Undang-Undang Yang Memanusiakan Perang

0
959
views

Sememangnya, peperangan dalam sejarah ketamadunan dan peradaban sesebuah bangsa tidak dapat dipisahkan. Perang tercetus atas pelbagai alasan. Ada kalanya berpunca daripada kemuncak pergolakan perjalanan sesebuah pemerintahan yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang tirani penindasan. Adakalanya berpunca daripada perebutan hak kekuasaan terhadap wilayah-wilayah atau kawasan-kawasan antara para raja dan penguasa yang rakus. Dalam beberapa keadaan juga, peperangan dimulai atas keterdesakan penguasa menentukan letak duduknya dalam hierarki politik. Perang boleh bermula antara dua individu atau berlaku antara dua kaum atas pelbagai sebab tidak kira kecil atau besar.

Dalam magnum opus Ibnu Khaldun, al-Muqaddimah, beliau menyebutkan bahawa sejarah perang dan segala bentuk perseteruan antara manusia adalah seumur dengan sejarah dunia. Konflik timbul sedari awal kewujudan manusia lagi.

Atas apa-apa sebab sekalipun, sesuatu yang kita pasti, manusia ini sifatnya suka berperang dan peperangan adalah lazim dalam sejarah jatuh bangun peradaban manusia. Atas sebab itu, timbul persoalan, adakah ketika peperangan ini berlaku tiadanya etika, garis panduan atau undang-undang yang mengawalpihak-pihak yang berperang?

Artikel ini akan menceritakan serba sedikit tentang latar belakang, prinsip-prinsip dan segala yang berkaitan dengan undang-undang perang yang kini dinamai sebagai Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UKA).

Etika Perang

Sebelum kita mendalami apa itu Undang-Undang Kemanusian Antarabangsa, baiklah kita memahami apa itu etika perang terlebih dahulu.

Secara ringkas, etika perang adalah perbincangan tentang kedudukan sebelum perang dilancarkan. Etika perang bermula dengan anggapan umum bahawa perang sememangnya sesuatu yang buruk (war is bad). Itu konsensus umum. Dalam al-Quran juga menyebutkan sedemikian dalam surah al-Baqarah ayat 216.

Allah berfirman: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal perang itu adalah sesuatu yang kamu benci.”

Kita sedar dan menyetujui perang adalah buruk. Perang membuka ruang kepada seseorang untuk membunuh atau mencederakan manusia dengan sengaja yang merupakan kesalahan fundamental iaitu pencabulan hak asasi manusia. Oleh yang demikian, perang perlulah semampunya dielakkan. Perang perlu dilihat sebagai jalan dan pilihan terakhir dalam segala hal.Namun yang demikian, dalam beberapa keadaan (lesser evil of several bad choices), perang adalah dibenarkan.

Etika perang lebih menjurus kepada diskusi untuk menentukan adakah perang itu benar atau salah. Diskusi-diskusi tersebut berputar sekitar beberapa isu atau persoalan:

  1. Adakah peperangan diperlukan?
  2. Bilakah sebenarnya peperangan diperlukan?
  3. Apakah jalan/cara terbaik pengendalian perang?
  4. Adakah perang ini adil atau tidak?

Persoalan-persoalan ini akan membantu dalam pembentukan kod-kod formal tentang etika perang seperti pembentukan seperti Konvensyen Hague, Konvensyen Geneva, Protokol-Protokol Tambahan serta penggubalan peruntukan undang-undang dalam instrumen antarabangsa berkaitan pihak-pihak yang berperang i.e (apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan semasa berperang), hukuman kepada mereka yang melanggar etika, tentang tahanan perang, wanita dan kanak-kanak serta letak duduk mereka dalam boleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) untuk sabitan jenayah perang. Jadi, etika perang adalah skop yang besar dalam perbincangan tindakan pihak-pihak untuk melancarkan perang.

Dalam etika perang juga, persoalan keadilan sesebuah peperangan itu juga dibincangkan. Hal ini dikenali sebagai Teori Keadilan Perang (Just War Theory) atau dalam Latin-nya disebut jus bellum iustum. Teori ini adalah sebuah doktrin yang bertujuan untuk memperlihatkan perang dijustifikasikan melalui dua kriteria iaitu hak untuk pergi berperang (jus ad bellum) dan hak mengendalikan peperangan (jus in bello).

Jika menelusuri perjalanan sejarah sebelum era moden (sebelum kurun ke-16) etika perang tidaklah begitu jelas kelihatan diamalkan. Apatah lagi sebelum era itu tujuan perang adalah pelbagai dan perang banyak berlaku dan pihak-pihak berperang ini seringkali ‘melanggah’ saja semua benda seolah-olah dalam perang semua perkara adalah dihalalkan. Sungguhpun demikian, ada beberapa catatan sejarah yang melakarkan tentang etika perang ini.

Dalam tradisi Kristian, etika perang dipelopori oleh ahli falsafah dan paderi St Augustine (354-430) dan kemudiannya diperkembangkan oleh St. Thomas Aquinas (1225-1274) seorang ahli falsafah, ahli teologi dan paderi Katolik. Hugo Grotius (1583-1645) seorang ahli falsafah Belanda juga menulis tentang etika pepeperangan dalam De Jure Belli Ac Pacis (The Rights of War and Peace) yang menyenaraikan syarat-syarat untuk perang yang adil. St. Augustine berpendapat bahawa sebab yang adil untuk pergi berperang adalah keinginan untuk mengecap keamanan. Perlu diingatkan, ketiga-tiga individu ini adalah ahli falsafah naturalis (aliran yang berpendapat undang-undang adalah daripada Tuhan). Keamanan adalah tujuan utama dan puncak peperangan bagi pandangan ktiga-tiga mereka ini.

Dalam tamadun India Purba, kitab Dharma Sastras dan kisah-kisah epiknya membahagikan perang kepada dua iaitu Dharma Yudha (perang yang adil) dan Adharma Yudda atau Kutta Yuddha (perang yang tak adil). Kedua-dua jenis perang ini menyenaraikan pelbagai sebab sesuatu perang itu dibolehkan dan tidak dibolehkan sekaligus menjawab beberapa persoalan berkenaan etika sesebuah peperangan. Seperti Perang Mahabarata yang turut menjelaskan beberapa garis panduan. Contohnya, pertempuran mesti bermula selepas matahari terbit dan berakhir tepat pada matahari terbenam, sekumpulan askar tidak boleh menyerang seorang soldadu serta dua askar hanya boleh bertempur dalam keadaan mereka setara (seseorang tak boleh berkuda menentang yang berjalan atau seseorang mempunyai senjata seorang lagi tidak). Kitab Rig Veda juga menyenaraikan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan semasa peperangan seperti pembunuhan wanita dan kanak-kanak.

Dalam lembaran sejarah Islam, perang diizinkan oleh Allah s.w.t kepada baginda Muhammad s.a.w dan pengikutnya setelah penghijrahan baginda ke Madinah kerana mereka masih dijejaki musyrikin Makkah untuk dibunuh. Kebenaran perang diberikan  sebagai mekanisme perlindungan diri daripada kezaliman.

Umat Islam dibenarkan berperang jika ditindas, dizalimi, terancam akidah dan kehidupan mereka sehingga diusir daripada tanah air sendiri. Perang yang berlaku ini adalah perang dalam erti kata defensif seperti Perang Badar, Khandaq dan Uhud. Keizinan ini diberikan melalui Surah al-Hajj, ayat 39.

Allah berfirman: “Diizinkan berperang bagi mereka (orang Islam) kerana mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa untuk menolong mereka.

Surah at-Taubah ayat 1 hingga 5 menceritakan perang juga boleh dimulakan atas sebab-sebab yang tertentu. Suatu perang yang bersifat ofensif seperti Perang Hunain, Khaibar dan Fathu Makkah.

Nabi Muhammad s.a.w menggariskan beberapa etika perang. Contoh ringkas, pihak Islam tidak boleh mencincang mayat musuh, menyerang wanita, kanak-kanak, tumbuh-tumbuhan dan rumah ibadat.

Tentang perbincangan etika jihad dan perang dalam Islam ini bolehlah menguliti karya Sheikh Yusuf al-Qaradhawi yang berjudul Fiqih Jihad yang panjang dan lengkap itu.

Apa yang perlu difahami, etika perang ini lebih besifat umum dan tidak meletakkan kewajipan untuk mengikutinya menyebabkan pihak-pihak yang berperang mempunyai kebebasan. Hal ini menyebabkan kesukaran kepada pengurusan keadilan undang-undang. Selepas Perang Dunia Kedua (1939-1945), UKA menjadi undang-undang perang atau undang-undang konflik bersenjata yang mengawal selia pengendalian perang atau konflik bersenjata ini.

Jus ad bellum dan Jus in bello

Dua kriteria etika ataupun Teori Keadilan Perang ini adalah jus ad bellum (hak untuk berperang) dan jus in bello (keadilan pengendalian perang). Ada juga sarjana seperti  Brian Orend mencadangkan kriteria ketiga iaitu jus post bellum (keadilan selepas perang).

Jus ad bellum adalah berkenaan dengan penilaian beberapa pertimbangan yang menjustifikasikan tindakan untuk pergi berperang. Pertimbangan-pertimbangan dan syarat-syarat ini termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1945. Kriteria ini membincangkan bahagian sebab-musabab perang, keperluan serta keabsahan perang.

Jus in bello pula menyenaraikan beberapa prinsip yang perlu dipatuhi pihak-pihak yang terlibat dalam perang atau konflik bersenjata. Prinsip-prinsip ini dikodifikasikan sebagai UKA yang diguna pakai pada zaman moden ini. Kritirea ini menyentuh langsung tentang pengendalian perang. Contohnya, siapa yang boleh ditembak? Siapa yang boleh disabit jenayah perang? Senjata apa yang boleh digunakan? Apakah peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi?

Instrumen-instrumen antarabangsa yang mengandungi peruntukan UKA ini adalah 4 Konvensyen Geneva 1949  (GC I-IV), 3 Protokol Tambahan (AP I-III) dan undang-undang adat kemanusiaan antarabangsa.

Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa

UKA dikenali sebagai undang-undang perang. Dahulunya, terma perang digunakan disebabkan oleh perang membawa konotasi yang besar dan mendalam kerana negara-negara hanya berperang atas sebab-sebab utama iaitu politik dan seringkali membawa kepada impak yang besar kepada kemanusiaan dan peradaban manusia.

Namun terma perang tidak lagi/jarang digunakan kerana mempunyai darjah pembuktian yang tinggi dalam memenuhi elemen-elemen definisi perang. Terma yang digunakan dalam UKA sekarang adalah ‘konflik bersenjata’ kerana lebih inklusif dan luas. Maka undang-undang perang bertukar sebagai undang-undang knflik bersenjata.

UKA moden datang selepas keresahan Henry Dunant pengasas Pertubuhan Palang Merah yang melihat kesan perang dalam Perang Solferino (1859) di Itali. Henry kemudian menulis rakaman pengalamannya dalam buku berjudul Memori Solferino yang menceritakan pengalamannya melihat sendiri tentera-tentera yang berperang sehingga pada tahap yang menggerunkan.

Henry melihat, walaupun tanpa senjata, tentera yang cedera sanggup menggunakan tangan untuk mematahkan leher dan menggunakan gigi untuk mengoyakkan daging musuh semata-mata untuk menang dalam perang!

Menakutkan!

Tulisan Memori Solferino inilah yang telah membuatkan Henry terkenal dengan idea penubuhan pertubuhan kemanusiaan. Hasilnya, Konvensyen Geneva Pertama digubal pada 1864 yang seterusnya membawa kepada beberapa siri penggubalan Konvensyen Hague yang kemudiannya digantikan dengan Konvensyen Geneva 1949 serta penubuhan Palang Merah.

UKA ini bergerak atas prinsip jus in bello dan bidang kuasanya berkenaan regulasi konflik bersenjata. UKA tidak bena sama ada serangan rejim Bashar dalam Perang Syria atau serangan Israel terhadap Palestin misalnya sah di sisi undang-undang antarabangsa atau tidak. UKA bergerak atas premis bahawa pihak-pihak ada hak untuk berkonflik namun apakah garis panduan, prinsip dan undang-undang yang terlibat.

Ramai sarjana dan masyarakat antarabangsa melihat isu konflik bersenjata turut melibatkan isu hak asasi dan bukan tentang regulasi perang sahaja. Perkembangan undang- Undang-Undang Hak Asasi (UHA) dan UKA telah mengiktiraf kesamaan hak yang perlu diangkat dan dilindungi.

Antaranya adalah:

  1. Hak terhadap hidup
  2. Larangan seksaan dan layan buruk
  3. Tiada diskriminasi
  4. Jaminan kehakiman

UHA vs UKA

Walaupun terdapat kecairan terhadap beberapa aspek hak yang saling bertindan, terdapat beberapa perbezaan antara UHA dan UKA dalam beberapa aspek.

  1. Jenis hak yang diiktiraf

UHA mengikitiraf hak sivil dan politik (ICCPR) dan ekonomi, sosial dan adat (ICESCR). Hak-hak seperti berhimpun, berfikir, kebebasan bergerak, pendidikan, pekerjaan dan bekerluarga.

UKA pula berbeza. Hak yang diiktiraf adalah hak perlindungan kepada mereka yang tercedera dan sakit, orang awam, regulasi kaedah dan alat perang serta hak bantuan kemanusiaan. Tidak terikat kepada definisi hak-hak yang datang kerana kewarganegaraan.

  1. Skop aplikasi

UHA terpakai pada setiap masa. Pencabulan hak hanyalah dalam berlaku dalam keadaan darurat. UHA adalah tanggungjawab negara dan individu yang mempunyai tanggungjawab tersendiri. UHA hanya teraplikasi kepada individu yang berada dalam lingkungan batas sesebuah negara atau individu yang terikat kepada bidang kuasa sesebuah negara.

UKA pula hanya terpakai dalam konflik bersenjata (ditentukan oleh AP I dan II). Contohnya dalam perang Syria, Mosul, Iraq, Afghanistan, Israel-Palestine dan sebagainya. UKA mengikat negara, kumpulan bersenjata dan individu yang terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

UKA juga terpakai kepada pihak-pihak yang terkesan dengan konflik bersenjata atau yang berada dalam lingkungan kawasan konflik tersebut.

  1. Tujuan/asas tindakan

UHA dalam konteks etika perang adalah berkenaan dengan keperluan untuk berperang

(demi memelihara hak-hak yang diiktiraf bawahnya) manakala UKA bergerak atas nama kemanusiaan.

Kategori Pihak dalam Konflik Bersenjata

Dalam UKA terdapat beberapa pihak yang berkaitan dengan konflik bersenjata dan terikat dengan undang-undang ini. Pihak-pihak ini dilindungi bawah peruntukan-peruntukan Konvensyen Geneva (I-IV) 1949 dan Protokol Tambahan I dan II 1977.

  1. Orang awam.
  2. Mereka yang tidak lagi terlibat dalam konflik kerana cedera atau menyerah diri (hors de combat).
  3. Badan kakitangan bantuan kemanusiaan (seperti ICRC dan sukarelawan).
  4. Badan kakitangan keagamaan.
  5. Orang sakit, mangsa kapal karam, tahanan perang dan tebusan perang.
  6. Wanita dan kanak-kanak (peruntukan yang disebut khusus).

UKA yang digerakkan oleh ICRC tidak mementingkan status individu dalam konflik bersenjata. Misi ICRC adalah untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada sesiapa jua yang memerlukan hatta tentera musuh yang sudah kecundang dan cedera.

Konvensyen Geneva 1949 dan Protokol Tambahan I dan II 1977

Setiap konvensyen melindungi kelompok manusia yang berbeza.

CG I melindungi mereka yang cedera dan sakit di darat. GC II melindungi mereka yang cedera dan sakit di laut (kapal karam dsb). GC III melindungi tahanan perang. GC IV melindungi individu yang berada bawah kekuasaan musuh termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Protokol Tambahan I dan II adalah protokol yang mengklasifikasikan keadaan konflik dalam kategori konflik bersenjata antarabangsa (IAC) ataupun konflik bersenjata bukan antarabangsa (NIAC). Perbezaan ini menyebabkan pengaplikasian set peruntukan yang berbeza. Protokol Tambahan I  terpakai kepada IAC manakala Protokol Tambahan II terpakai kepada NIAC.

Dalam konflik bersenjata, Konvesyen Geneva terpakai dalam semua keadaan. Protokol tambahan pula menentubezakan jenis konflik berdasarkan.

Perang Syria misalnya adalah NIAC kerana konflik berlaku antara kerajaan dan bukan kerajaan (rakyat, penentang dsb). Yemen juga begitu. Kebanyakan konflik bersenjata sekarang adalah berbentuk NIAC. Jarang sekali zaman moden ini apatah lagi selepas PD2, konflik bersenjata berlaku antara dua buah negara (IAC). Namun terdapat juga beberapa keadaan yang sukar dalam mengklasifikasikan konflik bersenjata. Contohnya Konflik Israel-Palestine (Konflik Gaza) yang tidak dapat dipastikan kerana sebahagian komuniti antarabangsa tidak mengiktiraf kedudukan Israel sebagai sebuah negara walaupun Israel mempunyai kerusi di PBB.

Pemanusiaan Konflik Bersenjata

Dalam Konvensyen Geneva, terdapat satu artikel yang dikenali sebagai artikel lazim iaitu Artikel 3 yang memperuntukkan perutukan yang sama dalam keempat-empat konvensyen. Artikel ini menyebut, pihak-pihak yang tidak mengambil bahagian atau hors de combat haruslah dihormati dan dilindungi dan perlulah dilayan dengan sama rata tanpa diskriminasi. Artikel ini juga menyebut, dalam apa-apa jua keadaan sekalipun, tidak dibenarkan berlaku kejam, mengambil tebusan perang, pencabulan maruah dan pembunuhan tanpa autoriti.

Artikel ini bersifat kemanusiaan kerana sungguhpun konflik bersenjata berlaku dan realitinya sangat buruk, namun pertimbangan kemanusiaan perlulah diletakkan di takah yang tertinggi. UKA adalah undang-undang untuk mengurangkan darjah kesan konflik bersenjata ini.

UKA menyenaraikan beberapa prinsip dalam konflik bersenjata.

  1. Prinsip pembezaan. Prinsip ini meletakkan pejuang tidak boleh menyerang individu dan populasi serta objek awam.
  2. Prinsip perkadaran/berpatutan. Apa-apa yang dilakukan dalam konflik bersenjata mestilah berpatutan dan berkadaran. Pejuang tidak boleh melepaskan serangan secara terus kepada populasi awam, serangan rambang dan menyebabkan jumlah kematian yang besar. Dalam beberapa keadaan, contohnya meletupkan bangunan awam yang menjadi markas penentang, dibenarkan untuk diserang.
  3. Prinsip keperluan. Persenjataan, pemusnahan, pembunuhan dan sebagainya hayalah dibenarkan apabila mempunyai keperluan sahaja. Contohnya menyerang lori yang disyaki milik musuh yang digunakan untuk membawa bahan letupan.
  4. Prinsip berhati-hati. Pejuang hendaklah dalam apa-apa jua keadaan, bersikap berhati-hati sama ada untuk melepaskan serangan atau melakukan sabotaj agar tidak menyebabkan peningkatan kemusnahan daripada tindakan mereka.

Begitulah sedikit sebanyak tentang UKA yang menjadi agen kawal selia konflik bersenjata pada zaman moden ini. Mungkin ramai yang skeptis akan keberkesanan undang-undang ini. Namun jika difikirkan, kita sendiri sebagai manusia yang sepatutnya mempunyai kawalan terhadap diri sendiri untuk cuba hidup dalam dunia yang harmoni dan aman dan tidak memerlukan undang-undang perang yang ‘memanusiakan’ tindakan manusia bukan?

Kita wajar merenung kembali, tentang bagaimana untuk hidup dalam perdamaian.

Fiat pax in virtute tua Deus! (Dengan kuasa-Mu, biarlah ada keamanan Oh Tuhan!)

p/s: pejuang bawah UKA dikenali sebagai combatant. Sesiapa sahaja yang mempunyai keupayaan utuk menyerang tidak kira sama ada dengan senjata canggih atau dengan cebis peluru serpih sekalipun boleh diserang kembali hatta kanak-kanak yang membaling batu-batuan. Dalam perang atau konflik bersenjata, kanak-kanak adalah pejuang paling ditakuti!

Sumber:

Cordula Droege, ‘The Interplay Between International Humanitarian Law and International Human Rights Law in Situation of Armed Conflict’, International Law Forum, The Hebrew University of Jersualem: Faculty of Law, December, 15, 2007

Etika Perang dalam Islam, Perlakuan Terhadap Warga Sipil dalam Perang.

Henry Dunant, A Memory of Solferino, International Committee of Red Cross, Geneva (1939, 1959)

Ibnu Khaldun, al-Muqaddimah.

International Committee of Red Cross (ICRC).

Manoj Kumar Sinha, ‘Hinduism and International Humanitarian Law’, International Review of the Red cross, Vol 87 No. 858, June 2005.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here