Karma Dan Kelahiran Semula Dalam Pelbagai Agama

3
3011
views

Dalam salah satu episod manga dan anime Dragon Ball, berlaku pertempuran antara Son Goku dan Majin Buu. Sebelum berakhirnya pertempuran antara keduanya, Son Goku dilihat berkata kepada Majin Buu, “Kita bertarung lagi dalam kehidupan akan datang”, secara ringkasnya jika difahami apa yang disebutkan oleh Son Goku ini adalah berkenaan reinkarnasi.

Reinkarnasi (kelahiran semula) dan karma merupakan dua perkara yang diketahui dan dipercayai oleh ramai orang di dunia ini, dan ia juga disebut di dalam kepercayaan beberapa agama di dunia. Reinkarnasi dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘reincarnation’ atau secara ringkasnya boleh ditafsirkan sebagai ‘kelahiran semula’.

Mengikut Kamus Dewan, perkataan reinkarnasi bermaksud ‘penjelmaan kembali makhluk yang telah mati (mengikut sesetengah kepercayaan)’. Karma pula secara ringkasnya adalah kepercayaan bahawa ‘setiap makhluk akan mendapat balasan mengikut apa yang dilakukan sewaktu hidup’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karma adalah ‘semua perbuatan manusia sewaktu hidupnya di dunia’. Mengikut Oxford Dictionary, karma bermaksud “the sum of a person’s actions in this and previous states of existence, viewed as deciding their fate in future existences”.

Secara ringkasnya, kepercayaan terhadap reinkarnasi dan karma terdapat dalam ajaran banyak agama, contohnya Zoroastrianisme[1], Judaisme, Buddhisme, Sikhsme, Jainisme, Christianisme dan Islam, namun konsep kepercayaan antara setiap satunya adalah berbeza antara satu sama lain.

Penganut ajaran Zoroastrianisme percaya apabila seseorang itu sudah mati, roh si mati akan kekal di sisi mayat selama tiga hari dan tiga malam. Dalam tempoh ini, semua tindakan dan kesalahan yang dilakukan sewaktu masih hidup akan ditayangkan kepada roh si mati sebagai satu bentuk perbicaraan. Jika didapati si mati berat ke arah maksiat, maka roh tersebut akan dihumban ke neraka. Namun akhirnya, si mati akan dibangkitkan kembali selepas selesai menjalani hukuman.

Judaism merupakan salah satu agama utama bagi orang Yahudi (Jews). Konsep reinkarnasi dan karma bagi penganut agama Judaism[2] pula, orang Yahudi percaya selepas manusia mati, tubuh akan mati dan roh akan dihidupkan kembali serta mengalami proses ‘pembersihan’ untuk setiap kesalahan yang pernah dilakukan sewaktu hidup di dunia.

Penganut Kristian[3] sebagai penganut kepada antara agama yang terbesar di dunia, terdapat juga perbahasan konsep reinkarnasi dan karma walaupun secara tidak langsung. Sebagai contoh, penganut Kristian percaya Jesus sebagai Nabi, utusan Tuhan dan Anak Tuhan dihidupkan kembali selepas disalib. Selain itu, mereka percaya bahawa manusia akan mati, tetapi akan dibangkitkan semula pada Hari Pembalasan (Judgement Day) serta setiap amalan akan dihitung dan dibalas. Manusia akan dicampak ke dalam Neraka bersama Lucifer[4] atau akan masuk syurga.

Agama Hindu[5] juga mempunyai pegangan khas berkenaan konsep reinkarnasi dan karma ini. Mengikut kepercayaan agama Hindu, badan atau jasad akan musnah tetapi roh pula bersifat abadi. Jadi sewaktu hari pembalasan, setiap roh manusia akan dibalas mengikut amal perbuatan mereka sewaktu hidup di dunia. Balasan yang diterima sama ada samsara (balasan penerimaan roh ke dalam jasad makhluk yang lebih rendah seperti haiwan) sebagai penyeksaan atau moksha (balasan penetapan roh kepada tahap yang lebih tinggi) sebagai balasan baik, terutama kepada mereka yang kuat beragama. Selain itu, agama Hindu juga percaya kepada konsep avatar atau kewujudan semula tuhan Vishnu ke dalam Sembilan bentuk penjelmaan lain di waktu dan era yang berbeza.

Salah satu agama lain yang percaya kepada reinkarnasi dan karma adalah agama Sikh[6]. Dr. Ghazali bin Basri, salah seorang pakar rujuk perbandingan agama di Malaysia menukilkan di dalam buku beliau Ilmu Perbandingan Agama Suatu Pengenalan bahawa ajaran Sikh banyak dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu. Maka tidak hairanlah jika wujud persamaan antara kepercayaan agama Hindu dengan Sikh, seperti kepercayaan samsara. Selain itu dipercayai juga bahawa apabila seorang Guru mati, rohnya akan berpindah kepada Guru yang berikutnya.

Satu lagi agama yang berpegang kepada konsep penjelmaan semula (reinkarnasi) dan karma adalah agama Buddha[7]. Seperti agama Hindu, dalam Buddha juga terdapat kepercayaan avatar, iaitu Buddha akan menjelma di dalam tubuh seorang pengikutnya pada era dan abad yang berbeza.

Islam[8], sebagai salah satu agama samawi tidak berpegang kepada kepercayaan reinkarnasi dan karma. Di dalam ajaran Islam, tidak ada kepercayaan seperti ‘hidup semula’ atau ‘berpindah roh’ kecuali apabila hari akhirat, manusia akan dihidupkan kembali untuk dihitung amalan dan menerima pembalasan mengikut amalan yang dibuat. Begitu juga tiada kepercayaan seperti karma di dalam ajaran Islam. Setiap manusia akan menerima balasan mengikut amalan yang dilakukan pada hari akhirat[9], tetapi jika berlaku kejadian tertentu di dunia ini, semuanya kembali kepada ketentuan qada’ dan qadhar serta takdir Allah SWT, berbeza dengan prinsip hukum karma iaitu ‘pembalasan alam semesta’.

Sebagai kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa kebanyakan agama di dunia ini mempunyai konsep pembalasan ke atas setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia, dengan hasil yang berbeza. Amalan dan perbuatan yang baik akan mendatangkan balasan yang baik. Sebagai contoh, dalam konteks reinkarnasi dan karma, seorang manusia itu mungkin pada masa lalunya hidup sebagai jurutera, tapi akibat sewaktu kehidupan pertamanya dia banyak berbuat perkara jahat dan melampaui batas, maka pada kelahiran semulanya dia dijadikan sebagai seekor tikur atau ular sebagai balasan kejahatannya tersebut.

Rujukan & Cadangan Bacaan Tambahan

Ghazali bin Basri. 2013. Ilmu Perbandingan Agama Suatu Pengenalan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.

Mashitah Sulaiman & Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2013. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Nilai: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia

Mohd Aizam bin Mas’od. Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Noresah Baharum. Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  1. A. Naigosian. 2008. World Religion, a Historical Approach. Bedford/ St. Martin.

Gwynne, Paul. 2009. World Religion In Practice, A Comparative Introduction. Blackwell Publishing.

Sukardji, Sjamsulhadi Marse & Ahmad Gozali. 2007. Perbandingan Agama Untuk Murid-murid P.G.A, Jakarta: Penerbit Azam.

Laman Web:

http://www.bbc.co.uk/religion/religions/

What Religions Believe In Reincarnation?

https://en.oxforddictionaries.com/definition/karma

http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=karma&d=112592&

Nota Kaki:

[1] Zoroastrianisme : agama yang percaya kepada Tuhan Ahura Mazda, disebarkan oleh Zoroaster atau Zarathustra. Kepercayaan mereka berkait dengan api sebagai simbol kebijaksaan dan wahyu Tuhan.

[2] Judaism: Agama Yahudi. Dipercayai dibawa oleh Musa A.S  dan merupakan salah satu daripada agama Samawi selain Islam dan Kristian.

[3] Kristian (Christianity): Agama yang dipercayai disebarkan oleh Jesus sebagai utusan Tuhan, mempunyai kepercayaan Triniti dan termasuk salah satu agama Samawi

[4] Lucifer: Iblis, penjaga Neraka

[5] Hinduism: Agama yang dikatakan wujud sejak 2500-1500 SM dan percaya kepada ajaran Veda. Merupakan salah satu agama yang mempunyai ramai penganut di seluruh dunia

[6] Sikhsim: Agama yang diasaskan oleh Guru Nanak dan berpegang kepada ajaran dalam kitab Guru Gran Sahib.

[7] Buddha: Agama yang diasaskan oleh Siddartha Gautama Buddha, dan merupakan agama anutan majoriti penduduk di Asia, termasuk di Asia Tenggara.

[8] Islam: Agama yang dibawa dan disebarkan ajarannya oleh Muhammad bin Abdullah sebagai Rasul utusan Allah, percaya kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa dan termasuk dalam agama samawi.

[9] Hari Akhirat, juga dikenali sebagai Hari Pembalasan atau Judgement Day. Dalam Bahasa Arab disebut Yaum al-Qiyamah.

Comments

comments

3 COMMENTS

  1. nice perkongsian. tak sabar nak baca artikel yang lain pula. bila ada apps ni aku tak payahlah susah-susah nak ke facebook. good job The Patriots 🙂

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here