Adakah Kita Bebas Membuat Pilihan Hidup?

0
700
views

Sebelum pergi lebih lanjut. Apa yang saya nak bawa di sini adalah apa yang ahli falsafah bincangkan berkenaan Kehendak Bebas (Free Will). Jadi, memang aku tak mahu sentuh apa-apa fasal agama, terutamanya Islam. Jadi, segalanya falsafah di sini.

1. Libertarianism

Libertarianism sinonim dengan konsep Kehendak Bebas yang telah dibincangkan sejak zaman Tamadun Yunani lagi. Aristotle dan Epictetus menyatakan tiada apa yang menghalang kita daripada membuat pilihan. Jadi, secara umumnya idea ini menyatakan kita tidak terikat dengan apa-apa dalam melakukan apa-apa tindakan dalam hidup kita.

Kita mahu makan nasi goreng sebab memang kita mahu makan benda itu dan kita mampu memakannya. Kita mahu ke sekolah sebab kita mahu ke sekolah dan ianya semua pilihan kita tanpa terikat dengan apa-apa pun.

Libertarianism mengasaskan dua perkara yang membentuk idea mereka, iaitu punca keadaan (event causation) dan ejen punca (agent causation). Punca keadaan adalah apa-apa kejadian fizikal (realiti) yang berlaku di dunia ini tidak akan berlaku tanpa kejadian fizikal yang sebelumnya. Contohnya, kereta bergerak sebab ada orang yang memandu. Cawan itu berisi air sebab ada orang yang isi. Libertarian menyatakan kejadian fizikal itu memang bersifat deterministik.

Ejen punca pula menyatakan segala rantaian peristiwa fizikal yang berlaku tadi adalah hasil daripada minda dan kehendak. Kereta itu dipandu kerana pilihan aku sendiri dan itu pilihan aku. Cawan itu berisi air kerana aku nak minum.

Tetapi ahli falsafah yang lain melihat hujah itu tidak cukup kukuh untuk menegakkan konsep Kehendak Bebas.

2. Determinism

Falsafah ini pula adalah yang paling kuat menentang konsep Kehendak Bebas (Free Will). Determinisim menyatakan, apa yang kita lakukan mempunyai faktor sebelumnya yang membuatkan kita melakukan perkara tersebut, termasuklah faktor dalaman. Sebarang faktor yang membuatkan kita melakukan pilihan menunjukkan kita tidak mempunyai sebarang kebebasan memilih.

Determinisim berhujah, apakah yang membuatkan seseorang itu memilih suatu pilihan itu daripada banyak-banyak pilihan yang lain? Apakah yang membuatkan aku memilih untuk memandu kereta berbanding pilihan untuk menaiki kenderaan awam ataupun berjalan kaki?

Faktor yang mempengaruhi keputusan dan pilihan itu menjadikan manusia tidak mempunyai kebebasan memilih bagi determinism. Saya memilih untuk memandu kereta sebab KTM lembab nak mampus dan jalan kaki pula memenatkan.

Ahli falsafah Perancis, Baron D’Holbach menyatakan, tiada sebarang tindakan kita yang bebas, malah segalanya yang berlaku adalah hasil daripada rantaian peristiwa yang tak pernah putus.

Kenapa aku nak memandu kereta? Aku mahu beli buku. Kenapa aku nak beli buku? Sebab buku itu menarik. Kenapa menarik? Sebab mempunyai informasi yang berguna. Dan seterusnya. Maka, apa yang berlaku adalah hasil daripada peristiwa lepas yang tidak pernah putus rantaiannya.

Maksudnya pilihan aku sendiri pun bersebab yang kelihatannya menurut Determinisim tidak bebas.

3. Compatibilism

Aku teringat sebuah filem yang berjudul ‘Identity‘ menayangkan seorang pesakit yang mengalami masalah split personaliti. Personalitinya ada 9 orang dan salah seorangnya adalah pembunuh. Apabila dia menjadi personaliti pembunuh tersebut, dia akan melakukan pembunuhan.

Jadi apa yang berlaku pada lelaki yang mempunyai masalah mental ini adalah Kehendak Bebas ataupun sesuatu yang bersebab (kerana mempunyai masalah gangguan personaliti)?

Macam mana kita nak menghukum dan mendakwa lelaki yang mempunyai masalah gangguan personaliti itu?

Di sinilah munculnya compatibilism yang cuba menyeimbangkan antara determinism dan libertarianism. Compatibilism masih menganggap perkara yang berlaku sebagai bentuk yang telah ditentukan dan tidak bebas. Tetapi sekiranya ketentuan itu berlaku hasil daripada pilihan atau dari dalam diri kita, ia masih dianggap sebagai Kehendak Bebas dan bebas membuat pilihan.

Dalam kes orang sakit mental tadi, kita tak boleh nak salahkan untuk perkara yang dia tak boleh dikawal. Sebenarnya banyak kes lain selain masalah mental ini seperti ketumbuhan yang mempengaruhi tindakan.

Ahli Falsafah kontemporari, Patricia Churchland menyatakan, dalam kes macam ini, kita hanyalah mampu mengawal untuk perkara yang kita boleh kawal. Menanyakan adakah kita bebas membuat pilihan adalah tidak relevan. Sepatutnya soalan yang ditanya adalah, berapa banyak perkara yang dapat kita kawal? Semakin banyak perkara yang kita dapat kawal, maka semakin beratlah tanggungjawab kita.

Jadi, adakah kita bebas membuat pilihan?

 

Comments

comments

Previous articleBagaimana Kehidupan Wujud?
Next articleLuka Episiotomi Luka Yang Perlu Diendahkan?
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here