Apakah Sains Satu-Satunya Sumber Kebenaran?

0
840
views

Sebenarnya ramai jugalah yang kata aku penganut scientism sebab di mata mereka, aku kelihatan mempertuhankan sains pada masa yang sama merendahkan agama.

Sebenarnya, aku tak merendahkan agama. Tapi, aku merendahkan SEGELINTIR orang-orang agama yang sikap mereka memang ‘rendah’ (low).

Yang celup-celup agamawan pun ada. Berhujah guna tulisan ringkas (shortform).

Jadi, aku nak betulkan perkara ini dengan mengkritik scientism itu sendiri. Sebenarnya, tak kisah sangat pun orang nak kata macam itu. Mulut orang.

Apa itu scientism?

Scientism adalah fahaman yang meletakkan sains adalah satu-satunya sumber ilmu pengetahuan mengenai alam. Satu-satunya sumber kebenaran. Aku boleh kata fahaman ini agak fizikalistik dan menolak hal-hal ghaib.

Sebab apa? Sebab hal ghaib tak dapat dibuktikan dengan sains.

Seterusnya, apa yang aku maksudkan sains di sini?

Sains adalah kaedah untuk mendapatkan pengetahuan tentang alam. Kaedah yang dimaksudkan adalah kaedah saintifik.

Dulu sains ini dikenali sebagai falsafah alamiah. Atas nama inilah segmen sains di TP diambil sempena dengan nama asalnya. Maksud sains itu sendiri pun berasal daripada bahasa Latin ‘scientia’ yang bermaksud ‘pengetahuan’.

Selalunya, kejayaan ataupun penemuan sains berlaku tanpa sebarang campur tangan kepercayaan (faith) dan bergantung kepada taakulan (reason) dan akal semata-mata.

Benarkah? Kejap. Apa yang aku maksudkan dengan kepercayaan di sini?

Kepercayaan yang aku maksudkan adalah pengetahuan yang dibina atas dasar kepercayaan semata-mata. Tidak kisahlah sama ada kepercayaan itu atas dasar andaian ataupun wahyu.

Yang membezakan kepercayaan dan taakulan adalah, taakulan adalah kaedah memperoleh pengetahuan dengan logik dan hujah. Bukan mudah-mudah percaya.

Benarkah saintis tidak bergantung dengan sebarang bentuk ‘kepercayaan’ sebelum memulakan penyelidikan mereka?

Di sini, kritikan aku bermula.

Saintis percaya dengan kredibiliti deria manusia. Yelah, deme buat eksperimen dengan mata, hidung, tangan apa semua. Deria la, kan? Deme percaya deria-deria ini berkredibiliti untuk mendapatkan data apa semua.

Selain itu, saintis percaya juga dengan kesejagatan hukum. Contohnya, sewaktu Newton buat analogi tentang pergerakan epal, Newton percaya juga apa yang berlaku pada epal, itulah juga yang berlaku pada bulan. Berlaku jugalah pada objek-objek lain.

Maksudnya, kesegatan adalah saintis percaya satu hukum sains tidak berlaku di satu tempat dan satu masa saja, tapi berlaku di semua tempat dan semua masa.

Ketepikan dulu soal kuantum, fizik klasik dan relativiti.

Selain itu, Andrew van Melsen menyatakan saintis percaya bahan individu yang berbeza, boleh dikelompokkan dalam satu kumpulan tertentu.

Contohnya, setiap kayu yang berbeza dapat di kelompokkan dalam sekumpulan kayu. Titisan-titisan air dapat dikelompokkan dalam sekumpulan air.

Lalu, saintis percaya, kayu-kayan ini semua mempunyai sifat yang sama. Begitulah juga air. Kayu-kayan membakar, dan air membeku.

Di sini yang menjadi kelemahan scientism adalah, kalau mereka percaya segala jenis pengetahuan hanya benar setelah melalui kaedah saintifik, bagaimana mereka boleh buat pelbagai kepercayaan tanpa melalui kaedah santifik?

Mengapa saintis percaya deria mereka mempunyai kredibiliti dan benar tanpa melalui keadah saintifik? Saintis cuma ‘percaya’ dengan deria tanpa penghujahan.

Macam kesejagatan tadi, saintis tidak pernah mengambil kebenaran ‘kesejagatan’ melalui kaedah saintifik, tetapi hanya melalui ‘kepercayaan’ ataupun andaian.

Di sini fahaman scientism sudah goyah.

Kemudian, apakah kejayaan sains menunjukkan kebenaran hakiki?

Tentulah tidak. Fizik Newton berjaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuklah idea gravitinya. Tetapi, kehadiran kuantum dan relativiti telah menghancurkan fizik Newton kerana terdapat masalah yang fizik Newton tak dapat nak selesaikan.

Apakah yang berlaku pada ‘kebenaran fizik Newton’ tadi?

Tycho Brahe ada asaskan model yang mana semua planet mengelilingi matahari, tapi matahari mengelilingi bumi. Model ini berjaya selesaikan beberapa masalah.

Tapi, apakah kejayaan itu menunjukkan kebenaran hakiki?

Tentulah tidak.

Akhir sekali, scientism dakwa kaedah saintifik adalah satu-satunya kaedah yang menuju ke jalan kebenaran, tapi kaedah itu sendiri tidak melalui keadah saintifik untuk membuktikan kebenaran dakwaannya.

Aku masih menyanjungi sains sebagai ilmu kemajuan manusia. Tapi aku ada prinsip, aku tak gemar mengait-ngaitkan teori saintifik dengan wahyu.

Teori saintifik, biarlah mereka berdiri sendiri. Wahyu, biarlah mereka berdiri sendiri. Tak perlu dicampur-campur.

Sebabnya? Teori saintifik tidak selalunya benar sebab di masa akan datang mungkin akan datang teori baru yang menggantikan teori lama seperti mana mekanik Newton digantikan oleh Kuantum.

Kalau kita dah kata awal-awal mekanik Newton ada dalam Quran. Kemudian, datang pula kuantum menggantikan Newton, apa jadi pada Quran? Nak ubah juga tafsirannya?

Ia jadi bahan kelakar saja nanti.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here