Falsafah Keris Dalam Tamadun Melayu

0
2840
views
kredit:Gryffindor

Saya seringkali mengulangi bangsa Melayu ialah sebuah bangsa yang sangat berseni, bahkan kalau dibandingkan dengan bangsa Arab, betapa berseninya bangsa Melayu. Bahkan sebelum kedatangan Islam, bangsa ini mempunyai falsafah mereka tersendiri dalam kehidupan, justeru kalian akan dapati bahawa budaya bangsa ini akan dipengaruhi oleh kebudayaan local genius tempatan serta pengaruh agama Hindu-Buddha.

Justeru, ketika ulamak-ulamak sufi yang datang dari Yaman mengislamkan orang Melayu, mereka tidaklah menghapuskan adat dan kebudayaan yang sudah berakar dalam jiwa bangsa Melayu sebaliknya memberikan nafas baru yang berasaskan Islam. Sebab mereka sedar bahawa datangnya Islam bukan untuk menghapuskan budaya dan identiti sebuah bangsa, sebaliknya memperbaikinya ke taraf yang lebih baik. Tetapi inilah yang tidak dapat dilihat oleh golongan hari ini yang saya labelkan sebagai “kaum muda” alaf baru.

Dalam artikel ini, saya akan paparkan kepada anda sejarahnya keris, perbandingan antara falsafah sebelum Islam dan selepas kedatangan Islam yang diberikan nafas baru oleh para ulamak. Semoga… semoga artikel ini mampu memberi pencerahan teragung kepada golongan yang allergic pada adat dan budaya Melayu, baik golongan liberal yang jauh terbabas dari landasan agama Islam yang sebenar, serta tidak lupa jugak kepada golongan agama yang terlalu ekstrime dan keras dalam berdakwah sehinggakan mahu mengharamkan segala-galanya tentang bangsa Melayu. Seharusnya, mereka mengambil pengajaran daripada ulamak terdahulu sehingga mampu mengIslamkan seluruh umat Melayu di Nusantara ini.

Asal Usul Keris

Keris ialah sebuah warisan bangsa yang harus dikenang sebagai lambang ketamadunan bangsa Melayu. Ianya adalah lambang ilmu sains dan teknologi orang Melayu sudah melampaui zaman. Masih lagi tidak percaya? Tidak mengapa. Saya akan celikkan mata kalian. Dipercayai bahawa terdapat sehingga 17 hingga 60 jenis besi yang digunakan sebagai bahan pembuatan keris. Saya gariskan di bawah untuk 17 jenies besi menurut MT. Arifffin.

1. Pulasani/Karinduaji
2. BesiMangangkang Jaler
3. Besi Mangangkang Estri
4. Besi Walulin
5. Besi Katub
6. Besi Kamboja
7. Besi Ambal
8. Besi Winduadi
9. Besi Tumpang
10. Besi Werani,
11. Besi Welangi
12. Besi Terate,
13. Besi Malelaruyun
14. Besi Malelagendhaga
15. Besi Kenur
16. Besi Tumbuk
17. Besi Balitung

Untuk 60 jenis besi yang dicadangkan oleh sarjana keris bernama Ki Hudoyo Doyodipuro ialah besi Karang Kijang, besi Purosani, besi Mangangkang, besi Walulin, besi Katum, besi Kamboja, besi Ambal, besi Sinduaji, besi Tumpang, besi Warani, besi Welangi, besi Terate, besi Malelauyung, besi Malela, besi Kenur, besi Tumbuk, besi Balitung, besi Keleman, besi Penuh, besi Malelagendaga, besi Kanthet, besi Karangkijang + besi Malik, besi Purosani + besi Malik, besi Walulin + besi Katum + besi Malik, besi Kamboja + besi Malik, besi Ambal + besi Malik, besi Sinduaji + besi Malik, besi Tumpang + besi Malik, besi Warani + besi Malik, besi Goran + besi Malik, besi Mawang, besi Balitung, besi Penawang, besi Tumbuk + besi Terate, besi Tumpang + besi Welangi, besi Pulosani + besi Winduaji, besi Karangkijang + besi Pulosani, besi Karangkijang + besi Mangangkang, besi Karangkijang + besi Walulin, besi Karangkijang + besi Katub, besi Karangkijang + besi Kamboja, besi Karangkijang + besi Ambal, besi Karangkijang + besi Tumbuk, besi Karangkijang + besi Werani, besi Pulosani + besi-besi Mangangkang, Walulin, Katub, Kamboja, Ambal dan Winduaji, besi Terate + besi-besi lain, besi Mangangkang + besi Tumpang, besi Keleman, besi Mentah, besi Enuh, besi Karangkijang + besi Walulin, besi Pulosani + besi Malik, besi Mangangkang + besi Malik, besi Mangangkang (betina) + besi Malik dan besi Walulin + besi Malik.

Kalau melalui ujian destructive testing-material composition, didapati bahawa unsur bahan logam yang dikesan dalam penempaan bilah keris. Bahan tersebut ialah Besi (Fe), Carbon (C), Lead (Pb), Tin (Sn), Manganese (Mn), Nickel (Ni), Silicon (Si), Phosphorus (P), Chromium, (Cr), Sulfur (S), Molybdenum (Mo), Niobium (Nb), Cobalt (Co), Aluminum (Al), Titanium (Ti), Copper (Cu), Vanadium (V), Tungsten (W), Arsenic (As), Zirconium (Zr) dan Boron (B).

Sesungguhnya, asal usul keris ini masih lagi kabur kerana keris merupakan local genius masyarakat Nusantara, Tetapi sejarawan ada membawa hujah-hujah mereka lalu membangkitkan beberapa teori yang berkaitan dengan kewujudan keris. Justeru, saya akan bahagikan di bawah setiap teori para sejarawan:

1. G.B. Gardner

G.B Gardner mencadangkan bahawa keris berasal dari senjata yang diperbuat dari tulang ikan pari yang dipercayainya diperbuat ketika zaman prasejarah, Dipercayai bahawa tulang ikan pari itu akan dibalut dengan kain pada tangkainya, maka tangkai itu akan diggengam dan dibawa ke mana-mana sebagai senjata.

2. Griffith Wilkens

Wilkens mencadangkan pula bahawa budaya keris ini baru muncul pada abad ke-14 dan masihi sebagai perkembangan daripada senjata seperti tombak. Lalu dari senjata ini dikatakan lahirnya senjata tikam yang lebih pendek kerana ianya lebih muda dan fleksibel. Katanya lagi, oleh kerana pada zaman itu logam sukar ditemui, maka lebih muda mencabut sahaja mata tombak dan dijadikan keris.

3. A. J Barnet Kempers

Beliau mengatakan bahawa tradisi keris di Alam Melayu bermula sejauh di Dongson, Vietnam yang dipercayai seusia sehingga ke 2500 Masihi berdasarkan tinggalan gendang di sana, yang merupakan sebuah tapak ketamadunan yang dipercayai milik rumpun Austronesia. Di sana ada dijumpai senjata-senjata yang dipercayai merupakan leluhur keris yang dapat dijejak sehingga ke awal 300 SM yang lalu.

Apa-apa pun, antara rekod terawal kemunculan keris dapat dijejak di Alam Melayu ialah seawal abad ke-5 Masihi di Kepulauan Jawa. Terdapat relief-relief yang berbentuk keris dijumpai di sana. Antaranya ialah ditemui di Prasasti Batu di Desa Dakuwu, Grabag, Magelang, Jawa Tengah yang menggambarkan alat pembuatan besi.

Bahkan di Kepulauan Jawa, dapat ditemui di Candi Borubudur yang dibina oleh Dinasti Melayu Sailendra sebuah relief yang menggambarkan kepada kita bahawa terdapat tentera-tentera yang membawa senjata tajam yang saling tak tumpah seperti keris. Untuk rekod, Candi Borubudur ini dibina seawal abad ke-8 Masihi dan siap ketika awal abad ke-9 Masihi.

Falsafah Hindu-Buddha Dalam Keris

Antara falsafah Hindu-Buddha yang dapat dikesan dalam senjata Keris sebelum kedatangan Islam ialah setiap keris harus dalam dua bahagian iaitu bilah iaitu mat keris serta bahagian ganja. Di bahagian bilah melambangkan wujudnya lingga manakala di bahagian ganja pula membawa maksud yoni. Kalau kita telusuri falsafah Hindu, persatuan antara lingga dan yoni membawa maksud symbol kesuburan, keabadian dan kekuatan.

Tidak lupa juga, antara relief yang dijumpai ketika zaman awal keris di Alam Melayu juga sangat kuat dibandingkan dengan figura-figura dalam agama Hindu-Buddha.

Di candi Prambanan pula terdapat ukiran terutama di candi yang dibina untuk memuja Shiva di mana di candi ini terdapat relief monyet yang menghunus sejenis belati mirip keris. Kalau ditelusuri dalam falsafah Hindu, selalunya yang dijelmakan dalam bentuk monyet ini adalah Dewa Hanuman.

Namun, segala falsafah-falafah yang muncul ketika zaman Hindu-Buddha masih dikenali sebagai agama bangsa Melayu terus hilang selepas kedatangan Islam. Semuanya digantikan dengan falafah penuh dengan nafas Islam. Mari, ikut telusuri kami akan falsafah yang wujud dalam keris hari ini, berkat ulamak-ulamak terdahulu yang tidak tergopoh-gopoh memahami akan sifat bangsa Melayu yang tidak pernah berpisah dengan seni.

Falsafah Keris Waktu Kini

Sebenarnya terlalu mendalam kalau kita membicarakan tentang falafah keris yang wujud terutamanya selepas kedatangan Islam itu sendiri. Maka izinkanlah saya menyenaraikan falsafah itu secara trivia. Semoga itu akan meringankan beban kalian dalam menafsir artikel yang saya kira agak berat ini.

1. Lok Keris: –

Lok 3: Membawa panglima/pahlawan/pendekar yang menjalankan tugas mereka yang berkaitan dengan keduniaan dan kerohanian.

Lok 5: Melambangkan kepetahan pemiliknya dalam berbicara dan mempengaruhi orang

Lok 7: Melambangkan kewibawaan dan karisma dalam pemerintahan.

Lok 9: Melambangkan falsafah kebijaksanaan dan kepimpinan yang biasanya dipakai dan dimiliki oleh raja dan pemerintah

Lok 11: Melambangkan pemiliknya bercita-cita tinggi mencari kemajuan ekonomi dan sosial dalam kehidupannya

Lok 13: Pemiliknya sanggup berani mati mempertahankan apa-apa sahaja yang dimiliki daripada dirampas tanpa hak

Selain di atas, lok-lok keris juga boleh dirujuk pada perlambangan seperti berikut. Lok keris 5 melambangkan rukun Islam. Lok keris 7 melambangkan tawaf. Lok keris 13 melambangkan rukun solat manakala lok keris 17 pula melambangkan solat lima waktu.

2. Keris juga selalunya dibersih, dicuci dan dimandikan pada Bulan Muharam. Ini kerana falsafah Melayu ketika itu menganggap bahawa bulan Muharram sebagai lambang pembersihan. Justeru dalam bulan Muharram, orang Melayu biasanya akan menjadikan sebagai bulan menuntut ilmu, membuang ilmu dan membuang ilmu.

3. Unsur Alam: Empu atau Pandai Besi (gelaran untuk penempa keris) menempa keris berdasarkan falsafah penciptaan manusia yang dipercayai terdapat 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dikatakan bahawa manusia dicipta dari tanah, lalu dilembutkan dengan air, kemudian dibakar dengan api lalu ditiupkan roh.

Maka penciptaan keris diilhamkan dari falsafah penciptaan ini apabila bahan bakunya daripada besi, baja dan nikel diambil daripada tanah sebelum diadunkan dengan api dan air sewaktu proses pembuatannya.

Selepas siap, maka para Pandai Besi akan membaca beberapa buah doa sebelum ditiupkan ke dalam keris. Tiupan doa itu seumpama roh yang ditiupkan ke dalam keris untuk mendapatkan keampuhannya.

4. Pembuatan Besi 9 Desa: Para Pandai Besi dikatakan akan mengumpulkan jenis besi dari 9 daerah sebagaj bahan baku. Lalu bahan baku dari 9 daerah tadi pun ditempa berulang-ulang kali sebelum dijadikan bilah keris.

Lalu selepas siap bilah besi itu, maka ianya akan disiram pula dengan air dari 3 buah kuala sungai. Apabila siap disiram dengan air ini, maka bilah keris ini akan diletakkan setinggi mungkin di tempat yang tertinggi di daerah keris ditempa selama 44 hari..

Ikut falsafah bangsa Melayu, perbuatan meletakkan keris tersebut di tempat yang tertinggi bermaksud sebagai perlambangan keris mempunyai kehebatan yang tidak tertandingi.

5. Pakaian: Ketika pembuatan keris, Pandai Besi juga akan memakai pakaian yang berbeza melambangkan status keris yang sedang ditempanya.

Kuning: Melambangkan Pandai Besi sedang menempa keris diraja.

Hitam: Melambangkan Pandai Besi sedang menempa keris untuk panglima dan pendekar.

Berpakaian Biasa: Sekadar menempa keris untuk rakyat biasa sahaja.

6. Keris juga dikatakan membawa kepada perlambangan kepada tuah dan maruah, perlambangan kejantanan, perlambangan harga diri, perlambangan senjata, perlambangan penjaga diri, perlambangan daulat, perlambangan jati diri, perlambangan daulat, perlambangan batang tubuh, perlambangan pembantu dan yang terakhir ialah perlambangan pakaian.

7. Perbuatan yang berkaitan dengan keris dalam bangsa Melayu turut mempunyai falsafah yang tersendiri. Antaranya ialah:

a.) Keris Dikucup: Melambangkan bahawa menerima sebuah amanah dengan semangat kesediaan, menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.

b.) Keris Dijulang: Membawa menjulang kuasa, kedaulatan, dan tanggungjawab yang diserahkan dengan berlaku adil dan saksasama dalam dan menunaikan amanah yang diterima.

c.) Keris dihunus pula membawa maksud tekad untk mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam serta mempertahankan negara.

Justeru, selepas ini kalau ada yang berucap sambil melakukan perkara di atas dengan keris mereka, maka janganlah melenting sebab setiap perbuatan itu mempunyai falsafah mereka tersendiri.

8. Terdapat juga keris-keris yang mengandungi kalimah- kalimah agama pada pangkal tulang atau hulu keris. Ayat-ayat Al-Quran atau kalimah- kalimah yang menunjukkan nilai-nilai Islam pada sebilah keris juga sering dilihat pada bahagian sarung keris itu.

Kesimpulan

Pada penutup artikel ini, jelaslah dari sebatang keris, kita mendapati bahawa bangsa Melayu ini merupakan bangsa yang sangat berfalsafah. Dengan sebatang keris sahaja, anda akan dapati bahawa ianya mampu membawa 1001 maksud dan prinsip tertentu. Sebuah bangsa yang mempunyai falsafah hidup yang tinggi adalah lambang sebagai bangsa yang bertamadun.

Sumber Rujukan:

1. Mahyudin Al-Mudra (2009). Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya Dalam Sejarah Nusantara. Sari 27-44.

2. Khamid Mohamad & Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (2013). Falsafah dan Isu Masa Kini. International Journal of the Malay World and Cilivization (Iman): 45 – 43.

-HE-

Comments

comments

Previous articleMengapakah Korea Utara Dan Selatan Berpecah
Next articleFalsafah Game Of Thrones
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here