Luka Episiotomi Luka Yang Perlu Diendahkan?

0
2555
views

Ramai orang yang mempersoalkan mengapa jahitan Episiotomi dilakukan tanpa bius dengan erti kata lain, si ibu akan merasakan seolah mereka dijahit hidup-hidup.

Ada juga yang mempersoalkan keperluan episiotomi itu sendiri perlu dilakukan semasa proses labour. Malah, ada juga yang tidak pernah mendengar tentang jahitan Episiotomi ini.

______

Episiotomi adalah satu prosedur yang dilakukan semasa bersalin di mana perineum ibu akan digunting sedikit bagi memudahkan laluan bayi. Guntingan akan dilakukan apabila kepala bayi telah sampai ke mulut faraj.

Selepas proses kelahiran selesai, luka akan dijahit dengan benang yang akan larut atau hancur sendiri dalam beberapa hari.

Tidak semua ibu-ibu memerlukan episitomi kerana ia bukan prosedur yang mesti bagi setiap kelahiran kecuali:

1) Kandungan sulung, walaubagaimanapun, ia bukan rutin untuk semua ibu-ibu kehamilan pertama yang mahu beranak secara biasa. Penilaian diberi oleh pegawai perubatan serta bidan yang mengendalikan proses kelahiran.

2) Kejadian yang memerlukan bayi dilahirkan segera sebelum kelahiran dibantu oleh forceps atau vacuum.

3) Untuk kelahiran bayi sonsang.

4) Kepala bayi berada dalam posisi abnormal.

5) Bayi besar atau kejadian bahu sangkut – Episiotomi dilakukan supaya internal manoeuvre dapat diakukan untuk selamatkan bayi.

5) Bayi di dalam keadaan stres atau tekanan (fetal distress) – membantu ibu memudahkan kelahiran bayi.

Episiotomi akan dilakukan jika penyambut kelahiran merasakan koyakan faraj teruk akan terjadi.

Perlu diingatkan di sini bahawa jika proses kelahiran terlalu lama ATAU ibu keletihan ianya bukan indikasi episiotomi.

Jenis koyakan semasa melahirkan

First Degree Tear – Satu koyakan kecil pada kulit yang lazimnya pulih sendiri dan tidak memerlukan jahitan.

Second Degree Tear- Koyakan yang lebih mendalam yang melibatkan otot-otot dan kulit – memerlukan jahitan

Third Degree Tear  – Koyakan mendalam yang melibatkan kulit dan otot-otot perineum. Koyakan itu juga melibatkan otot-otot yang mengelilingi anus – memerlukan jahitan.

Forth Degree Tear  – Koyakan parah yang melebihi paras otot-otot anus anda. Koyakan mungkin sejauh bahagian usus yang terletak selepas anus, – memerlukan jahitan.

______

Biasanya, wanita yang pernah mengalami episiotomi cukup faham tentang ‘peritnya’ kawasan jahitan itu, Bagi mengelakkan luka episiotomi mengalami jangkitan/terbuka, ibu-ibu dinasihatkan untuk:

1) Memastikan kawasan perineum bersih kerana darah Nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka. Pastikan luka dibersihkan samaada dengan air suam, atau dengan ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.

Selain itu, elakkan menyapu benda lain seperti serbuk manjakani atau minyak gamat yang kita tak tahu tahap kebersihannya di kawasan perineum.

2) Elakkan dari sembelit kerana sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran dan ini akan menyebabkan luka terlerai sedikit atau mungkin terus. Minum banyak air dan makan banyak sayuran serta buah buahan bagi membantu pelancaran proses pembuangan najis.

Mitos berkaitan minum air yamg banyak akan menyebabkan perineum ataupun peranakan berair selain makan sayur akan menyebabkan angin tidak benar sama sekali. Minum air yang kurang juga akan menyebabkan gangguan pada penghasilan susu badan. Kekurangan air juga akan menyebabkan luka episiotomi lambat sembuh.

3) Lakukan Senaman lantai pelvic ataupun juga dikenali sebagai senaman kemutan (‘Kegel Exercise). Senaman ini boleh dilakukan secara rutin. Ia akan membantu dalam pelancaran darah di vagina dan akan membantu dalam proses penyembuhan luka.

4) Perhatikan tentang tanda-tanda jangkitan kuman, seperti;

–  Kemerahan

– Bengkak di luka episiotomi

– Sakit yang teramat di kawasan luka terutama semasa bergesel sewaktu berjalan.

– Pengeluaran discaj berbau

– Demam.

Jika tanda-tanda ini dapat dikesan, segeralah ke hospital atau maklumkan kepada jururawat yang melawat di rumah. Untuk pengetahuan anda, luka boleh diperiksa dengan menggunakan cermin. Oleh itu jika boleh, minta kerjasama si suami untuk melakukan pemerhatian.

5) Jika kesakitan terhadap luka episitomi tidak dapat dikawal, pengambilan paracetamol serta ponstant boleh diambil (atas arahan doktor).

6) Pakai seluar dalam dari jenis kapas yang boleh menyerap peluh bagi mengelakkan kelembapan di perineum.

7) Tukar pad dengan kerap dan lap kering perineum setelah ke tandas bagi mengelakkan potensi infeksi.

8) Cuci perineum DARI DEPAN KE BELAKANG (perineum ke anus) bagi mengelakkan flora pada anus menjangkiti luka episiotomi.

9) Elakkan dari mencangkung. Seeloknya gunakan tandas duduk bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi.

Ada sesetengah orang yang mengeluh, apabila baru melahirkan, disuruh berjalan pula. Mereka kata lagi mereka tidak mampu berbuat begitu kerana letih meneran tidak habis lagi, tambahan pula belum lagi sampai 3- atau 4 jam mereka sudah disuruh berjalan.

Sebenarnya, ambulasi awal adalah penting bagi mengelakkan pengumpulan darah beku di perineum. Ambulasi adalah tindakan berjalan atau bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa tongkat atau kruk. Tindakan ini dapat menjamin pengaliran darah yang sempurna serta membantu dalam penyembuhan luka Episiotomi.

Buat suami-suami di luar sana, saya nasihatkan anda untuk bersabar daripada menyetubuhi isteri anda. Tolong pastikan lukanya benar-benar sembuh. Takkan lari gunung yang dikejar. Berpuasa sekarang lebih bagus daripada terpaksa “berpuasa”  untuk selama-lamanya.

Nota kaki:

Kebiasaannya, semasa jahitan Episiotomi dilakukan, bius setempat akan diberikan; cuma pemberian bius yang terlalu banyak akan menyebabkan bengkak di kawasan perineum dan apabila bengkak surut, dikhuatiri akan menganggu kesan jahitan itu. Kawasan kulit di perineum mempunyai saraf yang sensitif, walaupun telah diberikan bius, sakit dan pedih tetap akan terasa. Tanggapan bahawa tiada pemberian bius semasa menjahit luka episiotomi adalah salah.

Nur Nabiila Masfuzah

Jururawat Terlatih

Artikel ini pernah disiarkan di Medical Mythbusters Malaysia

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here