Jom Selami Idealogi Juche – Tiang Asas Korea Utara

0
1133
views

Pakar sarjana antarabangsa rata-ratanya bersetuju tentang keunikan kebolehwujudan Korea Utara sebagai sebuah negara sehingga ke hari ini, mengambil kira perjalanan negara ini setelah hampir tujud dekad lamanya.

Ideologi Korea Utara, Juche merupakan salah satu; jika bukan faktor utama, yang menyumbang kepada kemandirian rejim ini. Ideologi self-reliance (tidak bergantung kepada mana-mana pihak) ini telah membentuk sebuah negara yang berpaksikan pengasingan daripada dunia luar dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan.

Pada mulanya, ideologi ini kelihatan berjaya. Namun sejak tahun 1990an, yang mana Korea Utara mengalami kejutan demi kejutan dengan perpecahan USSR dan kebuluran domestik, negara ini menjadi semakin bergantung kepada bantuan makanan daripada masyarakat antarabangsa untuk mengelakkan rakyatnya kelaparan.

Negara yang terletak di bahagian utara semenanjung Korea ini terbentuk sebagai negara yang bebas setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua di bawah pendudukan tentera Soviet dan menerima beberapa gelaran seperti hermit kingdom (negara yang memencilkan diri) dan menggunakan gelaran media selepas serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat, axis of evil atau paksi kejahatan.

Walaupun rejim ini telah bertukar pemimpin sebanyak dua kali, negara ini masih wujud dan walaupun kita tidak dapat katakan bahawa keadaan negara ini semakin baik, tidak nampak tanda-tanda bahawa ia akan runtuh.

Apabila kita memperkatakan terhadap perkembangan Korea Utara dari segi politik, ekonomi atau sosial, tidak dapat tidak kita akan mengaitkannya dengan peranan yang dimainkan oleh ideologi negara ini; Juche. Sesetengah sarjana beranggapan bahawa ideologi ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan keadaan yang menyumbang kepada keadaan negara semasa dan memberikan pemerintah rejim keluarga Kim dengan kesahan yang diperlukan untuk terus memerintah.

Peranan dan pengaruh Juche sentiasa dibincang dan dibahas oleh para sarjana antarabangsa, dan semakin berevolusi sepanjang beberapa dekad kewujudan Korea Utara disebabkan hasil kekayaan negara menjunam disebabkan polisi dan kesan daripada faktor luaran yang kritikal.

Mengambil kira beberapa kejadian penting sejak kebelakangan ini, seperti perkembangan senjata nuklear dan isu pembunuhan Kim Jong-Nam di negara kita, adalah penting bagi kita untuk cuba memahami, walaupun tidak sepenuhnya, bagaimana cara berfikir dan bertindak Korea Utara dipengaruhi oleh ideologi politiknya.

Dalam kebanyakan penulisan para sarjana, Juche hanya disebut sekadar faktor sekunder, alat yang signifikan namun tidak berapa penting peranannya. Namun pada pendapat penulis, Juche merupakan titik tolak pengaruh utama yang menjadikan Korea Utara seperti yang kita lihat pada hari ini.

Juche diperkenalkan oleh Kim Il Sung dalam ucapan yang dibuat pada 28 Disember 1955 dan dijadikan “the sole guiding idea of the Government of the Republic. Juche, independence, self-reliance and self-defence are the guiding principles of our revolution.” Rejim telah memanipulasi ideologi ini agar ia digambarkan dalam persekitaran dan cabaran yang sedang berlaku pada ketika itu yang mana Korea Utara sedang bergerak keluar dari bergantung harap kepada USSR dan blok Soviet, ke arah mendapatkan sokongan China (seperti mana yang berlaku dalam Perang Korea) dan kini, mendapatkan bantuan darpada pelbagai pihak dalam komuniti antarabangsa.

Satu persoalan yang boleh difikirkan bersama, dapatkan sesebuah negara atau sistem mencapai ketidakbergantungan terhadap mana-mana pihak? Ia mustahil sama sekali dalam dunia masa kini. Namun begitu, kita dapat lihat secara ekonominya Korea Utara gagal mengaplikasikan Juche, namun secara politik, Juche telah memainkan peranan yang penting.

Bercakap mengenai kestabilan politik dan kejatuhan ekonomi, Marcus Noland menerangkan konteks ini sebagai “combination of longevity and underperformance [which] is unparalleled.” Beliau percaya bahawa ideologi Juche mempunyai impak yang signifikan terhadap keadaan ekonomi Korea Utara yang tidak berapa baik namun masih dapat bertahan secara politiknya, atau perkataan lain untuknya survival (bertahan), Juche memberikan rejim Kim satu legitimacy (kesahan) yang tidak dapat disangkal.

Charles K. Armstrong juga memaparkan matlamat spesifik yang membawa kepada kewujudan Juche dan bagaimana ia digunakan untuk menyumbang kepada kejayaan Kim Il Sung dan rakan-rakannya. Secara rasminya, Juche disebut oleh Kim pada tahun 1955, namun begitu Juche dipercayai berasal daripada pandangan peribadi Kim serta kepercayaan rakyat Korea sejak dari dahulu lamanya bahawa, “that a small and strategically located state such as North Korea will become dominated by its powerful neighbours if it becomes unduly reliant on them.” This belief provoked the fear of the nation “being ‘de-Koreanized’ and losing control over its own national identity.” Rakyat Korea Utara enggan ditakluk dan dipergunakan oleh kuasa asing. Mereka tidak mahu peristiwa lama sewaktu penguasaan Jepun di Korea berlaku lagi.

Perkembangan Juche boleh dikaitkan dengan pelbagai elemen yang saling berkaitan antara satu sama lain. Tiga faktor utama yang mempengaruhi kewujudan Juche ialah pengalaman peribadi Kim Il Sung yang terlibat dalam gerakan gerila anti-Jepun, keadaan Korea pada ketika itu serta budaya tradisi rakyat Korea itu sendiri.

Korea baru mendapat kebebasan daripada pemerintahan kolonial Jepun pada tahun 1945. Para sarjana mengatakan bahawa terdapat pengaruh Stalin dalam kerajaan Korea Utara, dan pengaruh Marxist-Leninist merupakan inspirasi kepada Kim dan rakan seperjuangannya. Namun begitu, Kim Il Sung menekankan aspek keunikan dalam Marxisme versi Korea Utara: “we should firmly adhere to Marxist-Leninist principles, applying them in a creative way to suit the specific conditions and national characteristics of our country.”

Pengaruh semangat nasionalism bagi mengekalkan budaya masyarakat Korea selepas percubaan Jepun memusnahkan identiti mereka, merupakan elemen penting dalam membentuk Juche. Tradisi budaya sejak zaman-berzaman menjadi pengaruh dalam menentukan arah tuju kerajaan Korea Utara, terutamanya apabila mengaitkan ideologi Juche dan hubungannya dengan Confucianisme. Beberapa elemen tradisi dalam sistem kepercayaan Asia ini ditekankan dalam Juche; terutamanya dalam kultus kepercayaan terhadap Kim Il Sung dan ahli keluarganya dan berterusan sehingga anak cucunya yang menjadi pemerintah seterusnya.

Juche digunakan dalam perlembagaan, struktur Kerajaan dan dalam kehidupan seharian. Dalam menganalisis dan mengkaji Juche dan pengaruhnya terhadap dasar dan polisi yang telah dilaksanakan oleh Korea Utara, keadaan Juche sebagai ideologi politik yang pragmatik dan fleksibel menyebabkan Juche masih kekal sebagai matlamat akhir Korea Utara.

** Artikel mengenai Juche akan dikeluarkan secara bersiri. Ini merupakan siri pertama sebagai pengenalan kepada Juche, ideologi politik Korea Utara.

Sumber:

Charles K. Armstrong, The North Korean Revolution: 1945-50, Cornell University Press (Ithaca & London 2003)

Kim Il Sung, On Eliminating Dogmatism and Formalism and Establishing Juche in Ideological Work: Speech to Party Propaganda and Agitation Workers (Pyongyang: Foreign Languages Publishing House 1973)

Marcus Noland, “North Korea in Transition”, The Korean Journal of Defense Analysis, (Spring 2005)

Tai Sung An, North Korea in Transition: from Dictatorship to Dynasty, Greenwood Press (Westport 1983)

Comments

comments

Previous articleKenapa Bangunan Kelihatan “Menari” Ketika Gempa Bumi?
Next articleMisi ATM Di Bumi Asing
E. H. Nathasia, penulis 25 Tip Motivasi Terbaik, penterjemah dan penceramah motivasi. Sedang mengikuti Program Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan di Universiti Malaya.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here