Hang Tuah – Nama Tiga Kapal Perang Pada Dua Buah Negara

1
6611
views

NAMA HANG TUAH diabadikan oleh dua angkatan laut di rantau Nusantara, yakni Malaysia dan Indonesia pada 3 jenis kapal perang yang berbeza.

Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut kedua-duanya pernah mengoperasikan kapal perang yang mereka namakan dengan nama Hang Tuah.

R.I HANG TUAH

1949 – 1956

RI Hang Tuah (ex – HMAS Ipswich, ex-HNMLS Morotai) adalah korvet kelas Bathurst era perang dunia kedua yang dibina sebagai pemburu kapal selam. Ia diserahkan oleh angkatan laut Belanda kepada angkatan laut Indonesia pada tahun 1949 berikutan Konferensi Meja Bundar yang membawa kepada kelahiran Republik Indonesia Serikat yang berdaulat dan bebas dari cengkaman Belanda.

KRI Hang Tuah terlibat dalam operasi melawan dan menumpaskan pemberontakan Andi Aziz di Makassar pada April 1950 dan kemudian dari Julai 1950 hingga Mac 1951, RI Hang Tuah dilibatkan dalam operasi penumpasan terhadap pemberontakan Republik Maluku Selatan (RMS) yang digerakkan oleh Dr. CH. Soumokil, beberapa operasi yang dilaksanakan diantaranya Operasi Fajar, Operasi Senopati, Operasi Senopati II dan Operasi Bintang Siang.

Ketika Operasi Fajar, RI. Hang Tuah terlibat dalam operasi pendaratan di Pulau Buru, Pulau Seram dan Kota Amahai.

Dalam Operasi Senopati, RI HangTuah hanya terlibat pada operasi pendaratan di Hitulama manakala ketika pelaksanaan Operasi Senopati II, RI HangTuah diserapkan dalam kumpulan gugusan tugas operasi gabungan ketiga angkatan dalam rangka penyerbuan ke kota Ambon,

Dalam operasi lanjutan penumpasan kumpulan pemberontak RMS, RI Hang Tuah terbabit dalam Operasi Bintang Siang yang merupakan operasi pendaratan di Pulau Saparua.

Pada bulan Maret 1953, RI Hang Tuah kembali berperanan dan ditugaskan untuk menumpas pemberontakan DIITII, dibawah dalam Operasi lndra ketika penumpasan DI/TII di Jawa Barat dan Operasi Tri Tunggal ketika penumpasan DIITII di Sulawesi.

Hayat RI Hang Tuah tidak lama kerana pada tahun 1956, kapal perang ini musnah dibom oleh pesawat pengebom B26 Invader yang dioperasikan kumpulan pemberontak PERMESTA. Ketika insiden tersebut, RI Hang Tuah baharu berlepas dari pelabuhan Balikpapan. Kesan dari pegeboman tersebut menyebabkan RI Hang Tuah mengalami kerosakan ekstensif akibat kebakaran besar dan akhirnya tenggelam ke dasar di perairan Balikpapan.

KD HANG TUAH (F433)

1961 – 1977

KD HANG TUAH – F433 (ex HMS Loch Insh) adalah sebuah frigat anti kapal selam era perang dunia kedua dari jenis Loch class yang diserahkan oleh British kepada pemerintah Malaysia pada tahun 1961 setelah menjalani pengubahsuaian ekstensif termasuk penempatan geladak penerbangan bagi mengendalikan helikopter serta penambahbaika kuasa enjin.

KD Hang Tuah – F433 menjadi kapal perintah armada TLDM dan merupakan kapal perang utama angkatan laut Malaysia pada ketika itu yang benar-benar mempunyai persenjataan yang ampuh.

Kapal perang dengan kekuatan 114 anak kapal serta kelajuan mencecah 20 knots, kombatan permukaan ini dilengkapi satu meriam 4 inci, empat meriam anti pesawat 2 pounder dan enam meriam 20mm untuk tujuan pertahanan jarak dekat. Keupayaan peperangan bawah permukaan KD Hang Tuah F433 merangkumi sistem sonar pencari 144 dan 147B serta 2 pelancar mortar anti kapal selam jenis Squid.

1965 memperlihatkan pendaratan helikopter pertama ketika KD Hang Tuah berlayar, dimana dua helikopter jenis Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia membuat latihan pendaratan dilaut tidak jauh dari perairan Pulau Pinang.

http://utuhpaloi.com/2012/03/15/kd-hang-tuah-virgin-landing/

Khidmat kapal perang permukaan utama angkatan laut Malaysia ini berterusan sehingga 1971, dimana ia kemudian dijadikan kapal latihan sebelum ia dilucutkan tauliah pada tahun 1977. KD Hang Tuah F433 ini kemudian digantikan dengan sebuah lagi frigat pada tahun yang sama.

KD HANG TUAH (F76)

1977 – sekarang

Frigat dari jenis Type41/Type61 yang dibina Yarrow Shipbuilders ini menggantikan KD Hang Tuah yang pertama, dan mula beroperasi dalam perkhidmatan angkatan laut Malaysia pada tahun 1977.KD Hang Tuah F76 (ex-HMS Mermaid) dan KD Hang Jebat (kemudian namanya diubah kepada KD Rahmat) ketika era 70an memperlihatkan anjakan kuasa tempur angkatan laut Malaysia dengan keupayaan peperangan anti kapal selam yang sangat ekstensif serta kemampuan peperangan elektronik yang paling maju di Asia Tenggara pada ketika itu.

Dilengkapi sistem mortar Limbo, dan meriam utama berkembar 102 inci, KD Hang Tuah

KD Hang Tuah F76 ketika perkhidmatannya terlibat dalam pencarian KD Sri Perak yang karam di Laut China Selatan yang merupakan sebahagian dari konvoi yang sedang menuju ke Malaysia Timur. Ketika itu, KD Hang Tuah mengetuai konvoi yang turut melibatkan KD Sri Perak dan KD Sri Trengganu yang mengalami keadaan cuaca buruk dan laut bergelora. Disaat itu konvoi tersebut kehilangan KD Sri Perak dan KD Hang Tuah ditugaskan untuk melaksanakan pencarian.

KD Hang Tuah juga terlibat dalam Operasi Fajar yang mana ia bertindak sebagai pengiring kapal-kapal dagang milik syarikat perkapalan negara kita ketika ancaman lanun Somalia meningkat dengan mendadak dan ekoran dari pembajakan dua kapal tangki kimia iaitu MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati 5 yang menyebabkan pengaturgerakan kapal-kapal TLDM dalam Operasi FAJAR yang melibatkan misi mengiringi kapal-kapal berkepentingan negara yang merentasi Perairan Teluk Aden yang turut melibatkan penugasan KD Hang Tuah.

Kini KD Hang Tuah digantikan dengan frigat lebih moden seperti KD Lekiu dan KD Jebat yang lebih berkeupayaan dan sesuai dengan zaman kini, namun khidmat kapal perang veteran ini masih diteruskan, yang mana ia kini bertindak sebagai kapal latihan bagi melatih pegawai dan anggota TLDM.

 

 

Comments

comments

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here