Diplomasi Hittites Dan Empayar Melayu Srivijaya

0
1335
views

Saya amat tertarik dengan satu bangsa kuno yang bahasa dan tamadunya telah pupus sekarang iaitu bangsa Hittite. Bangsa ini mula membina empayar yang besar dan kuat di sekitar wilayah Anatolia sekitar 1600 tahun sebelum masihi. Bersama bangsa Mesir puba, bangsa Hurrian atau Mittani dan bangsa Assyrian di Mesopotamia, tamadun Hittite dianggap sebagai salah satu tamadun zaman gangsa yang terhebat pada zaman itu. Barangkali bagi anda yang suka akan sejarah Mesir kuno pernah mendengar satu pertempuran atau battle yang dipanggil Battle of Kadesh.

Pertempuran Kadesh ini adalah satu peristiwa peperangan paling tua yang pernah dicatatkan dalam sejarah dunia kuno. Ia adalah pertempuran diantara Kerajaan Mesir Purba dibawah Firaun Ramses II dengan Kerajaan Hittite. Pertempuran ini dianggap oleh sejarawan sebagai satu peristiwa penting kerana ia membawa kepada satu perjanjian damai antarabangsa bertulis yang tertua di dunia. Salinan perjanjian damai itu pada hari ini ada disimpan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Menurut sejarawan, keunikan tamadun bangsa Hittite ini bukanlah terletak pada binaannya seperti piramid di Mesir atau kuil-kuil dan istana maha besar seperti di tamadun Mesopotamian atau Babilon, malah bukan juga teknologi atau inovasi daripada bangsa tersebut seperti bangsa-bangsa kuno di Asia Barat yang lain.

Mereka unik kerana tamadun mereka dapat bertahan dengan adanya kekuatan ketenteraan dan DIPLOMASI antarabangsa. Bangsa Hittite dikelilingi oleh musuh-musuh yang sama hebat seperti yang saya sebutkan tadi terutama orang Mesir dan Assyrian serta bangsa gasar di kawasan pergunungan utara Anatolia. Namun mereka dapat survive selama beratus tahun dan membina satu empayar yang luas. Hal ini mengingatkan saya kepada DIPLOMASI tamadun kita di masa kegemilangan kerajaan Srivijaya dan Melaka.

Sebagaimana bangsa Hittite yang menggunakan kemahiran diplomasi mereka untuk mengelak daripada diserang oleh musuh-musuhnya terutama Mesir, begitu juga dengan kerajaan Srivijaya malah Melaka sendiri. Srivijaya menjalankan diplomasi antarabangsa yang sangat berkesan. Maharaja-Maharaja Srivijaya mengadakan diplomasi dengan bangsa asing seperti Sri Lanka, Chola, Pala, China malah Arab. Srivijaya juga mengadakan hubungan perkahwinan dengan kaum kerabat wilayah bawahannya atau dibawah pengaruhnya seperti hubungan kekerabatan diantara Samara Vijayatungga dengan kerabat diraja Sri Lanka.

Begitu juga dengan Keluarga diraja Hittite yang mengahwinkan putri mereka dengan Firaun Ramses II untuk menguatkan hubungan kekerabatan. Malah ahli sejarah mendapati terdapat lebih kurang 100 surat menyurat diantara Raja Hittite dengan Firaun Mesir yang dimulakan dengan kata-kata abang dan adik, seolah-olah mereka mengaku diri mereka bersaudara. Diplomasi sebegini kita biasa lihat dalam surat-surat raja-raja Melayu.

Tetapi sayang, bangsa Hittite yang kuat dan hebat ini juga pupus dan lenyap dalam sejarah selama 3000 tahun dan hanya menjadi cerita dalam kitab Bible sahaja. Sehinggalah awal 1900 barulah tamadun bangsa ini ditemui semula oleh para Arkeologis yang membuat penggalian di Turki. Namun kita bangsa Melayu masih bernasib baik kerana kita masih wujud dan belum tenggelam dalam sejarah.

Cuma yang tenggelam adalah sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Sebab itulah sekarang adalah masanya untuk kita gali semula semua sejarah bangsa kita, supaya kita dapat bangkitkan jati diri kita dan bangun menjadi satu bangsa yang besar tapi kuat, bukan lemah dan longlai bisa disapu dan dipijak oleh bangsa-bangsa lain. Sekian, wallah hua’lam.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here