Apa Yang Kita Perlu Tahu Tentang Revolusi Industri Ke-4 Yang Sedang Menyapa Kita?

0
4577
views

Seperti yang dijanjikan, ini intro pasal ‘Precariat’, ‘Fourth Industrial Revolution’ dan ‘Universal Basic Income’.

Precariat merujuk kepada orang yang tidak mempunyai ‘labour security’ dan ‘occupational identity’. Istilah yang dipopularkan oleh ahli ekonomi bernama Guy Standing ini menggabungkan perkataan ‘precarity’ (keadaan hidup tanpa kestabilan dan kebolehjangkaan) dan ‘proletariat’ (marhaen).

Anda seorang Precariat kalau dah mencari kerja bertahun-tahun masih tak dapat (walhal graduan kelas pertama). Selama 4-5 tahun anda cari kerja, anda pernah kerja jadi cleaner, petik buah, jadi translator, jadi pemandu Uber dan jual nasi dagang. Orang tanya anda kerja apa, anda tak dapat nak jawab. Itulah ketiadaan ‘occupational identity’.

Keadaan anda lebih teruk daripada ‘kais pagi makan pagi’. Anda kais semalam, makan separuh pagi ini, simpan separuh lagi untuk petang, dan tak pasti samaada mempunyai peluang untuk kais lagi besok hari. Sebab anda tidak mempunyai ‘job’. Anda hanya cari duit dengan memenuhi ‘task’ yang bersifat sementara. Itulah ketiadaan ‘labour security’ dan pendapatan yang terjamin. Kalau dibuat secara sukarela, kita panggil Freelancer. Precariat tidak mempunyai pilihan. Malah ramai yang dibebani hutang. Precariat adalah golongan ‘working poor’. Jangan kata nak beli kereta beli rumah nak kumpul modal buat bisnes, nak sara diri pun jadi masalah.

Hidup Precariat penuh dengan ketidakpastian. Mereka tak nampak hala tuju masa depan. Kerja sampai patah tulang pun tak dapat keluar dari jerat kemiskinan. Precariat adalah produk sistem ekonomi kapitalisme neoliberal (‘neoliberal capitalism’ atau ‘neoliberalism’) yang diarus-utamakan sejak 1980-an. Neoliberalisme melihat sistem ekonomi akan bertambah cekap dengan wujudnya persaingan. Maka pasaran harus bebas, dan jaminan sosial harus dikurangkan untuk mengalakkan orang jadi lebih berusaha.

Neoliberalisme percaya bahawa sumber ekonomi adalah terhad, maka ketidaksamarataan ekonomi itu adalah sesuatu yang ‘natural’. 4-5% penduduk menganggur? Itu biasa. Yang tak biasa ialah semua orang dapat kerja. Itu akan membawa kepada inflasi, kata mereka yang mendukung neoliberalisme.

Di bawah neoliberalisme, kerajaan tidak perlu bertanggungjawab untuk memastikan semua orang dapat kerja. Biar syarikat yang buat keputusan nak ambil atau tak ambil orang. Keputusan swasta paling efisien. Kesatuan sekerja (trade union) tidak digalakkan kerana tuntutan kenaikan upah akan menambah kos operasi syarikat. Peningkatan kos akan membawa kepada inflasi. Inflasi no good. Dengan itu, syarikat lebih gemar mengambil pekerja secara kontrak dari mengambil pekerja tetap. Sebab tak perlu bayar KWSP, tak perlu bayar SOCSO. Tak perlu fikir pasal kemudahan perubatan. Tak perlu fikir bagi cuti gaji penuh.

Parah kan? Neoliberalisme telah membawa kepada kemurungan generasi muda di Korea Selatan dan Jepun. Orang muda di sana tertekan dengan kos hidup tinggi dan gaji rendah, dan ramai telah memilih untuk bunuh diri kerana tak nampak jalan keluar dari hidup yang sempit.

Tapi ada satu tren baru yang akan menambah parah keadaan ini, iaitu Revolusi Industri Keempat (‘Fourth Industrial Revolution’ atau FIR).

FIR merujuk kepada fasa ke-4 perkembangan teknologi kapitalisme. Revolusi pertama berlaku semasa 1780-an dengan munculnya kuasa mekanik, revolusi kedua berlaku pada 1870-an dengan munculnya kuasa elektrik dan ‘assembly line’, revolusi ketiga berlaku pada 1960-an dengan munculnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sekarang kita memasuki revolusi ke-4 dengan munculnya teknologi ‘cyber-physical’ seperti ‘robotics’ dan ‘artificial intelligence’ (AI).

Untuk dapat kerja di zaman FIR, anda perlu ada ‘high skill’: skill yang pelik-pelik seperti ‘statistical analysis’, ‘data mining’ dan ‘cloud and distributed computing’. Kalau anda tak mempunyai high skill, kebarangkalian besar anda tak akan dapat kerja hatta kerja kilang pun. Kapitalis sekarang dah mula mengguna pakai teknologi robotik dan AI sebagai gantian tenaga manusia.

Kalau robot dah boleh buat kerja manusia, maka kapitalis pun hilang insentif untuk upah manusia. Robot lagi bagus. Robot tak reti penat. Robot tak perlu makan. Robot tak tuntut hak pekerja. Yang paling penting, robot tak perlu dibayar gaji, hanya perlu kos maintenance saja. Maka kapitalis boleh memaksimakan untung. Pekerjaan pengurusan yang perlukan otak manusia pun makin jadi tak relevan dengan adanya AI.

Seram kan? Dah macam cerita Terminator. Tapi itulah realiti yang semakin dekat dgn kita.
FIR akan buat sebahagian besar populasi hilang kerja, jadi Precariat.

Fenomena Precariat ini bahaya. Sebab golongan ini tidak mempunyai apa-apa, ‘have nothing to lose’, lagi-lagi kebanyakan mereka orang muda berdarah panas. Perasaan ‘despair’ dan ‘frustration’ akan membawa kepada kekacauan masyarakat.
Fenomena populisme yang membawa kepada Brexit dan kenaikan Trump juga dikatakan ada kaitan dengan Precariat. Mereka yang ‘frust’ dengan janji-janji kapitalis global telah tunjuk mereka sedang mencabar globalisasi yang dibawa oleh neoliberalisme.

Jadi apa jalan penyelesaiannya selain revolusi menggulingkan kapitalisme yang disyorkan oleh sosialis dan Marxist?

FIR sebenarnya ada kebaikannya. Kita tak patut halang FIR. Tapi kita boleh ‘reform’ kapitalisme. Kita patut buang ideologi neoliberalisme jauh-jauh. Pendukung ekonomi neoliberal taksub kepada idea pasaran bebas. Bagi mereka, keadaan ‘precarity’ akan membawa kepada semangat untuk jadi lebih berusaha. Tapi dalam realiti, perasaan ‘security’ adalah amat penting untuk seseorang memajukan diri. ‘Precarity’ akan membawa kepada tekanan dan kemurungan dan jadi punca demotivasi.

Salah satu cara untuk mengatasi precarity adalah melalui pelaksanaan ‘universal basic income’ (UBI) atau ‘guaranteed minimum income’ (GMI). UBI berbeza dengan bantuan kebajikan yang dibayar secara bersyarat (misalnya anda kena pergi cari kerja atau anda kena ada tanggungan). UBI adalah pendapatan tetap yang dibayar secara berkala kepada semua rakyat tanpa syarat. Bunyi macam fantastik je kan? Senang kata, UBI ni duit percuma.

Ada yang risau idea UBI ni terlalu radikal. Manalah nak cari duit untuk membiayai UBI. Ada yang risau ia akan membawa kepada inflasi. Ada yang bimbang rakyat akan jadi malas untuk bekerja. UBI bukan nak buat semua orang jadi kaya. Tujuan UBI adalah sebagai ‘safety net’ yang memberi ‘a sense of security’ kepada mereka yang tak mempunyai pekerjaan, agar mereka tak rasa tertekan, tak ‘desperate’ dan mempunyai lebih banyak ‘option’ dalam hidup. Banyak kajian dah dilaksanakan oleh ahli ekonomi untuk melihat samada UBI boleh diamalkan, misalnya di di negara-negara dunia ketiga seperti Namibia dan India (https://www.youtube.com/watch?v=UWW9XY27ocI), dan hasil eksperimen menunjukkan positif. Yang terkini ialah kerajaan Finland (sejak Januari 2017) yang membuat eksperimen ke atas 2000 rakyat yang diberi 560 Euro (RM 2800) sebulan.
Tapi soalan cepu emas adalah: ‘nak cari duit dari mana’?

Antara pendukung UBI terawal seperti Thomas Paine mencadangkan agar UBI dibiayai melalui ‘inheritance tax’ (cukai warisan harta: siapa yang mewarisi harta dari mak ayah kena bayar cukai khas). Henry George pula mencadangkan ‘land tax’: tanah dijadikan sebagai harta awam, siapa yang nak guna kena bayar cukai. Elon Musk pula kata, FIR bakal menjadikan proses pengeluaran barang lebih efisien. Maka barangan akan jadi lebih murah. Dan dengan itu kekayaan masyarakat akan bertambah dan UBI tidak lagi membebankan.

Kalau ikut ‘Modern Monetary Theory’ (MMT), kerajaan sebenarnya boleh mengeluarkan duit sebanyak yang mahu tanpa mengakibatkan inflasi, cuma ramai yang tak sedar.
Kalau kita berani bereksperimen dengan ekonomi neoliberal (yang jelas membawa pelbagai keburukan), kenapa kita takut nak cuba UBI? Mungkin dah sampai masa untuk kita fikir di luar kotak ajaran ekonomi arus utama.

Bacaan lanjut:

Guy Standing, The New and Dangerous Class (2011) – boleh tonton TEDTalk beliau di https://www.youtube.com/watch?v=nnYhZCUYOxs

Martin Ford, Rise of the Robots: Technology and the Threat of a Jobless Future (2016)

#kitasemuaprecariat
#janganperasanburjuasi

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here