Masih Relevankah Nasionalisme Melayu?

0
1237
views

Saya merasa kurang senang dengan kenyataan seorang politikus yang menyifatkan nasionalisme Melayu seperti sebuah kapal yang mahu karam. Walaupun beliau tidak mengulas lebih berkenaan soal itu, ia masih menyakitkan hati kerana sentimen sebegini melihat Melayu dari pandangan yang sempit. Padahal atas semangat itu juga, Melayu bangkit dan muncul antara tamadun terhebat pada zamannya. Dalam lipatan sejarah, terlalu banyak cerita kehebatan bangsa Melayu sehingga mengagumkan kawan dan menggerunkan pihak lawan. Persoalannya di sini, benarkah sentimen nasionalisme Melayu ini patut diketepikan begitu saja?

Dalam Islam, tidak menjadi kesalahan untuk kita mengasihi dan membantu bangsa kita selagi mana ia tidak melakukan sebarang bentuk penindasan dan kezaliman ke atas orang lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wathilah bin al-Asqa’, “Ya Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan asabiyah?” Baginda menjawab, “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah membantu kaummu melakukan kezaliman.” (Riwayat Abu Daud, hadis bertaraf Hasan).

Ada yang mengaitkan sentimen nasionalisme Melayu ini dengan sentimen asabiyah. Ini satu persepsi yang harus diperbetulkan. Pertama, nasionalisme Melayu sama sekali tidak mengetepikan langsung perjuangan agama Islam. Bahkan atas semangat itu juga, agama sentiasa menjadi agenda utama para pejuang dan kepimpinan terdahulu dari era penjajahan sehinggalah ke era kemerdekaan dan kemajuan negara hari ini. Bahkan, jika tidak kerana nasionalisme Melayu itu sendiri, bagaimana fasal Perlembagaan kita menyebut tentang jelas hak-hak bumiputra terutama bangsa Melayu dan agama Islam boleh wujud? Lupakah kita bahawasanya jika tidak kerana kebijaksanaan para pemerintah Melayu, Islam berkembang pesat di Kepulauan Melayu sehingga ke tahap tertinggi, sangat tinggi sehingga wujud bukti bertulis tentang debat antara kelompok Ahli Sunnah Waljamaah dengan kelompok Muktazilah tentang isu akidah? Walaupun perdebatan tersebut tidaklah seserius perdebatan di sebelah Baghdad (ibu kota Kerajaan Bani Abbasiyah) termasuk Al-Quran itu makhluk sehingga menyebabkan ramai ulama syahid, itu saja sudah jadi bukti betapa ia seharusnya tidak dipandang enteng.

Kedua, nasionalisme Melayu sama sekali tidak pernah melupakan budaya Melayu yang cuba dipinggirkan sesetengah kelompok pada hari ini. Bahkan, mereka berusaha memelihara dan memulihara budaya ini agar ia terus dikenali oleh generasi terkemudian. Selagi mana budaya Melayu itu tidak bertentangan dengan agama, selagi itu ia akan terus dipertahankan. Namun pada hari ini, ramai benar yang merasa betah dikaitkan dengan Melayu kerana menganggap budaya kita kolot dan ketinggalan zaman. Tidak ramai tahu, pada saat budaya asing menjadi dukungan mereka hari ini, bangsa tersebut masih lagi terkapai-kapai mencari identiti dan budaya mereka sendiri. Sedangkan pada masa sama, Melayu sudah dikenali seantero dunia sehingga budayanya banyak dicatatkan dalam pelbagai catatan-catatan asing sama ada dari China, India, Rom atau Yunani. Jika tidak, mengapa Ptolemy, seorang cendekiawan Yunani boleh memanggil Semenanjung Tanah Melayu sebagai Golden Khersonese dalam catatannya?

Ketiga, nasionalisme Melayu mengangkat unsur keadilan dan kebebasan serta sama sekali tidak menganaktirikan bangsa lain. Bahkan hakikatnya, toleransi yang ditunjukkan membantu bangsa-bangsa lain membina kehidupan baru yang lebih baik daripada negara asal mereka. Terlalu banyak catatan silam yang menunjukkan keperibadian pemerintah-pemerintah Melayu kepada rakyat mereka terutama bangsa asing. Mereka bukan saja dilayan yang baik malah diberi peluang membina kekayaan melimpah-ruah pada saat kegemilangan empayar-empayar tersebut. Langsung tidak ada rungutan daripada orang tempatan berkenaan soal ini. Tetapi pada hari ini, saat orang Melayu mahu bangkit dan berusaha mendapatkan peluang ekonomi untuk membantu bangsa kembali maju, ada pula yang mengomel dan menganggap cubaan sebegini bersifat perkauman. Hakikatnya, jika dibandingkan kek ekonomi bangsa-bangsa lain di negara ini, kita masih lagi ketinggalan di belakang. Kerana kelemahan kita dalam soal ini, kuasa politik orang Melayu dianggap tiada taring.

Keempat, nasionalisme Melayu sama sekali langsung tidak meminggirkan hukum-hakam agama dan pejuang agama. Sejak dari dulu lagi, nasionalisme Melayu menjadikan agama sebagai teras kepada pemerintahan kerajaan atau perjuangan dalam menuntut hak. Tak percaya, lihatlah kepada Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang menjadikan agama Islam sebagai teras kepada perundangannya. Sementara para ulama dan agamawan memainkan peranan penting sama ada dalam soal pemerintahan atau semasa berjuang melawan penjajahan. Nama-nama ini anda pasti akan kenal. Bagi yang mempelajari sejarah Kesultanan Acheh, anda pasti mengenali Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkel dan Nuruddin al-Raniri. Bagi para ulama dan agamawan yang berjuang melawan penjajahan sehingga ke era kemerdekaan, nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tokku Paloh dan Sheikh Abdullah Fahim pasti sinonim dengan zaman tersebut. Nasionalisme Melayu menjunjung prinsip syarak dan menjadikan para ulama sebagai rujukan mereka. Jika ada yang nak menyalahkan nasionalisme Melayu dengan peminggiran hukum-hakam agama dan pejuang agama, maka yang patut dipersalahkan ialah sesetengah tokoh yang memimpin sama ada dahulu atau sekarang, bukan nasionalisme Melayu itu sendiri. Pemimpin-pemimpin ini bukan saja bersikap biadap dengan para pejuang agama, bahkan mereka juga tanpa segan-silu menolak perjuangan memartabatkan agama dan tidak menonjolkan sama sekali akhlak Islamiyyah seperti yang dituntut dalam agama. Bahkan sesetengah pemimpin ini juga dengan berani mendukung prinsip-prinsip bertentangan dengan agama seperti fahaman pluralisme dan perjuangan lesbian, gay dan transeksual (LGBT) atas alasan hak kesamarataan dan asasi manusia.

Nasionalisme Melayu sentiasa mengangkat prinsip permuafakatan dan kerjasama antara satu sama lain. Ini kerana tanpa kerjasama dan perpaduan, apa saja yang dikerjakan akan musnah dalam sekelip mata. Menurut Ibnu Khaldun, permuafakatan sebegini (asabiyah Islamiyah) menyebabkan sesebuah bangsa atau negara menjadi kuat. Tanpa kekuatan ini, agak sukar bagi perlaksanaan syariat agama dilakukan. Ini disokong berdasarkan satu hadis yang dinukil Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Al-Muqaddimah, “Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lingkungan kekuatan bangsanya.” Namun dalam dunia hari ini, bila mana bangsa ini cuba bersatu atas dasar bangsa dan agama, ramai menentang kerana bimbangkan kesan kepada perpaduan di negara ini. Hakikat yang cuba disembunyikan kelompok berfahaman sempit ini ialah mereka bimbang status quo sedia ada terjejas jika Melayu mengetepikan perbezaan politik untuk kembali bersatu. Pada mereka, penyatuan Melayu sebagai satu bangsa bersamaan pengakhiran monopoli dan status quo mereka.

Ada yang masih berhujah bahawasanya nasionalisme Melayu bersamaan dengan asabiyah. Baik, jika begitu, ada tak unsur taksub di dalamnya? Sebab selepas disemak, langsung tidak ada sama sekali unsur ketaksuban menjadi elemen utama asabiyah. Bahkan, para pemerintah dan pejuang terdahulu menolak sama sekali unsur ketaksuban ini. Mereka berpegang kepada beberapa dalil seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, “Sesungguhnya Allah telah menghilangkan dari kalian fanatisme jahiliyah serta mengagungkan nenek moyang. Manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu berasal dari tanah. Tidak ada keutamaan seorang Arab atas seorang ‘ajam (bukan Arab) selain dengan ketakwaannya.” Dalam satu hadis lain daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah(kesepakatan kaum muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah(Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah). Makanya, masihkah kalian menyangka perjuangan menjunjung maruah bangsa dan agama itu sebagai sampah seperti mana yang diperkatakan sang politikus itu? Hanya kalian saja yang tahu jawapannya.

Sumber:

  1. Fatah, Abu. (2016). Tanwir. Apa Itu Asabiyah. http://tanwir.my/apa-itu-asabiyah/
  2. Sunnah.com. The Hadith of Prophet Muhammad s.a.w at Your Fingertips.

Comments

comments

Previous articleManuskrip Paling Misteri Dan Membingungkan
Next articleAmalan Perisikan Dalam Ketamadunan Purba Melayu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here