Harimau Dan Masyarakat Melayu

0
2340
views

Tanggal 29 Julai setiap tahun adalah Hari Harimau Sedunia sebagai tanda untuk meningkatkan kesedaran terhadap usaha untuk menghargai haiwan selain sebagai usaha untuk memelihara dan memulihara haiwan ini daripada terus pupus. Tapi pernahkah kalian terfikir kaitan atau keakraban haiwan yang dianggap ganas ini dengan masyarakat Melayu khususnya pada abad ke-17 hingga abad ke-19?

Sejak zaman lampau lagi, masyarakat Melayu sememangnya sangat peka terhadap persekitaran sekeliling yang membabitkan flora dan fauna. Oleh kerana mereka menyedari akan kepentingan tumbuh-tumbuhan dan haiwan dalam kehidupan, menyebabkan munculnya berbagai-bagai petua tersendiri berasaskan khasiat flora serta pandangan hidup (kepercayaan) terhadap fauna dalam perjalanan kehidupan seharian mereka. Tidak boleh dinafikan bahawa suatu ketika dahulu harimau sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan orang Melayu, ini dibuktikan melalui penyelidikan yang telah dilakukan oleh Peter Boomgaard. Secara keseluruhan, rantau Alam Melayu memiliki beberapa jenis harimau seperti harimau belang, harimau akar dan harimau bintang. Menurut beliau, kisah mengenai harimau di Alam Melayu khusus di Jawa dan Sumatera boleh dijejak sejak abad ke-17 yang melibatkan serangan ke atas manusia dan haiwan ternakan.

Harimau sering diangkat sebagai simbol keberanian, ketangkasan dan kekuatan. Justeru, maka tidak hairanlah mengapa gambar harimau digunakan pada Jata Negara Malaysia (kiri dan kanan perisai), institusi kewangan, bahkan turut diangkat oleh pasukan bola sepak kebangsaan dan negeri Johor dengan menggelar diri mereka sebagai ‘Harimau Malaya’ dan ‘Johor Southern Tiger’.

Gambar 1: Jata Negara Malaysia

Pengaruh harimau turut jelas terlihat pada alat-alat kebesaran raja-raja Melayu seperti Cogan Alam, Kerusi Diraja (Johor) dan sebagainya. Dalam Kesultanan Johor, terdapat dua buah kerusi Diraja yang terletak di atas peterana yang berbalut dengan baldu berwarna biru di tengah-tengah Bilik Singgahsana. Kerusi Diraja Takhta Kerajaan Johor mempunyai kaki yang tinggi dan runcing berbentuk kaki harimau yang beralaskan bulatan, ini melambangkan kekuasaan sesorang sultan sepertimana harimau dianggap sebagai raja bagi segala makhluk belantara dan amat ditakuti oleh binatang-binatang buas. Tidak sekadar itu, harimau juga sering dikaitkan dalam peribahasa Melayu serta watak antogonis dalam konteks penceritaan tradisi (penglipurlara). Dalam Hikayat Sang Kancil, Pak Belang, seekor harimau, sering digambarkan sebagai watak yang ganas dan antagonis yang akan menerima balasan ekoran sikapnya. Gambaran negatif ini juga berpunca daripada persepsi umum masyarakat Melayu bahawa harimau sebagai haiwan pembunuh dan pengacau kepada pemburu serta penternak. Namun disebalik rasa takut, harimau juga dikaitkan dengan lambang kekuasaan bak pepatah seperti ‘anak harimau’, ‘tunjuk belang/kuku/taring’, ‘harimau sembunyi kuku’. Situasi dan gambaran yang diberi secara tidak langsung menunjukkan wujud jalinan akrab antara harimau dengan masyrakat di negara ini.

Karisma yang dimiliki oleh ‘Pak Belang’ menyebabkan haiwan ini menduduki hierarki tertinggi dalam senarai haiwan yang mendiami hutan belantara selain gajah, seladang, badak dan sebagainya. Selain harimau dikaitkan dengan keadaan fizikal, dalam masyarakat Melayu tradisi telah wujud kepercayaan tertentu yang menjadi sesuatu amalan atau pegangan hidup. Sepertimana kepercayaan dahulu, bahawa gajah mempunyai keupayaan berubah menjadi manusia dan memiliki petempatan sendiri, begitu juga dengan harimau yang boleh bertukar menjadi manusia dan bertindak sepertimana manusia biasa. Di perkampungan harimau berkenaan telah dibina rumah-rumah berasaskan kayu pokok jelatang dan bumbungnya diperbuat daripada rambut manusia. Di Malaysia, masyarakat Melayu dahulu percaya bahawa salah satu perkampungan ini terletak di Gunung Ledang, Johor. Tidak terhenti setakat itu, malah kepercayaan ini turut wujud di Sumatera, Indonesia apabila mereka percaya bahawa terdapat perkampungan harimau di Pasummah.

Selain itu, turut timbul istilah ‘harimau jadian’ atau ‘harimau keramat’, yang pasti akan membuatkan minda kita semua membayangkan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan alam ghaib dan mistik. Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap hal mistik melibatkan harimau boleh dilihat melalui filem-filem seperti Si Tora Harimau Jadian (1964), Waris Jari Hantu (2007) dan lain lagi. Melalui kajian Dr. Azharuddin Mohamed Dali, harimau keramat pada kebiasaannya dikenal pasti mempunyai tiga kaki yang normal, manakala satu lagi kakinya tempang. Umumnya, harimau keramat dianggap harimau baik yang kewujudannya bertujuan menjaga keselamatan kampung atau daerah tertentu. Terdapat juga pandangan yang mengatakan harimau keramat ini merupakan harimau yang berasal dari roh nenek moyang dengan matlamat untuk menjaga keturunannya daripada ancaman bahaya.

Wujud juga kepercayaan bahawa harimau keramat wujud di sebuah kampung untuk menjaga sebuah makam yang dianggap keramat. Misalnya di Bukit Jugra, dikatakan wujud sebuah makam yang dijaga oleh harimau keramat, yang dikatakan pada asalnya merupakan haiwan peliharaan Puteri Gunung Ledang. Gelaran Datuk Negun antara nama yang diberikan kepada jelmaan harimau yang dikatakan menjaga keselamatan kampung di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Harimau jadian ini dikatakan akan muncul jika wujud ancaman pada kampung berkenaan, begitu juga halnya berlaku di Sungai Baharu, Melaka. Walaupun agak mustahil untuk diterima akal yang waras dan logik bahawa manusia berkemampuan bertukar menjadi harimau, namun ia merupakan perkara yang dipercayai sejak sekian lama malah masih wujud dalam kalangan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak hanya terbatas dalam kepercayaan lokal, malah bagi aktiviti pemburuan harimau terdapat beberapa pantang larang serta jampi yang perlu diiringi. Dalam keadaan ini pawang harimau antara individu yang penting dan berkebolehan mengenai harimau seperti ‘ilmu penjauh’, ‘ilmu pengikat mulut harimau’, ‘ilmu menakutkan harimau’ dan lain lagi. Kesemua ilmu ini dimilliki oleh pawang harimau dan akan digunakan untuk berburu harimau atau sebagai pendinding diri. Oleh kerana harimau merupakan haiwan yang gagah dan dipandang mulia, penghormatan orang Melayu terhadapnya tidak hanya sewaktu hidup malah ketika harimau tersebut mati. Harimau yang berjaya diburu dan dibunuh akan dibawa pulang ke kampung dan dilakukan upcara penghormatan.

Manakala dalam perubatan tradisional turut dipercayai bahawa anggota-anggota tertentu pada harimau mempunyai khasiat dan kegunaan untuk dijadikan ramuan utama. Tanggapan mengenai kebaikan anggota harimau tidak terhad kepada orang Melayu malah turut wujud dalam kalangan masyarakat Cina. Dipercayai hati harimau yang dikering dan dijadikan sebuk memiliki nilai pasaran yang sangat tinggi sebagai ramuan perubatan. Bagi darah harimau yang dikeringkan dan dibotolkan akan dibeli oleh masyarkat Cina untuk dijadikan minuman tonik. Begitu juga tulang dan kulit harimau yang menjadi sumber komoditi eksport penting untuk dijadikan barang hiasan atau sebagainya. Namun penulis tidak ingin memanjang-manjangkan penulisan kerana isu dan penyelidikan yang mendalam mengenai harimau dari sudut sejarah telah dilakukan oleh seorang pensyarah dari universiti awam yang terkemuka di Malaysia iaitu Dr. Azharuddin Mohamed Dali, dan buku mengenai haiwan eksotik ini tidak lama lagi akan berada dipasaran.

Sekian..Wallahu a’lam..

Rujukan:

Azharuddin Mohamed Dali, ‘Harimau dan Gajah Dalam Tradisi Melayu’, MALAYSIA dari segi SEJARAH, Bil. 43, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2015.

Peter Boomgaard, Fortiers of Fear:Tigers and People in the Malay World, 1600-1950: New Haven: Yale University Press, 2001.

Manshor Mansor, et.al., Merekayasa Kearifan Tempatan: Alam dan Manusia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2014.

Skeat Walter W., The Tiger’s Mistake: Tales of Malay Magic, New York: Macmillan, 1929.
‘Saka Keramat, Harimau Jadian’, Utusan Melayu Online, 9 April 2016, http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/saka-keramat-harimau-jadian-1.224968

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here