War For The Planet Apes: Sisi Perang Yang Tidak Didendangkan

0
3168
views

Antara komen yang dilontarkan tentang filem ini ialah tajuknya agak misleading. Kata mereka, di manakah perangnya kerana sebagai sebuah filem yang menyajikan sebuah judul dengan perkataan perang, maka mereka berpendapat bahawa ia tidak cukup peperangan untuk diletakkan sebagai sebuah filem perang. Maka izinkanlah saya berbeza pendapat dengan mereka ini.

Saya cukup keras menegaskan bahawa ini merupakan sebuah filem perang yang menempelak para manusia diluar sana bahawa perang bukan sahaja melibatkan babak meletup, babak senjata memuntahkan peluru atau melibatkan tentang kereta kebal terbalik, war speech yang membakar semangat, atau babak lawan-lawan yang mengagumkan. Perang juga tentang perbezaan falsafah, perbezaan idealogi dan juga perspektif kebenaran yang berbeza.

Apa yang filem ini cuba persembahkan kepada anda adalah tentang bagaimana kita melihat perang itu. Kebanyakan antara kita terlalu binary mindanya. Menyangka bahawa dalam dunia ini hanya tentang baik melawan kejahatan. Bacalah tentang komentar-komentar di alam maya yang dipersembahkan acap kali isu peperangan yang berlaku di Timur Tengah. Contohnya perang Syiria ditafsirkan bahawa pihak baik (Sunni) melawan jahat (Syiah). Padahal betapa berseliratnya konflik di sana sehinggakan ia bukan lagi tentang baik melawan jahat, tetapi tentang bagaimana idealogi, falsafah dan kepentingan masing-masing saling bertembung.

Saya berikan contoh dalam filem ketiga dalam saga Planet Apes ini. Anda akan dipersembahkan dengan konflik bangsa manusia diambang kepupusan dan bangsa mawas di ambang penindasan bangsa yang lebih superior ke atas mereka. Pada asalnya, anda dapati bahawa bangsa mawas adalah protagonis utama, manakala bangsa manusia yang diketuai oleh seorang kolonel dalam usaha untuk memastikan survival bangsa manusia adalah antagonis dalam filem ini.

Caesar, ketua bangsa mawas dalam ini dalam dilemma untuk menegakkan prinsipnya yang mahukan pendamaian antara bangsa mawas dan manusia, namun jiwanya diselubungi oleh rasa dendam kerana kehilangan hampir majoriti ahli keluarganya di tangan Kolonel. Sang kolonel yang mengetuai bangsa manusia pula sedang menghadapi ancaman virus yang menyapu habis majoriti populasi manusia ke tahap yang terbaru, iaitu menjadikan manusia “primitif”. Caesar akhirnya memilih dendamnya manakala Kolonel berpendapat bahawa untuk memastikan manusia tidak terjangkiti oleh virus itu lagi adalah menghabiskan salah satu perumah dan penyebar kepada virus tersebut – bangsa mawas.

Sekarang berdiri di tempat Caesar, Caesar percaya bahawa menuntut bela ke atas keluarganya adalah sebuah perjuangan yang harus dilangsaikan. Caesar tidak bersalah dalam hal ini. Namun, dalam masa yang sama, Kolonel selain tindakan menjadikan bangsa mawas sebagai hamba, dia juga merasakan bahawa diri tidak salah. Dari perspektifnya, apa yang dilakukan adalah solusi terakhir menyelamatkan umat manusia! Perang harus berlaku untuk memastikan survivability bangsa manusia. Perang juga harus berlaku kerana ada darah yang mahu dituntut bela keadilannya. Dalam hal ini, tidak ada yang benar dan yang salah. Yang ada adalah kebenaran yang berbeza berdasarkan perspektif.

Namun, disebalik perbezaan perspektif yang mengheret kepada konflik perang, kita juga ditampar dengan cukup keras. Ia tentang kemanusian kita. Apakah suatu hari nanti apabila kita diheret kepada situasi melibatkan hidup dan mati, maka kita akan bertindak luar dari kemanusian? Kemanusian? Saya kira kemanusian dalam situasi beruk melawan manusia memerlukan definisi baru, atau mungkin juga, perkataan yang baru.

Sang Kolonel berpendapat bahawa dia melakukan perang, membunuh bangsa manusia iaitu bangsanya tersendiri dan menindas para mawas, juga bakal membunuh mereka adalah demi menyelamatkan bangsa manusia dari menjadi primitif. Antara tanda-tandanya ialah manusia mula hilang kemampuan intelektual mereka, dan tidak mampu bercakap. Tetapi ada sesuatu yang membuatkan Sang Kolonel lupa. Kemanusian. Kemanusian tidak pernah hilang. Tetapi oleh kerana Sang Kolonel mahu menyelamatkan sang manusia, sang Kolonel telah membunuh rasa kemanusian. Apakah nilai ketamadunan yang dicapai oleh manusia hari ini mempunyai erti kalau semakin hari, terhakis rasa kemanusian itu dari jiwa kita?

Nova, si gadis bisu (bisukah?) yang turut diserang virus yang sedang bermutasi dalam dirinya menjadikannya sebagai “primitif” adalah watak yang sengaja diwujudkan untuk bermain dengan persoalan kemanusian ini. Si gadis yang kononnya sedang menjadi semakin primitif, hilang keupayaan seperti manusia biasa terutama dari segi intelektualnya. Namun, si gadis ini tidak pernah hilang kemanusiannya. Dia menangis ketika rakan mawasnya mati. Dia menunjukkan belas ihsan pada Caesar ketika dia ditangkap oleh Sang Kolonel. Dia masih mempunyai semangat persahabatan dan setiakawan yang tinggi. Itulah yang membezakan manusia dan haiwan. Kemanusian. Kita sering mengatakan kita dan haiwan berbeza kerana intelektual kita. Tetapi ternyata kita terlepas pandang satu lagi sisi yang benar-benar menjadikan kita sebagai manusia. Kemanusian kita!

Ironinya ketika manusia mula kehilang kemanusian mereka, sang mawas pula menyambut rasa itu dalam jiwa mereka. Betapa walau berlainan bangsa, betapa walau selepas manusia menindas bangsa mawas, namun rasa kemanusian masih dimiliki oleh bangsa mawas. Si Nova yang keseorangan diselamatkan dan dijaga dengan baik. Bahkan diterima sebagai sebahagian daripada bangsa mawas – sekaligus membenarkan pegangan saya bahawa bangsa itu ialah social construct, bukan semata-mata dna dan keturunan semata-mata. Sebab itu selepas menonton filem ini, perkataan “kemanusian” itu harus mempunyai definisi baru atau perkataan yang baru. Kalau manusia terbukti sanggup membuang rasa “kemanusian” itu dan disambut oleh bangsa lain yang mempunyai intelektual yang sama tinggi, lagi-lagi dalam situasi ini, apakah perkataan itu harus jadi “ke-mawas-san”?

Oh bercakap tentang setia kawan sebagai ciri sebuah kemanusian, ada pesanan lain yang mahu dibahaskan dalam filem ini. Pengkhinatan. Bangsa manusia dan bangsa mawas, masing-masing membuktikan betapa seorang pengkhianat membunuh mereka dari dalam. Mereka lebih berbahaya daripada musuh yang ditentang. Mungkin sebab ini betapa Islam mengutuk golongan munafik. Mungkin sebab ini juga Soekarno pernah mengungkapkan – “Perjuangan aku menentang penjajah. Perjuangan kalian lebih sukar kerana menentang bangsamu sendiri.” Betapa Kobe mengkhianati Caesar sebagai ketua membawa kepada peperangan besar antara mawas dan manusia. Betapa beberapa mawas yang berpaling tadah membuatkan sehingga ahli keluarga Caesar terbunuh. Caesar adalah Caesar kedua dalam sejarah yang dikhianati oleh sahabat sendiri selepas Julius Caesar.

Ingat, Nabi Isa tidak akan ditangkap oleh Rom dan hampir disalib kalau tidak kerana Judas yang mengkhianatinya. Ingat, Melaka tidak akan runtuh kalau tidak wujud si Kitul yang membocorkan rahsia pertahanan. Ingat, betapa banyak dinasti dan empayar agung dalam dunia berakhir kerana sebuah pengkhianatan! Sisi yang manusia terlepas pandang dalam perang sudah tentu pengkhianat antara mereka!

Berapa bintang saya berikan? 9/10. Saya tolak 1 kerana pace filem ini agak perlahan. Selain itu, sinematografinya, perkembangan plot dan watak, dan dialog sangat berkesan. Dan nasihat saya, kalau anda merasakan bahawa anda ke panggung, mencari filem yang berkisarkan aksi meletup sepanjang filem, ini bukan filem anda. Ini filem untuk mereka yang memang mencari filem untuk mengasah mereka menjadi pemikir.

P.S: Terima kasih kepada pengarahnya kerana membuatkan seekor mawas menunggang kuda nampak terlalu cool, bukan sesuatu yang awkward.

Comments

comments

Previous articleHarley Quinn: Wataknya Tidak Seindah Yang Kita Bayangkan
Next articleApakah Sains Satu-Satunya Sumber Kebenaran?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here