Tataplah Sejarah Dengan Penuh Rasa Bangga!

0
1967
views

Beberapa bulan lepas, tular satu isu yang mengaibkan gelanggang lapangan ilmu sejarah di media sosial. Beberapa pemilik akaun meletakkan gambar buku teks sejarah tingkatan 4 dan 5 dengan menyatakan kedua-dua bahan wajib pelajar KBSM itu sebagai ubat tidur. Ramai yang berkongsi gambar tersebut dan menganggapnya sebagai bahan jenaka. Namun sebagai seorang pelajar dan peminat sejarah, saya menanggapinya sebagai satu bentuk penghinaan terhadap bahan pembacaan sejarah.

Saya antara peminat sejarah semenjak di bangku sekolah lagi. Gambar tentera Jepun menunggang basikal ketika menjarah Tanah Melayu masih berada dalam imaginasi sehingga sekarang walaupun sudah lama tidak membelek naskhah tersebut. Mengulang-ulang pembacaan buku teks sejarah tanpa rasa bosan apatah lagi mengantuk itu adalah tabiat saya. Ini kerana saya menaruh minat yg mendalam terhadap pembacaan. Setiap kali mengulang, saya mendapat satu ilmu dan perspektif baru.

Membaca sejarah membuat saya berinteraksi dengan masa lalu. Binaan zaman silam dan juga orangnya yang telah mati tidak boleh berkata-kata seperti manusia yang hidup tetapi harus diakui mereka tetap terus berinteraksi. Malah merubah segala monumen fakta yang kukuh dan merombak kepercayaan sedia ada. Maka kerana itu, binaan yang kaku dan orang yang sudah mati itu seolah-olah terus bercakap dan memberitahu kita banyak perkara. lantaran itu EH Carr menyebutkan, “history is a dialogue between the past and the present”.

Di universiti, satu hakikat yang harus diakui ialah mahasiswa sangat jauh dari budaya membaca. Ramai orang berkata bila masuk universiti jangan menjadi ulat buku sahaja dan usah hanya belajar 24 jam. Akan tetapi realitinya untuk ketemu dengan orang seperti itu sangat minoriti, bahkan hampir tidak dijumpai. Maka tidak wajar untuk kita mengkritik satu golongan sahaja. Kerana di universiti realitinya kita akan bertemu lebih ramai kaki tidur, kaki mengumpat dan juga gamers.

Mahasiswa perlu cuba mengajar diri untuk membaca buku ilmiah yang bernilai akademik yang tinggi. Tinggalkan sedikit demi sedikit bahan bacaan ringan-ringan. Jika ingin mendalami ilmu pensejarahan, cubalah membaca karya Muhd Yusuf Ibrahim misalnya. Namun jika buku teks pun kita boleh tertidur, bagaimana mahu membaca bahan yang berat-berat? kalau dapat disiplin baca 5 muka surat sehari pun sudah memadai. Tetapi itu pun belum tentu!

Kalau di masjid dari bulatan usrah hinggalah ke mimbar khutbah akan selalu diulang ayat “iqra”. Semua orang islam tahu ayat pertama dalam al-Quran bukan berkait dengan doa, bukan juga aurat, tidak juga potong tangan orang atau apa saja. Tetapi arahan yang pertama adalah “membaca”. Kitab suci itu sendiri sarat dengan kisah-kisah sejarah. Kita cubalah muhasabah diri sendiri sejauhmana cinta kita pada pembacaan. Kata Hasrizal Jamil, “buku-buku itu hakikatnya hanya kertas, kecuali apabila tulisan di dalamnya dibaca dan dimanfaatkan. Nilai buku ialah pada baca. Bukan pada simpan, jauh sekali pada menggemukkan anai-anai”.

Ilmu sejarah terkait dengan budaya membaca. tidak ada jalan pintas untuk memahami sejarah selain membaca. Di media sosial kita akan bertemu ramai yang menulis tentang sejarah. Fakta sejarah yang diolah dengan bahasa yang indah dan gambar yang menarik begitu mudah untuk menarik ramai pembaca. Namun di sana ada realiti yang kurang enak menjangkiti pembaca-pembaca sejarah. Ketaksuban terhadap sesuatu fakta dan interpretasi sejarah melanda sebahagian peminat-peminat sejarah. Malangnya tatkala diberi teguran dalam berbalas fakta dan hujah, mereka akan melabel orang lain sebagai ‘anti melayu’ atau ‘macai kerajaan/pembangkang’. Bahkan ada yang mengeluarkan kata-kata kesat semata-mata ingin mempertahankan fakta dan interpretasi mereka. Sikap label-melabel semacam ini menunjukkan ketidakmatangan dan langsung tidak mempamerkan roh sejarah. Sedangkan ilmu sejarah ini menjadi menarik jika kita bersedia menerima perubahan tatkala datangnya bukti baru yang wujud untuk menggantikan yang lama.

Sebagaimana kita memerangi golongan sains palsu, peniaga palsu dan agama palsu. Golongan sejarah palsu yang wujud juga harus diperangi. Ilmu sejarah sangat mudah untuk dieksploitasi. Kita tidak boleh mempertahankan fakta sedia ada kerana dianggap sebagai tradisi yang tidak boleh dicabar. Sudah sampai masanya kita bercakap tentang kebenaran, bukan kerana semata-mata ia tradisi nenek moyang atau bukan juga tentang pengiktirafan dan penghargaan orang asing. Kita harus menghargai sejarah kerana ianya sejarah.Kita tidak hidup atas mitos dan penghargaan orang luar. Jika sejarah ditentukan oleh mitos dan pengiktirafan luar, selamanya kita akan ditipu dengan kepalsuan sejarah. Prof Muhammad Abu Bakar sering menyebutkannya sebagai ‘kejulingan sejarah’.

Maka, ilmu sejarah harus ditatapi dengan pembacaan yang luas. Tidak cukup sekadar membaca sekerat-sekerat lalu membuat satu kesimpulan untuk menghukum orang lain. Kita harus meletak sesuatu pada tempatnya. Ilmu sejarah ada disiplin dan falsafah yang tersendiri. Jika kita benar-benar ingin mendalami sejarah. Mulakan langkah kaki ke kutub-kutub khanah, carilah bahan bacaan yang berautoriti, kemudian tatapilah sejarah itu dengan kacamata ilmu, lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Jadikan bahan sejarah sebagai teman yang memotivasikan bukan satu ubat untuk menidurkan!

 

AHMAD FAIZAL

31 MAC 2017

SLIM RIVER

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here