Amalan Perisikan Dalam Ketamadunan Purba Melayu

0
1562
views
Sumber: http://warsawpoint.com

Badan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Ejen Perisikan Pusat (CIA) serta watak James Bond 007, merupakan sebuah agensi penyiasatan atau karekter yang tidak asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Tetapi tahukah anda, aktiviti ini bukan hanya propaganda yang dilakukan pada era Perang Dunia Pertama dan Kedua, sebaliknya aktiviti perisikan ini merupakan antara kegiatan tertua yang terus diamalkan oleh masyarakat silam dan berterusan hingga hari ini.

Pada zaman prasejarah, aktiviti merisik dilakukan bermatlamat untuk memperoleh makanan. Sewaktu memburu, anggota masyarakat akan berusaha memperoleh informasi serta mengenal pasti kedudukan haiwan buruan berkenaan. Walaupun kegiatan tersebut tidak dapat dikategorikan sebagai ‘perisikan’ dalam erti sepertimana tafsiran dunia hari ini, akan tetapi usaha mendapatkan maklumat tersebut menunjukkan bahawa mereka memahami betapa pentingnya mengetahui informasi berkenaan.

Apabila masyarakat semakin kehadapan, maju dan wujud dalam berkelompok (puak), telah membawa kepada persaingan kuasa antara mereka sehingga menyebabkan berlaku peperangan. Atas tuntuan itu, keperluan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan pihak lain semakin memuncak dan tinggi. Namun sayangnya, aktiviti perisikan masyarakat zaman silam tidak banyak maklumat diperoleh. Meskipun begitu antara aktiviti perisikan yang terawal direkodkan, membabitkan peperangan Kadesh yang meletus sekitar tahun 1274 Masihi, antara kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Ramese II, dengan Raja Muwatallis dari kerajaan Hittites.

Dalam budaya masyarakat Melayu, istilah ‘merisik’ sering digunakan oleh pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan. Rombongan merisik dihantar oleh pihak lelaki untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan calon pengantin perempuan yang dikehendaki untuk mengetahui kedudukan calon tersebut sama ada sudah berpunya atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, istilah merisik bukan sekadar diaplikasi dalam adat masyarakat Melayu malah membabitkan konotasi yang lebih luas membabitkan hal pemerintahan, kerajaan dan pentadbiran.

Berbanding dengan tamadun-tamadun lain di dalam dunia, tamadun Melayu sehingga kini dilihat tidak mempunyai bukti-bukti bertulis yang menyerlah dan khusus dengan kegiatan perisikan. Hal ini kerana, dalam tamadun Melayu tidak memiliki sebuah karya khas sepertimana Arthasastara dan The Art of War yang secara nyata meletakkan fungsi perisik dan signifikan aktiviti perisikan dalam Tamadun India dan China.

Berdasarkan sejarah telah wujud kerajaan-kerajaan agung dan gah dalam tamadun Melayu seperti Kerajaan Sriwijaya, Majapahit, Melaka dan sebagainya. Oleh itu, menerusi perjalanan sejarah yang panjang membawa kepada pembentukan keperibadian tersendiri, perebutan serta peperangan antara kerajaan yang kerap kali meletus. Berdasarkan situasi itu, aspek perisikan menjadi sebahagian inti penting dalam rangkuman perjalanan episod peperangan. Berasaskan perkiraan tersebut, maka pastinya kegiatan perisikan merangkumi tipu helah, hal-hal penyuluhan, sabotaj, propaganda yang diaplikasi ketika tempoh peperangan melangsung dalam tamadun Melayu.

Aktiviti perisikan dalam bentuk penyuluhan dan pengintipan dalam tamadun Melayu dapat dibayangkan melalui kitab Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kegiatan perisikan merupakan elemen yang ditonjolkan oleh Sejarah Melayu dalam mempamerkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai tradisi peperangan yang tersendiri. Antara episod jelas yang membuktikan bahawa kegiatan perisikan dijalankan ketika Melaka menghadapi Portugis pada era Sultan Mahmud. Dinyatakan setelah Sultan Mahmud dan rombongannya meninggalkan Melaka menuju Bentan akibat kesan serangan Portugis, menyebabkan baginda sultan menitahkan agar para pengikutnya mengintip gerak-geri Portugis. Kitab Sejarah Melayu mencatatkan;

Maka baginda (Sultan Mahmud) pun menyuruh berhadir segala pegawai, beringat di Kota Kara, menyuruh suluh: maka orang pun pergilah. Setelah datang ke Malang Jarum maka dilihatnya layar Feringgi (Portugis) dari Tanjung Bemban menuju Lobam itu, putih layarnya, tengah tiga-puluh buah banyaknya, maka suluh pun berkayuhlah kembali.

Dalam Kitab Sejarah Melayu mencatatkan kita akan mendapati perkataan yang sering digunapakai untuk tujuan perisikan iaitu ‘suluh’ atau ‘menyuluh’ yang bermaksud mendapatkan informasi mengenai kedudukan, pergerakan musuh dan sebagainya. Selain itu, kegiatan penyuluhan juga dilaksanakan oleh Tun Perak sewaktu menghadapi serangan tentera Siam di Melaka. Tindakan Siam untuk menyerang Melaka diketahui oleh Bendahara Melaka Tun Perak. Tentera Siam merancang untuk menyerang Melaka menggunakan jalan laut setelah melalui perjalanan menyusuri laluan Kelantan, Terenggani dan Johor sebelum ke Batu Pahat. Pada ketika, Tun Perak bersama tentera Melaka bersiap sedia menghadapi serangan Siam, Bendahara Melaka telah menghantar anak Dato Seri Bija Diraja iaitu Tun Omar untuk melakukan pengintipan. Tun Omar telah melanggar perahu-perahu tentera Siam sebelum melarikan diri. Walaupun tindakan Tun Omar bukan tindakan pengintipan dalam keadaan sebenar namun perbuatan tersebut menunjukkan bahawa orang Melayu tidak perlu bersembunyi untuk mengetahui kekuatan musuh bagi mempamerkan kehandalan orang Melaka.

Bidang perisikan bukan sekadar memperoleh maklumat sebaliknya terdapat aspek lain seperti tipu helah, propaganda, sabotaj di mana kesemua itu jelas dilihat dalam tamadun Melayu. Di dalam kitab Sejarah Melayu, taktik tipu helah yang dilakukan oleh Tun Perak merupakan contoh terbaik. Setelah mendapat tahu kekuatan tentera Siam daripada Tun Omar, maka Tun Perak melakukan persiapan menghadapi serangan Siam. Menyedari  bilangan tentera Siam yang besar, menyebabkan tipu muslihat bagi mengalahkan Siam. Dibuktikan melalui;

Setelah hari malam maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon bakau, dan nyireh, dan tumu, api-api itu sekaliannya, disuruh tambati pnting api; gemerlapan rupanya dipandang orang. Setelah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya itu, maka kata hulubalang Siam, ‘terlalu amat banyak Melayu itu tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa jadinya kita? Sedang akan sebuah perahunya tiada lagi, tiada terlawan oleh kita”. Maka kata Awi Dicu, “benar seperti kata kamu itu, marilah kita kembali”.

Tipu muslihat merupakan eleman yang wujud dalam usaha mengalahkan musuh dan helah yang telah digunakan dengan sebaik-baik mungkin oleh Tun Perak.  Walaupun bukti-bukti bertulis mengenai perisikan tamadun Melayu berselerakan di sana sini tetapi sumber-sumber pensejarahan yang ada secara jelas menunjukkan bahawa dalam tamadun Melayu, wujudnya kepentingan aktiviti perisikan untuk mengetahui kekuatan lawan supaya mengatur strategi suapaya memperoleh kemenangan.

Rujukan

A.Samad Ahmad (peny.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1986.

Muhd Yusof Ibrahim, Tun Perak: Pencetus Wawasan Empayar Melaka, Kuala Lumpur: Tinta Publication, 2009.

Azharuddin Mohamed Dali, Sejarah Perisikan Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014.

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here