Samwise Gamgee : Bang Muluk Versi Tolkien

0
1350
views
Kredit : http://lotr.wikia.com

“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.” – Buya Hamka

Sesiapa yang pernah menonton filem Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (TKVDW) tentu menyedari kepentingan watak Bang Muluk dalam kisah tragis yang menimpa Zainuddin dan Hayati.

Sekalipun cuma pemuda kampung biasa, Bang Muluk telah berjaya mengubati duka Zainuddin akibat ditinggalkan Hayati. Nasihat Bang Muluk akhirnya membantu seorang pemuda yang dikecewakan cinta untuk bangkit dan mengubah nasib dirinya, juga atas nama cinta.

Perwatakan Bang Muluk di dalam TKVDW hampir menyamai peranan yang dimainkan Samwise Gamgee dalam filem fantasi The Lord of The Rings (LOTR). Sam adalah satu-satunya anggota Fellowship yang setia menemani Frodo sehingga ke pinggir gunung berapi Mount Doom dalam misi untuk memusnahkan The One Ring.

Jika ditanya watak kegemaran anda di dalam LOTR, apakah jawapan yang bakal anda berikan?

Mungkin sebahagian memilih Gandalf, ahli sihir terhebat yang mengorbankan dirinya supaya pakatan Fellowship of The Ring terlepas dari ancaman Balrog dan selamat keluar dari Moria.

Atau lebih ramai memilih Aragorn, pahlawan handal berbangsa Numenor yang melindungi Frodo dan rakan-rakan Hobbitnya daripada ancaman Nazgul. Selepas angkatan Fellowship berpecah, Aragorn berhasil menyatukan semula angkatan itu dan mengumpul kekuatan di Rohan untuk membantu Gondor.

Tidak syak lagi Frodo Baggins adalah watak terpenting dalam LOTR. Kembara epik angkatan Fellowship ke Mordor telah dimulakan oleh Frodo. Semua watak lain bertindak melindungi dan membantu Frodo kerana beban yang ditanggungnya sebagai pembawa cincin (Ringbearer). Frodo jugalah yang menjatuhkan The One Ring (serta Gollum) ke dalam Mount Doom sekaligus menamatkan riwayat hidup Sauron di Middle Earth buat selama-lamanya.

Tetapi tidak ada sesiapa mahu jadi Sam.

Sam hanya Hobbit biasa yang berkerja sebagai tukang kebun. Bertubuh kecil, gemuk, pendek dan kurang handal bermain senjata. Secara zahirnya, Sam cuma mahu menyelesaikan misi menemani Frodo ke Mordor dan segera pulang ke Shire.

Rata-rata kita lebih menyukai Gandalf, Aragorn, Frodo dan Legolas. Kalau ada yang suka Gollum atau Smeagol pun ikut suka andalah dah pilihan masing-masing.

Maka apakah kelebihan Sam di dalam LOTR?

Setia dan Berani

Walaupun bertubuh kecil, Sam berjaya mengalahkan Shelob dalam single combat. Sam melawan bermatian-matian kerana menyangka labah-labah gergasi itu telah membunuh Frodo.

Sam kemudian mendaki Tower of Cirith Ungol, sebuah menara yang dipenuhi Orcs dan Uruk-Hai bagi menyelamatkan Frodo yang terperangkap di situ.

Sam juga anggota Fellowship yang pertama melangkah ke dalam Mordor dengan penuh berani, walaupun Boromir pernah menyatakan, “One does not simply walk into Mordor.”

No pun intended.

Tidak Berputus Asa dan Cekal Hati

Gollum berhasil meracuni pemikiran Frodo sehingga akhirnya Sam dihalau oleh Frodo dari terus mengikutinya ke Mordor. Walaupun berkali-kali ditinggalkan Frodo, Sam tetap tidak berputus asa dan terus memegang janjinya (kepada Gandalf) untuk menemani Frodo walau apa pun yang berlaku.

Dalam babak kemuncak The Return of The King, Frodo sudah terlalu lemah untuk meneruskan pendakian ke gunung berapi Mount Doom. Ketika inilah Sam mengucapkan kata-kata semangat kepada Frodo, “I can’t carry it for you, Mr. Frodo. But I can carry you!” Lantas Sam memikul tubuh longlai Frodo di belakangnya dan terus mendaki.

Sam membuat kita sedar yang tidak semua masalah yang menimpa orang di sekeliling kita dapat kita selesaikan. Tetapi kita masih mampu memberikan sokongan dan menemani mereka dalam usaha untuk keluar dari masalah tersebut.

Tanpa Sam, Frodo tidak mungkin berjaya tiba di pinggir gunung berapi Mount Doom. Malah ketika Frodo berpaut di cerun gunung berapi setelah terjatuh ketika bergelut dengan Gollum, cincin Sauron yang terdampar di atas hamparan lava masih cuba mempengaruhi Frodo untuk terjun mendapatkannya. Sebaik sahaja Sam berjaya memujuk Frodo untuk menyambut tangannya, dengan serta merta cincin itu musnah ditelan lava.

Di sinilah kehebatan Tolkien mencipta watak-wataknya. Tolkien mengajar kita bahawa setiap individu walau sekecil apa pun perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha membentuk dunia yang lebih baik. Merry dan Pippin misalnya, berjaya mempengaruhi Treebeard untuk menyerbu Isengard seterusnya menumpaskan Saruman. Bahkan watak Legolas dan Gimli juga mengandungi mesej keamanan yang besar. Dua bangsa berbeza (Legolas elf dari Mirkwood dan Gimli dwarf dari Erebor) yang sekian lama memiliki hubungan dingin, akhirnya berubah menjadi sahabat karib dan sama-sama memerangi musuh sebenar di Middle Earth.

Kita semua perlukan teman seperti Sam. Renungkan sejenak, siapakah teman-teman di sekeliling kita hari ini yang seteguh dan sesetia Sam?

Dalam dunia yang penuh hipokrasi dan kepura-puraan, soalan itu bertambah sukar untuk dijawab. Mungkin soalan yang lebih wajar ditanya ialah,

Mahukah kita menjadi Sam kepada manusia lain di sekeliling kita?

Rujukan :

  • Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
  • http://www.theonering.net/torwp/2013/05/16/71670-all-about-sam-why-the-main-character-of-the-lord-of-the-rings-is-really-samwise-gamgee/
  • https://marktrapp.com/blog/2014/01/06/lord-of-the-rings-true-hero/

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here