Sarawak Police Field Force

0
410
views

SARAWAK Police Field Force atau Pasukan Polis Hutan Sarawak itulah nama satu pasukan separa-tentera yang ditubuhkan sejak tahun 1940-an hasil daripada pembahagian tugasan Sarawak Constabulary yang diasaskan ketika di zaman Brooke memerintah lagi. Ianya juga adalah antara pasukan keselamatan di Sarawak yang mempunyai signifikasinya tersendiri di dalam perang-perang di hutan baik di ketika sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung sehinggalah ketika Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tanggal 16 September 1963.

Sekitar tahun 1948 setelah Sarawak menjadi jajahan kepada Koloni Mahkota Sarawak British, Unit B ditubuhkan yang mana dianggotai oleh lebih kurang 100 orang pada ketika itu. 100 orang yang pertama ini adalah antara mereka yang terbaik di kalangan Sarawak Constabulary yang dikatakan mempunyai kepakaran di dalam perang-perang di hutan atau “jungle squad”. Unit B dibahagikan kepada tiga unit platun di mana setiap satu platun adalah 100% dianggotai oleh anak Dayak Sarawak.

Pada awalnya, iaitu ketika pemerintahan Brooke sekitar tahun 1851, sudah wujud satu pusat latihan polis di Sarawak. Ianya dikenali sebagai Police Training School di Tanjung Putus, Kuching. Di sinilah pada awalnya setiap anak Sarawak yang menganggotai dunia kepolisian mendapat latihan sebenar mereka sebagai Sarawak Constabulary tanpa mengira unit. Menjelang tahun 1950 iaitu diketika Kerajaan Mahkota Sarawak British memerintah pula bagi Unit B, Sarawak Police Field Force pada ketika itu telah mempunyai pusat latihan tersendiri.

Pusat latihan yang khusus bagi Unit B ini dikenali dengan nama Sarawak Police Field Force Training School atau Pusat Latihan Polis Hutan Sarawak, Bukit Siol, Kuching. Pihak British pada masa itu telah memberikan latihan gerak gempur hutan yang lebih sempurna untuk Pasukan Polis Hutan Sarawak. Difahamkan sehinggalah satu ketika Sarawak Ranger dibubarkan, ramai bekas Sarawak Ranger telah memasuki dunia Polis Hutan Sarawak. Dek kerana itulah adalah tidak mustahil sehinggalah Sarawak membentuk Malaysia, Pasukan Polis Hutan yang ada di Sarawak adalah antara mereka yang pakar di dalam hutan.

Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 menyaksikan Pasukan Polis Hutan Sarawak turut diserapkan menjadi sebahagian daripada pembentuk Polis Diraja Malaysia. Pada ketika itu ianya dikenali sebagai Pasukan Gerak Am (PGA) sehinggalah sekarang. Untuk konteks Sarawak, pusat latihan tetap diteruskan di Bukit Siol Police Training School sehinggalah ia dipindahkan ke PULAPOL, Borneo Heights, Kuching pada tahun 1997 .

Penglibatan Sarawak Police Field Force tidak boleh dinafikan di dalam memastikan keamanan di Sarawak. Pada ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, atas nama Sarawak Constabulary, mereka telah berhempas pulas mempertahankan Sarawak daripada pendudukan Jepun. Mereka juga diserapkan menjadi sebahagian kepada kekuatan Sarawak yang dikenali sebagai SARFOR oleh Rajah C.V Brooke di dalam kempen pertahanan Perang Dunia Keduanya.

Manakala di ketika pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British yang mana menyaksikan Sarawak Police Field Force mempunyai unit yang lebih sempurna, merekalah antara galang kepada pertahanan sewaktu era konfrantasi Indonesia/Malaysia dan komunis. Pasukan Polis Hutan (PPH) ini telah ditempatkan di banyak kawasan strategik seperti di balai polis yang bersempadanan dengan negara jiran. Bersama-sama dengan anggota polis biasa, PPH sentiasa menjadi antara pakar taktikal bagi mengepalai setiap serangan yang dilakukan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) sewaktu perang Ganyang Malaysia yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga tahun 1966.

Kemudian, di ketika darurat komunis di Sarawak iaitu selepas Konfrantasi Indonesia Malaysia tamat pada tahun 1966, PPH masih lagi menjadi sandaran untuk membanteras komunis di Sarawak. Mereka sentiasa menjadi antara barisan paling hadapan ketika berlakunya serang hendap komunis di mana-mana bahagian Sarawak. PPH juga adalah antara sandaran untuk menjaga zon penampan seperti RASCOM bersama-sama dengan Sarawak Border Scouts dan tentera Malaysia.

Biar sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerak Am dibawah panji PDRM, namun setiap budi dan keringat yang ditaburkan oleh Pasukan Polis Hutan Sarawak dilupa jangan. Bukan sedikit pengorbanan mereka di dalam memastikan keamanan yang kita kecapi sekarang. Sejarahnya bermula sejak di era Brooke sehinggalah melangkaui Sarawak, Malaysia sekarang.

Lest We Forget!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah
#HariSarawak22Julai

Rujukan:

1. Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia
https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/polis-diraja-malaysia/sejarah/pasukan-polis-sarawak

2. Pusat Latihan Polis – PULAPOL, Kuching
https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20170408/283253097763846

3. Sarawak Constabulary – Borneo Oracle

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here