Pejuang Kemerdekaan Negeri Sarawak Yang Dilupakan

0
1303
views

Artikel yang ditulis pada kali ini yang bertajuk “Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Pejuang Kemerdekaan Negeri Sarawak” bertujuan untuk mengenang kembali perjuangan beliau untuk mempertahankan kedaulatan Sarawak sempena hari kemerdekaan negeri Sarawak pada 22 Julai ini.

Lakaran protet Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah (Sumber: http://www.anjungmasjid.sarawak.gov.my/modules/web/photo_listing_ajax.php?alb=4&r=1466726400031)

Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah Bin Datuk Bandar Abang Mohamad Kassim merupakan antara tokoh pemimpin Melayu Sarawak yang memperjuangkan kemerdekaan negeri Sarawak daripada dijajah oleh British. Sebelum itu, penulis ingin menceritakan sedikit sebanyak mengenai latar belakang Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah. Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan anak kepada Datuk Bandar Abang Mohammad Kassim dan keturunan Datuk Patinggi Ali. Beliau juga merupakan golongan Melayu Perabangan yang merupakan golongan aristokrat atau bangsawan Melayu Sarawak. Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah juga antara tokoh – tokoh pendakwah yang mengembangkan  agama Islam di Sarawak sebaris dengan Sheikh Othman Bin Abdul Wahab Al Sarawaki, Imam Morshidi, Datuk Hakim Abang Haji Mohideen dan Datuk Mufti Haji Abdul Kadir Hassan.

Ketika Sarawak Kingdom diperintah oleh Charles Vyner Brooke, kehidupan rakyat Sarawak amatlah sulit dan sering ditindas oleh pegawai – pegawai British dengan mengenakan peraturan dan cukai yang menyusahkan rakyat. Tambahan lagi, Charles Vyner Brooke seorang yang gemar bersosial dan tidak berminat untuk memerintah negeri Sarawak. Oleh itu, Charles Vyner Brooke telah menyerah negeri Sarawak kepada British kerana selepas Perang Dunia Kedua, negeri Sarawak amat sukar untuk dibangunkan kembali dan kos pembangunan amatlah mahal dan merugikan kepada Brooke.

Darul Kurnia, tempat kediaman Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah

Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah yang merupakan pemimpin yang mengetuai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) juga telah menubuhkan Rukun 13 yang bertujuan untuk membunuh Gabenor Sarawak baru, Sir Duncan Stewart. Rukun 13 yang ditubuhkan pada 21 Februari 1949 di Jalan Queensway, Sibu, Sarawak. Nama Rukun 13 ini diambil sempena 13 rukun solat lima waktu dalam Rukun Islam yang kedua. Penentangan rakyat Sarawak terhadap penyerahan negeri Sarawak kepada British yang diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah disebabkan Charles Vyner Brooke telah berjanji untuk menyerahkan negeri Sarawak kembali kepada rakyat Sarawak. Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah juga menjadikan tempat kediaman beliau iaitu Darul Kurnia sebagai tempat berkumpul dan bermesyuarat ahli – ahli barisan pejuang anti penyerahan negeri Sarawak yang dinamakan “Barisan Pejuang 338”. Darul Kuria sekarang telah dijadikan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No. 4 di Jalan Haji Taha, Kuching, Sarawak.

Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah telah meletakkan jawatan sebagai ahli dalam Majlis Tertinggi Sarawak disebabkan beliau telah membantah dengan keputusan Majlis Tertinggi Sarawak untuk menyerahkan negeri Sarawak kepada British. Sebenarnya keputusan Majlis Tertinggi Sarawak tidak sah kerana Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah tidak menandatangi Fasal 4 mengikut Perlembagaan Sarawak Kingdom walaupun keputusan penyerahan Sarawak kepada British telah disahkan. Beliau begitu kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi Sarawak dan mengambil keputusan untuk bersama – sama dengan rakyat Sarawak bagi menentang penyerahan Sarawak kepada British.

Pada 1 Julai 1946, Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah telah mengutuskan telegram kepada Perdana Menteri Britain, Clement Atlee untuk membantah penyerahan negeri Sarawak kepada British. Beliau juga mengemukakan hujah dan pendapat kenapa penyerahan negeri Sarawak adalah tidak sah. Walaubagaimanapun, Clement Atlee tidak memberi sebarang respon kepada telegram yang diutuskan oleh Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah.

Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah tidaklah berputus asa walaupun tidak mendapat sebarang respon daripada Perdana Menteri Britain. Dengan berbekalkan semangat yang tidak berputus asa dan patriotisme yang tinggi, Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah telah mengutuskan telegram kepada Raja Muda Sarawak, Anthony Brooke.

Antara isi kandungan beliau yang berbunyi; “Diharap Tuan akan kirimkan keputusan rayuan kami kepada Perdana Menteri Britain dan jikalau beliau tidak bersetuju, maka kami akan mengemukan rayuan kami kepada Pertubuhan Bangsa – bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat telah yang mengiktiraf kedaulatan negeri Sarawak semenjak tahun 1850.  Maka sudah tentu perkara ini berlawanan dengan prinsip PBB yang berdasarkan keamanan sejagat dan kemerdekaan negara bangsa besar dan kecil kerana tidak ada menaruh rasa belas kasihan akan kehapusan kemerdekaan Sarawak dengan tanpa rela hati dan kemahuan rakyat Sarawak.

Charles Vyner Brooke cuba untuk meredakan api penentangan rakyat Sarawak dengan berpendapat negeri Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang moden dibawah kerajaan British kerana British mempunyai sumber kewangan yang banyak dan pengalaman teknikal yang diperlukan dengan membangun negeri Sarawak kembali.

Gerakan Anti Penyerahan Sarawak kepada British sebenarnya telah menyatupadukan rakyat Sarawak yang terdiri daripada kaum Melayu, Iban dan Bidayuh dimana mereka telah bersatu dibawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah untuk menentang penyerahan negeri Sarawak kepada British. Protes secara besar – besaran telah sertai oleh pelbagai persatuan – persatuan di Sarawak seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Barisan Pemuda Melayu Sibu, Barisan Pemuda Sarawak dan Persatuan Dayak Sarawak.

Oleh itu, British telah mengeluarkan surat pekeliling no. 9 pada Disember 1946 dengan memberi ancaman kepada sesiapa yang terlibat dalam protes anti penyerahan negeri Sarawak kepada British khususnya penjawat awam. Kesan daripada tindakan British tersebut, ramai penjawat telah meletak jawatan sebagai tanda protes penyerahan negeri Sarawak kepada British pada 2 April 1947.

Gambar Rosli Dhoby yang ditahan oleh askar Sipahi British (Gambar yang diambil menggunakan smartphone penulis sendiri)

Walaubagaimanapun, British telah berjaya menguasai negeri Sarawak sehingga tahun 1963 dan menjadikan Sarawak sebahagian daripada koloni British biarpun mendapat tentangan yang hebat daripada rakyat Sarawak. Pada tahun 1949, British telah mendapat berita yang tergempar tentang pembunuhan Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart oleh Rosli Dhoby. Akhirnya British telah mengharamkan Rukun 13 dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati keatas Rosli Dhoby, Bujang Suntung, Morshidi Sidek dan Awang Rosli Amit.

Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1946 dan walaupun beliau berusaha sedaya upaya untuk menghalangi penyerahan negeri Sarawak kepada British, namun segala jasa dan sumbangan beliau wajib dihargai oleh generasi masa kini khususnya rakyat Sarawak. Ini membuktikan bahawa Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah mempunyai semangat yang kental dan tidak gentar akan ancaman yang diberikan oleh penjajah British.

Rujukan:

  1. Nasser, A., & Nizam, A. M. (2016). PEMBERONTAKAN ROSLI DHOBY TERHADAP PENJAJAH INGGERIS DI SIBU SARAWAK (1947-1950 (Doctoral dissertation, UIN Sunan Ampel Surabaya).
  2. Zaidan, A. A. K. 1.1 Pendahuluan. (SUMBANGAN ABDUL RAHMAN YA’KUB DALAM DAKWAH DI SARAWAK) 2015.
  3. Ho, Hui Ling. “PENYERAHAN SARAWAK KEPADA KERAJAAN BRITISH, 1946-1951.” Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 29, 2001, ms. 43-73. (2001).
  4. Hamzah Ali (2017), Darul Kurnia tempat kediaman tokoh pejuang kemerdekaan, Sarawak Voice, 8 April 2017, https://sarawakvoice.com/2017/04/08/darul-kurnia-tempat-kediaman-tokoh-pejuang-kemerdekaan/
  5. NI, L. Prowess of Sarawak History.

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here