Mary & Max (2009) : Penyakit Mental & Persahabatan

0
1504
views

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kematian Chester Bennington, vokalis dari band Linkin Park yang dikenali di seluruh dunia. Baru-baru ini juga, The Patriots telah menaikkan sebuah artikel tentang kemurungan. Kali ini, aku akan menulis tentang salah satu filem yang paling menarik yang pernah aku tonton, filem yang membuka mata dan minda aku tentang penyakit mental (mental illness), iaitu Mary & Max.

Mary & Max merupakan sebuah filem animasi ‘one stop’, bergenre drama-komedi. Filem ini diinspirasikan daripada persahabatan pena yang terjalin selama 20 tahun, di antara Pengarah (Adam Elliot) filem ini sendiri dengan seseorang yang berasal daripada New York. Penceritaan filem ini dilakukan menerusi ‘third person narration’. Gaya penceritaan mampu menarik minat kanak-kanak, namun mesej dan focus di sebalik filem Mary & Max ini hanya mampu difahami dan lebih sesuai dipertontonkan kepada orang dewasa. Filem yang berdurasi lebih kurang 1 jam setengah ini menceritakan kisah persahabatan pena di antara seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun yang tinggal di Australia (Mary) dengan seorang lelaki dewasa yang berumur 44 tahun yang tinggal di New York (Max).

Apa yang menarik tentang kehidupan Mary dan Max?

Mary Daisy Dinkle merupakan seorang kanak-kanak yang berkaca-mata. Mary lahir dengan tanda lahirnya di dahi yang sering dijadikan bahan ejekan dan bulian rakan-rakannya di sekolah. Mary merupakan anak tunggal yang tinggal bersama kedua ibu bapanya (Norman dan Vera Dinkle). Norman merupakan seorang yang obses dengan bangkai burung, manakala Vera pula merupakan seorang peminum (alcoholic). Mary merupakan seorang kanak-kanak yang kesunyian, membesar tanpa perhatian yang sepatutnya daripada ibu bapanya sendiri. Mary juga mempunyai seekor ayam belaan yang diberi nama Ethel.

Max Jerry Horrowitz merupakan seorang lelaki Yahudi yang bertukar menjadi seorang Atheist, setelah mengkaji buku-buku yang menulis tentang Tuhan. Max juga menghidap obesiti dan hanya suka memakan ‘chocolate hotdog’. Max tinggal berseorangan di salah satu apartment di New York, ditemani oleh seekor kucing yang diberi nama Hal, beberapa ekor siput babi yang dinamakan dengan nama-nama saintis terkemuka, seekor ikan yang diberi nama Henry dan juga seorang ‘imaginary friend’ yang bernama Mr. Ravioli. Max juga mempunyai seorang jiran buta yang bernama Ivy. Disebabkan penyakit obesiti nya, Max sering menghadiri ‘support group’ yang diberi nama ‘Overeaters Anonymous’ di samping temu janjinya dengan psikiatris yang bernama Dr Bernard Hazelhof.

Di antara persamaan Mary dan Max ialah mereka meminati rancangan televisyen yang bertajuk The Noblets, meminati coklat dan mereka juga berasal daripada institusi kekeluargaan yang bermasalah.

Mengapa Filem Ini Perlu Ditonton?

Mary & Max merupakan salah satu filem yang mampu meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi dan stigma masyarakat tentang penyakit mental. Ini kerana, melalui filem Mary & Max ini sendiri, penonton didedahkan dengan kepada 3 jenis penyakit mental yang dihidapi oleh 3 watak iaitu:

1. Aspeger Syndrome 

Asperger Syndrome merupakan satu cabang kepada penyakit autism di mana pesakit mengalami dan mempamerkan kesukaran berinteraksi secara sosial dan komunikasi non-verbal di samping mempunyai minat spesifik yang tersendiri. Meraka yang menghidap Asperger Syndrome tidak pula mempunyai kesukaran bertutur mahupun masalah dari segi tumbesaran kognitif. Malah, sesetengah pesakit mampu mempamerkan kebolehan berbahasa yang tinggi.

Menerusi babak-babak awal filem, symptom Asperger Syndrome ini boleh dilihat pada watak Max. Namun, Max hanya disahkan menghidap Asperger menuju pengakhiran filem. Sebagai contoh, Max seringkali menyatakan bahawa dia tidak memahami niat di sebalik perangai, perlakuan dan tingkah-laku manusia sekeliling. Max juga tidak mampu mengenalpasti gaya ‘non-verbal’ yang digunakan manusia dalam komunikasi seharian, seperti senyuman, kerutan dahi dan lambaian tangan. Oleh itu, apabila Marjorie Butterworth cuba mendekatinya, Max merasa sangat tidak selesa, kerana dia tidak memahami kehendak dan tingkah laku wanita tersebut. Pesakit Asperger Syndrome juga sering kali mempunyai keunikan dan kelebihan dari segi kebolehan untuk fokus dan  dan memberikan tumpuan yang tinggi. Dalam filem Mary & Max ini, Max boleh membaca 2 helai muka surat dalam satu masa di mana hanya sebelah mata yang digunakan untuk membaca 1 helai muka surat dan sebelah lagi untuk helaian muka surat yang kedua.

Kebanyakan daripada mereka yang menghidap Asperger Syndrome merasakan bahawa mereka tidak perlu diubati. Seperti Max yang menyatakan, ‘I do not feel disabled, defective, or in need of a cure. I like being an “aspie”! It would be like changing the colour of my eyes.’

2. Agoraphobia

Agoraphobia merupakan salah satu penyakit mental di mana pesakit mengalami masalah ketakutan apabila berada di tempat-tempat tertentu. Pesakit akan merasakan bahawa sesuatu yang buruk bakal berlaku di tempat tersebut dan mereka akan cuba menjauhkan diri daripada berada di situ.

Watak yang menghidap Agoraphobia ialah jiran hadapan rumah Mary yang bernama Len Hislop. Len merupakan seorang askar veteran yang pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Ke-2. Len mengalami kecacatan kekal di mana kedua belah kaki nya telah diratah ikan Piranha apabila dia ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun. Oleh itu, Len hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Disebabkan penyakit Agoraphobia nya, Len telah mengupah Mary untuk mengambilkan surat-suratnya di luar rumah dan menyerahkan kepadanya.

Agoraphobia boleh berpunca daripada faktor genetik mahupun faktor sekeliling. Seseorang itu juga boleh menghidap Agoraphobia apabila pernah melalui trauma yang menimbulkan perasaan takut terhadap tempat tertentu. Dalam filem Mary & Max ini, agoraphobia yang dihidapi Len berpunca daripada trauma yang telah menyebabkan kecacatannya.

Kemurungan ataupun ‘depression’ merupakan salah satu penyakit mental yang mampu mencederakan dan membunuh diri. Bagi mereka yang tidak pernah mengalami kemurungan, ianya adalah satu penyakit yang sukar untuk diterangkan mahupun difahami. Kemurungan ini merupakan penyakit yang lebih daripada sekadar perasaan sedih, tetapi ia merupakan perasaan sedih dan ‘moody’  melampau, tanpa sebab-sebab tertentu, dan mampu menyerang pada bila-bila masa dalam durasi yang berbeza. Kemurungan mampu memberi kesan serius pada kesihatan mental mahupun fizikal pesakit. Produktiviti dalam melakukan urusan seharian juga boleh terkesan dengan kemurungan.

Dalam filem Mary & Max, watak Mary bermula sebagai seorang kanak-kanak yang kesunyian dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. Berpunca daripada ketidaksempurnaan fizikal (tanda lahir nya di dahi), Mary membesar tanpa seorang pun sahabat melainkan Max, sahabat penanya. Namun, persahabatan mereka hampir musnah apabila setelah meningkat dewasa, Mary menggunakan Max sebagai satu kajian pembelajarannya (research case study) dalam mendalami Asperger Syndrome. Hal ini telah menimbulkan kemarahan Max kerana bagi Max, satu-satunya sahabat yang dipercayai telah ‘melabel’ dirinya sebagai pesakit mental. Hal ini menyebabkan Mary kemurungan dan menjejaskan kesihatan mental dan juga fizikalnya sendiri,

Mary fell into a puddle of depression, self-loathing, and cooking sherry. She lost interest in the world, and it lost interest in her.’

Akibat daripada kemurungannya, dia ditinggalkan oleh suaminya sendiri dan akhirnya, Mary membuat keputusan untuk membunuh diri dengan menggantung dirinya.

Mary & Max mengajar penonton tentang erti persahabatan yang sebenar

God gave us our relatives: thank God we can choose our friends.”- Ethel Watts Mumford

Persahabatan yang sebenar itu merupakan persahabatan yang menerima segala kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bukan sahaja menerima malah saling melengkapi dan menguatkan.

Menerusi filem Mary & Max, penonton didedahkan dengan persahabatan yang bertahan berdekad lamanya. Persahabatan yang bermula pada tahun 1976, dengan sebuah ‘yellow pages’ dan dengan sekeping surat yang ditulis oleh kanak-kanak berusia 8 tahun. Persahabatan di antara dua insan yang tidak sempurna di bawah situasi dan masalah yang berbeza, mengajar penonton tentang bagaimana penyakit mental itu hanyalah sebuah diagnosis dan bukanlah penentu sikap dan individualiti seseorang manusia.

Persahabatan Mary dan Max juga mempamerkan bahawa dengan meyedari kekurangan diri sendiri, baru lah kita dapat menyelami kekurangan yang lain. Hal ini dapat menimbulkan persefahaman di dalam hubungan persahabatan itu sendiri.

Menyingkap kata-kata Max dalam suratnya kepada Mary,

When I received your book, the emotions inside my brain felt like they were in a trumble dryer, smashing into each other. The hurt felt like when i accidentally stapled my lips together, the reason I forgive you is because you are not perfect. You are imperfect, and so am I. All humans are imperfect, even the man outside my apartment who litters. When I was young, I wanted to be anybody but myself. Dr Bernard Hazelhof said I was on a desert island then I would have to get used to my own company, just me and the coconuts. He said I would have to accept myself, my warts and all, and that we don’t get to choose our warts. They are a part of us and we have to live with them, we can, however, choose our friends and I am glad I have chosen you. Dr Bernard also said, that everyone’s lives are like a very long sidewalk. Some are well paved, others, like mine, have cracks, banana skins and cigarette butts. Your sidewalk is like mine but probably not as many cracks. Hopefully, one day our sidewalks will meet and we can share a can of condensed milk. You are my best friend. You are my only friend.’

Mary & Max mengajar kita tentang ketidaksempurnaan (imperfection).

Penyakit mental itu wujud dengan cabang yang berbeza. Seperti penyakit-penyakit lain, penyakit mental ataupun ‘mental illness’ ini bukanlah berpunca daripada kelemahan berhadapan dengan dugaan hidup mahupun kekurangan iman dalam diri. Seperti penyakit-penyakit lain, penyakit mental juga perlu diambil serius dan perlu dirujuk kepada pakar/psikiatris.

Tiada seorang pun manusia yang sempurna. Setiap seorang daripada kita mempunyai kekurangan masing-masing. Perbezaannya hanyalah pada pilihan manusia untuk mempamerkan kekurangan tersebut ataupun menyembunyikannya di dalam diri.

We are all fighting our own battles and demons within ourselves.

Oleh itu, sentiasa lah berlaku dan berkata baik sesama manusia, kerana di sebalik senyuman dan tawa, mungkin tersembunyi kesedihan dan kemurungan yang tidak dijangka.

Mencaci dan mengejek mereka yang menghidap penyakit mental sangatlah tidak membantu untuk memulihkan kondisi mereka apatah lagi menghukum sewenang-wenangnya. Sedarlah diri, kita semua manusia yang penuh dengan cacat cela, berhentilah membuat kerja Tuhan yang Maha Sempurna.

Aku harap dengan review kali ini, kesedaran tentang penyakit mental di kalangan masyarakat kita dapat meningkat. Diharapkan juga, penulisan ini ‘sampai’ kepada semua lapisan masyarakat dalam keadaan yang baik, seperti kata-kata Max, ‘gey gezunterheyt’.

Rujukan & bacaan lanjut:

i. autismspeaks.org
ii. www.nhs.uk
iii. www.helpguide.org
iv. autisminitiatives.org
v. https://www.theodysseyonline.com/17-things-you-need-to-know-about-mental-illnes

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here