinasti Tang meninggalkan pos mereka di Asia Tengah juga menyumbang kepada penyebaran dan pengukuhan Islam di Laluan Sutera pada tahun-tahun mendatang.

Pertempuran Talas terjadi pada tahun 751 Masihi di antara Dinasti Abbasiyah dari Barat dengan Dinasti Tang dari Timur. Pertempuran ini berlaku di sebuah lembah yang bernama Talas atau Talaz yang terletak di Negara Kyrgyztan moden, tidak jauh dari sempadan Kazakhstan.

Pada ketika itu, pemerintah yang menerajui Dinasti Abbasiyah ialah pengasasnya sendiri iaitu Khalifah Abu Al-Abbas As-Saffah. Baginda pada waktu itu baru sahaja mengusir saki-baki keluarga khalifah Bani Umaiyyah yang terakhir ke Andalusia. Penting bagi baginda untuk memperkukuhkan dinasti baru yang diasaskannya dari Wilayah Khurasan ini termasuklah di Asia Tengah, yang bakal menjadi medan pertempuran antara dua kuasa besar dunia pada zaman itu.

Dinasti Tang pula diterajui oleh Maharaja Xuanzhong, pemerintah ke-tujuh dinasti ini. Maharaja ini terkenal dengan permulaannya kejatuhan Dinasti Tang setelah berlakunya Pemberontakan An Lushan pada tahun 755 Masihi di Utara China.

Asia Tengah semestinya menjadi wilayah yang didambakan semua pihak kerana Laluan Sutera yang menghubungkan Timur dan Barat menjanjikan kekayaan yang bakal memperkuatkan sesebuah empayar. Pembangunan kota dan ekspedisi ketenteraan pastinya dapat dibiaya dengan mudah jika sesebuah kerajaan itu menguasai Laluan Sutera (Silk Road) dan juga Laluan Dupa (Incense Road) di Asia Selatan.

Sebelum terjadinya Perang Talas, wilayah Asia Tengah ini seringkali menjadi medan pertempuran di antara Dinasti Tang, Dinasti Umayyah dan juga penduduk setempat di wilayah yang lebih dikenali sebagai Syr Darya ini.

Pertempuran Talas adalah perang yang tidak dapat dielakkan. Ego dua empayar bakal ditentukan secara mutlak di lembah sungai yang besar ini.

Dinasti Abbasiyah dibantu oleh tentera dari Empayar Tibet yang membenci Dinasti Tang manakala tentera upahan Karluk pula menyertai angkatan Dinasti Tang.

Kemenangan sebenarnya amat mudah buat Dinasti Abbasiyah kerana ketika berlakunya pertempuran, askar Karluk yang berjumlah 2/3 daripada keseluruhan askar Dinasti Tang telah berpaling tadah dan menyerang askar Cina ini dari dalam.

Tentera Tibet dan Abbasiyah pula menyerang dari hadapan menyebabkan askar Tang berundur menuju ke China. Hanya 2,000 orang askar sahaja yang berjaya pulang ke China daripada 10,000 orang yang memulai perang ini.

Signifikasi daripada kemenangan ini, kuasa-kuasa kecil di Asia Tengah tidak lagi membayar ufti kepada Dinasti Tang, sebaliknya membayarnya sama ada kepada Kerajaan Uighur, Kerajaan Tibet atau pun kepada Khalifah Abbasiyah sendiri.

Walaupun Pertempuran Talas tidak menandakan berlakunya pengislaman besar-besaran di Asia Tengah, namun seperti kata Vasily Bartold, seorang sejarawan Russia, kejayaan tentera Islam di Turkestan ini, walaupun tidak diraikan oleh sejarawan Islam, ianya masih penting dalam menentukan tamadun manakah yang seharusnya diwarisi oleh warga Turkestan. Adakah Tamadun China atau Tamadun Islam?

Namun, signifikasi terbesar padaku ialah berlakunya pemindahan teknologi pembuatan kertas dari China ke Samarkhand yang dikatakan dipelopori oleh tahanan perang berbangsa Cina ini. Kertas dari Samarkhand amat penting di zaman kegemilangan ilmuwan Islam Abbasiyah. Malah, teknologi pembuatan kertas ini melarat ke beberapa negeri jajahan Abbasiyah sehingga boleh didapati di Kota Baghdad pada tahun 794 Masihi.

Pertempuran Talas bukanlah pertempuran yang besar impaknya pada penyebaran Islam dan penguasaan wilayah di Asia Tengah namun ianya merupakan pertempuran penting dua tamadun hebat dunia pada waktu itu dan bolehlah dikatakan bahawa teknologi pembuatan kertas telah menyemarakkan lagi budaya ilmu di kota-kota Islam seperti Bukhara, Samarkhand, Merv, Baghdad, Nishapur, Herat dan banyak lagi.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here