Ahli Falsafah Agung Umat Islam Yang Menyumbang Kepada Perkembangan Tamadun Dunia

1
1037
views

Sejak kejatuhan Tamadun Rom dan Yunani, ahli falsafah hebat seperti tidak pernah wujud dalam helaian sejarah Eropah. Segala ilmu hebat yang pernah lahir dicatat oleh ahli falsafah hebat seperi Scorates (yang hari ini terkenal kerana didebatkan sebagai Luqman Al-Hakim), Plato, Xenophon dan banyak lagi. Sejak kematian Aristotle, tidak lagi wujud falsafah baru sehingga ketika zaman kegemilangan Islam, dimana ilmu falsafah seperti diberi nafas baru. Maka disini kami mengambil inisiatif untuk berkongsikan dengan anda antara ahli-ahli falsafah Islam yang pernah berdiri dalam sejarah.

1. Al-Kindi

Al-Kindi atau nama sebenarnya ialah Abu Yusuf Ya’qub bin Ishak Al-Kindi dikenali dalam helaian sejarah sebagai seorang “Bapa Falsafah Arab dan Islam” kerana asas-asas ilmu falsafah dalam tamadun Islam dibangunkan oleh Al-Kindi yang diambilnya dari falsafah Yunani sebelum diadaptasikan pada tamadun Islam. Al-Kindi dikira sebagai salah seorang daripada ahli falsafah yang baru selepas kematian Aristotle.

Antara pandangan Al-Kindi yang dipelajar sehingga hari ini ialah Al-Kindi menyatakan bahawa segala benda di alam ini masing-masing terikat pada Hukum Alam. Segala yang berlaku dan penggerakan dalamnya tertakluk pada hukum alam.

Kata Al-Kindi lagi, tuhan itu satu dan kekal abadi, berada di mana-mana dan Maha Bijaksana. Dialah yang menjadi sebab kewujudan alam ini dan pentadbir kepada seluruh hukum alam yang ditetapkan. Sebagai contoh, penggerakan alam seperti bumi, bintang-bintang adalah digerakkan oleh TUHAN sendiri berdasarkan hukum alam yang ditetapkan oleh tuhan sendiri.

Al Kindi juga merupakan seorang ahli falsafah pertama yang membahaskan tentang konsep roh dan jiwa. Menurut Al-Kindi, roh dan jiwa itu bersifat abadi dan berada dalam bentuk yang sempurna serta dalam bentuk yang niskala.

Bahkan Al-Kindi yang turut dikenali sebagai seorang ahli falsafah alam telah menggariskan ilmu falsafah kepada tiga cabang:

i. Sains Fizik (Cabang Terendah)
ii. Sains Matematik (Cabang Pertengahan)
iii. Sains Tauhid (Cabang Tertinggi).

Pandangan Al-Kindi tentang konsep ketuhanan turut mengatakan bahawa manusia ialah adalah pancaran daripada jiwa bumi. Jiwa manusia terbahagi kepada dua iaitu jiwa material dan jiwa rohani. Manusia hanya merdeka dan kemerdekaan itu hanya akan kekal abadi dalam dunia yang dipenuhi akal dan BUDI. Justeru, Al-Kindi berpendapat bahawa akal akan menjadi kuat dan bebas hanya pada pencarian ilmu ketuhanan dan ilmu yang berkaitan dengan alam.

2. Al-Farabi

Al-Farabi atau dikenali sebagai Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Tarkhan al-Uzdaq ialah salah satu daripada ahli falsafah Islam yang lahir ketika zaman keemasan Islam ketika era pemerintahan Abbasiyah dahulu. Definisi falsafah menurut Al-Farabi ialah sebuah ilmu menyelidik hakikat disebalik sebuah penciptaan.

Pandangan Al-Farabi banyak dipengaruhi oleh pandangan Aristotle melihat dunia. Dikatakan bahawa bukan Aristotle yang bertajuk Anima dibaca sebanyak 200 kali oleh Al-Farabi manakala buku Physica pula dibaca sebanyak 40 kali. Al-Farabi juga dipengaruhi tentang pandangan Plato meski pada hakikatnya, Aristotle dan Plato banyak berbeza pendapat. Kata Al-Farabi, pendapat kedua-dua ilmuwan ini sebenarnya adalah mempunyai objektif yang sama. Pandangan Al-Farabi tentang mantik dan fizikal adalah senada dengan Aristotle manakala dalam bab etika dan politik, Al-Farabi lebih cenderung pada pendapat Plato.

Falsafah yang dibawa oleh Al-Farabi ini banyak membicarakan ruang ilmu seperti sufisme, ilmu logik dan metafizik. Al-Farabi lebih membahaskan tentang keperluan untuk membuat analisis terhadap sebuah fakta sama ada benar atau palsu untuk tujuan menuntut ilmu. Lalu dibuat pertimbangan antara baik dan benar untuk mendapatkan kesempurnaan. Bahkan menurut Al-Farabi, orang ramai harus mempelajari ilmu tentang ilmu logik agar dapat membuat pertimbangan antara benar dan salah.

3. Ibnu Bajjah

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti atau barat lebih mengenali beliau sebagai Avempace. Beliau dilahirkan di Zaragoza, Sepanyol sebelum berpindah ke Sevilla dan Granada. Falsafah Ibnu Bajjah banyak membicarakan tentang unsur mistik dan sufisme.

Ibnu Bajjah berpendapat bahawa intelek seseorang hanya akan sempurna apabila digabungkan dengan intelek aktif yang dipunyai oleh Tuhan iaitu tuhan sendiri, Ibnu Bajjah berpendapat bahawa manusia boleh mendekati Tuhan dengan berfikir, tidak terhad pada amalan Tassawuf sahaja seperti yang dibahaskan oleh Imam Ghazali. Ibnu Bajjah berpendapat lagi bahawa dengan amalan berfikir, maka ianya dapat memandu jiwa kepada moral dan menumpaskan sifat haiwaniah yang bersarang dalam jiwa manusia.

Ibnu Bajjah menyatakan bahawa akal dan wahyu tidak harus dipisahkan. Apabila terdapat percubaan memisahkan kedua-dua mereka, maka ianya akan membawa kepada sebuah kepincangan dalam negara dan masyarakat. Akal dan wahy harus menjadi asas kepada pembentukan sebuah tamadun supaya membawa kepada masyarakat yang bahagia.

Menurut Ibnu Bajjah, akal boleh menyebabkan manusia mengenali sapa sahaja bentuk kewujudan sama ada benda atau TUHAN. Bahkan beliau mengatakan bahawa akal boleh mengenali dengan sendiri akan TUHAN tanpa perlu melalui amalan tassawuf. Sepanjang riwayat hidup Ibnu Bajjah, beliau telah menghasilkan sekurang-kurangnya 31 buah karya dalam pelbagai bidang. Malangnya Ibnu Bajjah mati pada usia muda akibat diracun di Fez pada tahun 1138 Masihi.

4. Ibnu Tufail

Abu Bakar Ibn Tufail atau dikenali dalam helaian sejarah sebagai Ibn Tufail ialah salah seorang daripada ahli falsafah yang agung yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan tamadun Eropah. Apabila kita menyebut tentang Ibnu Tufail, pastinya kita tidak akan terlepas daripada berbicara tentang Hayy Bi Yaqzan iaitu sebuah karya Roman Klasik tulisan Ibn Tufail yang memaparkan kisah Nalar dan Tuhan. Ibn Tufail mengambil kesempatan dalam Hayy Bi Yaqzan untuk menyatakan pandangan falsafahnya tentang alam semesta, Tuhan, agama, moral, manusia dan perwatakkannya, budaya masyarakat yang formal serta adanya keserasian antara agama dan falsafah.

Dalam buku ini juga, kita dapat melihat bagaimana Ibn Tufail menjelaskan tentang kemampuan manusia untuk hidup berdikari tanpa adanya pengaruh Bahasa, agama, budaya serta tradisi. Ibn Tufail cuba menunjukkan bahawa segala faktor itu tidak selamanya menjadi faktor yang mempengaruhi perkembangan pemikiran manusia.

Ibn Tufail turut berpandangan bahawa agama perlu disesuaikan dengan falsafah. Beliau berpendapat bahawa jalan yang ditempuhi oleh falsafah ialah akal manakala jalan yang ditempuhi oleh agama ialah wahyu.
Ibnu Tufail berpendapat bahawa kepercayaan pada kewujudan TUHAN ialah salah satu fitrah yang bersemadi dalam fitrah manusia. Akal yang cukup cerdas yang menjadi pemerhati kepada alam akan membawa manusia kepada menemui TUHAN.

5. Ibn Rusyd

Abu Walid Muhammad Ibn Ahmad adalah antara ahli falsafah yang paling agung yang pernah lahir dalam sejarah peradaban Islam. Pengaruhnya melebar sampai ke benua Eropah dan dikenali disana sebagai Averroes. Beliau lahir di Cordoba, Sepanyol pada wkatu ketika kerajaan Islam masih memerintah sebahagian bumi Sepanyol. Kehebatan Ibny Rusyd membuatkan beliau sehingga dinobatkan ahli falsafah kedua terhebat dalam helaian sejarah selepas Aristotle.

Ibnu Rusyd juga bukan sahaja mendalami ilmu falsafah sebaliknya turut mempelajari Ilmu Fiqh dan Perubatan daripada sahabatnya iaitu Ibnu Zuhur yang merupakan tokoh perubatan di Sepanyol ketika itu.

Falsafah Ibn Rusyd membawa kebebasan berfikir dan melepaskan seorang pemikir dari harus bertaklid. Cara pemikiran Ibn Rusy ini membawa kepada gerakan yang dikenali sebagai Avveorism dan dari gerakan inilah lahirnya zaman Reformasi dan Rasionalisme.

Antara sumbangan hebat Ibn Rusyd ialah membedah karya-karya Aristotle dan falsafah Skolatism iaitu falsafah Yunani dahulu. Bahkan ulasan dan perbahasannya tentang karya Aristotle dalam bentuk yang panjang meletakkan beliau sebagai ilmuwan Islam pertama yang berbuat demikian. Buku-buku ulasan beliau tentang falsafah Yunani telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan idea beliaulah yang dipeluk oleh masyarakat Zaman Gelap dan Renaissance sehingga mengeluarkan Eropah dari zaman kegelapan.

Ibn Rusyd seperti mana ahli falsafah Islam yang lain, berpendapat bahawa falsafah tidak pernah bercanggah dengan agama malah mengukuhkannya menjadi saksi terhadap kewujudannya. Sekolah falsafah yang diasaskan beliau bertahan dan dipelajari untuk sekurang-kurangnya pada abad ke-17 Masihi.

Sumber:

Muhamamd Danial Ramli. (2015) Era Perubahan Eropah Dari Zaman Gelap: Renaissance Kelahiran Semula. HR Publishing.
.

Comments

comments

Previous articleMelayu Sang Raja Selat
Next articlePengepungan Fort Pitt: Senjata Biologi Yang Membantai Pribumi Amerika
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

1 COMMENT

  1. Ada typo pada perenggan berkenaan Al-Farabi. ‘Buku yang bertajuk Anima’ tetapi ditulis ‘bukan yang bertajuk Anima’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here