Black Panther: Wira Afrika-Amerika Pertama

0
1878
views

Bila mana kita menyebut perihal Black Panther atau T’Challa, perkara pertama yang muncul dalam kepala ialah penampilan beliau dalam Captain America: Civil War lakonan mantap Chadwick Boseman. Dalam filem tersebut, kita dapat melihat pergelutan baginda antara kehormatan dan dendam selepas tragedi pengeboman sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna berkenaan Perjanjian Sokovia yang mengorbankan ramai orang termasuk ayahanda baginda, T’Chaka. Bagi peminat siri filem Marvel Cinematic Universe (MCU) yang meminati Black Panther, anda perlu menunggu sehingga ke tahun hadapan untuk menyaksikan kelibat baginda dalam filem Black Panther dan Avengers: Infinity War. Sementara anda menanti kemunculan terbaru baginda di layar perak, apa kata saya belanja sejarah menarik berkenaan Black Panther.

Walaupun namanya tidak segah anggota X-Men merangkap isterinya dalam komik, Ororo Munroe/Storm dan pembantu Captain America, Sam Wilson/Falcon, Black Panther mendapat penghormatan sebagai hero pertama komik berkulit hitam. Kemunculan baginda dalam komik pada Oktober 1966, lebih awal daripada adiwira berketuruan Afrika-Amerika seperti Falcon (1969) dan Luke Cage (1972) bagi Marvel dan Green Lantern, John Stewart (1971) dan Black Lightning (1977) bagi DC Comics. Dan lebih istimewa, baginda juga merupakan adiwira Afrika-Amerika pertama muncul dalam komik arus perdana ketika itu dan baginda juga ada kuasa luar biasa. Namun, perjalanan kepada pengenalan Black Panther bukanlah mudah malah penuh berliku.

Sebenarnya, bukan sekali dua komuniti Afrika-Amerika cuba menghasilkan adiwira yang punya kaitan secara langsung dengan mereka. Ini berlaku disebabkan gambaran orang kulit hitam dalam kartun-kartun terdahulu yang dilihat memberi gambaran negatif kepada komuniti Afrika-Amerika secara keseluruhannya. Dari situ, timbullah kesedaran untuk memperbetulkan persepsi negatif ini. Maka, bangkitlah seorang wartawan bernama Orrin Cromwell Evans bersama beberapa orang rakan kongsi menubuhkan All-Negro Comics Inc. dengan Evans sebagai presiden syarikat. Dari situlah bermulanya pengedaran isu pertama dan terakhir All-Negro Comics di mana kualiti komik tersebut dilihat setanding dengan komik-komik lain pada zamannya. Namun dek persepsi perkauman yang wujud pada ketika itu ditambah dengan tindakan syarikat penerbitan komik lain mengeluarkan watak-watak Afrika-Amerika versi mereka, hayat All-Negro Comics setakat di situ saja.

Sebelum Marvel Comics muncul, Atlas Comics cuba menonjolkan komik solo menampilkan adiwira Afrika-Amerika sebagai watak utama mereka pada 50-an. Komik ini ialah antologi kepada beberapa cerita menarik di Afrika menampilkan seorang ketua puak Afrika bernama Waku, Putera Bantu. Walaupun T’Challa mendapat penghormatan sebagai wira kulit hitam pertama muncul dalam komik arus perdana, Waku juga selayaknya mendapat penghormatan sebagai watak berkulit hitam pertama muncul dalam komik Marvel. Selain Waku, Dell Comics juga cuba menonjolkan Lobo sebagai watak utama dalam komik mereka tetapi tidak mendapat sambutan memuaskan. Dua dekad selepas itu, barulah Black Panther muncul sekaligus menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat terutama komuniti Afrika-Amerika.

Sebenarnya watak kulit hitam banyak muncul dalam komik terutama komik Marvel tetapi lebih kepada watak pembantu. Bagi yang meminati Steve Rogers/Captain America dan pengarah Strategic Homeland Intervention, Enforcement and Logistics Division (SHIELD), Nick Fury, anda pasti perasan kelibat Gabe Jones. Muncul dalam komik Nick Fury – Agents of SHIELD, beliau mulanya berperanan sebagai ahli terawal Howling Commandos, kemudian meneruskan peranan sebagai ejen SHIELD bersama Dum Dum Dugan selepas Fury mengambil alih kerusi pengarah. Dan bagi peminat MCU, Jones muncul dalam filem Captain America: The First Avenger lakonan Derek Luke sebagai anggota Howling Commandos yang dipimpin Rogers. Dan ramai berspekulasi Jones sebenarnya datuk kepada ejen SHIELD dalam siri TV Agents of SHIELD, Antoine ‘Trip’ Triplett. Walaupun ini satu perkembangan baik tetapi populariti watak seperti Jones tidak sehebat populariti yang dimiliki Black Panther, Falcon dan Storm.

Tak lama selepas Black Panther diperkenalkan dalam siri komik Fantastic Four pada Oktober 1966, wujud kebimbangan dalam kalangan penulis dan ilustrator Marvel, Stan Lee dan Jack Kirby tentang penggunaan nama Black Panther. Ini kerana nama tersebut dilihat ada kaitan dengan pergerakan revolusi sosialis kulit hitam, Black Panther Party yang ditubuhkan oleh Bobby Seale dan Huey Newton pada Oktober tahun yang sama. Untuk mengelakkan kontroversi, Marvel mengambil keputusan menukar nama alter ego T’Challa kepada Black Leopard. Namun, langkah tersebut sama sekali tidak popular dalam kalangan peminat dan hanya bertahan selama empat isu saja. Lalu, Marvel mengambil keputusan mengembalikan semula nama Black Panther dan nama tersebut terus kekal sehingga ke hari ini.

Semasa Marvel mahu memperkenalkan Black Panther kepada pembaca di luar sana, wujud kebimbangan bahawa Black Panther mungkin mengalami nasib sama seperti Lobo dan Waku. Justeru, Lee membuat keputusan memperkenalkan T’Challa dan negaranya, Wakanda dalam siri komik popular Fantastic Four. Dalam siri tersebut, Black Panther menjemput Fantastic Four sebagai tetamu di negaranya, Wakanda. Setibanya mereka di Wakanda, Fantastic Four dikalahkan seorang demi seorang oleh Black Panther kerana mahu menguji kekuatannya sebelum melawan pengedar senjata yang membunuh bapanya dalam komik, Ulysses Klaw. Selepas memohon maaf tentang niatnya itu, Fantastic Four menjadi rakan baik Black Panther dalam melawan semua ancaman sama ada terhadap Wakanda atau Fantastic Four. Dan atas sebab yang sama juga, baginda mendapat keahlian dalam Avengers. Tindakan Lee memperkenalkan Black Panther dalam komik utama Marvel, Fantastic Four satu langkah bijak kerana selain menunjukkan kelainan dalam dunia Marvel Universe, ia sebenarnya turut meningkatkan lagi demografi bilangan pembaca Marvel. Dan strategi yang sama turut digunakan semasa memperkenalkan Kamala Khan/Ms.Marvel, Dust/Sooraya Qadir dan M/Monet Yvette Clarisse Maria Therese St. Croix sebagai watak-watak Muslimah kepada pembaca Marvel dan Simon Baz, ahli terbaru Green Lantern kepada pembaca DC Comics.

Pengenalan Black Panther dalam dunia komik arus perdana turut mengubah sama sekali persepsi orang ramai terhadap orang kulit hitam. Dalam satu temubual, Lee menyatakan antara sebab pengenalan T’Challa ialah beliau mahu menunjukkan bahawa orang Afrika-Amerika juga berkebolehan membina tamadun serba maju seperti mana bangsa-bangsa lain di dunia. Jika anda perasan teknologi yang digunakan negara Wakanda, teknologi yang digunakan di negara tersebut setanding dengan negara maju. Contoh paling mudah, penggunaan teknologi kriogenik oleh para saintis Wakanda pada James ‘Bucky’ Buchanan dalam Civil War sementara mencari solusi kekal untuk membuang elemen kawalan minda pada beliau. Paling penting, Wakanda juga tidak gentar mempertahankan kedaulatannya daripada dicabar kuasa-kuasa asing. Dalam adegan yang sama, bila Steve Rogers (Chris Evans) menyatakan kebimbangan cubaan negara-negara luar untuk mengekstradisi Bucky untuk dibicarakan atas jenayah perang dan kemanusiaan, T’Challa memberi jaminan perkara tersebut tidak akan berlaku dan jika mereka tetap berkeras, maka baginda sedia menyarung suit Black Panther dan memimpin rakyatnya daripada dibuli kuasa asing.

Sumber:
Superheroes Decoded. (2017). History.

Comments

comments

Previous articleTragedi Al-Aqsa: Kelemahan Strategi Negara Arab
Next articleAgensi Pelancongan Yang Diluluskan Oleh Tabung Haji Pada Tahun 2017
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here