Kuching Dibom Oleh Jepun!

0
2019
views

DI ketika kempen perang dunia kedua yang berlangsung dari tahun 1941 sehingga 1945 menyaksikan Sarawak dikatakan cukup mudah dikalahkan oleh Nippon Go walaupun hakikatnya Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Brooke telah cuba menyediakan apa yang ada berdasarkan keupayaannya untuk menghadapi peperangan tersebut.

Namun begitu cerita disebalik sebagai sebuah negara perlindungan Bristish sejak di tahun 1888 juga menyaksikan Sarawak hanya menerima bantuan udara pada saat-saat akhir kerana British terlalu sibuk mempertahankan wilayah jajahannya yang lain.  Dek kerana itulah di dalam sejarah menyatakan bahawa Sarawak ditakluki cukup mudah oleh Jepun di dalam siri kempen perangnya.

Mengimbau sejarah kempen perang dunia kedua Jepun ini juga menyaksikan tidak kurang kemusnahan besar yang dilakukan oleh pasukan udara Jepun ke atas tempat-tempat strategik di Sarawak.  Fort Keppel salah satu bangunan ikon sejarah Sarawak di Bintulu turut musnah dan begitu juga di Sibu lebih-lebih lagi bumi Miri.  Di Miri yang pada masa itu merupakan sumber ekonomi penting Sarawak turut banyak yang musnah ditambahlagi sebelum boleh bertapak, Brooke sendiri telah menjalankan pelan “bumi hangus” untuk setiap telaga minyak di Miri.

Untuk konteks Kuching sebenarnya turut pernah menerima nasib yang sama seperti bandar-bandar utama di Sarawak.  Lebih-lebih lagi jika kita berkata mengenai Kuching sebagai pusat pentadbiran dan ibukota untuk Sarawak Kingdom pada waktu itu.  Jadi sekiranya Jepun turut memerangi Kuching maka ianya bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Sebenarnya siri kempen perang dunia ke-2 ke atas Kuching sudahpun bermula pada tanggal 13 Disember 1941.  Dikatakan menjelang petang diketika warga Kuching sedang beristirehat di rumah masing-masing kedengaran riuh di ruang angkasa Kuching dengan hampir 10 buah pesawat Betty Bombers berlegar-legar di udara pada ketika itu.  Tiada siapa menyangka bahawa pesawat yang banyak itu adalah milik Jepun sehinggalah keesokan harinya melalui siaran radio dihebahkan kepada rakyat. Hanya usai hebahan itulah barulah rakyat Kuching merasakan bahawa perang sudah semakin dekat.

Situasi sebenar riuh piuh peperangan sebenarnya untuk Kuching benar-benar berlangsung pada tanggal 19 Disember 1941.  Pada hari itu dikatakan hampir 16 buah pesawat Betty Bombers kelihatan di ruang angkasa Kuching dengan membentuk formasi “V”.  Kawasan pertama yang dihujani dengan bom Jepun adalah lapangan terbang di Batu 7 pada ketika itu.  Ini semua dilakukan bagi memastikan Kuching tidak mampu melumpuhkan sistem pertahanan udara Sarawak pada ketika itu.

Usai memusnahkan kawasan strategik penerbangan udara Sarawak, dikatakan daripada 16 buah pesawat pengebom Jepun itu telah dibahagikan menjadi dua kumpulan.  Satu kumpulan yang terdiri daripada lapan buah pesawat telah terbang keluar dari Kuching dan menuju ke Pontianak.  Manakala lapan buah lagi telah terbang menuju ke pusat bandar Kuching.

Dengan terbang rendah di ruang angkasa menyelusuri Sungai Sarawak pada waktu itu menyaksikan warga Kuching bungkam seribu bahasa.  Bunyi bising pesawat yang akhirnya memuntahkan bom ke arah kedudukan strategik di sekitar Sungai Sarawak memecah suasana.  Ada yang berkata bahawa pelan perancangan serangan udara Jepun pada masa itu adalah Kubu Margharita.

Ini kerana kubu ini merupakan antara kubu pertahanan Sarawak daripada sebarang ancaman. Walaupun tersasar dan tidak mengenai kubu tersebut namun ada kawasan penempatan warga Kuching yang musnah teruk di bom iaitu kawasan seperti Kampung Sungai Bedil Kecil.  Perkampungan ini juga turut dikenali sebagai Kampung Astana Lama memandangkan ianya berhampiran dengan Astana Sarawak yang masih wujud sehingga sekarang.

Serangan udara daripada Jepun pada hari itu juga menyaksikan unit penyimpanan minyak untuk Syarikat Borneo musnah dijilat api. Lokasi bangunan syarikat ini adalah Hotel Hilton sekarang, jadi amat jelas bahawa kempen serangan udara Jepun ini sengaja dihalakan di kawasan di sepanjang Sungai Sarawak.   Bagi penempatan di seberang Main Bazaar Kuching iaitu Kampung Sungei Bedil Kecik hampir 25 buah rumah penduduk musnah teruk.  Korban nyawa pula melebihi 30 orang manakala hampir 75 orang cedera parah dan kritikal.  Walaupun hanya sesetengah kawasan musnah dibom namun hampir kesemua warga Kuching pada masa itu hanya mampu  menadah tangan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Akibat daripada pengeboman pada tanggal 19 Disember itu juga menyaksikan ramai warga Kuching yang mendiami kawasan perkampungan disepanjang Sungai Sarawak mula berpindah.  Perpindahan ini dilakukan bagi mengelakkan diri mereka daripada terbabit di dalam siri-siri serangan bom Jepun selepas itu. Mereka tinggalkan segalanya demi survival keluarga kerana tidak mahu hidup di dalam ketakutan menunggu saat pesawat Jepun memuntahkan bom ke atas bumi Kuching pada bila-bila masa sahaja. Adalah dipercayai ramai antara warga Kuching yang berpindah ke kawasan pedalaman hanya kembali ke Kuching setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.

Itulah sejarahnya Kuching dan bagaimana ianya dibom jauh sebelum Jepun berjaya menjejakkan kakinya di bumi Sarawak. Jepun hanya benar-benar menduduki ibukota Kuching pada pada tanggal 24 Disember 1941. Sekaligus ianya pengakhiran kepada siri kempen pendudukan Jepun di Sarawak pada waktu itu.

Lest We Forget!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

  1. Borneo Post, 16 September 2011 – Under The Nippon Flag

http://www.theborneopost.com/2011/09/16/under-the-nippon-flag/

  1. Malaysia, Singapore and Brunei by Charles de Ledesma, Mark Lewis, Pauling Savage and Rough Guides
  2. A Brief History of Kuching Dec 1941-Sept 1945 by Koh Soon Ewe

https://link.springer.com/content/pdf/bbm%3A978-1-349-27300-3%2F1.pdf

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here