Bahubali – Bukti Rakyat Malaysia Cintakan Filem Sejarah

0
5448
views

Setakat ini, Polis Evo adalah filem Malaysia yang mencatatkan kutipan tertinggi di Malaysia, sekaligus memberi nafas baru yang rakyat Malaysia tidak terikat pada karya yang berbentuk rempit, gangster semata-mata, atau pun cinta yang sudah terlalu mual untuk dihadam kerana terlalu banyak dikitar semula jalan ceritanya baik di layar filem atau helaian novel.

Tetapi saya tidak mahu yang pengiat filem tempatan memandang bahawa sekarang ini trend filem polis sedang bermain dalam sanubari rakyat Malaysia sebaliknya, saya mahu mereka nampak bahawa buat filem yang terbaik, maka anda akan mendapat kepercayaan kami untuk turun ke panggung wayang.

Lalu saya mendapati bahawa sebenarnya rakyat Malaysia juga turut suka mencintai filem yang berlatarkan epik sejarah. Sebelum ini, saya melihat perkongsian video di sebuah laman page Siakap Kelip tentang filem Bahubali mencecah lebih 20 ribu perkongsian dan ditonton lebih daripada 1 juta kali, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia memang mencintai filem sedemikian.

Lihatlah Bahubali yang menjadikan sebuah kerajaan Purba India Avanti, berlatarkan sebuah kota bernama Mahismati yang merupakan sebuah kerajaan orang Arya yang terletak di Utara India hari ini. Ianya disebut dalam Mahabrata dan Digha Nakaya. Tetapi hari ini kisah tentang Mahismati dijadikan filem orang Dravidia dari suku Telegu. Ya, saya tahu yang Bahubali hari ini banyak difiksyenkan demi memberi nafas komersial di dalam filem itu. Terdapat unsur-unsur kreativiti dalam filem itu dan unsur fantasi yang boleh diterima.

Hari ini pun kebanyakan daripada kita dah mula menempah tiket untuk menonton sekuel filem ini pula dipanggung wayang. Suasana 1 Malaysia mula terlihat dipanggung wayang. Orang Melayu dan Cina mula membanjiri panggung wayang, demi menonton filem Tamil ini.

Tetapi yang penting, dari perkongsian dan tontonan tentang filem ini, saya memutuskan bahawa rakyat Malaysia masih cintakan filem berkualiti dari apa-apa genre pun. Kalau suatu hari nanti, kita nak bikin sebuah lagi filem epik sejarah, lebih-lebih lagi tentang kerajaan-kerajaan purba Melayu yang wujud di seluruh Nusantara ini, maka moment dan peristiwa apa yang menurut kami paling sesuai difilemkan?

——————

1. Kisah Srikandi Melayu Adhruja Wijayamala Singha Mememanggal Kepala Raja Thai

Kisah mengenai srikandi Melayu mengetuai para janda dan anak dara menentang penjajah Sukhothai yang cuba menjajah kerajaan Melayu Ligor di Selatan Thailand hari ini. Keberanian srikandi Melayu harus difilemkan. Boleh kita membayangkan bagaimana srikandi ini mempin askar elit yang terdiri dari anak dara dan janda ke medan perang, bertempur dengan gajah-gajah Thai lalu mencari kepala Raja Ramkhaeng lalu memenggal raja penakluk agung itu.

2. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka

Menceritakan mengenai saat-saat terakhir kejatuhan empayar ini. Menggambarkan sebenar-benarnya situasi yang terjadi pada saat Melaka. Menggambarkan bagaimana askar Melayu ketika itu melawan armada Portugis dengan senjata api dan meriam di samping senjata tradisional seperti keris, lembing, sumpit dan tombak. Menggambarkan pada rakyat Malaysia bagaimana gambaran Kota Melayu Melaka yang sebenarnya, bukannya perkampungan kecil yang rajanya bertakhta di hujung kampung, sebaliknya istana kayu bersalut emas yang setinggi 7 tingkat!

3. Ratu Unggu Mempertahankan Pattani

Gambaran Ratu Pattani dalam filem Queen Of Langkasuka

Pattani ialah sebuah kerajaan Melayu agung yang bertapak di utara semenanjung pada hari ini. Dalam sejarahnya, zaman keemasan Pattani ialah ketika era pemerintahan ratu-ratu perempuannya termasuk Ratu Unggu. Ada dalam sejarah, dicatatkan bahawa Ratu Unggu berjaya mempertahankan Pattani daripada angkatan 60 ribu orang tentera Thai.

Selain itu, yang paling mengagumkan tentang kota Pattani ketika itu adalah diceritakan bahawa kubu pertahan Pattani dibina sepuluh lapis dan di mana pada setiap satunya diletakkan sebuah Meriam dan antaranya ialah Meriam Seri Patani, Meriam Seri Negara dan juga Meriam Mahalela.

Dicatatkan bahawa angkatan paling besar Siam dalam sejarahnya iaitu bala 60 000 orasng askar itu tumpas pada pakatan Pattani-Johor-Portugis.

4. Kisah Hidup Laksamana Hang Nadim

Selepas kejatuhan Melaka, ada satu figura yang tidak pernah menyerah kalah demi menuntut bela ke atas Melaka. Figura itu ialah Laksamana Hang Nadim yang memimpin saki-baki tentera Melaka menggempur Portugis dan dicatatkan Lalsakamana Hang Nadim wira menentang Portugis untuk sekurang-kurangnya 32 buah pertempuran! Bayangkan kalau kita filemkan kisah Laksamana Hang Nadim ini. Pasti jati diri anak bangsa kita marak menontonnya.

5. Kisah Lima Orang Daeng Bersaudara

Kisah keberanian dan semangat kekeluargaan kelima lima orang anak raja Bugis dari Luwuk ini harus difilemkan ala ala Final Fantasy,bagi saya.Sangat mengagumkan membaca kisah perjuangan mereka berkhidmat dengan raja-raja Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,Sumatera dan Kalimantan seterusnya mengukir nama yang cukup hebat dalam sejarah Nusantara.

6. Kisah Hidup Nakhoda Ragam

Sesungguhnya, kegemilangan Brunei di puncak keemasannya adalah di bawah pemerintahan baginda. Untuk pengetahuan semua, baginda Nakhoda Ragam atau nama lainnya Sultan Bolkiah merupakan salah satu daripada “conqueror” dalam sejarah Melayu yang harus kita banggakan.

Untuk rekod, empayar Brunei di bawah Nakhoda Ragam membentang ke keseluruhan Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bulungan dan lain–lain lagi wilayah yang terkenal dalam Borneo, bahkan tidak cukup dengan itu, empayarnya sampai pula ke Kepulauan Sulu, Palawan,Mindoro,Keramian hingga Luzon dan Manila. Baginda berjaya menewaskan Raja Sulu dan Luzon dalam melebarkan empayarnya.Kekuasaan Brunei dirasai dari seluruh Borneo hingga ke Kota Seludong di Luzon,Filipina (kini dikenali sebagai Manila).

Bayangkan kalau kita buat filem tentang penaklukan baginda?

7. Singapura Purba Menahan Gempuran 200 ribu tentera Majapahit

Gambaran tentera Melayu melawan gempuran Majapahit di Fort Canning, Singapura

Apabila Parameswara, raja Melayu terakhir kerajaan Singapura Purba menghukums eorang dayang tanpa selidik, maka ianya telah mengundang pengkhianatan seorang bangsawan bernama Sang Rajuna Tapa. Sang Rajuna Tapa telah mengirimkan surat kepada Raja Jawa menjemput raja Jawa itu untuk menakluk Singapura Purba. Maka bala askar paling besar dalam sejarah nusantara digerakkan untuk menakluk kota Singapura Purba. Sejarah mencatatkan bahawa terdapat lebih 200 000 orang askar Jawa mara dari Pulau Jawa untuk menjatuhkan Singapura Purba.

Hebatnya, Kota Melayu Singapura Purba ini mampu bertahan lebih daripada sebulan gempuran daripada Majapahit. Bayangkan betapa kukuhnya pertahanan kota ini. Kita boleh buat sebuah filem yang menggambarkan bagaimana Raja Majapahit berusaha sehabis baik untuk pastikan segala-galanya mampu menjatuhkan Singapura Purba. Gelombang askar demi askar, cara pelbagai cara untuk menjatuhkan kota ini digunakan tetapi berhasil dengan kegagalan sehinggalah Sang Rajuna Tapa, menjadi pengkhianat apabila membuka pintu untuk askar Jawa masuk lalu membumihanguskan kota itu.

Parameswara sempat lari lalu menubuhkan Kesultanan Melayu Melaka…

8. Melaka Menewaskan 90 Ribu Tentera Dai-Viet

Dalam kroniel Dinasti Ming ada mencatatkan bagaimana Kesultanan Melayu Melaka pernah menghantar askar memerangi Vietnam. Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali.

Walaupun dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya.

Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa.

Ini mungkin berpunca dari sikap biadap Vietnam pada utusan Melaka yang terkandas dipersisiran Vietnam selepas balik dari China. Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97 serta juga kehebatan bala askar Melaka itu sendiri.

9. Perang Kastila: Brunei Vs Sepanyol

Lukisan Perang Kastila

Dalam perang ini, ianya menceritakan tentang perang antara Brunei yang membawa 1000 orang askar dan juga 400 orang tentera Sepanyol, bersama dengan 1500 tentera Filipina dan juga 300 orang Borneo bersama dengan dua orang pengkhianat dari Brunei sendiri.

Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda tidak menerimanya dan tidak mahu mengalah kepada musuh Islam. Pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Sepanyol membedil kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah.

Askar-askar Brunei yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana Sultan akhirnya dapat ditawan dan semua harta benda Sultan dan penduduk dijarah mereka. Namun Sultan dan para pengikutnya berundur ke Jerudong. Setelah ke Jerudong Sultan kemudian berpindah pula ke Pulau Raja. Bendahara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.

Catatan barat ada menyebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang tidak berpuas hati dengan Sultan. Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan ke Brunei dengan lebih daripada 1000 orang pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).

10. Pakatan tentera Johor-Belanda Mengalahkan Portugis Dan Menawan Melaka

Ini penting kerana ini menggambarkan sifat diplomasi orang Melayu dalam mendapatkan bantuan musuh Portugis sendiri di Nusantara iaitu Belanda sehingga Belanda bersetuju untuk bersama Johor. Boleh digambarkan askar-askar Melayu bertungkus lumus menuntut bela di atas apa yang terjadi pada nenek moyang mereka, Melaka.

11. Serangan Rajendra Chola ke atas Empayar Srivijaya

Kisah ini perlu difilemkan bagaimana Chola sebuah Empayar di Selatan India menyerang sebuah kerajaan Melayu iaitu Srivijaya yang ketika itu dipercayai berpangkalan di Kedah Tua dan bagaimana pada awalnya kekalahan tentera Melayu sebelum serangan balas dilakukan menghalau saki baki Chola di bumi Melayu. Gambarkan perjuangan mereka menuntut kemerdekaan dan perjuangan mereka memastikan bahawa tanah air tidak dijajah oleh kuasa luar!

12. Che Bo Nga Menyatukan Seluruh Champa

Kisah bagaimana disaat kejatuhan Champa, muncul seorang tokoh bernama Che Bunga yang berjaya menyatukan seluruh Melayu Champa dan berjaya memberi harapan kepada Champa sebelum kematian baginda meranapkan terus sinar Champa. Boleh filemkan bagaimana baginda berperang dengan Dai-Viet yang mempunyai ketumbukan askar yang jauh berkaliganda daripada ketumbukan askar yang dimilikinya. Gambarkan taktikal dan strategi perang baginda yang sangat ampuh itu.

Comments

comments

Previous articleInflasi Di Venezuela, Telur Sampai RM650 Untuk Sedozen!
Next articleBenarkah Sloth Mamalia Paling Perlahan Di Dunia?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here