Fizik Disebalik Jodoh Dan Cinta

0
2780
views

Fenomena Quantum Entanglement ini sangat menarik. Bila belajar fasal ini, aku rasa kagum betul bila sesuatu yang aku rasa macam ‘mustahil’ berada dalam kerangka penemuan saintifik.

Kita selalu kenal Einstein dengan idea relativitinya. Tetapi tahukah anda, pada lewat hayatnya, Einstein telah merangka kerja yang sama hebat dengan idea relativitinya, iaitu Paradoks EPR (EPR Paradox).

EPR datang daripada nama Einstein-Podolski-Rosen, iaitu Einstein bekerjasama dengan dua orang saintis muda pada masa itu, Boris Podolski dan Nathan Rosen.
Antara idea EPR Paradox ini adalah untuk membalas fenomena quantum entanglement yang dikatakan memusnahkan idea relativiti khas.

Aku sebenarnya, ambil masa juga untuk memikirkan cara bagaimana untuk memudahkan kefahaman terhadap fenomena ini. Tetapi dengan analogi ini, aku harap kau boleh faham.
Pada asalnya idea quantum entanglement ini diusulkan berdasarkan eksperimen dua partikel. Tetapi nak kasi mudah, anda bayangkan dua buah kotak yang masing-masing terdapat seekor kucing. Lebih kurang macam eksperimen Schrodinger.

Dalam kotak tersebut terdapat radiasi yang boleh menyebabkan kucing tersebut mati. Tetapi kebarangkalian untuk radiasi itu bocor adalah sebanyak 50%. Jadi, terdapat dua kotak dan masing-masing berisi seekor kucing, kebarangkaliannya seperti berikut,

Kotak 1: Kucing Mati, Kotak 2: Kucing Hidup
Kotak 1: Kucing Hidup, Kotak 2: Kucing Mati
Kotak 1: Kucing Mati, Kotak 2: Kucing Mati
Kotak 1: Kucing Hidup, Kotak 2: Kucing Hidup
.
Maksudnya kita akan ada empat kebarangkalian situasi kucing ini berlaku. Apabila kucing ini mempunyai pertalian (entanglement), maka, apabila seekor kucing hidup, kucing yang lainnya akan mati.

Jadi, kebarangkalian itu akan mengerucut pada dua kebarangkalian saja, iaitu kalau kucing di kotak 1 mati, kucing di kotak 2 mesti kena hidup. Begitulah juga disebaliknya.
Jadi, fenomena quantum entanglement di sini adalah, kalau aku buat eksperimen kotak 1 di rumah aku, dan kau buat eksperimen kotak 2 di rumah kau, keputusannya tetap akan sama juga.

Kalau kucing aku hidup, kucing kau mesti mati. Di seakan-akan kedua-dua kucing ini mempunyai sejenis ‘komunikasi’ dan pertalian (entanglement) antara satu sama lain.
Tidak kira berapa jauh pun rumah aku daripada rumah kau, malah kalau rumah kau berada di hujung alam semesta atau berada di galaksi lain sekalipun, keputusannya tetap sama.

Kembali pada eksperimen dua partikel tadi. Saintis mahu mengukur sifat dua buah partikel yang telah ditembak. Tetapi mereka dapati keputusan kedua-dua partikel tadi simetri. Kalau partikel 1 dapat 70, partikel 2 mesti dapat 30.

Disebabkan sifat partikel sering berubah-rubah, jadi apabila ukuran partikel 1 berubah jadi 40, partikel 2 mesti dapat 60. Kalau hitam, yang lainnya akan jadi putih.

Tidak kiralah berapa jauh jarak partikel tersebut, keputusannya tetap macam ini. Jadi, apakah yang menyebabkan ia melanggar idea relativiti?

Relativiti menyatakan, tiada perkara yang lebih laju daripada cahaya. Jadi, bagaimana partikel 1 menghantar maklumat dirinya dengan kelajuan lebih laju daripada cahaya kepada partikel 2 untuk membolehkan mereka ‘berhubung’?

Itulah sebab Einstein mengusulkan idea ‘spooky action at a distance’ yang menyatakan partikel itu berubah sifat tanpa mereka berinteraksi. Tetapi ahli fizik ortodoks seperti Neils Bohr tidak menerima idea tersebut.

Apa yang berlaku ini menyebabkan Einstein percaya Quantum Mechanics masih belum selesai selagi ia bersifat kebarangkalian. Einstein percaya ia bersifat tetap (deterministic). Tetapi sampai sekarang idea itu masih belum terungkap.

Jadi, kau orang boleh kaitkan tak dengan cinta? Haha. Mungkin jodoh kau orang jauh. Tetapi jauh macam mana pun, kalau dah takdir, kau orang akan bersatu jua untuk melengkap sebuah ‘hubungan’.

Cinta antara ibu dan anak pun begitu. Bila ada apa-apa berlaku pada anak, ibu akan rasa tak sedap hati. Aku selalu dapat tahu kembar pun begitu. Kalau seorang sakit, kembarnya akan rasa juga.

Mak aku sendiri pernah kata, kalau mak aku sakit, aku akan sakit juga.

Comments

comments

Previous articleEinstein, Nuklear & Perang Dunia Ke-II
Next articleKuching Dibom Oleh Jepun!
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here