Sejarah Awal Mercedez Benz

0
1454
views

Sebelum munculnya teknologi automobil, manusia menggunakan kapal, keretapi stim, basikal, binatang tunggangan dan berjalan kaki untuk mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Di air, manusia ‘berurusan’ dengan menggunakan bot pengayuh yang dijanakan dengan kuasa stim. Di darat, landasan keretapi menjadi penghubung bagi segenap masyarakat kelas sosial untuk mengembara merentasi kampung, daerah dan metropolis bagi menuju tempat yang mereka ingini. Menuju era 1870, kenderaan yang dipacu menggunakan kuda telah digunakan secara meluas bagi membawa barangan mahupun manusia sebelum munculnya teknologi yang dipanggil automobil.

Putar kembali ke tahun 1844, seorang bayi lelaki yang diberi nama Karl Benz dilahirkan di sebuah pekan di Karlsruhe, Baden, Jerman. Dibesarkan dalam keluarga yang mana ayahnya adalah seorang pemandu enjin gasolin, ibubapa Karl Benz begitu mementingkan pendidikan dan ia terbukti apabila Benz berjaya menggengam ijazah daripada Karlsruhe Institute of Technologi (KIT) pada 9 Julai 1864.

Pada tahun 1871 di sebuah bengkel di Manheim, Benz bersama rakannya, August Ritter memulakan idea yang telah lama disimpan ketika beliau di bangku universiti lagi dalam membangunkan enjin dua lejang (two-stroke engine) bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat sekitarnya ketika itu yang menggunakan kuda sebagai kenderaan pembawa barangan.

Kejayaan Benz bermula pada tahun 1881 apabila beliau mula menghasilkan enjin gas menggunakan konsep dan prinsip enjin dua lejang tersebut berbanding paten enjin oleh Otto ketika itu yang mengaplikasikan prinsip enjin empat lejang. Dengan kejayaan ini, Benz mula terinspirasi untuk mencipta satu kenderaan yang lebih ringan dengan dipacu oleh enjin gasolin di mana chasis dan enjin dijadikan sebagai satu unit.

Benz yang pernah bekerja sebagai tukang kunci berjaya menyiapkan sebuah kenderaan dua tempat duduk berkapasiti 0.75 hp (0.55kW) pada tahun 1885. Tanggal 29 Januari 1886, Benz telah berjaya mempatenkan ‘kenderaan dipacu enjin gas’ ini yang diberi nama Benz Patent Motor Car, model nombor 1. Kenderaan ciptaan Benz ini telah melalui satu proses penambahbaikan oleh isterinya sendiri, Bertha Benz apabila Bertha bertindak ‘meminjam’ kenderaan Benz tanpa pengetahuannya bagi melakukan perjalanan sejauh 106km bersama anak mereka dari Manheim untuk melawat ibunya di Pforzheim di mana sepanjang perjalanan jauh  tersebut, Bertha telah melakukan beberapa pengubahsuaian teknikal terhadap Model No.1.

Dalam tahun yang sama di Cannstatt, Gottlieb Daimler bersama rakannya, Wilhelm Maybach melalui syarikat mereka Daimler-Motoren Gesellschaft (DMG) membangunkan prototaip enjin berkelajuan tinggi (yang telah bermula pada tahun 1883) yang dikenali sebagai ‘Grandfather Clock’. Walaupun kedua-dua Benz dan Daimler mempunyai aspirasi yang sama dalam membangunkan automobil, Benz lebih memfokuskan perniagaannya dalam membangunkan kenderaan yang lebih ringan bertemakan ‘kerdil dari segi berat, gagah dari segi kuasa’. Manakala, Daimler pula lebih cenderung dalam menggunakan enjinnya bersifat diversiti untuk digunakan di darat, air dan udara antaranya bot, lokomotif, kenderaan bomba dan trak. Kedua-duanya memacu perkembangan pesat dalam mencorakkan teknologi automobil dunia, tetapi mereka langsung tidak berpeluang untuk bertemu meskipun jarak memisahkan syarikat mereka hanyalah 100 kilometer.

Sukan permotoran ketika itu juga meningkat naik dengan cepat dan menjadi salah satu medium penting bagi para pereka kenderaan memperolehi publisiti terhadap inovasi mereka. Ia juga menjadi antara faktor bagi memperlihatkan keupayaan kenderaan keluaran mereka di kalangan pesaing industri. Salah seorang daripada pelanggan DMG berasal daripada Vienna adalah Emil Jellinek yang juga seorang ahli perniagaan menjual kenderaan DMG bermula daripada tahun 1898. Jellinek ketika ini berkeinginan tinggi untuk memperlihatkan prestasi kenderaan keluaran DMG dalam penglibatan kereta lumba.

Oleh yang demikian, Jellinek memberikan tekanan kepada ketua jurutera DMG, Wilhelm Maybach untuk menghasilkan sebuah kenderaan baharu dengan keupayaan prestasi enjin yang lebih laju. Maybach, tidak mahu menghampakan permintaan Jellinek telah membangunkan sebuah kenderaan lumba yang sama sekali berbeza dengan kenderaan yang dikeluarkan DMG sebelum ini. Pada Mac 1901, kenderaan ciptaan baharu Maybach ini telah menyertai festival lumba di Nice dan memenangi hampir kesemua perlumbaan sekaligus menjadi buah mulut orang ramai. Hasil inovasi baharu ini membuatkan Jellinek menjenamakan kenderaan tersebut kepada Mercedes sempena nama anak perempuannya seterusnya dipatenkan oleh DMG pada tahun 1902.

Bermula daripada itu, DMG tidak menoleh ke belakang lagi dan memulakan penghasilan kenderaan berprestasi tinggi di bawah jenama Mercedes. Logo tiga bintang diperkenalkan pada tahun 1909 sebagai simbol mobiliti di darat, air dan udara. Benz melalui Benz & Cie. meneruskan penghasilan kenderaan komersil walaupun kedua-dua syarikat berhadapan dengan krisis Perang Dunia Pertama ketika itu. Fokus DMG dan Benz & Cie. mula terarah kepada kenderaan bagi tujuan peperangan bagi memenuhi permintaan pemerintah sehingga melibatkan pengambilan ribuan buruh paksa yang bekerja siang dan malam.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat, industri automotif Jerman berdepan cabaran besar untuk pulih. Kejatuhan nilai matawang dan kehilangan pengaruh pasaran luar memberikan kesan negatif kepada kedua-dua syarikat ini. Tambahan pula, ia terpaksa berdepan persaingan sengit di pasaran domestic dengan kemasukan pengeluar asing seperti Ford Motor Company. Bagi menangani cabaran besar ini, kedua-dua syarikat DMG dan Benz & Cie. akhirnya bergabung pada tahun 1926 dengan nama Daimler-Benz berpangkalan di Berlin dan Stuttgart menjadi ibu pejabat pentadbiran mereka. Susulan penggabungan ini, kesemua model kenderaan automobil baharu mereka digelar Mercedes-Benz sebagai penghormatan terhadap model pertama keluaran DMG, Mercedes 35hp.

Karl Benz meneruskan peranan di dalam lembaga pengarah Daimler-Benz dari tahun 1926 hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1929.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here